Utama Talbis Iblis Talbis Iblis: Iblis Menggalakkan Pertengkaran (Bahagian 4)

Talbis Iblis: Iblis Menggalakkan Pertengkaran (Bahagian 4)

121
0
Iklan

Sambungan Cara Berkomunikasi Anjuran Al-Qur’an

Cara Komunikasi Kelima: Qawlan Maisooran

Qawlan Maisooran. Ucapan yang lembut.

Ini seperti yang disebut dalam [Isra’: 28]

وَإِمّا تُعرِضَنَّ عَنهُمُ ابتِغاءَ رَحمَةٍ مِن رَبِّكَ تَرجوها فَقُل لَهُم قَولًا مَيسورًا


Dan jika kamu berpaling dari mereka untuk memperoleh rahmat dari Tuhanmu yang kamu harapkan, maka katakanlah kepada mereka ucapan yang lembut.

Ayat ini tentang orang yang tidak dapat membantu orang lain pada waktu itu. Namun dalam kita menolak itu, kita kena bercakap baik kepada mereka dengan menjelaskan kenapa kita tidak boleh tolong mereka pada waktu itu. Gunakan perkataan yang mereka mudah terima.

Pertamanya, kenalah minta maaf kepada mereka kerana tidak boleh beri waktu itu. Jangan kita tolak mereka dan marah pula kepada mereka kerana minta tolong kepada kita sedangkan kita pun susah juga. Kadang-kadang kita marah kepada orang yang minta kepada kita, bukan? (“Kau tak nampakkah aku pun susah juga ni?”)

Maka katakan dengan baik kenapa kamu tidak boleh beri pertolongan kepada mereka. Katakan yang kamu juga sedang mencari rezeki dari Allah ‎ﷻ dan apabila sudah dapat nanti, kamu akan hubungi mereka kembali.

Ini kerana ulama’ tafsir mengatakan, kalimat قَولًا مَيسورًا mengandungi makna harapan dan janji. Iaitu janji untuk bantu dan janji untuk hubungi mereka balik. Maka ini bukan untuk tolak sahaja, tetapi ada janji hendak tolong bila kita boleh tolong.

Syaitan sentiasa sahaja menggalakkan permusuhan di kalangan manusia. Salah satu cara adalah dengan menghasut manusia untuk menggunakan kata-kata yang tidak baik, buruk dan menyakitkan hati. Kalau kita silap cakap sahaja, boleh tersimpan dalam hati orang lain dan boleh menyebabkan permusuhan.

Maka, dalam waktu orang lain memerlukan bantuan kita, jangan kita tolak mereka dengan kasar, sampai menyebabkan mereka simpan dalam hati mereka. Kadangkala sampai bertahun-tahun.

Teringat orang yang terasa sangat kalau mereka sedang kesusahan. Waktu tidak ada duit hendak beli susu anak, dia minta 10 ringgit hendak beli susu anaknya tetapi orang yang dia minta pinjam itu tidak bagi. Dia tahu orang itu ada duit tetapi tidak mahu bagi. Dia ceritakan hal itu masih segar dalam ingatannya seolah-olah baru sahaja berlaku. Sedangkan anaknya yang dia ingin belikan susu itu sekarang sudah beranak pinak. Bertahun dia simpan cerita itu kerana waktu itu dia memang susah dan orang yang boleh tolong, tidak menolongnya.

Baru-baru ini, doktor India yang sedang mengubati isteri saya meceritakan tentang bekas pesakitnya meminta tolong. Minta tolong ubati orang lain tetapi dia tidak mahu tolong. Ini kerana dahulu selepas dia sudah mengubati pesakit itu sembuh daripada penyakit leukemia, orang itu tidak membayarnya. Apabila dia dalam kesusahan dan meminta orang itu bayar duit ubat, orang itu langsung tidak mahu membayarnya.

Kesannya, bila ada kenalan (atau keluarga) dia pun ingin berubat, dia tidak mahu tolong kerana dia masih terasa hati dan serik.

