Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al- Baqarah: Tafsir Ayat Ke-72 hingga Ke-74

Tafsir Surah Al- Baqarah: Tafsir Ayat Ke-72 hingga Ke-74

1258
0
Iklan

Tafsir Ayat Ke-72

Ayat ini hendak memberitahu satu lagi perangai buruk Yahudi: dia yang buat silap tetapi suka menuduh orang lain. Dalam ayat ini dikisahkan bagaimana seorang lelaki membunuh lelaki lain, tetapi dituduh orang lain pula yang membunuhnya.

Dia membuat kesalahan itu adalah kerana mahukan perkara keduniaan dan dia menuduh orang lain untuk menyorok kebenaran dan kerana itu dia telah memecahbelahkan manusia. Inilah satu sifat Yahudi kerana mereka tidak ada sifat takut kepada Tuhan namun sebaliknya mereka ada sifat tamak kepada dunia.

Mereka tamakkan dunia sampai sanggup membunuh orang. Dan untuk melepaskan diri, mereka sanggup menuduh orang lain. Kalau ia masih berlaku lagi, tidaklah menghairankan kerana ia memang sifat mereka. Jiks ada dalam kalangan kita yang membuat perkara sebegini juga, maka ini adalah sifat Yahudi dan kita tidak banyak bezanya dengan mereka sebenarnya.

Ayat ini banyak penafsir yang mengaitkannya dengan lembu yang disembelih sebelum ini. Tetapi sebenarnya tidak kerana kisah itu adalah dari Israiliyat dan kisah Israiliyat tidak boleh dijadikan sebagai sumber rujukan. Jadi, walaupun ia adalah kisah yang masyhur, tetapi kita kena tinggalkannya.

وَإِذ قَتَلتُم نَفسًا فَادّارَأتُم فيها ۖ وَاللَّهُ مُخرِجٌ ما كُنتُم تَكتُمونَ

Dan (ingatlah), ketika kamu membunuh seorang manusia, kemudian kamu tuduh-menuduh sesama sendiri tentang pembunuhan itu, padahal Allah tetap melahirkan apa yang kamu sembunyikan.

وَإِذْ قَتَلْتُمْ نَفْسًا

Iaitu ketika kamu bunuh satu jiwa

Seorang anak saudara telah membunuh pakciknya kerana mahukan harta pakciknya itu. Dia memang akan mendapat harta itu bila pakciknya itu mati, tetapi oleh kerana dia tidak sanggup untuk menunggu lama, jadi dia terus bunuh sahaja pakciknya itu.

فَادَّارَأْتُمْ فِيهَا

dan kamu saling tuduh-menuduh;

Kerana kejadian pembunuhan itu, manusia telah berselisih dan tuduh menuduh. Dalam kisah ini hanya seorang sahaja yang membunuh dan yang dibunuh adalah seorang sahaja. Tetapi ayat ini menggunakan perkataan ‘kamu semua’.

Ini adalah kerana ada saksi yang tidak menceritakan hal yang sebenar. Jadi mereka telah bersubahat dalam hal pembunuhan itu. Sebenarnya, sesiapa sahaja yang terlibat akan bertanggungjawab sekali. Oleh kerana itu Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan ‘kamu semua’.

Seperti yang kita telah sebut, kerana kisah ini datang selepas kisah lembu warna kuning itu, maka banyak penafsir mengaitkan dua cerita ini berasal dari kisah yang sama. Tetapi dalam penafsiran kita, kita memberikan makna yang lain.

Begini kisahnya yang selalu diceritakan, termasuk dalam kitab-kitab tafsir pun: Seorang lelaki yang telah tua tidak ada waris. Orang yang jenis ini dinamakan kalalah. Dia pula adalah seorang yang kaya. Dia hanya ada seorang anak saudara lelaki. Anak saudara lelaki itulah sahaja warisnya. Bila dia mati, hartanya akan dapat kepada anak saudara itu. Dan memang dia hendak berikan kepada anak saudaranya pun.

Tetapi anak saudara itu tidak sabar untuk menunggu lelaki itu mati untuk mendapatkan harta itu. Lalu dia membunuh bapa saudaranya kerana dia hendakkan harta itu dengan segera. Dalam Tafsir Jalalain, disebut ada dua orang anak saudara. Untuk mengelakkan dia ditangkap, maka dia telah meletakkan mayat itu di kampung orang yang bermusuhan dengan bapa saudaranya.

