Tafsir Surah al-Baqarah
Tafsir Ayat Ke-80 hingga Ke-82
Tafsir Ayat Ke-80
Ayat 80 – 89 adalah celaan ke atas Bani Israil kerana berbangga dan fanatik kepada bangsa keturunan. Allah ﷻ menyebut janji-janji yang telah didustai kaum Yahudi:
- Sembah Allah ﷻ sahaja.
- Berbuat baik kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, dirikan solat, zakat.
- Jangan membunuh, mengusir orang dari kampungnya.
Ayat ke-80 ini adalah kata-kata anak-anak orang Pendeta, ulama’ atau pembesar golongan Yahudi.
Kita kena tahu yang golongan yang ramai Nabi adalah dalam kalangan Bani Israil. Selain daripada Nabi, tentulah ramai tok guru dalam kalangan mereka. Maknanya, mereka adalah keturunan Nabi dan orang alim yang banyak. Ini adalah suasana dalam masyarakat mereka.
Disebabkan mereka ramai Rasul, Nabi dan ulama’, mereka rasa mereka manusia terpilih. Ini adalah tentang anak-anak mereka dan mereka yang ada sangkut paut dengan golongan ulama’ mereka.
وَقالوا لَن تَمَسَّنَا النّارُ إِلّا أَيّامًا مَعدودَةً ۚ قُل أَتَّخَذتُم عِندَ اللَّهِ عَهدًا فَلَن يُخلِفَ اللَّهُ عَهدَهُ ۖ أَم تَقولونَ عَلَى اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ
Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari yang tertentu”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Adakah kamu sudah mendapat janji daripada Allah ﷻ supaya (dengan itu) Allah ﷻ tidak akan menyalahi janji-Nya, atau hanya kamu mengatakan atas nama Allah ﷻ sesuatu yang tidak kamu mengetahuinya?”
وَقَالُوا لَنْ تَمَسَّنَا النَّارُ
Mereka berkata: “Kami tidak akan sekali-kali disentuh oleh api neraka”;
Mereka sangka kerana mereka daripada golongan orang yang baik-baik, maka mereka akan terselamat dari api neraka. Mereka perasan sahaja.
Orang Islam pun sudah rasa macam ini. Mereka sangka kalau mereka anak ustaz, anak tok imam, anak guru tarekat, mereka sudah selamat. Mereka juga sangka yang apabila mereka sudah solat, sudah puasa, baca Al-Qur’an, tidak minum arak dan makan babi, mereka sudah selamat dari neraka.
Mereka sangka begitu sebab mereka ada sedekah sedikit duit kepada masjid atau kepada orang miskin, mereka sudah selamat. Ini adalah kerana mereka tidak belajar isi kandungan Al-Qur’an, maka mereka tidak tahu berapa banyak lagi kesalahan yang mereka telah lakukan. Ini semua hasil dari tidak belajar kandungan Al-Qur’an dan agama dengan benar.
إِلَّا أَيَّامًا مَعْدُودَةً
“melainkan hanya beberapa hari sahaja”;
Iaitu mereka kata kalau mereka kena masuk neraka pun, ia sekejap sahaja dan ada yang kata selama 40 hari sahaja, iaitu selama Nabi Musa naik ke Bukit Thursina.
Di kalangan kita pun ada juga yang berfikiran macam ini. Ada yang berbangga dan merasa selamat kerana mereka keturunan yang baik-baik dalam kalangan ahli agama. Mereka rasa mereka tidak akan masuk neraka. Masyarakat kita sekarang sudah jadi seperti masyarakat Yahudi yang diceritakan dalam ayat ini. Mereka merasa selamat dari api neraka hanya kerana mereka ada sangkut paut dengan ahli agama.
Orang Islam pun ada yang kata, “akhirnya kita akan masuk syurga juga”. Mereka macam tidak kenal neraka. Mereka sangka senang sahaja kalau masuk neraka sekejap. Padahal, neraka itu tidak dapat dibayangkan azab di dalamnya. Kalaupun tidak masuk, kena angin neraka sahaja sudah tidak tahan Sila rujuk [ Anbiya: 46 ].
Adakah mereka rasa mereka kuat untuk menahan azab neraka walaupun hanya sesaat sahaja di dalamnya? Ini semua adalah kerana mereka tidak belajar apakah yang Allah ﷻ telah sebut tentang neraka di dalam Al-Qur’an. Ini adalah kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Mereka memang baca Al-Qur’an, tetapi mereka baca sahaja, tanpa memahami azab neraka.
قُلْ أَتَّخَذْتُمْ عِنْدَ اللَّهِ عَهْدًا
Kata kepada mereka: “Adakah kamu ambil perjanjian yang kukuh dengan Allah ﷻ ?”
