Tafsir Surah al-Baqarah
Tafsir Ayat Ke-105
Ini adalah ayat teguran daripada Allah ﷻ kepada para sahabat رضي الله عنهم.
ما يَوَدُّ الَّذينَ كَفَروا مِن أَهلِ الكِتابِ وَلَا المُشرِكينَ أَن يُنَزَّلَ عَلَيكُم مِن خَيرٍ مِن رَبِّكُم ۗ وَاللَّهُ يَختَصُّ بِرَحمَتِهِ مَن يَشاءُ ۚ وَاللَّهُ ذُو الفَضلِ العَظيمِ
Orang-orang kafir daripada Ahli kitab, dan juga daripada orang-orang musyrik, tidak suka kiranya diturunkan kepada kamu walau sedikit pun dari kebaikan (atau wahyu) daripada Tuhan kamu. Padahal Allah berhak menentukan rahmat-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah (jualah Yang) mempunyai limpah kurnia yang amat besar.
مَا يَوَدُّ الَّذِينَ كَفَرُوا
Amat tidak suka orang-orang kafir itu;
Dalam ayat ini, Allah ﷻ menceritakan apakah perasaan orang-orang Yahudi. Apakah yang sebenarnya yang mereka sorok di dalam hati mereka?
Kenapakah Allah ﷻ menggunakan perkataan مَا dalam ayat ini? Perkataan مَا adalah menidakkan sesuatu. Allah ﷻ menidakkan anggapan orang-orang mukmin di Madinah. Kita kena tahu serba sedikit tentang sejarah mereka.
Mereka telah lama berada di Madinah bersama dengan orang-orang Yahudi yang berada di Madinah. Mereka telah berkawan lama. Mereka menghormati orang-orang Yahudi itu yang telah lama mendapat kitab Taurat. Jadi mereka rasa bahawa apabila wahyu baru telah diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ, mereka sangka tentulah mudah untuk orang-orang Yahudi menerima Nabi Muhammad ﷺ kerana bukankah mereka telah lama beragama dan agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ itu adalah bersamaan dengan agama yang mereka pegang iaitu sama-sama agama dari langit?
Allah ﷻ menidakkan pemahaman mereka yang sebegitu. Jika mereka berfikiran begitu, mereka adalah naif. Allah ﷻ hendak beritahu, sebagaimana orang-orang Musyrik di Mekah dulu menentang Nabi ﷺ, begitu juga dengan sesetengah orang Yahudi di Madinah.
Walaupun mungkin dahulu mereka berkawan baik, tetapi dengan perubahan pandangan agama, segala-galanya boleh berubah. Macam juga kita, dahulu kita sama-sama berkawan baik dengan orang. Tetapi apabila kita mengambil jalan sunnah dan belajar tafsir Al-Qur’an, ada orang yang sudah tidak mahu berkawan dengan kita lagi kerana kita sudah macam lain pula kepada mereka. Mereka sudah memandang serong terhadap kita.
Berkawan baik dengan orang Yahudi tidak semestinya mereka kekal baik dengan kita. Pernah ada orang Palestin beritahu mereka apa terjadi semasa Yahudi datang beramai-ramai ke Palestin. Dahulu mereka ada jiran Yahudi di Palestin. Tetapi apabila Palestin diambil alih oleh puak kuffar, jiran dan kawan mereka dalam kalangan Yahudi itu menjadi orang asing pula seolah-olah tidak kenal dengan mereka.
مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ
yang terdiri dari Ahli Kitab;
Golongan pertama adalah Ahli Kitab – Yahudi dan Nasara, kerana mereka telah mendapat kitab wahyu. Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa ahli-ahli Kitab itu tidak seperti yang diharapkan oleh para sahabat yang beriman. Apa yang orang mukmin di Madinah sangkakan itu adalah tidak benar. Ini kerana ada golongan orang kafir dalam kalangan orang Yahudi itu tidak suka jikalau ada kebaikan yang didapati oleh orang Islam.
usyz azlizan, [08.07.19 20:45]
Bukan semua tidak suka. Sebahagian sahaja. Sebab itu Allah ﷻ menggunakan perkataan ‘orang kafir dari ahli Kitab’. Perkataan kafir dalam Al-Qur’an lain dari pemahaman biasa kita. Ia bermaksud mereka yang menolak Islam setelah memahaminya. Iaitu mereka tahu bahawa Islam itu benar, tetapi mereka tolak juga. Ataupun mereka juga memerangi Islam. Jadi ada beza antara “non-Muslim” dan “anti-Muslim”.
usyz azlizan, [08.07.19 20:45]
Seperti yang kita tahu, tidak semua orang bukan Islam yang memerangi Islam. Ada yang berbaik dengan Muslim dan tidak ada berniat buruk terhadap Muslim. Cuma mereka tidak masuk Islam kerana mereka belum lagi diberi hidayah. Mereka mungkin belum faham Islam. Mungkin juga mereka telah menerima Islam tetapi belum terbuka lagi hati mereka untuk menerima Islam.
