Tafsir Ayat Ke-52
Ini adalah sambungan kepada ayat sebelum ini. Inilah nikmat yang diberikan kepada mereka. Sebelum ini disebut kesyirikan yang mereka lakukan.
ثُمَّ عَفَونا عَنكُم مِن بَعدِ ذٰلِكَ لَعَلَّكُم تَشكُرونَ
Kemudian sesudah itu Kami maafkan kesalahan kamu, supaya kamu bersyukur.
ثُمَّ عَفَوْنَا عَنْكُمْ
Kemudian Kami ampunkan kamu;
Iaitu mereka tidak terus dihancurkan kerana kesyirikan mereka itu. Maknanya tidak dihancurkan semua umat mereka sampai tidak ada baka. Sebahagian sahaja dibunuh, iaitu mereka yang melakukan syirik itu. Sedangkan dalam sejarah, ada kaum yang dimusnahkan semua sekali keturunan mereka walaupun bukan semua yang berbuat salah. Ada yang dimusnahkan kerana mereka tidak menegur golongan yang membuat salah itu.
Makna عَفَ adalah memaafkan dalam keadaan sayang kerana kita boleh juga maafkan seseorang dalam keadaan kita marah kepadanya. Tetapi Allah ﷻ menggunakan perkataan yang menunjukkan Dia masih sayangkan mereka. Inilah nikmat dan jasa yang Allah ﷻ maksudkan.
Kemudian Kami maafkan mereka selepas apa yang mereka lakukan itu. Allah ﷻ memaafkan semua sekali dosa mereka. Bukanlah dengan Allah ﷻ memaafkan itu hendak mengatakan yang perbuatan mereka itu betul, tetapi maaf itu dengan makna Allah ﷻ telah menerima taubat mereka. Taubat mereka itu pula dengan hukum bunuh. Sesiapa yang sembah anak lembu dikenakan bertaubat dan untuk taubat, kenalah dibunuh. Itulah syariat Nabi Musa عليه السلام waktu itu.
Dan satu lagi nikmat Allah ﷻ kepada mereka: walaupun mereka sembah anak lembu itu, Allah ﷻ tidak turunkan azab ke atas mereka yang boleh menghapuskan seluruh keturunan mereka itu. Yang tidak sembah anak lembu itu dibiarkan hidup seperti biasa, dan yang sembah sahaja dikenakan hukum bunuh. Jadi ada dua nikmat yang Allah ﷻ telah berikan.
مِنْ بَعْدِ ذَٰلِكَ
selepas kamu sembah anak lembu itu;
Selepas kejadian mereka menyembah anak sapi itu, mereka telah diarahkan untuk bertaubat. Dan taubat mereka telah diterima Allah ﷻ. Cara mereka bertaubat adalah: mereka kena saling bunuh membunuh sesama mereka. Iaitu mereka yang tidak menyembah anak patung itu disuruh membunuh mereka yang telah menyembah.
Waktu itu Allah ﷻ turunkan kabus supaya tidak nampak siapakah yang mereka bunuh. Mujurlah syariat kita tidak macam itu lagi, iaitu tidak perlu bunuh diri. Cukup sekadar taubat sahaja. Kalau tidak, banyaklah yang kena bunuh kerana banyak sangat amalan syirik yang kita buat sebenarnya tanpa kita sedari.
لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Mudah-mudahan kamu bersyukur;
Tujuannya mereka diampunkan adalah supaya mereka boleh bersyukur kepada Allah ﷻ dengan melakukan ketaatan. Maknanya syukur itu kenalah ditunjukkan dengan melakukan taat kepada perintah dan larangan Allah ﷻ. Mereka sepatutnya bersyukur kerana lepas membuat syirik itu, Allah ﷻ masih mahu mengampunkan lagi kesalahan syirik mereka.
Syarat untuk taubat kita diterima, kita kenalah hidup lagi. Kalau sudah mati, tidak ada harapan untuk diterima taubat. Kita kenalah meminta ampun selagi kita masih hidup. Kalau kita sudah mati, tidak ada sesiapa yang boleh memohon ampun dosa syirik kita.
Kalau dosa selain syirik, masih boleh lagi sanak saudara atau orang Islam yang lain mohon mengampunkan dosa untuk kita. Tetapi untuk dosa kesalahan syirik, pembuat syirik itu kenalah meminta ampun sendiri. Dan ini kenalah dilakukan sebelum mati.