Esoknya, apabila mayat bapa saudaranya dijumpai, dia telah menuduh orang di kampung itulah yang membunuh bapa saudaranya. Jadi telah berlaku tuduh menuduh di antara mereka. Hampir terjadi peperangan disebabkan oleh kes ini.

وَاللَّهُ مُخْرِجٌ مَا كُنْتُمْ تَكْتُمُونَ

Dan Allah akan mengeluarkan apa yang kamu semua sembunyikan;

Allah ‎ﷻ akan menceritakan balik apa yang dia sembunyikan. Allah ‎ﷻ akan mengeluarkan keputusan tentang perkara yang mereka sembunyikan itu. Allah ‎ﷻ akan beritahu.

‘Kamu’ dalam ayat ini adalah anak saudara yang membunuh itu.

Tetapi Allah ‎ﷻ tidak sebut pun siapakah lelaki yang membunuh itu. Maka, ayat ini boleh digunakan sebagai merujuk kepada sesiapa sahaja. Ayat ini hendak mengatakan bahawa Allah ‎ﷻ akan membuka rahsia sesiapa sahaja yang menyorok maklumat yang disimpan kerana ayat yang digunakan dalam ayat ini adalah dalam ‘present-future tense’ – maknanya, boleh digunakan untuk setiap masa.

1. Bangsa Yahudi – Allah ‎ﷻ akan mengeluarkan rahsia tentang kedatangan Nabi yang ada dalam kitab mereka tetapi mereka telah menyembunyikannya. Sebagaimana dalam kisah di atas, memang ada yang sudah tahu siapakah yang membunuh lelaki itu, tetapi mereka merahsiakannya.

2. Orang munafik yang menyorok kekafiran mereka.

3. Orang Islam yang mungkin ada niat jahat dalam hati mereka. Itu pun Allah ‎ﷻ akan dedahkan.

Ia juga merujuk kepada kita yang sedang membaca al-Qur’an ini sekarang. Jangan sangka kita terlepas. Kalau kita ada sembunyi kebenaran, maka Allah ‎ﷻ akan keluarkan dan kita akan malu nanti. Maka kita kena jujur dengan diri kita.

Tafsir Ayat Ke-73

Banyak tafsir mengaitkan kisah dalam ayat ini dengan kisah lembu betina warna kuning yang disuruh Bani Israil sembelih itu. Mereka berkata tafsir ayat di bawah ini adalah: “Maka pukullah mayat ini dengan bahagian lembu yang disembelih itu tadi.”

Tetapi kalau tafsir sebegini, ada masalah dari segi masa kerana hendak menunggu lembu kuning itu dijumpai, dikatakan telah mengambil masa 40 tahun. Sedangkan mana mungkin masa diambil sehingga 40 tahun baru dapat diselesaikan kes itu? Lagi pun, ini adalah kisah Israiliyat yang tidak boleh dijadikan hujah. Kisah Israiliyatlah yang mengaitkan lembu yang disembelih itu dengan kisah lelaki yang membunuh bapa saudaranya ini.

Oleh itu, kita kena pisahkan dua kisah ini, kerana ia tidak ada kaitan di antara satu sama lain.

فَقُلنَا اضرِبوهُ بِبَعضِها ۚ كَذٰلِكَ يُحيِي اللَّهُ المَوتىٰ وَيُريكُم آياتِهِ لَعَلَّكُم تَعقِلونَ

Maka Kami (Allah) berfirman: “Pukullah si mati dengan sebahagian darinya” (Mereka pun memukulnya dan ia kembali hidup). Demikianlah Allah menghidupkan orang-orang yang telah mati, dan memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanNya, supaya kamu memahaminya.

فَقُلْنَا اضْرِبُوهُ بِبَعْضِهَا

Pukullah mayat itu dengan bahagian anggota mayat itu;

Pukul dengan bahagian tubuh si mati itu sendiri. Contohnya, pukullah mayat itu dengan tangan dia. Inilah pendapat yang kita kena pegang, iaitu kisah dalam ayat ini tidak ada kena mengena dengan kisah lembu betina dalam ayat-ayat sebelum ini. Ia bermaksud pukullah mayat itu dengan anggota mayat itu sendiri, dan bukannya sebahagian dari anggota lembu yang telah disembelih itu.

Maka selepas dibuat begitu, tiba-tiba mayat itu bangun hidup semula. Selepas dia hidup balik itu, dialah yang memberitahu bahawa anak saudaranyalah yang telah membunuhnya dan dia telah mati balik selepas dia cakap begitu. Ini adalah antara mukjizat Nabi Musa عليه السلام.