Ada tidak kamu buat perjanjian dengan Allah ﷻ yang kamu tidak akan masuk neraka, atau kamu hanya masuk neraka sekejap sahaja? Kalau ada, kena berikan bukti dan dalil.
Sebenarnya kita tidak akan tahu adakah kita akan masuk syurga atau neraka. Kita tidak akan tahu adakah kita akan duduk lama atau tidak dalam neraka kalau kita masuk neraka. Semoga Allah ﷻ selamatkan kita dari neraka.
Allah ﷻ suruh Nabi yang cakap (قُلْ) dengan mereka yang berpandangan salah ini kerana Allah ﷻ marah sangat dengan mereka. Allah ﷻ tidak mahu bercakap dengan mereka terus. Allah ﷻ wakilkan Nabi sahaja untuk cakapkan. Allah ﷻ juga ajar baginda bagaimana untuk berhujah dengan mereka itu.
فَلَنْ يُخْلِفَ اللَّهُ عَهْدَهُ
Allah ﷻ tidak akan mungkin mungkir dengan janji-Nya;
Tidak sekali-kali Allah ﷻ akan mungkir janji-Nya. Kalau kamu memang ada surat perjanjian dengan Allah ﷻ , Allah ﷻ tidak akan mungkir janji itu tetapi malangnya, tidak ada perjanjian sebegini antara manusia dan Allah ﷻ .
Tidak ada orang yang Allah ﷻ kata Dia akan selamatkan orang itu hanya kerana dia keturunan orang yang baik-baik sedangkan kepada Fatimah r.a sendiri pun Nabi kata baginda tidak dapat tolong kalau anaknya itu ada buat salah. Kalau anak sendiri Nabi tidak dapat tolong, apatah lagi kita.
أَمْ تَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ
Atau kamu mengatakan terhadap Allah ﷻ perkara yang kamu sendiri tidak tahu.
Atau kamu memandai sahaja? Kamu memandai-mandai sahaja kata begini dan begitu tanpa sandaran dalil?
Ini adalah satu contoh sangkaan-sangkaan yang manusia buat seperti yang telah disebut dalam ayat sebelum ini. Apabila tidak faham agama, mereka akan buat sangkaan-sangkaan.
Tafsir Ayat Ke-81
Ayat sebelum ini disebut tentang sangkaan salah golongan Yahudi. Sekarang Allah ﷻ hendak memberitahu perkara yang sebenar iaitu menidakkan sangkaan mereka yang salah itu. Ini adalah ayat Takhwif – ayat-ayat Al-Qur’an menakutkan.
بَلىٰ مَن كَسَبَ سَيِّئَةً وَأَحاطَت بِهِ خَطيئَتُهُ فَأُولٰئِكَ أَصحابُ النّارِ ۖ هُم فيها خالِدونَ
(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar), sesungguhnya sesiapa yang berbuat kejahatan dan ia diliputi (ditenggelamkan) oleh kesalahannya itu, maka merekalah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
بَلَىٰ مَنْ كَسَبَ سَيِّئَةً
Bahkan sebenarnya sesiapa yang melakukan dosa kejahatan;
Dosa kejahatan di sini adalah syirik kepada Allah ﷻ .
Perkataan سَيِّئَةً juga bermaksud ‘dosa besar’. Ada orang yang terus melakukan satu dosa besar, yang lain dia tidak buat. Contohnya dia seorang peminum arak. Dia tidak buat dosa lain tetapi bahagian minum arak itu, dia tidak boleh tinggalkan. Dia sangka sebab dia tidak buat dosa lain dan sebab dia ada buat amalan baik yang lain, pahala itu semua dapat menampung kesalahannya itu tetapi tidak begitu.
وَأَحَاطَتْ بِهِ خَطِيئَتُهُ
dan dosa itu meliputinya sehingga dia mati;
Mereka kekal dalam amalan syirik mereka itu sampai mereka mati. Dosa itu meliputinya kerana dia tidak bertaubat. Tidak sempat hendak bertaubat sebelum mereka mati. Yang takutnya, sampai mati mereka tidak tahu bahawa apa yang mereka lakukan selama di dunia itu adalah syirik tetapi mereka tidak tahu.
Kalau tidak tahu bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah syirik, macam mana mereka hendak bertaubat? Mereka tidak tahu itu pula adalah kerana mereka tidak belajar wahyu Allah ﷻ . Ini kerana perkara syirik ini telah dijelaskan dengan panjang lebar dalam Al-Qur’an.
Atau jika seseorang itu kekal melakukan satu sahaja atau lebih dosa besar, seperti minum arak, berzina dan sebagainya itu sampai dia tidak boleh berhenti. Itulah maknanya ‘meliputinya’. Dia seolah-olah tidak dapat keluar darinya.
