Utama Bilik Motivasi Presuposisi 10: We Can Model Excellence by Breaking tasks and Skills Into...

Presuposisi 10: We Can Model Excellence by Breaking tasks and Skills Into Small Chunks and Replicate the Strategy of the Performance

144
0
Iklan

Siri Pengenalan NLP Oleh Azlizan Nueq

10. We can model excellence by breaking tasks and skills into small chunks and replicate the strategy of the performance.

Kita boleh jayakan kecemerlangan dengan memecahkan tugasan dan kebolehan kepada pecahan yang lebih kecil dan mencontohi strategi prestasi”.

Bagaimana hendak memakan gajah?Kalau kita terus melihat satu tugasan itu secara keseluruhan, sudah tentu kita akan berasa kita tidak akan mampu melakukannya. Atau kita rasa ia akan memakan masa yang terlalu lama, maka, kita sudah mula hilang semangat untuk melakukannya.

Tetapi kalau kita makan sedikit-sedikit, satu suap demi satu suap, ia boleh dilakukan (tidaklah saya suruh anda makan gajah pula selepas ini).

 

Kalau kita fikirkan gajah itu besar, tentulah kita berasa tidak mampu untuk memakannya. Tetapi kalau kita pecahkan sedikit-sedikit, lama-kelamaan ia akan habis juga. Inilah konsep yang kita hendak bawakan. Jangan tengok keseluruhan hal atau masalah tetapi pecahkan menjadi bahagian yang kita mampu lakukan.

Begitu juga dengan masalah. Kalau masalah dilihat secara pukal, akan menyebabkan kita sesak fikiran dan tertekan. Tetapi kalau kita pecahkan, ia akan nampak tidak mustahil untuk diselesaikan. Selesaikan satu persatu. Kerana itulah kalau di dalam sesi NLP, kita akan tanyakan“coachee” apakah perkara yang dia boleh terus buat pada hari itu? Atau apakah langkah yang dia boleh mulakan.

Selalunya, apabila disuruh berfikir begitu, “coachee“ akan dapat memikirkan sekurang-kurangnya satu perkara yang dia boleh terus buat untuk menyelesaikan masalahnya. Ini kerana fikirannya telah diubah dari melihat masalah secara keseluruhan kepada pecahan bahagian-bahagian yang lebih kecil. Setiap bahagian yang kecil itu dia mampu melakukannya.

Satu lagi konsep yang penting: Geniuses leave clues”(orang bijak meninggalkan tanda). Maksudnya kita boleh tengok orang yang pandai dalam sesuatu perkara dan kita boleh belajar bagaimana dia melakukannya. Namun untuk kita menirunya, bukanlah kita terus menjadi seperti dirinya. Tetapi kita pecahkan menjadi bahagian-bahagian, dan kita cuba contohi satu persatu.

Saya selalu tanya bagaimana seseorang itu mencapai kehebatannya. Maka saya cuba contohi. Sebagai contoh, dia berjaya kerana dia rajin membaca, maka saya cuba ikuti kerajinan itu. Saya akan tanya buku apa yang dia baca.

Atau kalau seseorang itu pandai menjual, saya akan tanya bagaimana dia memulakan percakapan, dan kemudian buat apa, kemudian buat apa? Dan seterusnya.

Pecahkan satu perkara besar menjadi proses. Sebagaimana memasak pun begitu juga, bukan? Kita hendak mencuba resipi orang lain, dia akan pecahkan resipi itu menjadi langkah-langkah tertentu. Maka kita akan ikut satu persatu.

Kalau kita lihat negara Jepun satu negara yang hebat sekarang, kejayaan mereka boleh dikaitkan dengan satu konsep yang mereka amalkan iaitu dikenali sebagai Kaizen.

Selepas kekalahan mereka dalam perang dunia, negara mereka telah teruk binasa. Amerika telah menghantar penasihat untuk membantu membangkitkan semula negara mereka. Konsep yang diajar kepada mereka adalah konsep: “Continuous and never ending improvement” (Pembaikpulihan secara berterusan dan tiada kesudahan). Jepun telah menamakannya sebagai kaizen.

Maka mereka telah mengubah negara mereka sedikit demi sedikit. Dan proses ini berlaku secara berterusan. Mereka akan memecahkan satu-satu proses besar dan mereka fokus kepada bahagian itu. Dan mereka tanya diri mereka: “Bagaimana kita boleh memperbaiki proses kecil ini menjadi lebih efektif dan dapat dilakukan dengan lebih baik?”

Otak kita pun memang tidak mampu untuk menanggung maklumat yang banyak. Oleh sebab itu kalau kita menghafal nombor telefon, kita juga akan pecahkannya menjadi segmen-segmen lebih kecil. Kita tidak hafal nombor itu semua sekali: 0123456789 tapi kita gunakan teknik ‘chunking’: 012 pause, 345 pause, 6789. Kalau tidak percaya, cuba beritahu anak anda nombor telefon anda sekarang.

Ini kerana otak kita memang tidak sukakan perkara yang besar-besar. Otak kita lebih tenang kalau sesuatu perkara itu kecil dan nampak mudah diselesaikan.

Beginilah NLP dimulakan. Para pencipta NLP melihat kepada orang-orang yang hebat dalam psikologi dan mereka pecahkan apakah yang dilakukan oleh pakar-pakar itu dan mereka cuba menirunya. Dan mereka teruskan memperbaiki satu persatu perkara itu. Dan sampai sekarang NLP ini menjalani proses pengubahsuaian untuk memperbaikinya.

Dalam dunia kita pun begitu juga. Dalam apa-apa sahaja, kita boleh selesaikan kalau kita pecahkannya. Yang penting, kita lakukan sesuatu. Pilih apa yang kita hendak buat. Jangan lihat secara keseluruhan. Sebagai contoh, kalau kita hendak menghafal Qur’an dan kita pegang Qur’an dan belek ada 604 mukasurat, tentu kita rasa lemah untuk menghafalnya. Otak kita akan tolak dan merasakan tidak mampu untuk melakukannya.

Namun kalau kita pecahkan mengikut juzuk, dan kemudian pecahkan lagi separuh juzuk, suku juzuk, satu muka atau separuh muka, atau kita mula hafal satu ayat satu hari, maka ia boleh dilakukan. Yang penting, mulakan menghafal.

Saya ada mengenali seseorang yang hendak menulis tafsir Qur’an 30 juzuk dengan cara yang mudah difahami oleh masyarakat awam. Kalau dia fikirkan tugasan yang besar itu, sudah tentu dia tidak memulakannya. Namun dia terus memulakannya. Selepas 6 tahun, dia berjaya menghabiskan 30 juzuk tafsir dan sekarang dalam proses pembaikan. Ia mampu dilakukan, in sha Allah. Semoga anda berjaya memakan gajah!

Komen dan Soalan