Utama Bilik (50) Diskusi Bersama Doktor Soal Jawab Bersama Doktor: Senaman dan Kesihatan

Soal Jawab Bersama Doktor: Senaman dan Kesihatan

339
0
Iklan

Soalan:
Apakah kepentingan bersenam dalam kehidupan seharian?
Jawapan:
Senaman ialah pergerakan badan yang dilakukan secara berulang-kali secara terancang dan berstruktur bertujuan untuk meningkatkan atau mengekalkan satu atau lebih komponen kecergasan fizikal. Senaman juga melibatkan penggunaan dan pengeluaran tenaga yang banyak. Ramai pakar perubatan menyatakan senaman antara ubat yang bukan saja murah, malah amat berkesan untuk merawat dan mengawal pelbagai masalah kesihatan yang dihidapi.

Soalan:
Kenapa perlu bersenam?
Jawapan:
Banyak kelebihan yang bakal diperolehi oleh kita sekiranya kita kerap melakukan aktiviti senaman. Antaranya ialah, dapat mencegah diri kita dari sebarang penyakit yang boleh membahayakan diri kita. Aktiviti senaman hendaklah dilakukan sekurang-kurangnya dua kali dalam seminggu malah boleh juga diselang-selikan dengan senaman ringan seperti berjalan kaki, meletakkan kereta jauh sedikit jika untuk ke pejabat atau kedai, menggunakan tangga untuk ke tingkat-tingkat lain.
Terdapat beberapa fakta yang menyatakan bahawa dengan melakukan aktiviti senaman dapat mengurangkan penyakit. Senaman merupakan komponen yang sangat penting untuk sihat, ramai orang yang berdoa supaya diberi kesihatan yang baik tetapi malas bersenam umpama berdoa memohon rezeki tetapi tidak berusaha untuk mendapatkannya.

Soalan:
Apakah aktiviti yang sesuai untuk senaman ringan ?
Jawapan:
Antara aktiviti ringan yang boleh dilakukan ialah:
1) Berjalan kaki
Berjalan-jalan adalah menyeronokkan, selamat, murah dan mudah diselitkan dalam rutin harian kita yang sentiasa sibuk. Anda boleh melakukan aktiviti berjalan dengan berjalan ke tempat kerja, berjalan ke kedai runcit, berjalan ketika ‘window shopping’, dan berjalan di sekitar kejiranan anda.

2) Menaiki tangga
Aktiviti berjalan menaiki tangga pada kadar yang sederhana boleh membentuk otot di bahagian bawah badan dan meningkatkan kadar kesihatan jantung. Menaiki tangga juga merupakan aktiviti senaman yang mampu meningkatkan tahap kecergasan, jantung akan mengepam laju dan sistem dalam badan berfungsi dengan baik.

3) Berbasikal
Berbasikal adalah satu senaman cardio, ia sama seperti jogging, kick boxing dan sebagainya. Ia membantu membakar lemak dan kalori didalam badan melalui senaman kaki.

4) Melakukan pekerjaan rumah
Pembakaran kalori boleh berlaku dengan hanya melakukan aktiviti ringan di rumah seperti mencuci tingkap, membersihkan kipas, menyapu, membasuh dan mengelap lantai serta mencuci tandas boleh mengeluarkan peluh.

5) Berenang
Melakukan pembakaran lemak dan kalori melalui aktiviti berenang mungkin kelihatan tidak begitu memenatkan. Ini kerana ketika kita berada di dalam air, pengeluaran peluh yang terjadi tidak dirasai. Kita juga kurang merasa penat disebabkan jumlah graviti yang lebih rendah di dalam air.

6) Lain-lain pergerakan mudah senaman di pejabat seperti gambar di sebelah juga boleh membantu kekuatan fizikal dan mengurangkan tekanan di tempat kerja. Seharian terperuk di dalam pejabat dan kereta yang mempunyai hawa dingin, sedikit sebanyak ia turut menjejaskan kesihatan dan menjadikan anda seorang yang tidak sihat. Cara yang terbaik untuk mengekalkan kesihatan selain menjaga pemakanan adalah melakukan regangan ringkas atau senaman.

Komen dan Soalan