Paling membahayakan lagi, jikalau seseorang itu sudah biasa buat satu dosa besar, dia sudah tidak rasa bersalah sangat bila buat dosa. Maka, dia lama kelamaan akan buat dosa yang lain pula.
فَأُولَٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ
Maka orang-orang yang bersifat seperti itu adalah pemilik sebenar neraka;
Orang Islam yang tidak buat syirik tetapi ada buat dosa, mereka akan masuk neraka juga, tetapi mereka tidak kekal dalam neraka. Akhirnya mereka akan keluar dari neraka dan masuk dalam syurga. Namun, orang yang buat syirik, walaupun orang Islam, akan kekal dalam neraka.
هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
Mereka itu kekal di dalamnya;
Mereka tidak akan keluar-keluar langsung, sampai bila-bila. Allah ﷻ hendak tekankan sebab dalam ayat sebelum ini ada manusia yang sangka mereka akan masuk sekejap sahaja dalam neraka.
Allah ﷻ hendak beritahu, tidak kira kamu anak siapa, keturunan siapa pun, tidak kira siapa yang kamu berhubungan semasa kamu di dunia, kalau kamu buat dosa syirik, kamu akan kekal dalam neraka.
Tafsir Ayat Ke-82
Selepas diberikan dengan ayat Takhwif dalam ayat sebelum ini, Allah ﷻ sekarang memberikan ayat Tabshir (menggembirakan) pula.
وَالَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ أُولٰئِكَ أَصحابُ الجَنَّةِ ۖ هُم فيها خالِدونَ
Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, merekalah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya.
وَالَّذِينَ آمَنُوا
Dan orang-orang yang beriman sempurna;
Iaitu mereka yang tidak membuat syirik. Mereka bukan setakat beriman sahaja, tetapi mereka juga meninggalkan perkara syirik.
Dan mereka yang mengamalkan sesuatu ibadat itu dengan ikhlas, kerana Allah ﷻ. Bukan sebab dipaksa, bukan sebab ingin menunjuk-nunjuk kepada manusia lain. Bukan kerana mahukan upah atau kedudukan tinggi dalam masyarakat.
Ayat ini hendak membandingkan dengan mereka yang disebut dalam ayat sebelum ayat ini. Allah ﷻ menceritakan tentang apakah yang Allah ﷻ mahu.
وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ
dan buat amal soleh;
Kita kena tahu yang amalan soleh adalah amalan sepertimana yang Nabi ﷺ ajar. Orang-orang yang beriman sepatutnya tidak beramal dengan mana-mana ibadat tanpa memastikan dahulu bahawa amalan itu ada dalil yang sahih. Selagi dia tidak menjumpai dalil, dia tidak akan mengamalkannya. Sesiapa yang membuat amal bukan daripada amalan Nabi ﷺ, amalan itu ditolak. Itu adalah dinamakan ‘bidaah’.
Tidak cukup kalau kita membuat sesuatu amalan itu dengan mengharapkan pahala hanya kerana ‘ikhlas’. Ada orang yang berkata, Allah ﷻ akan berikan juga pahala kalau kita membuat amalan itu secara ikhlas. Tetapi dalam ayat ini, seperti juga banyak ayat-ayat yang lain, memberi isyarat bahawa sesuatu amalan itu mestilah berdasarkan dalil yang sahih daripada Nabi ﷺ. Barulah amalan itu dipanggil ‘amalan yang soleh’.
أُولَٰئِكَ أَصْحَابُ الْجَنَّةِ
Orang-orang yang bersifat seperti itu, adalah pemilik syurga;
Mereka yang ada iman sempurna dan ditunjukkan dengan melakukan amal yang soleh, mereka inilah yang ada peluang dan harapan untuk masuk syurga.
هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
Mereka itu kekal di dalamnya.
Ini barulah kekal dalam syurga. Kalau orang sebelum ayat ini, mereka kekal dalam neraka.
Ayat ini memberikan susunan cara untuk masuk ke dalam syurga.
- Beriman dengan Allah ﷻ dan perkara-perkara yang perlu diimani seperti malaikat, Rasul dan sebagainya.
- Orang yang beriman, akan berusaha untuk mengamalkan amalan yang soleh yang diambil daripada dalil yang sahih.
- Barulah dapat kekal dalam syurga.
Langkah pertama dan kedua adalah penting. Kalau tidak ada salah satu, maka kita tidak akan dapat masuk ke syurga. Malangnya, berapa ramai di kalangan orang Islam yang beramal dengan amalan yang bid’ah, bukan amalan yang soleh.
Allahu a’lam.