Tafsir Ayat Ke-53
Ini adalah nikmat keempat.
وَإِذ آتَينا موسَى الكِتابَ وَالفُرقانَ لَعَلَّكُم تَهتَدونَ
Dan (kenangkanlah) ketika Kami turunkan kepada Nabi Musa kitab (Taurat) dan keterangan-keterangan (yang terkandung di dalamnya, yang membezakan antara yang benar dengan yang salah), supaya kamu mendapat petunjuk.
وَإِذْ آتَيْنَا مُوسَى الْكِتَابَ
Dan ingatlah ketika Kami beri kepada Nabi Musa Kitab Taurat;
Kitab itu bermaksud mereka telah diberikan dengan hukum yang mereka kena ikuti.
وَالْفُرْقَانَ
sebagai pembeza;
Iaitu pembeza antara hak dan batil. Kalau buat begini, syirik; kalau begitu, tidak. Al-Qur’an pun sama juga menjelaskan apakah syirik supaya kita dapat membezakannya. Kerana itu al-Qur’an juga dikenali sebagai al-Furqan. Dari segi akidah, serupa sahaja ajaran al-Qur’an dengan kitab-kitab yang lain. Yang berbeza, adalah dari segi syariat.
لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ
supaya kamu mendapat petunjuk;
Mereka sepatutnya menggunakan Kitab Taurat itu sebagai panduan petunjuk mereka. Sebagai manusia kita semua kenalah ada usaha untuk mendapatkan petunjuk dan hidayah. Dan Allah ﷻ sudah menolong dengan beri Kitab kepada mereka.
Namun, kitab itu kenalah dipelajari dan diikuti. Bukanlah kalau sudah ada Kitab daripada Allah ﷻ, terus selamat. Yang menerimanya kena belajar dan berpegang dengannya. Perumpamaannya, Allah ﷻ sudah membuat jalan untuk mereka, sekarang mereka kena mengikut sahaja jalan itu. Begitulah jugalah kita dengan al-Qur’an ini, perlu dipelajari. Jangan setakat berbangga sahaja ada al-Qur’an tetapi tidak faham apakah yang al-Qur’an sampaikan.
Kalau diikutkan begitu kurang ajarnya mereka, sudah tentu mereka itu tidak layak untuk mendapat nikmat lagi. Namun Allah ﷻ tetap berikan juga Kitab Taurat kepada mereka. Mudah-mudahan dengan kitab itu mereka terpimpin.
Tafsir Ayat Ke-54
Ini adalah jasa kelima yang Allah ﷻ ingatkan kepada mereka.
وَإِذ قالَ موسىٰ لِقَومِهِ يا قَومِ إِنَّكُم ظَلَمتُم أَنفُسَكُم بِاتِّخاذِكُمُ العِجلَ فَتوبوا إِلىٰ بارِئِكُم فَاقتُلوا أَنفُسَكُم ذٰلِكُم خَيرٌ لَكُم عِندَ بارِئِكُم فَتابَ عَلَيكُم ۚ إِنَّهُ هُوَ التَّوّابُ الرَّحيمُ
Dan (kenangkanlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: ” Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu telah menganiaya diri kamu sendiri dengan sebab kamu menyembah patung anak lembu itu, maka bertaubatlah kamu kepada Allah yang menjadikan kamu; iaitu bunuhlah diri kamu. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu di sisi Allah yang menjadikan kamu, supaya Allah menerima taubat kamu itu. Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani”.
وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ
Dan ingatlah ketika berkata Nabi Musa kepada kaumnya:
Apabila Nabi Musa عليه السلام balik dari Bukit Thur, baginda telah bersabda kepada mereka.
إِنَّكُمْ ظَلَمْتُمْ أَنْفُسَكُمْ بِاتِّخَاذِكُمُ الْعِجْلَ
“Sesungguhnya kamu sudah menzalimi diri kamu kerana mengambil anak lembu (sebagai sembahan)”
Sebelum itu, apabila Nabi Musa عليه السلام telah naik ke Bukit Thur, Allah ﷻ telah bertanyakan Nabi Musa عليه السلام kenapa tidak dibawakan kaumnya sekali? Nabi Musa عليه السلام berkata, kaumnya ada mengikutnya tidak jauh di belakang dan baginda sengaja datang awal supaya boleh mendapat redha Allah ﷻ lebih awal, kemudian baru redha kepada kaumnya pula.
