Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-103 dan Ke-104

Tafsir Surah al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-103 dan Ke-104

1249
0
Iklan

Tafsir Surah al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-103

وَلَو أَنَّهُم آمَنوا وَاتَّقَوا لَمَثوبَةٌ مِن عِندِ اللَّهِ خَيرٌ ۖ لَو كانوا يَعلَمونَ

Dan kalau sebenarnya mereka itu tetap beriman dan bertaqwa (nescaya mereka akan mendapat pahala); sesungguhnya pahala daripada sisi Allah itu adalah lebih baik, kalau mereka mengetahui.

وَلَوْ أَنَّهُمْ آمَنُوا

Dan kalaulah mereka beriman sungguh-sungguh kepada Allah;

Iaitu beriman dengan sempurna, tidak ada syirik kepada Allah ‎ﷻ. Kena faham apakah maksud ‘beriman yang sempurna’ ini. Ini kerana ada manusia yang beriman, tetapi tidak beriman dengan sempurna. Maksudnya, mereka mungkin percaya kepada Allah ‎ﷻ, tetapi dalam masa yang sama, mereka percaya kepada selain Allah ‎ﷻ juga – ini adalah syirik

وَاتَّقَوْا

dan bertaqwa;

Taqwa itu dicapai dengan menjaga hukum dan tidak belajar sihir. Ini dengan menjaga segala perbuatan kita supaya tidak bertentangan dengan arahan Allah ‎ﷻ dalam segenap sudut kehidupan kita.

لَمَثُوبَةٌ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ خَيْرٌ

Pasti pahala di sisi Allah itu lebih baik bagi mereka

Bagi mereka yang beriman sempurna dan taqwa, Allah ‎ﷻ janjikan pahala bagi mereka.

لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ

Kalaulah mereka itu mengetahui.

Kalaulah manusia tahu yang sesiapa yang belajar sihir, maka dia akan masuk neraka. Sesiapa yang suruh kenakan sihir kepada orang lain, yang beri upah dan sesiapa yang terlibat dengan sihir itu, juga akan masuk neraka. Kalau tolong beritahu sahaja di mana ada tok bomoh pun sudah boleh masuk neraka.

Katakanlah ada yang bertanya kepada kita: “Mana rumah bomoh sekian sekian di kampung ini?”, dan kalau kita tunjuk sahaja di manakah rumah bomoh itu, maka kita pun sudah dikira terlibat juga. Maka, janganlah kita terlibat sedikit pun dengan amalan sihir ini.

Harut dan Marut juga telah memberitahu kepada mereka yang datang belajar dengan mereka, bahawa akan datang nanti manusia yang bawa sesuatu yang kelihatan seperti sihir tetapi ia bukan sihir. Perbuatan itu adalah mukjizat yang dapat mengalahkan sihir. Harut dan Marut memberitahu mereka bahawa sesiapa yang bawa perkara sebegitu, maka orang itu adalah seorang Nabi. Apabila bertemu dengan orang seperti itu, maka mereka kena ikut.

Kerana itulah, apabila ahli-ahli sihir Firaun berlawan dengan Nabi Musa عليه السلام dan apabila mereka melihat mukjizat Nabi Musa عليه السلام itu, mereka terus tunduk sujud dan mengaku bahawa Nabi Musa عليه السلام adalah Nabi dan mereka beriman dengannya dan dengan Allah ‎ﷻ. Ini kerana mereka telah diberitahu dari dahulu lagi, bahawa apabila datang orang yang dapat mengalahkan sihir mereka, itu tentulah seorang Nabi.

Jadi, dari sini kita telah tahu bahawa sihir boleh dikalahkan dengan mukjizat. Tetapi, kerana zaman sekarang Nabi telah tiada, maka mukjizat yang boleh dilihat dengan mata pun sudah tiada lagi. Yang tinggal hanyalah Al-Qur’an. Maka, kita kena guna mukjizat Al-Qur’an untuk mengalahkan sihir.