Orang yang sebegini tidak dipanggil ‘kafir’ dalam Al-Qur’an. Cuma dalam penggunaan biasa, kita selalunya panggil mereka ‘kafir’. Sebaiknya, kita gunakan sahaja kalimah “non-Muslim” terhadap mereka.
وَلَا الْمُشْرِكِينَ
dan juga dari orang-orang Musyrikin;
Ini adalah golongan kafir yang kedua – yang musyrik seperti Musyrikin Mekah. Orang Musyrik memang tidak suka jika ada kebaikan diberikan kepada orang Islam. Mereka dari dahulu lagi tidak sukakan Nabi Muhammad ﷺ. Merekalah yang pertama menentang baginda apabila Nabi Muhammad ﷺ diangkat menjadi Rasul. Merekalah yang mula-mula menentang Nabi ﷺ tetapi kenapa ahli kitab disebut dahulu di dalam ayat ini?
Ahli Kitab disebut dahulu kerana mereka lebih penting hendak diberitahu di dalam situasi ini kerana ayat ini diturunkan semasa orang Islam berhadapan dengan orang Yahudi di Madinah. Orang Islam di Madinah memerlukan saranan yang lebih kuat untuk membangunkan mereka dari pemahaman mereka yang salah tentang kawan-kawan mereka daripada orang Yahudi itu.
Mereka sudah faham tentang tentangan daripada orang Musyrik Mekah. Allah ﷻ hendak memberikan peringatan kepada orang Islam di Madinah bahawa sebagaimana orang Musyrik telah menentang Islam, begitu juga orang Yahudi di Madinah.
Ayat ini juga memberitahu kepada kita bahawa akan sentiasa ada dua golongan ini yang akan sentiasa menentang Islam. Oleh itu, hendaklah kita berhati-hati.
Apakah yang mereka tidak suka?
أَنْ يُنَزَّلَ عَلَيْكُمْ مِنْ خَيْرٍ
bahawa didatangkan kepada kamu semua satu kebaikan apa pun;
Mereka tidak suka apabila orang Islam mendapat kebaikan. Apabila mereka tidak suka, mereka mencari berbagai-bagai jalan untuk melemahkan Islam. Antaranya mereka cuba mencari kesalahan Nabi ﷺ. Mereka juga mencari-cari jalan bagaimana hendak menyebabkan orang Islam sangsi dengan Islam.
مِنْ رَبِّكُمْ
daripada Tuhan kamu;
Mereka benci apabila Muslim mendapat kebaikan padahal kebaikan itu daripada Allah ﷻ semata-mata. Mereka tidak suka orang beriman mendapat kebaikan daripada Allah ﷻ. Apa-apa sahaja kebaikan, tidak kira walau apa jenis pun sama ada dari segi kesenangan, harta atau apa-apa sahaja.
Pertamanya, mereka tidak suka Nabi Muhammad ﷺ yang mendapat wahyu – ini yang paling utama. Kita telah belajar sebelum ini yang orang-orang Yahudi tidak dapat menerima bahawa wahyu akhir zaman diturunkan kepada Bangsa Arab. Orang Arab Mekah yang musyrik pula, tidak dapat menerima Nabi Muhammad ﷺ diberikan wahyu. Pada mereka, ada lagi orang lain yang lebih layak dalam kalangan orang terkenal di Tanah Arab. Kita akan belajar tentang ini dalam surah-surah yang lain.
Macam masyarakat kita juga, ada yang tidak suka kalau orang baik-baik dapat kebaikan. Kalau mereka tengok ada ustaz pakai kereta cantik sedikit, mereka akan mengata. Mereka tidak suka orang yang sebar agama mendapat kebaikan sama ada orang-orang agama itu mendapat kedudukan, harta atau sebagainya.
وَاللَّهُ يَخْتَصُّ بِرَحْمَتِهِ
Sedangkan Allah akan memberikan pengkhususan dengan Rahmat-Nya;
Rahmat itu adalah daripada Allah ﷻ. Allah ﷻ hendak memberitahu dalam ayat ini bahawa ia adalah hak Allah ﷻ untuk diberikan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Bukan tempat kita untuk mempersoalkan kepada siapakah yang Allah ﷻ berikan rahmat-Nya itu.
مَنْ يَشَاءُ
kepada sesiapa yang Dia kehendaki;
Ikut Allah ﷻlah siapa yang Dia hendak beri kebaikan itu. Sebagai contoh, kita tahu bahawa Bilal رضي الله عنه itu adalah seorang yang miskin. Begitu juga dengan Salman al Farisi dan Suhail رضي الله عنهما. Orang-orang musyrik tidak suka mereka ini mendapat rahmat apa-apa daripada Allah ﷻ. Tetapi Allah ﷻ telah pilih mereka menjadi sahabat yang mulia. Itu semua adalah kehendak Allah ﷻ. Kita tidak dapat mempersoalkannya langsung. Siapa kita untuk persoalkan keputusan Allah ﷻ?
Memang dahulu Bani Israil telah mendapat begitu banyak kebaikan daripada Allah ﷻ. Mereka telah diberikan dengan kelebihan demi kelebihan – antaranya begitu ramai Nabi dan Rasul dalam kalangan mereka. Mereka juga telah mendapat kekayaan dan kebaikan dalam kehidupan. Tetapi Allah ﷻ boleh tidak memilih mereka lagi untuk memberi kebaikan. Siapakah mereka sebagai manusia hendak mempersoalkan Allah ﷻ?
وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ
Dan Allah mempunyai kurniaan yang besar sekali.
Allah ﷻ ada banyak rahmat yang akan diberikan-Nya kepada manusia lain yang dipilih-Nya.
Dari ayat ini, kita dapat tahu yang orang Yahudi marah kerana Nabi akhir zaman yang dibangkitkan bukan daripada golongan mereka.
Orang Musyirikin pun marah juga kerana yang diangkat menjadi Nabi itu bukan daripada orang-orang yang mereka sangka patut menjadi Nabi.
Tafsir Ayat Ke-106
Apabila Yahudi ada peluang untuk mengkritik, mereka akan kritik. Terutama tentang bab syariat. Sebab itulah penting untuk kita faham dan mahir agama kita sendiri supaya mereka tidak ada peluang untuk mengkritik agama kita.
Masalah timbul apabila kita sendiri tidak faham agama sendiri. Disebabkan ramai tidak faham agamalah, yang menyebabkan Syiah boleh mendapat pengaruh banyak daripada kalangan orang Islam. Apabila Syiah dakwah kepada orang-orang kita yang tidak ada asas agama, senang untuk mereka masuk Syiah kerana mereka senang ditipu. Begitulah kalau tidak ada ilmu agama (manusia boleh tipu, syaitan pun senang tipu).
Puak Yahudi tahu yang ada amalan yang telah mansukh dalam agama Islam. Contohnya, ada yang wajib kemudian menjadi sunat; dahulu boleh sekarang tidak boleh; ada yang tidak boleh, kemudian menjadi boleh; dan macam-macam lagi. Ini dinamakan nasikh mansukh dan memang ada di dalam agama Islam.
Dalam Al–Qur’an pun ada ayat yang telah dimansukhkan hukumnya. Tidak banyak ayat yang dimansukhkan dan ulama’ khilaf tentang bilangannya, malah ada yang berkata tidak ada ayat yang sebenarnya dimansukhkan (kerana ada penggunaannya juga). Oleh itu, kita katakan dalam salah satu pendapat, hanya ada empat sahaja ayat Al-Qur’an yang telah dimansukhkan. Ia masih lagi dibaca tetapi hukumnya telah dimansukhkan.
Jadi Yahudi telah mengkritik perkara ini dengan mengatakan: agama apakah ini? Sekejap begitu dan sekejap begini. Dahulu boleh dan sekarang tidak boleh? Mereka kata, kalau benar Islam adalah agama Tuhan, tidak mungkin begini? Mereka telah mengambil kesempatan dalam perkara ini. Maka Allah ﷻ sendiri menjawab kritikan mereka di dalam ayat ini.
