Talbis Iblis: Bab Masalah Aqidah
Fahaman pertama yang akan dibincangkan adalah Golongan Sufistha’iyah.
Inilah Golongan Sufi yang menolak fahaman khauf (takut) dan raja’ (berharap). Iaitu kena seimbang antara dua konsep ini. Ia bagaikan sayap pada burung. Kedua-dua sayap hendaklah seimbang. Kalau satu terlebih maka burung pun tidak dapat terbang.
Namun golongan sufi terlebih pada cinta. Mereka mengharap cinta Allah ﷻ sahaja tanpa dilihat kepada khauf.
Seperti guru sufi saya dahulu cakap:
Awaludin ma’rifatullah.
Akhirudin hubbullah.
(Awal agama mengenal Allah ﷻ,
Akhir agama cinta Allah ﷻ).
Namun kalau mengharap cinta sahaja dan tidak dilihat pada hukum yang lain, maka agama tidak seimbang.
Dalil kena ada Khauf dan Raja’ adalah [Sajdah:16]
تَتَجافىٰ جُنوبُهُم عَنِ المَضاجِعِ يَدعونَ رَبَّهُم خَوفًا وَطَمَعًا وَمِمّا رَزَقنٰهُم يُنفِقونَ
Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka.
✍
Kalimah خَوفًا digunakan dalam ayat ini. Kalimah طَمَعًا bermaksud raja’ juga. Ia bermaksud tamak dengan apa sahaja yang Allah ﷻ beri. Selagi Allah ﷻ beri, kita mahu. Maknanya berharap sungguh dengan kurnia Allah ﷻ.
Memang kena ada cinta kepada Allah ﷻ. Ini adalah kerana memang ibadah berputar di atas dua kutub, cinta dan ubudiah. Apabila kedua-duanya ada, barulah ibadah itu sempurna kerana kita melakukan ibadah kepada Allah ﷻ kerana cinta kepada Allah ﷻ. Bukannya kerana kita terpaksa.
Kalau kita ibadah kerana terpaksa, itu adalah fahaman yang amat salah. Kita rasa terpaksa, rasa berat untuk melakukan ibadah dan kerana itulah kita tumpukan perhatian dalam ibadah. Maknanya, orang yang sebegitu, tidak mendapat halawatul iman (kemanisan iman). Mereka tidak nampak indahnya ubudiah (perhambaan) kepada Allah ﷻ.