Apakah itu mukjizat? Sebagai contoh, kita selalu dengar tentang kisah tongkat Nabi Musa عليه السلام. Tongkat Nabi Musa عليه السلام itu telah menjadi seekor ular dan memakan ular-ular jelmaan ahli sihir yang lain. Musa عليه السلام melempar tongkat itu setelah diarahkan oleh Allah ‎ﷻ. Apabila Musa عليه السلام sendiri melempar, ia tidak akan menjadi ular. Namun apabila diperintah oleh Allah‎ﷻ , barulah tongkat itu menjadi ular.

Begitu jugalah, apabila Musa عليه السلام memukul laut, laut terbelah dengan izin Allah ‎ﷻ, dan apabila Musa عليه السلام memukul batu, keluar air dari batu itu sebagai minuman untuk kaumnya. Semua kejadian itu dimulai dengan suruhan Allah ‎ﷻ. Kalau Nabi Musa عليه السلام suka-suka buat sendiri, tidak akan menjadi mukjizat itu.

Semasa Nabi Muhammad ﷺ bersama sahabat-sahabat dalam musafir, pernah mereka kehabisan air. Maka, pernah Nabi ﷺ memasukkan tangannya ke dalam bekas dan keluar air dari jari-jari baginda untuk diminum oleh sahabat-sahabat. Tetapi, kita tidak pula dengar dalam hadith yang lain bahawa sahabat-sahabat akan meminta kepada Nabi ﷺ untuk mengeluarkan air apabila mereka memerlukan air.

Para sahabat tidak meminta kerana mereka tahu bahawa kejadian itu bukan daripada kehendak Nabi ﷺ tetapi daripada kehendak Allah ‎ﷻ. Mereka tahu yang mereka tidak patut minta kepada Nabi ﷺ perkara sebegitu. Yang dalam sirah Nabi ﷺ yang menceritakan berbagai-bagai perkara manusia meminta Nabi ﷺ tunjuk, itu adalah daripada mereka yang tidak percaya kepada Nabi ﷺ sahaja.

Maknanya, mukjizat adalah atas anugerah Allah ‎ﷻ. Bukan atas kehendak Nabi. Nabi tidak boleh membuat mukjizat dengan keinginannya sendiri. Mereka juga tidak boleh mengulang-ulang mukjizat itu. Mukjizat itu selalunya akan berlaku sekali sahaja.

Perkara yang hampir sama dengan mukjizat adalah ‘karamah’ yang diberikan kepada wali-wali. Maka, janganlah percaya jikalau ada cerita bagaimana seorang wali boleh melakukan karamah setiap kali mereka mahu. Karamah akan berlaku kepada para wali Allah ‎ﷻ. Sebagai contoh, pernah Saidina Umar رضي الله عنه nampak tentera beliau yang berada beribu batu dari tempatnya dan beliau telah memberi nasihat kepada mereka untuk naik ke bukit.

Itu adalah adalah contoh karamah yang kita sudah biasa dengar. Ini adalah anugerah dari Allah ‎ﷻ. Tetapi masyarakat kita memang keliru tentang wali ini. Mereka sangka, wali adalah seorang yang kerja mereka berzikir sahaja. Berzikir sampai tidak bercampur orang lain. Itu bukan wali. Ingatlah yang kita tidak boleh kenal siapakah wali itu kerana ia adalah rahsia daripada Allah ‎ﷻ. Kita juga boleh jadi wali jikalau kita mengamalkan apa yang Allah ‎ﷻ suruh dan meninggalkan apa yang Allah ‎ﷻ larang.

Sama juga dengan mukjizat, wali-wali tidak boleh mengeluarkan ‘karamah’ dengan kehendak mereka sendiri. Karamah juga tidak boleh berulang-ulang. Tidaklah boleh Saidina Umar رضي الله عنه boleh melihat tenteranya setiap kali. Yang boleh berulang-ulang itu adalah sihir. Sihir boleh dilakukan tiap-tiap hari kerana Allah ‎ﷻ izinkan sihir itu berlaku. Walaupun Allah ‎ﷻ tidak redha, tetapi Allah ‎ﷻ benarkan kerana ada orang yang hendak buat benda salah. Dia akan masukkan mereka yang mengamalkan sihir itu ke dalam neraka nanti.