Oleh itu, ini adalah ayat berkenaan Nasikh dan Mansukh untuk menjawab tohmahan daripada puak Yahudi yang hendak menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat Islam. Banyak ustaz-ustaz yang mengajar salah tentang nasikh dan mansukh iaitu apabila mereka mengatakan bahawa ada ayat Al-Qur’an yang telah dimansukhkan. Mereka kata ada ayat yang diturunkan kemudian dari ayat yang sebelumnya dan ayat yang terkemudian itu mereka kata telah membatalkan ayat sebelumnya.
Ada kitab tafsir yang kata ada beberapa ratus ayat Al-Qur’an telah dimansukhkan. Imam Suyuti رحمه الله pula dalam kitab tafsirnya, Tafsir Jalalain, berkata ada hanya 20 sahaja ayat yang dimansukhkan. Syah Waliyullah رحمه الله pula kata hanya 4 ayat sahaja yang dimansukhkan. Maulana Husin Ali pula, juga berkata hanya 4 ayat sahaja yang dimansukhkan. 4 ayat tersebut walaupun dikatakan telah dimansukhkan, boleh lagi digunakan dengan beberapa syarat. Maknanya, kalau kena pada keadaan tertentu, boleh digunakan ayat itu. Maknanya, tidak ada ayat yang mansukh pun.
Contohnya, ayat tentang wasiat. Ada ayat Al-Qur’an yang kata orang kafir tidak boleh menerima harta pusaka. Seorang yang asalnya kafir, apabila telah masuk Islam, dan keluarganya masih kafir. Hukum dari ayat Al-Qur’an adalah, orang kafir tidak boleh menerima harta pusaka daripada orang Islam walaupun keluarga sendiri.
Maknanya, kalau seorang ayah telah masuk Islam dan dia mati, anaknya tidak dapat mewarisi harta pusaka ayahnya yang telah masuk Islam itu. Tetapi dari ayat yang lain, ada juga mengatakan bahawa seseorang Islam, boleh mewasiatkan sebanyak 1/3 dari hartanya kepada sesiapa yang dia hendak beri. Jadi, ada penggunaan ayat itu lagi di tempat-tempat yang tertentu.
Contohnya, walaupun ibu bapanya masih kafir, dia boleh wasiatkan lagi sebahagian dari hartanya. Syaratnya adalah, orang yang mati itu membuat wasiat itu semasa dia hidup. Ini juga boleh digunakan untuk orang yang memberi wasiat kepada orang yang bukan ahli keluarganya. Contohnya, seseorang boleh memberi wasiat kepada anak angkatnya, sebanyak 1/3 juga. Itu adalah hadnya.
Maknanya, walaupun ada ayat yang mengatakan orang kafir tidak boleh menerima harta pusaka, tetapi masih lagi boleh orang yang berwasiat kepada had 1/3 dari keseluruhan hartanya. Cuma, wasiat tidak boleh diberikan kepada penerima pusaka. Ia hanya dibolehkan beri kepada orang yang bukan penerima pusaka. Maknanya, tidak boleh memberi wasiat kepada anak-anaknya.
Tentang harta pusaka ini banyak kesalahan yang dibuat oleh masyarakat kita. Tidak boleh seorang yang mempunyai harta memberikan wasiat supaya memberikan harta sama rata kepada anak-anaknya, kerana tidak sama bahagian yang anak-anaknya patut dapat. Ini kerana ada perbezaan antara penerimaan harta pusaka kepada yang lelaki dan perempuan. Tidak sama bahagian mereka. Kalau anak perempuan, harta pusaka yang dia dapat adalah separuh dari bahagian anak lelaki. Ini disebut dalam Surah Nisa’ dengan panjang lebar dan ada perbincangan tentang perkara itu di sana nanti.
Jadi, ayat yang dikatakan telah dimansukhkan itu, masih boleh lagi dipakai jikalau kena dengan syaratnya. Bukan senang kita hendak kata bahawa ayat Allah ﷻ telah dimansukhkan. Ini bukan ayat-ayat biasa, tetapi ia adalah Kalam Allah ﷻ. Maka ulama’ kena berhati-hati kalau mereka kata sesuatu ayat itu telah dimansukhkan.