Terlajak perahu boleh diundur, tetapi terlajak kata, tidak boleh hendak sedut balik kata-kata itu.

 

Cara Komunikasi Keenam: Qawlan Layyinan

Qawlan Layyinan (kata-kata yang lembut berterusan)

Ini seperti Allah ‎ﷻ sebut dalam [Taha:44]

فَقولا لَهُ قَولًا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَو يَخشىٰ


maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan dia ingat atau takut”.

Ayat ini adalah tentang arahan Allah ‎ﷻ kepada Nabi Musa عليه السلام dan Nabi Harun عليه السلام. Allah ‎ﷻ ajar cara berdakwah kepada Firaun.

Perkataan لَّيِّنًا bermaksud: berterusan dalam kelembutan itu. Bukan hanya dari mula sahaja. Kita ada juga dalam menasihati orang lain, mula-mula memang cakap dengan lembut, tetapi lama-kelamaan sudah naik suara. Tidak begitu apabila perkataan لَّيِّنًا digunakan. Ia bermaksud, dari mula cakap dengan lembut, sampai ke akhir pun cakap dengan lembut juga.

Selepas Allah ‎ﷻ suruh berdakwah, Allah ‎ﷻ ajar bagaimana cara berdakwah. Dakwah itu hendaklah dilakukan dengan kata-kata yang lemah lembut. Itulah cara yang kita kena pakai. Perkataan لَّيِّنًا selalu digunakan dalam bahasa Arab untuk menceritakan sifat sutera yang bersifat lembut. Dari segi bahasa, ia bermaksud ‘berterusan berlembut’.

Dalam kita berdakwah, jangan kita bercakap dengan kasar dan merendahkan orang lain. Surah Fussilat mengandungi tata-cara berdakwah lebih-lebih lagi apabila kita orang Islam yang minoriti di dalam sesuatu tempat. Kerana itulah surah itu diturunkan di Mekah semasa Islam adalah umat yang minoriti.

Allah ‎ﷻ mengajar kita bersifat rahmah kepada orang-orang lain. Banyak sekali ditunjukkan dalam Al-Qur’an dan ajaran Nabi Muhammad ﷺ bagaimana cara dakwah. Lihatlah dalam sunnah bagaimana Nabi Muhammad ﷺ melayan orang lain yang tidak tahu. Amat lembut sekali baginda dengan para sahabat. Malah kepada orang kafir pun.

Ada satu kisah bagaimana seorang Badwi telah masuk ke dalam masjid dan telah kencing dalam Masjid Nabi sebab dia tidak tahu adab kerana dia baru masuk Islam. Para sahabat ada yang sudah mahu menangkap dan memukulnya, tetapi Nabi ﷺ larang. Nabi ﷺ suruh basuh bekas kencing itu dan kemudiannya Nabi ﷺ telah mengajar lelaki itu dengan cara lembut tentang adab-adab dalam masjid.

Bagaimanakah cara yang sepatutnya kita bercakap dengan manusia? Jangan kita kasar dengan orang lain. Islam tidak mengajar begitu. Nabi ﷺ tidak pernah menunjuk dengan jarinya. Kalau baginda perlu menunjuk, baginda akan tunjuk dengan tangannya. Sebab itulah penting untuk kita mengetahui bagaimana cara hidup Nabi Muhammad ﷺ. Orang dahulu akan memulakan mengajar cara hidup Nabi ﷺ.

Pernah ada kisah bagaimana seorang ulama’ memarahi seorang raja. Dia nampak raja itu hidup bermewah dan dia telah menegur raja itu dengan cara yang kasar. Raja itu kata walau bagaimana teruknya pun dia, dia tidak lebih teruk daripada Firaun. Sebaik mana pun ulama’ itu, dia bukannya lebih baik daripada Musa عليه السلام kerana Musa عليه السلام diperintahkan untuk pergi kepada Firaun dan Allah ‎ﷻ suruh bercakap dengan lemah lembut. Bayangkan, kepada Firaun yang zalim itu pun Allah ‎ﷻ suruh Nabi Musa عليه السلام dan Nabi Harun عليه السلام berlembut lagi, apatah lagi dengan orang lain yang tentunya tidak seteruk Firaun.

Syaitan sentiasa sahaja menggalakkan permusuhan di kalangan manusia. Salah satu cara adalah dengan menghasut manusia untuk menggunakan kata-kata yang tidak baik, buruk dan menyakitkan hati.

Maka ini memerlukan kesabaran yang tinggi walaupun dalam situasi yang amat mencabar. Kadangkala semasa kita berdebat dengan seseorang, dia gunakan kata-kata yang kasar. Waktu itu terngiang-ngiang sahaja untuk balas balik dengan kata-kata kasar juga, bukan? (“Apa? Ingat dia jer pandai cakap kasar? Kau belum tengok aku lagi…!)

Namun ini memang memerlukan kesabaran yang amat tinggi. Kena sedar yang cakap kasar tidak dapat memperbaiki keadaan tetapi selalunya akan menyebabkan orang itu lagi kasar dan lagi melampau.

Kalau dalam ilmu komunikasi pun, kalau kita cakap dengan lembut, “state” akan jadi lain. “Pattern'” orang yang berlawan cakap dengan kita pun akan terputus.

Bayangkan, dia tengah hendak marah dan maki kita, dia memang bersedia dengan kalimah-kalimah semburan jika kita jawab balik tetapi kalau kita tiba-tiba kita relaks… dia pun sudah tidak tahu hendak buat apa, bukan? (“Eh eh eh… kenapa dia relaks jer ni?”)

Bila kita relaks, dia pun perlahan-lahan akan tenang juga dan barulah boleh dibawa berbincang. Pekik sana sini, tidak pernah lagi dapat menyelesaikan masalah.

💭💭

Soal Jawab

Soalan:
Memang sukar dan mencabar untuk praktikkan Qawlan Layyinan ini — lembut secara berterusan.

Kadangkala kena juga bertegas dan marah kalau tidak orang mudah mengambil kesempatan ke atas kita, dipijak-pijaknya kepala kita ini sebab nampak lembut sangat kita ini?

Jawapan:
Kena tengok keadaan.

Kita kena faham yang syaitan ini sabar. Mereka tidak perlu hendak cepat terus sesatkan kita kerana hidup mereka panjang. Lagipun mereka tidak ada kerja.

Mereka sanggup tadrij (berperingkat). Mungkin biasa dengar istilah istidraj di mana seorang manusia ditarik sedikit demi sedikit ke arah kesesatan.

Maka kita kena berhati-hati dengan bisikan dan tipudaya syaitan ini dari mula sampai ke mati. Macam kita bawa kereta, bukan masa hendak “start” enjin sahaja kena cek sana sini. Semasa memandu itu pun kena terus berhati-hati sampailah kita sampai ke destinasi.

Kerana itulah kita lihat kesesatan manusia itu tidak terus. Sedikit demi sedikit ditipu oleh syaitan. Contoh: bab kubur. Sedikit demi sedikit ditipunya umat Islam sampai sekarang kubur orang Islam sudah hampir menjadi kubur orang Hindu.

Dengan dihiasi kubur itu, diletak bunga. Kalau Syawal, siap ada orang jual bunga di luar tanah perkuburan. Ini sama sahaja jika dilihat di kuil hindu yang besar-besar, ada orang jual bunga.

Kalau masuk tarekat, tidaklah terus hilang akal sampai melompat-lompat. Masa mula-mula masuk cerita benda baik-baik sahaja. Bila sudah lama, barulah dapat amalan bid’ah sedikit, amalan zikir sedikit, lama-lama terkinja-kinja tidak sedar diri.

Tengok Syiah, mereka tidak akan terus masuk dan dikutuk para sahabat dan tuduh para sahabat itu sesat. Melompat orang kalau begitu tetapi dia cerita sedikit demi sedikit. Lama-kelamaan tidak kisah kutuk dan tuduh sahabat menjadi kafir.

Komen dan Soalan