Sihir itu adalah apa sahaja yang dibaca dengan menggunakan ‘tawassul’ – perantaraan, dengan niat untuk mengenakan orang lain. Ada juga yang menyihir dengan menggunakan ayat Kursi. Jadi walaupun seseorang itu pakai ayat Al-Qur’an, tetapi kalau niat mereka tidak baik, maka ia juga adalah sihir. Selalunya, orang yang menyihir itu akan menyeru orang yang hendak disihir itu dengan menggunakan nama orang itu ‘berbinkan’ emaknya.

Orang yang telah dikenakan sihir itu, boleh jadi sampai gila akhirnya. Ingatlah, hanya Nabi Isa عليه السلام sahaja dalam dunia ini yang berbinkan kepada emaknya. Orang lain, semua ada bapa, maka bin kita adalah bapa kita. Orang yang menggunakan sihir itu, mesti memerlukan nama emak kepada orang yang disihir itu. Mereka akan menyeru orang yang hendak dikenakan. Itu adalah salah satu cara untuk kita kenal sihir.

Contoh lain adalah mereka yang suka meminta doa-doa atau zikir keramat daripada tok-tok guru untuk mereka amalkan supaya mereka mendapat sesuatu kelebihan. Sebenarnya, manusia tidak boleh belajar untuk jadi keramat. Ada yang hendakkan ilmu ghaib dan sebagainya. Termasuklah mereka yang menggunakan sepotong ayat dari Surah Yaasin untuk menutup mata polis di jalanraya.

Ini banyak orang amal tanpa sedar bahawa ia adalah salah. Selain dari itu, ada banyak yang belajar ilmu kebal dari senjata. Ada juga yang belajar supaya mereka boleh menjatuhkan monyet dan binatang lain dari pokok hanya dengan menunjuk dengan jari ke arah binatang itu. Itu semua adalah sihir.

Selalunya sihir itu berkisar dalam persilatan dan puak yang mengamalkan tasawuf. Bukanlah semua, tetapi begitulah yang berlaku pada kebiasaannya. Apabila membuat karamah dengan kehendak sendiri, itu adalah sihir. Kalau kita lihat wirid mereka, sudah pasti akan ada amalan beri salam kepada wali, nabi dan malaikat dan seru kepada selain Allah ‎ﷻ.

Amalan-amalan itu tidak asing bagi mereka kerana amalan itu sudah ada dalam majlis tahlil sudah lama dahulu. Apabila mereka mengambil amalan sihir daripada mana-mana guru, mereka tidak berasa asing lagi kalau ada amalan tawassul di dalamnya sebab sudah biasa buat dalam majlis tahlil. Setiap kali dibaca seruan itu, seekor jin akan datang dan berdamping dengan diri mereka.

Nabi ﷺ pernah berkata, sesiapa yang pergi berjumpa bomoh dan percaya bahawa bomoh itu boleh menyembuhkan penyakit, orang itu sudah kufur dengan agama Nabi Muhammad ﷺ.

Nabi ﷺ telah mengingatkan:

من أتى كاهنا فصدقه بما يقول فقد كفر بما أنزل على محمد

“Barangsiapa mendatangi dukun lalu mempercayai apa yang dikatakannya maka ia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad.” [ HR. At-Tirmidzi 135 disahihkan oleh Syaikh Al-Albani dalam “Irwa’ul Gholil” 6817 ]

Ini adalah perkara akidah dan akidah adalah perkara besar. Kalau meminta tolong lebih kurang tidak mengapa. Tetapi masyarakat kita lain. Sikit-sikit akan minta kepada bomoh. Sikit-sikit akan minta kepada ‘ustaz’ padahal mereka tidak tahu bahawa itu adalah salah. Janganlah kita ingat semua ustaz itu benar.

Tafsir Ayat 104

Sebelum ini kita telah banyak belajar tentang sifat golongan Yahudi. Kita sudah tahu yang Yahudi tidak akan senang melihat orang Islam maju. Ini kerana pada mereka kalau Islam naik, mereka pula yang akan jatuh.