Tetapi tidaklah lelaki itu terus hidup. Selepas diberitahu siapa yang membunuhnya, dia telah mati semula.

كَذَٰلِكَ يُحْيِي اللَّهُ الْمَوْتَىٰ

Demikianlah Allah menghidupkan orang yang sudah mati;

Ini adalah satu dalil hujah kepada kita: kalau Allah ‎ﷻ boleh hidupkan dengan cara begitu, Allah ‎ﷻ tentu sahaja boleh menghidupkan sesiapa yang telah mati. Yang ditunjukkan dalam ayat ini adalah salah satu cara untuk Allah ‎ﷻ menghidupkan manusia yang telah mati.

Bukanlah itu sahaja cara yang ada. Macam-macam cara Allah ‎ﷻ boleh gunakan untuk menghidupkan yang mati. Allah ‎ﷻ Maha Berkuasa. Jadi apabila Allah ‎ﷻ menghidupkan semua makhluk-Nya nanti apabila akhirat bermula, tidak ada masalah bagi Allah ‎ﷻ. Allah tidak tertakluk dengan hukum alam.

وَيُرِيكُمْ آيَاتِهِ

Dan Allah memperlihatkan dalil-dalil tanda kekuasanNya

Begitulah mudahnya Allah ‎ﷻ hendak menghidupkan semula makhluk yang telah mati. Tidak ada masalah langsung bagi Allah ‎ﷻ. Maka tidak perlu hairan bagaimana Allah ‎ﷻ akan menghidupkan semula manusia yang telah mati.

Allah ‎ﷻ boleh lakukan perkara mustahil yang mengatasi segala adat kebiasaan dalam dunia.

لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ

Mudah-mudahan kamu dapat berfikir;

Iaitu berfikir mengenai hakikat Allah ‎ﷻ boleh menghidupkan orang yang sudah mati. Hakikat yang Allah ‎ﷻ itu berkuasa penuh untuk melakukan apa sahaja dan Allah ‎ﷻ akan bongkarkan kebenaran yang disorok oleh manusia.

Ada banyak pengajaran yang kita boleh ambil dari ayat ini yang boleh ditadabbur.

Tafsir Ayat Ke-74

ثُمَّ قَسَت قُلوبُكُم مِن بَعدِ ذٰلِكَ فَهِيَ كَالحِجارَةِ أَو أَشَدُّ قَسوَةً ۚ وَإِنَّ مِنَ الحِجارَةِ لَما يَتَفَجَّرُ مِنهُ الأَنهارُ ۚ وَإِنَّ مِنها لَما يَشَّقَّقُ فَيَخرُجُ مِنهُ الماءُ ۚ وَإِنَّ مِنها لَما يَهبِطُ مِن خَشيَةِ اللَّهِ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغافِلٍ عَمّا تَعمَلونَ

Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya; dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya; dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.

ثُمَّ قَسَتْ قُلُوبُكُمْ

Kemudian tetap keras juga hati-hati kamu;

Segala peristiwa yang telah disebutkan dalam ayat-ayat tadi, sepatutnya menakutkan manusia tetapi tidak begitu yang terjadi kepada puak Yahudi. Sebaliknya hati mereka lebih keras lagi.

Allah ceritakan hal ini kepada bangsa Arab Madinah, Wahai bangsa Arab Madinah, dengarlah bagaimana keras kepalanya tok nenek bangsa Yahudi yang sekarang duduk di Madinah itu. Kalau tok nenek mereka berperangai begitu, jangan terkejut kalau anak cucu mereka yang duduk di Madinah waktu itu pun berperangai begitu juga.

Hati yang dimaksudkan dalam ayat ini, iaitu hati-hati orang Yahudi. Mereka tak dapat terima hidayah yang diberi. Yang tidak mahu terima itu adalah hati, bukan akal. Akal akan tetap berkembang daripada sejak kita kecil dan akan meningkat ke usia tua. Namun, hati itu akan sentiasa berbolak balik. Kadang-kadang hati yang membuat keputusan walaupun akal kita tahu yang ia adalah salah.

Contohnya, orang-orang yang hisap rokok itu tahu yang merokok itu bahaya dan tidak elok tetapi mereka masih juga hisap rokok. Itu adalah kerana hati yang mahu.