Salah satu perkara yang dimansukhkan adalah kitab-kitab wahyu sebelum Al-Qur’an diturunkan. Apabila Al-Qur’an diturunkan, syariat di dalam kitab-kitab sebelumnya tidak terpakai lagi kerana semua umat manusia kena pakai syariat di dalam Al-Qur’an ini.
ما نَنسَخ مِن آيَةٍ أَو نُنسِها نَأتِ بِخَيرٍ مِنها أَو مِثلِها ۗ أَلَم تَعلَم أَنَّ اللَّهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَدير
Apa sahaja ayat keterangan yang Kami mansukhkan (batalkan), atau yang Kami tinggalkan (atau tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya, atau yang sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu?
مَا نَنْسَخْ مِنْ آيَةٍ
Tidaklah dimansukh dari mana-mana ayat;
Penggunaan kata مَا digunakan sekali lagi. Penggunaan kata مَا digunakan apabila hendak menyanggah sesuatu pendapat. Ia adalah hendak menjawab pertanyaan orang Yahudi yang mempersoalkan kenapa Kitab Taurat mereka dimansukhkan, padahal ia juga adalah Kalam Allah ﷻ.
أَوْ نُنْسِهَا
atau Kami hilangkan;
Iaitu hilangkan dari hati Nabi Muhammad ﷺ;
Atau Allah ﷻ hilangkan dari digunakan oleh manusia. Iaitu kitab-kitab dari Kalam Allah ﷻ yang telah hilang ditelan zaman.
نَأْتِ بِخَيْرٍ مِنْهَا
Kami datangkan yang lebih baik dari ayat yang telah dimansukhkan itu;
Yang telah dibatalkan, akan diganti dengan yang lebih baik darinya. Allah ﷻ hendak kata bahawa walaupun Kitab Taurat atau mana-mana kitab Kalam Allah ﷻ telah dimansukhkan, tetapi Allah ﷻ telah mendatangkan Al-Qur’an yang lebih baik dari Taurat itu. Allah ﷻ telah memberikan hukum yang baru yang lebih baik dari sebelumnya.
Ada hukum dalam Taurat yang tidak dipakai lagi. Contohnya seperti larangan kepada mereka untuk bekerja pada hari Sabtu. Pada hari Sabtu, mereka langsung tidak boleh membuat kerja apa-apa kerana hari Sabtu adalah hari untuk beribadat.
Tidak ada larangan kepada kita seperti mereka itu. Yang kita ada hanyalah hari Jumaat sahaja. Itu pun bukan sepanjang hari kita dilarang dari bekerja. Kita disuruh supaya pergi Salat Jumaat untuk beberapa waktu sahaja. Selepas itu, boleh sambung bekerja balik seperti biasa. Ini adalah lebih baik dari hukum yang telah diberikan kepada mereka dan ini adalah satu rahmat daripada Allahﷻ.
أَوْ مِثْلِهَا
atau Kami berikan yang sama;
Kalau Allah ﷻ tidak beri yang lebih baik pun, maka Allah ﷻ tetap berikan yang sama kedudukannya.
Dari ayat ini, orang-orang Yahudi telah mengkritik Al-Qur’an. Walaupun mereka telah ubah kitab mereka, tetapi mereka kata ada juga ayat-ayat Al-Qur’an yang telah dimansukhkan. Lebih-lebih lagi orang Syiah yang menggunakan hujah ini. Mereka tidak menerima Al-Qur’an yang kita ada sekarang. Mereka berkata Al-Qur’an sebenarnya ada 40 juzuk tapi telah dibuang 10 juzuk itu oleh sahabat. Padahal, Allah ﷻ telah berkata bahawa Dia akan menjaga Al-Qur’an.
Allah ﷻ hendak berkata walaupun Kitab Taurat telah dimansukhkan, tetapi masih ada lagi hukum syariat dalam Taurat yang masih kekal. Bukan semuanya dihilangkan. Contohnya, hukum Qisas ada terdapat di dalam Taurat dan ada juga di dalam Al-Qur’an. Begitu juga dengan hukuman rejam sampai mati bagi lelaki dan wanita muhsan (yang sudah pernah bernikah secara halal). Maka tidak patut mereka membuat bising hendak mempersoalkan kenapa Kitab mereka dimansukhkan.
Apabila Kitab mereka telah dimansukhkan, maka hukum yang ada dalam Kitab itu tidak boleh dipakai mereka. Mereka sekarang sepatutnya menerima hukum baru yang ada dalam Al-Qur’an.