Maka mereka akan cuba untuk menjatuhkan umat Islam. Mereka lakukan dengan dua cara. Pertama, mereka bercampur gaul dengan umat Islam dan cuba menjadi penasihat. Mereka lakukan begitu supaya Muslim meletakkan mereka pada kedudukan yang tinggi sampai susah untuk dilawan.

Kedua, bila ada peluang dijadikan sebagai penasihat, mereka akan beri nasihat untuk menjatuhkan umat Islam. Maka kena berjaga-jaga dengan mereka. Ini kerana, walaupun mereka beri nasihat, nasihat mereka itu adalah untuk menjatuhkan kita sebenarnya.

Dalam ayat ini, disebut bagaimana Yahudi cuba menetapkan satu perkataan kepada umat Islam secara senyap yang boleh merosakkan akidah. Oleh itu, Allah ‎ﷻ suruh para sahabat menggunakan perkataan lain.

Latar belakang ayat ini: Golongan Yahudi ada juga masuk dalam majlis Nabi ﷺ, dengar syarahan dan ajaran daripada Nabi Muhammad ﷺ, dan apabila mereka mahu Nabi ﷺ berikan perhatian kepada mereka, mereka berkata “ra’ina”. Mereka biasa menggunakan lafaz ini dalam majlis Nabi ﷺ. Sedangkan lafaz ini boleh membawa maksud baik dan juga maksud yang buruk dalam bahasa mereka.

Dari segi zahir, ia bermaksud “beri perhatian kepada kami” tetapi dalam bahasa mereka, ia juga bermaksud ‘bodoh dan tolol’. Yang lebih teruk lagi, ia juga membawa makna ketuhanan – “engkau awasilah kami”. Sepatutnya perkataan itu sesuai untuk Allah ‎ﷻ sahaja.

Apabila mereka pakai perkataan itu, para sahabat رضي الله عنهم pun ikut menggunakannya juga. Ini kerana Nabi ﷺ pun tidak menegur lafaz mereka itu kerana pada Nabi ﷺ, mungkin itu adalah adat resam mereka. Jadi apabila Nabi ﷺ tidak tegur, maka para sahabat رضي الله عنهم pun ikut menggunakannya juga. Allah ‎ﷻ melarang menggunakan perkataan ini kerana ia membawa makna yang boleh merosakkan akidah. Kalau kata Nabi ﷺ bodoh boleh rosak akidah dan kalau kata Nabi ﷺ ada sifat ketuhanan pun boleh rosak akidah. Oleh kerana itu, Allah ‎ﷻ menukarkannya kepada perkataan lain.

Oleh itu, ini adalah ayat tentang penggunaan bahasa. Ada perkataan yang sama tetapi lain maknanya dari satu tempat ke satu tempat. Ayat ini adalah satu perkataan yang digunakan yang bunyinya serupa, tetapi maknanya berbeza. Ra’ina adalah perkataan yang menghinakan Nabi Muhammad ﷺ. Kepada orang Yahudi, ia bermakna kutukan kepada Nabi ﷺ. Tetapi kepada sahabat, ia bermakna: “Berilah tumpuan kepada kami”. Namun dalam masa yang sama, ia boleh menjadi makna yang terlalu menaikkan kedudukan Nabi ﷺ seolah-olah sama seperti kedudukan Allah ‎ﷻ pula.

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا لا تَقولوا راعِنا وَقولُوا انظُرنا وَاسمَعوا ۗ وَلِلكافِرينَ عَذابٌ أَليمٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengatakan: “raaina”, (ketika kamu berkata-kata dengan Nabi Muhammad), sebaliknya katakanlah: “unzurna”, dan dengarlah kamu (segala perintah dengan sebulat hati menerimanya); dan (ingatlah, bahawa) orang-orang kafir itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا

Wahai orang-orang yang beriman;

Khitab ayat ini kepada para sahabat Nabi ﷺ ‎yang beriman. Mereka yang duduk bersama-sama dengan baginda dalam majlis baginda.