Kadang kita dengar ceramah dan akan ada ilmu kita sudah tahu kerana sudah banyak kali dengar. Namun, tetap kena dengar juga kerana hati yang perlu dicanai dan sentiasa diberi ingatan. Maka, kita kena jaga hati kita. Kena belajar didik hati. Tidak boleh ikut hati kerana ikut hati akan mati. Akal kena lebih kuat dari hati.

مِنْ بَعْدِ ذَٰلِكَ

selepas yang demikian;

Selepas mereka melihat semua yang telah disebutkan dalam ayat-ayat sebelum ini, mereka masih tidak percaya dan taat kepada Allah. Mereka masih lagi tidak mahu beriman. Padahal mereka adalah jenis bangsa yang telah diberikan ilmu pengetahuan yang banyak.

Mereka telah lihat sendiri bagaimana orang yang mati dihidupkan kembali dan macam-macam lagi perkara ajaib yang terjadi kepada mereka. Jadi akal mereka telah terima sebenarnya tetapi hati mereka yang degil tidak mahu terima juga. Begitulah kadang-kadang dengan manusia: apa yang akal tahu tidak semestinya sampai ke hati.

فَهِيَ كَالْحِجَارَةِ

Hati kamu itu umpama batu;

Allah umpamakan hati mereka keras seperti batu. Sekarang kita akan masuk kepada satu perumpamaan yang hebat daripada Allah yang diletakkan dalam Qur’an berkenaan hati.

أَوْ أَشَدُّ قَسْوَةً

ataupun lebih keras daripada batu;

Malahan, hati mereka lebih keras lagi daripada batu, sebenarnya kerana batu pun tidak sekeras hati mereka. Batu-batu itu ada juga yang berjenis-jenis. Ini akan diterangkan dalam bahagian ayat-ayat yang seterusnya nanti.

Ada batu yang boleh keluar sungai dari celahnya, ada batu yang pecah dan keluar air dari dalamnya, dan ada batu yang jatuh kerana takutkan Allah ﷻ. Batu yang keras pun, boleh jadi begitu, tetapi hati mereka sedikit pun tidak terkesan dengan apa yang telah diperlihatkan kepada mereka.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ beri perumpamaan tentang hati-hati manusia yang berbagai jenis:

وَإِنَّ مِنَ الْحِجَارَةِ لَمَا يَتَفَجَّرُ مِنْهُ الْأَنْهَارُ

Ada di antara batu itu mengalir darinya anak-anak sungai;

Ada batu yang boleh mengeluarkan air. Kalau mereka yang selalu mengembara pergi ke kawasan hutan dan berbukit, mereka boleh nampak ada batu yang merekah dan sungai keluar dari batu yang merekah itu.

Allah ﷻ hati sebagai ‘batu’ dan manakala ‘air’ pula adalah perumpamaan bagi iman. Ada orang yang ada potensi iman yang kuat di dalamnya. Jadi, apabila disampaikan dakwah Islam kepada mereka, senang untuk mereka terima. Mereka ini adalah jenis orang yang memang mencari-cari apakah agama yang sebenar.

Hati mereka memang mencari-cari kebenaran. Jadi, apabila mereka diceritakan dengan Islam, mereka dengan mudah terima. Mereka ini adalah orang-orang seperti Saidina Abu Bakr. Mereka yang jenis macam ini, senang sahaja kita hendak dakwah kepada mereka sebab mereka senang hendak terima.

Kita cerita sedikit sahaja kelebihan belajar tafsir dan di mana ada kelas pengajian, mereka terus hendak datang dan belajar dan terus belajar. Mereka kata: “memang sudah lama saya mencari ilmu ini”.

وَإِنَّ مِنْهَا لَمَا يَشَّقَّقُ فَيَخْرُجُ مِنْهُ الْمَاءُ

Dan ada diantara batu itu yang pecah terbelah lalu keluar air daripadanya;

Mungkin kita jarang lihat perkara ini. Tetapi ada kawasan hutan di dunia ini yang memang ada batu yang pecah dan air keluar darinya. Air itu adalah air mineral. Tidak dapat dijelaskan dengan akal.

Batu ini kurang sikit dari batu sebelum ini. Air yang keluar dari batu jenis kedua ini tidaklah sederas air dari batu pertama. Jadi ini adalah perumpamaan bagi hati jenis kedua. Kurang hebat sikit dari hati yang pertama.

