5. Kembali kepada Allah ﷻ dalam susah atau senang.
Kita kena rujuk dan kembali kepada Allah ﷻ kerana kita semua memang akan kembali kepada Allah ﷻ. Maka baik serahkan diri kita kepada-Nya semenjak di dunia lagi.
Dalam kehidupan ini memang ada susah dan senang. Kena sedar yang susah dan senang itu adalah sebagai kenderaan semasa di dunia sahaja. Ada orang yang hidupnya senang dan ada yang susah. Itu adalah ujian. Para Nabi pun diuji jadi apa salahnya kita diuji?
Nabi Sulaiman عليه السلام pakai kenderaan senang, dengan diberi kerajaan besar dan kekuasaan yang hebat.
Sedangkan Nabi Ayyub عليه السلام pula dipakaikan dengan kenderaan yang susah.
Berbeza ujian mereka di dunia tetapi masing-masing kembali kepada Allah ﷻ. Nabi Sulaiman عليه السلام tidak lupa Allah ﷻ walaupun baginda diberi segala kesenangan. Nabi Ayyub عليه السلام juga tidak lupa Allah ﷻ walaupun diberi dengan segala kesusahan. Dua-dua kembali kepada Allah ﷻ.
Allah ﷻ tahu mana kenderaan yang sesuai buat kita. Kepada yang boleh pakai kenderaan kesusahan, Allah ﷻ akan beri kesusahan kepadanya sebagai ujian. Itulah mereka yang sabar ketika susah dan syukur ketika senang.
Sabar dan syukur. Bagi orang mukmin dan salik, memang ada dua sifat ini sahaja. Sekejap sabar dan sekejap syukur. Kehidupannya tidak lari daripada dua sikap ini. Sama sahaja baginya, kalau dalam senang atau dalam susah, dia tetap beriman dan tetap beramal.
Seperti yang Allah ﷻ sebut dalam [Ali Imran: 134]
الَّذينَ يُنفِقونَ فِي السَّرّاءِ وَالضَّرّاءِ وَالكاظِمينَ الغَيظَ وَالعافينَ عَنِ النّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ المُحسِنينَ
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;
Tafsir: susah atau senang, dia tetap infak kepada orang lain.
Allah ﷻ berfirman dalam [Shura: 33]
إِن يَشَأ يُسكِنِ الرّيحَ فَيَظلَلنَ رَواكِدَ عَلىٰ ظَهرِهِ ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّكُلِّ صَبّارٍ شَكورٍ
Jika Dia kehendaki, Dia menghentikan tiupan angin, maka tinggallah kapal-kapal itu terapung-apung di muka lautan. Sesungguhnya yang demikian mengandungi tanda-tanda (yang besar pengajarannya) bagi tiap-tiap seorang (mukmin) yang sentiasa bersikap sabar, lagi sentiasa bersyukur.
Sufi yang mukmin akan sentiasa berada dalam salah satu daripada dua: sama ada sabar atau syukur. Kalau dapat musibah, dia bersabar; kalau dapat nikmat, dia akan bersyukur. Maka kena nilai apa-apa yang terjadi pada diri kita satu-satu masa.
🕸 Adakah ia menggembirakan kita? Maka syukur kepada Allah ﷻ.
🕸 Adakah ia musibah yang menyebabkan kita sedih? Maka sabar dan redha menghadapinya.
Jadi ada dua S (SS). Sabar, syukur; Sabar, syukur; Sabar, syukur; Sabar, syukur;
Ujian sabar ini memang agak payah kerana selalu kalau kena musibah, orang senang ingat kepada Allah ﷻ. Namun apabila senang, dia lupa syukur dan dia lupa untuk ingat dan merapatkan diri kepada Allah ﷻ.
Ini adalah bahaya kerana kalau tidak mendekatkan diri kepada Allah ﷻ dengan ujian kesenangan, maka Allah ﷻ akan tukar dengan ujian kesusahan pula. Seolah-olah Allah ﷻ berkata: “Owhhh, tak ingat Aku bila senang yer? …. Nah aku bagi susah pula supaya baru kau nak ingat kepadaKu!”
Ini memang menyusahkan. Sepatutnya insan itu sudah senang tetapi kerana tidak bersyukur, maka Allah ﷻ akan bagi susah. Sebab bila susah, pasti insan itu akan ingat Allah ﷻ. Maka kita mahu ujian yang mana di atas dunia? Ujian senang atau ujian musibah? Ujian tetap kena uji, tetapi yang mana satu?