Allah ﷻ memberitahu dengan sebab Nabi Musa عليه السلام datang awal itu, dan meninggalkan kaumnya di belakang, amat membahayakan. Kerana perbuatan Nabi Musa عليه السلام itulah, kaum Nabi Musa عليه السلام itu telah murtad sepeninggalan baginda dan ada yang sembah anak lembu. Mendengarkan hal tersebut, maka Nabi Musa عليه السلام telah balik dengan segera menemui kaum Bani Israil.
Mereka dikira zalim kerana telah melakukan syirik menyembah anak lembu. Maka mereka semua disuruh supaya bertaubatlah segera – iaitu menyesal dengan hati dan berikrar untuk tidak akan membuatnya lagi dan istighfar dengan mulut. Inilah rukun-rukun taubat yang biasa.
فَتُوبُوا إِلَىٰ بَارِئِكُمْ
“Maka bertaubatlah kamu kepada Pencipta kamu”;
Ini adalah nasihat yang diberikan oleh baginda. Amat menarik kerana kata بَارِئِ digunakan dalam ayat ini. Perkataan itu banyak digunakan dalam Kitab mereka. Maka Allah ﷻ menggunakan dalam al-Qur’an juga, dan tidak menggunakan kalimah ‘Rabb’.
فَاقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ
“Kemudian kamu bunuhlah diri-diri kamu.”
Walaupun begitu, syariat Nabi Musa عليه السلام pada waktu itu, tidak sempurna taubat dengan hanya istighfar mulut sahaja, tetapi mereka juga kena dibunuh. Mereka yang tidak bersalah hendaklah membunuh kaumnya yang bersalah. Waktu itu Allah ﷻ menurunkan awan hitam supaya tidak nampak muka yang dibunuh. Diriwayatkan seramai 70 ribu orang telah dibunuh.
Namun, kenapa disebut أَنفُسَكُم (diri-diri kamu) sedangkan bukan bunuh diri? Kerana mereka semuanya sesama agama, maka dikira membunuh diri mereka sendiri. Inilah dalil yang mengatakan mereka kena berbunuhan sesama mereka untuk diterima taubat mereka.
Bani Israil terbahagi kepada 12 puak. Daripada setiap puak itu ada yang telah menyembah anak lembu itu. Bukan semua di antara mereka yang menyembah. Maksud arahan ini adalah setiap puak hendaklah mengenalpasti siapakah yang telah menyembah anak lembu itu dan dia mestilah dibunuh. Itulah yang dimaksudkan ‘bunuhlah diri-diri kamu”.
Oleh kerana mereka yang menyembah itu telah melakukan perbuatan syirik dan mereka telah murtad, maka mereka layak dibunuh. Ini adalah sama seperti hukuman murtad yang Islam ada. Maka, hukum bunuh kepada mereka yang murtad bukanlah perkara baru. Dalam syariat Yahudi pun sudah ada hukum bunuh kepada yang murtad.
Syariat bunuh sebegini tidak ada dalam syariat kita kecuali dalam keadaan tertentu sahaja – contohnya orang berkahwin yang berzina, orang yang membunuh orang lain, dan sebagainya yang termaktub dalam hukum hudud. Tetapi dalam bab syirik, tidak ada hukuman bunuh sebegini. Kalau ada, tentu susah kita. Ramai orang Islam kena bunuh belaka, kerana syirik yang berleluasa dalam masyarakat. Maka, Allah ﷻ tidak kenakan dalam syariat Nabi akhir zaman.
ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ عِنْدَ بَارِئِكُمْ
“Yang demikian itu lebih baik untuk kamu di sisi Pencipta kamu”;
Bertaubat dan bersedia untuk dibunuh itulah yang lebih baik di sisi Tuhan mereka. Kerana kalau mereka bertaubat dan bersedia dibunuh, di akhirat mereka tidak dikenakan azab lagi. Maknanya, orang-orang yang dibunuh itu telah hapus segala kesalahan mereka. Maknanya mereka itu adalah ahli syurga sebenarnya. Ini kerana mereka mati dalam keadaan bersih dari dosa dan tentulah masuk syurga.
Mungkin ada melihat hukum bunuh itu adalah berat dan teruk. Tetapi Allah ﷻ beritahu dalam ayat ini bahawa ia adalah baik di sisi Allah ﷻ. Ia adalah kebaikan untuk mereka. Jangan kita pula sangka ia adalah hukuman yang tidak patut. Yang penting adalah apa yang Allah ﷻ redha.