Hukum-hukum itu lebih baik, maksudnya amalan mudah dan dapat pahala lebih banyak. Tetapi kenapa Allah ﷻ memberikan hukum yang lain dahulu, kenapa tidak terus bagi hukuman yang akhirnya akan diberikan juga? Kenapa syariat tidak sama sahaja dari zaman Nabi Adam عليه السلام sampai sekarang?
Ini kerana Allah ﷻ melatih manusia dengan memberikan hukum yang susah terlebih dahulu supaya ia sudah menjadi tabiat. Macam juga dalam latihan tentera. Masa latihan, gaji yang diberikan sedikit sahaja tetapi tugas yang diberikan amat berat, tidak ada masa rehat langsung. Bila sudah habis latihan, kerja yang diberikan kepada mereka lagi mudah dan gaji lebih mahal kalau dibandingkan dengan masa latihan dahulu.
Jadi, dia sudah biasa dengan perkara yang susah. Oleh itu, kalau keadaan memerlukan dia dalam keadaan yang susah, dia sudah biasa. Dalam kehidupan, ini perkara biasa sahaja, jadi kenapa hendak hairan? Allah ﷻ Maha Bijaksana dalam mengurus hamba-Nya. Segala yang Allah ﷻ buat adalah sesuai dengan manusia.
Yang tidak baiknya adalah ada kalangan orang Islam yang mengatakan bahawa ayat-ayat Allah ﷻ telah mansukh tetapi ia tidak mansukh. Senang-senang sahaja mereka kata ayat-ayat itu mansukh. Contohnya, ada yang kata ayat-ayat tentang perang telah dimansukhkan. Mereka telah memberi hujah-hujah yang batil sebagai menguatkan pandangan mereka.
Yang mereka hendak kata ayat-ayat tentang perang itu telah mansukh adalah kerana mereka takut dengan propaganda orang kafir. Mereka tidak mahu orang kafir nampak bahawa Islam ini adalah satu agama yang keras. Jadi mereka kata arahan perang telah dimansukhkan. Padahal ia ada lagi sampai akhir zaman.
Satu lagi contoh adalah orang Islam yang marah sangat kepada orang kafir sampai mereka kata seluruh ayat-ayat Makkiah yang mengatakan tentang kesabaran dalam Islam telah dimansukhkan. Semasa di Mekah, para sahabat telah memohon kepada Nabi ﷺ supaya mereka dibenarkan untuk memerangi Musyrikin Mekah. Tetapi Allah ﷻ telah menurunkan ayat-ayat menyuruh para sahabat bersabar kerana belum masanya untuk berperang.
Puak-puak sesat yang marah sangat kepada orang kafir telah mengatakan bahawa ayat-ayat tentang kesabaran itu telah dimansukhkan – yang tinggal hanya ayat tentang memerangi mereka sahaja. Maka mereka kata tidak lain yang ada kecuali arahan perang kepada orang kafir sahaja.
Dua-dua contoh ini adalah bertolak dari dua sifat yang tidak patut dalam Islam – satu puak yang takut dengan kafir dan satu puak lagi yang marah sangat dengan orang kafir. Sampai mereka sanggup mengatakan ada surah-surah yang telah dimansukhkan untuk mencapai tujuan mereka.
أَلَمْ تَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Tidakkah kamu tahu bahawa Allah terhadap segala sesuatu itu berkuasa sungguh?
Seperti yang kita tahu, Allah ﷻ berkuasa penuh untuk melakukan segala kehendak-Nya. Kita hanya menerima sahaja. Kita tidak ada hak untuk mempersoalkan tujuan Allah ﷻ. Dalam ayat ini, Allah ﷻ tanya balik: tidakkah orang Yahudi dan kita juga tahu, bahawa Allah ﷻlah yang Maha Berkuasa dalam segala hal?
Adakah kita tidak tahu atau kita buat-buat tidak tahu? Kalau Allah ﷻ Maha Berkuasa, Dia boleh buat apa yang Dia hendak, bukan kita boleh persoalkannya.
Jadi Allah ﷻ hendak menekankan kepada Bani Israil dan Nasrani bahawa syariat agama mereka telah dimansukhkan dan mereka kena pegang syariat yang terbaru sekarang, iaitu yang diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Jadi, kita sebagai hamba-Nya, kenalah ikut sahaja. Tidak perlu untuk dipersoalkan lagi.
Allahu a’lam.