لَا تَقُولُوا رَاعِنَا

Jangan kamu kata ‘ra’ina’;

Allah ‎ﷻ suruh para sahabat jangan menggunakan lagi perkataan itu apabila ingin mendapatkan perhatian daripada Nabi ﷺ. Mereka cakap begitu sebab mereka hendak Nabi ﷺ lihat dan berikan perhatian kepada mereka.

Perkataan ini tidak boleh digunakan lagi kerana Yahudi menggunakan perkataan ini untuk menghina Nabi ﷺ. Oleh kerana Allah ‎ﷻ hendak menjaga kemuliaan Nabi ﷺ, maka, Allah ‎ﷻ telah melarang para sahabat daripada menggunakan perkataan itu lagi. Walaupun para sahabat tidaklah berniat untuk menghina Nabi ﷺ dengan menggunakan perkataan itu. Allah ‎ﷻ hendak menutup jalan yang boleh digunakan oleh musuh-musuh Allah ‎ﷻ untuk menghina Nabi ﷺ.

Begitu juga, perkataan itu ada membawa maksud ketuhanan kerana ia boleh bermaksud: “Awasilah kami” yang hanya sesuai diberikan kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Jadi, Allah ‎ﷻ hendak menutup kemungkinan kedudukan Nabi ﷺ dinaikkan ke tahap ketuhanan pula.

وَقُولُوا انْظُرْنَا

Tapi katakanlah: unzurna

Gunakanlah perkataan ini – yang bermaksud: “Berilah perhatian kepada kami”.

وَاسْمَعُوا

dan dengarkanlah;

Maksud perkataan tolonglah انْظُرْنَا adalah: “Lihatlah kepada kami, dengarlah kami, kami hendak bertanya kepada kamu”. Selepas Nabi ﷺ telah berikan perhatian kepada mereka, dan berikan pengajaran atau menjawab pertanyaan mereka, yang lebih penting adalah, mereka hendaklah mendengar dengan baik dan amalkan apa yang telah Nabi ﷺ sampaikan kepada mereka.

Yang lebih penting daripada minta Nabi ﷺ berikan perhatian kepada mereka, adalah mereka yang kenalah memberikan perhatian kepada Nabi ﷺ. Kena dengar betul-betul. Kena terus dengar lagi dan lagi. Ini kerana mungkin persoalan yang mereka tidak faham ini akan diberikan jawapannya pada masa akan datang. Jangan datang sekali sekala sahaja.

Jangan jadi seperti puak Yahudi itu, mereka datang ikut suka mereka sahaja. Begitu juga kita dalam belajar agama, kena selalu datang ke kelas. Mungkin ada soalan kita tidak faham, tetapi kita akan dapat jawapannya kalau kita pergi ke kelas selalu. Ini kerana jawapannya ada di dalam kelas yang lain.

Dalam ayat ini juga, ada isyarat kepada para sahabat untuk dengar dan patuh kepada ajaran Nabi Muhammad ﷺ sahaja dan tidak perlu dengar ajaran lain. Terutamanya jangan lagi ambil daripada ajaran Yahudi.

Maka jangan terpengaruh dengan orang Yahudi. Contohnya, mereka kata yang Muslim adalah pengganas. Maka apabila kita sudah dilabel begitu, kita pun berasa malu, sampaikan jihad pun sudah tidak diajar dalam Islam, padahal ia adalah salah satu ajaran penting dalam agama. Namun malangnya, masyarakat kita hendak sebut jihad pun takut oleh kerana propaganda Yahudi.

وَلِلْكَافِرِينَ

Dan kepada orang-orang yang engkar;

Iaitu mereka yang menggunakan perkataan ‘ra’ina’ itu lagi, atau setelah ditegur, masih lagi menggunakan perkataan itu.

عَذَابٌ أَلِيمٌ

kepada mereka azab yang pedih.

Kalau masih lagi berkata yang buruk terhadap Nabi ﷺ, mereka boleh menjadi kafir dan azab yang pedih menanti untuk orang kafir.

Allahu a’lam. 

Komen dan Soalan