Dan ada orang pula yang susah sikit hendak dakwah kepada mereka kerana hati mereka ada sedikit keras. Kena ada kerja sikit untuk memecahkan batu itu. Iman dia ada, cuma tertutup dalam hatinya. Dia akan berubah setelah dia dapat terima hujah yang mungkin hasil daripada dakwah kita atau dari kejadian yang besar padanya yang menyebabkan dia terfikir tentang Islam.

Orang yang sebegini kena cari cara untuk dakwah kepada mereka kerana lain orang, lain cara untuk mereka boleh terima. Orang yang sebegini adalah seperti Saidina Umar. Dia tidak terus menerima Islam tetapi apabila didakwahkan kepadanya, dia boleh terima. Kena ada usaha untuk berdakwah kepada mereka dan adakalanya, susah sedikit tetapi apabila mereka sudah terima, mereka akan terima selama-lamanya.

Ayat ini juga sebagai satu isyarat kepada kita untuk menangis kerana Allah ﷻ hati yang keras, langsung tidak menangis kerana Allah ﷻ tetapi hati yang lembut, mereka akan senang untuk menangis kerana Allah .ﷻ

وَإِنَّ مِنْهَا لَمَا يَهْبِطُ مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ

Dan ada diantara batu itu yang tergolek jatuh kerana takut kepada Allah;

Dan ada batu yang jatuh bergolek kerana takut kepada Allah ﷻ . Begitulah, kalau kita duduk di hutan, dan nampak batu tiba-tiba jatuh dari atas, ia adalah kerana batu-batu itu takut kepada Allah ﷻ . Sebab tidak nampak apa sebab yang menyebabkan ia jatuh, tetapi ia tiba-tiba jatuh sahaja. Orang-orang yang selalu ke hutan akan tahu perkara ini.

Beginilah hati yang ada sedikit iman dalam dirinya. Apabila disampaikan ayat-ayat al-Qur’an, ada bergetar sedikit hati mereka dan mereka tersentuh dan mereka tunduk. Namun, manusia ramai yang tidak takut dengan Allah. Bila dibacakan ayat-ayat al-Qur’an, mereka selamba sahaja macam tidak ada apa-apa.

Ada orang yang tahap mereka hanya Muslim sahaja (bukan Mukmin). Mereka sudah terima Islam, tetapi iman tidak masuk ke dalam hati mereka. Mereka ini adalah orang yang jenis macam orang Badwi semasa zaman Nabi. Mereka adalah orang baik juga, tidak menentang Islam tetapi keimanan penuh belum masuk ke dalam hati mereka. Sekurang-kurangnya mereka telah terima Islam. Itu adalah langkah pertama.

Ini juga adalah isyarat kepada kita untuk sujud kepada Allah ﷻ kerana takut dan takjub kepada-Nya. Tunduk sujud dalam solat. Dan apabila sampai kepada ayat-ayat Sajdah, kita sujud.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ memberi perumpamaan menggunakan subjek air dan batu. Ingatlah bahawa perumpamaan ini diberikan kepada Bani Israil pada zaman Nabi. Dan perumpamaan ini amat sesuai sekali diberikan kepada Bani Israil kerana mereka sudah biasa belajar dalam sejarah mereka tentang tok nenek mereka dahulu pernah minum air yang terpancar dari batu selepas dipukul oleh Nabi Musa.

Jadi tidak pelik sebenarnya kepada mereka tentang batu yang keluar air. Begitulah, kita apabila memberi contoh, mestilah memberi contoh yang boleh difahami oleh orang yang mendengarnya. Barulah mereka senang faham.

وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

Dan tidaklah Allah itu lalai dengan apa yang kamu lakukan;

Maksud Allah ﷻ tidak lupa dan lalai itu adalah, Allah ﷻ pasti akan balas nanti. Allah ﷻ tahu apa yang kita telah lakukan dan Allah ﷻ  simpan dalam rekod tentang apa sahaja yang kita lakukan. Jangan sangka Allah ﷻ tidak perasan dan Allah tidak simpan rekod. Allah ﷻ akan balas: Sama ada balas baik dengan diberikan syurga, atau balas dengan diberikan neraka.

Ia juga memberi isyarat kepada kita: kalau hati sudah keras, maka seseorang itu akan menjadi غَافِلٍ (lalai) iaitu sudah tidak kisah dengan apa yang terjadi di sekelilingnya. Seperti lembu yang tidak kisah dengan apa yang terjadi. Begitulah orang-orang yang keras hatinya dan tidak kisah dengan apa yang terjadi di sekelilingnya.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan