Utama Talbis Iblis Talbis Iblis: Iblis Menggalakkan Pertengkaran (Bahagian 3)

Talbis Iblis: Iblis Menggalakkan Pertengkaran (Bahagian 3)

161
0
Iklan

Sambungan Cara Komunikasi Anjuran Al-Qur’an

Cara Komunikasi Keempat: Qawlan Kareeman


Qawlan Kareeman: kata-kata yang mulia. Seperti yang disebut dalam [Isra: 23]

وَقَضىٰ رَبُّكَ أَلّا تَعبُدوا إِلّا إِيّاهُ وَبِالوالِدَينِ إِحسانًا ۚ إِمّا يَبلُغَنَّ عِندَكَ الكِبَرَ أَحَدُهُما أَو كِلاهُما فَلا تَقُل لَهُما أُفٍّ وَلا تَنهَرهُما وَقُل لَهُما قَولًا كَريمًا

Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.

Syaitan mengambil peluang menyebabkan perpecahan dan perkelahian di antara manusia menggunakan perkataan. Dengan perkataan, syaitan boleh bisikkan kebencian kepada orang lain. Dia akan hasut: “Ish, tak patut dia cakap macam itu, kurang ajar betul”.

Ini biasa sahaja terjadi kerana terasa hati dengan kalimah yang digunakan oleh orang lain. Niat hati orang lain kita tidak tahu, tetapi kita selalu buat andaian maksud perkataan seseorang.

Sepatutnya kita husnul zhon dengan kata-kata orang, tetapi kalau kita termakan dengan hasutan syaitan, maka kita akan jadi marah dan boleh sampai menyebabkan perkelahian.

Maka kita kena gunakan bahasa yang mulia, bahasa yang baik. Jangan gunakan kata-kata kesat, kata-kata yang hina.

Amat malang sekali kalau kita hendak menasihati orang lain, tetapi kita gunakan bahasa kesat pula. Usahkan kata-kata kita itu tidak sampai, malah perasaan benci pula yang timbul.

Ayat Isra’: 23 itu memberikan contoh berkata-kata dengan ibubapa. Mereka itu insan yang telah terlalu banyak berjasa dengan kita. Maka kenalah gunakan bahasa yang mulia dengan mereka.

Tidak sama kita bercakap dengan ibubapa kita kalau dibandingkan dengan orang lain. Dengan orang lain memang kita kena cakap baik, tetapi dengan ibubapa, bertambah-tambah lagi.

Kena faham yang mereka lahirkan kita, jaga kita dari kecil, bagi makan, basuh kencing berak, ajar kita ilmu awal kepada kita. Mereka telah susah payah menjaga kita dan mereka tentunya amat sayangkan kita.

Bayangkan perasaan mereka kalau anak yang mereka jaga dari kecil bercakap kasar dengan mereka? Tidakkah hancur hati mereka? Tidakkah kecil hati mereka?

Mereka yang dahulu mengajar kita dari tidak tahu apa-apa sampai boleh bercakap… tiba-tiba kita ‘tunjuk pandai’ dengan mereka? Tegur perbuatan mereka yang dikatakan salah sedangkan mereka dahulu yang ‘makan garam’?

Tambahan pula hati orang yang menginjak tua memang lebih mudah terasa hati. Tidak sama hati orang tua dengan hati orang muda. Orang tua mengharapkan agar dihormati, tetapi kalau ditegur dengan kurang ajar, memang amat terasa sangat. Kita pun yang semakin tua ini pun sudah boleh rasa perkara ini.

Dengan ibubapa kita pun kita boleh tegur, bukan tidak boleh tegur. Yang salah tetap kena ditegur, walaupun ibubapa kita sendiri. Mereka ibubapa kita tidak semestinya mereka lebih pandai daripada kita. Mungkin ilmu kita lebih tinggi kerana kita telah belajar.

Dalilnya Nabi Ibrahim عليه السلام menegur bapanya dengan memberitahu yang baginda mendapat ilmu yang tidak diberikan kepada bapanya.

يَٰأَبَتِ إِنِّى قَدْ جَآءَنِى مِنَ ٱلْعِلْمِ مَا لَمْ يَأْتِكَ فَٱتَّبِعْنِىٓ أَهْدِكَ صِرَٰطًا سَوِيًّا

“Wahai bapakku, sesungguhnya telah datang kepadaku sebahagian ilmu pengetahuan yang tidak datang kepadamu, maka ikutilah aku, nescaya aku akan menunjukkan kepadamu jalan yang lurus.”

(Q.S.19:43)

Namun jika menegur mereka, jangan gunakan bahasa yang sama dengan orang lain. Kena lebih menjaga bahasa kita. Kena gunakan bahasa yang mulia. Malah kalau mereka tidak boleh terima, maka kena terus hormati mereka. Cari cara lain untuk beri nasihat di lain kali. Jangan terus berkeras dengan mereka. Kalau mereka tidak dapat terima hari itu, kita ya kan sahaja dahulu, cari masa lain.

Lihatlah bahasa yang digunakan oleh Nabi Ibrahim عليه السلام kepada bapanya, Azar dalam berdakwah kepada bapanya. Baginda menggunakan bahasa hormat (يَٰأَبَتِ – wahai bapaku yang disayangi).

يَٰأَبَتِ لَا تَعْبُدِ ٱلشَّيْطَٰنَ ۖ إِنَّ ٱلشَّيْطَٰنَ كَانَ لِلرَّحْمَٰنِ عَصِيًّا

“Wahai bapakku, janganlah kamu menyembah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu derhaka kepada Tuhan Yang Maha Pemurah.”

(Q.S.19:44)

يَٰأَبَتِ إِنِّىٓ أَخَافُ أَن يَمَسَّكَ عَذَابٌ مِّنَ ٱلرَّحْمَٰنِ فَتَكُونَ لِلشَّيْطَٰنِ وَلِيًّا

“Wahai bapakku, sesungguhnya aku khuatir bahawa kamu akan ditimpa azab dari Tuhan Yang Maha Pemurah, maka kamu menjadi kawan bagi syaitan”.”

(Q.S.19:45)

Malang sekali apabila seorang anak menasihati bapanya dengan kasar walaupun mengajak ibubapanya kepada ajaran Sunnah. Memang tidak patut sekali.

Saya pernah tahu seorang yang belajar Sunnah, tetapi berperangai amat buruk. Apabila ibubapanya tidak mahu ikut apa yang dia belajar, dia kata ibubapanya ‘macam Hindu’. Ini bahasa kurang ajar. Kemudian tidak mahu balik kampung lagi. Dia beritahu kepada orang lain: “Nanti emak ayah aku mati, aku baliklah tengok jenazah dia”.

Penggunaan bahasa yang tidak sesuai, menggunakan intonasi yang salah, menjadi peluang bagi syaitan untuk menimbulkan bibit-bibit kebencian. Mana selamat seorang anak yang dibenci oleh ibubapanya sendiri?

Bukan dengan ibubapa sahaja kita kena bercakap baik, tetapi dengan semua orang. Namun lebih-lebih lagi dengan ibubapa.

Selepas ibubapa, kita kena jaga percakapan dengan orang tua. Hati mereka lebih mudah tersentuh. Maka tahanlah kemarahan kita jika ada, dan tetap terus gunakan bahasa yang mulia.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan