Talbis Iblis: Jaga Keikhlasan Hati
Yang penting kita kena jaga keikhlasan hati kita dan ini memang amat susah. Ini kerana kita dan Allah ﷻ sahaja yang tahu sama ada kita ikhlas ataupun tidak.
Tidak dinafikan untuk menjaga keikhlasan hati memang susah kerana senang sangat hendak campur dengan perasaan-perasaan lain yang boleh merosakkan keikhlasan itu.
Antaranya mengharapkan pujian daripada orang lain. Ini memang susah hendak jaga. Ini kerana sedikit sebanyak, pujian memang akan memberi kesan kepada kita. Memang hati kita sedap sahaja rasa kalau orang puji kita.
Kerana itulah kita kena tutup daripada menceritakan kebaikan yang kita lakukan kerana takut kalau orang puji, kita rasa lain macam.
Sebagai contoh, tidak perlulah post kebaikan yang kita lakukan dalam FB. Ia mungkin mengganggu keikhlasan kita. Semasa kita post itu, mungkin kita ikhlas, tetapi mungkin juga tidak. Atau ikhlas, tetapi bercampur pula dengan perasaan mengharapkan pujian.
Tidak perlu untuk beri alasan kenapa kita post juga kerana boleh kita hendak cakap: “aku post ini sebab bila orang lain baca, nanti mereka pun boleh jadikan sebagai semangat”.
Mungkin ia benar, tetapi kalau kita sendiri rasa kita lemah untuk jaga keikhlasan itu, maka untuk selamat, tidak perlulah post. Tahan diri daripada melakukannya.
Namun ini bukanlah alasan untuk menuduh orang lain tidak ikhlas. Selalu juga kita baca: “Elehhhh, post kat media ni, mengharap pujian letew…..”
Jangan begitu. Kita tidak tahu hati orang. Jangan kita memandai hendak buat andaian sama ada orang itu ikhlas ataupun tidak. Kita jaga hati kita sahaja, bukan hendak kena jaga hati orang.
Tidak salah hendak post dalam FB atau medsos. Kalau kita rasa boleh kawal hati kita daripada sifat mazmumah, boleh sahaja tetapi kalau rasa lemah, tidak dapat hendak hadap pujian daripada manusia, maka lebih baik jangan post.
Maka kenalah berhati-hati dengan penipuan talbis iblis. Kena jaga hati selalu kerana Iblis bukan mahu fizikal kita, tetapi Iblis mahukan hati kita.
Demikian Imam Khatib Al-Baghdadi mencatat adanya iblis yang masuk ke bahtera Nuh. Adanya iblis yang naik ke bahtera Nuh juga terdapat dalam kitab Ihya Ulumiddin, karangan Imam Ghazali. Dalam riwayat ini Nabi Nuh عليه السلام menjumpai iblis yang wujud sebagai orang tua yang tidak dikenalinya, dan memberi nasihat yang sangat berguna untuk manusia.
“Kenapa kamu masuk ke sini?” Tanya baginda.
“Aku akan merebut hati para pengikutmu, sehingga hati mereka bersamaku dan badannya bersamamu.”
Malang sekali kalau kita asyik jaga badan kita, tetapi kita tidak jaga hati kita.