فَتَابَ عَلَيْكُمْ
“Maka Allah menerima taubat kamu”;
Maka Allah ﷻ menerima taubat mereka. Inilah nikmat dimaksudkan dan ia adalah jasa yang amat besar. Dan apabila Allah ﷻ menerima taubat mereka, mereka dimasukkan ke dalam syurga. Nikmat masuk syurga bukankah nikmat yang amat besar?
Selepas mereka membunuh diri mereka, Allah ﷻ telah mengampunkan dosa mereka. Ayat ini mengatakan Allah ﷻ telah mengampunkan dosa mereka. Maka mereka yang menyembah anak lembu itu semua adalah ahli syurga belaka. Cuma kita sahaja yang sangka mereka masuk neraka. Padahal, mereka semuanya masuk syurga kerana Allah ﷻ telah menerima taubat mereka.
Taubat mereka telah diterima kerana mereka telah mengikut syariat Allah ﷻ. Dan syariat waktu itu adalah mereka kena bunuh diri mereka. Oleh kerana mereka mengikut syariat, maka Allah ﷻ telah menerima taubat mereka.
Namun begitu, selepas itu, bangsa Yahudi sangka mereka adalah orang yang ‘terpilih’ – kerana Allah ﷻ sentiasa memaafkan kesalahan mereka. Sampai mereka tidak kisah apabila mereka melakukan kesalahan di dunia. Mereka kata Allah ﷻ tentu akan memaafkan mereka. Mereka rasa, kalau Allah ﷻ memasukkan mereka ke dalam neraka pun, hanya untuk beberapa hari sahaja.
Itu adalah pemahaman yang salah. Yang telah dibunuh dalam kisah ini diterima taubat mereka kerana mereka telah bertaubat dan mereka telah mengikuti syariat.
Kisah ini bukan boleh digunakan sebagai ‘lesen’ untuk mengatakan bahawa Allah ﷻ akan terus sentiasa mengampuni dosa semua Bani Israil. Untuk mendapat pengampunan, mestilah bertaubat dan mengikut syariat. Ada proses yang perlu diikuti sebelum taubat diterima. Jangan kita umat Islam pun sangka begitu pula. Ramai yang ada akidah: “takpe, kita orang Islam akhirnya akan masuk syurga juga….”
إِنَّهُ هُوَ التَّوَّابُ
Sesungguhnya Allah itu Maha Menerima Taubat;
Allah ﷻ berkali-kali boleh menerima taubat. Walaupun manusia banyak kali melakukan kesalahan dosa, tetapi apabila mereka bertaubat, Allah ﷻ terima taubat mereka.
Dalam hal ini, jangan terpedaya dengan bisikan syaitan. Apabila kita telah bertaubat, tetapi kita melakukan juga kesalahan yang sama, syaitan akan hasut kita. Dia kata: “Buat apa kau taubat lagi, sedangkan kau akan buat kesalahan yang sama. Baik kau terus buat sahaja sebab Allah dah tak terima taubat kau dah.. buat malu jer kau nak bertaubat.”
Ini adalah salah faham tentang taubat. Walaupun kita sudah bertaubat, tetapi kadang-kadang kerana lemah dan bisikan syaitan, kita mungkin melakukan kesalahan yang sama. Kalau kita lakukan kesalahan yang sama, bertaubatlah lagi. Jangan kita putus harap dengan taubat. Allah ﷻ boleh menerima taubat kita berkali-kali, walaupun untuk kesalahan yang sama.
الرَّحِيمُ
Lagi Maha Mengasihani;
Allah ﷻ sanggup menerima taubat hamba-Nya kerana sifat Allah ﷻ yang raheem. Allah ﷻ amat sayangkan kita makhluk-Nya.
Apabila Allah ﷻ menerima taubat hamba itu, Dia tidak seksa lagi mereka di akhirat kelak.
Maka, mereka yang menyembah anak lembu itu telah selamat. Kita belum tentu lagi akan selamat.
Tafsir Ayat Ke-55
Ini adalah nikmat keenam yang diberikan kepada Bani Israil.
Nabi Musa عليه السلام telah bertapa selama 40 hari dan setelah tamat 40 hari, baginda telah mendapat Kitab Taurat. Apabila baginda pulang, kaumnya ada memberi berbagai-bagai reaksi.
Bayangkan waktu itu mereka ada 70 ribu orang. Ada yang tidak percaya yang Taurat itu daripada Allah ﷻ. Mereka tidak percaya sampai ada yang ingin tengok juga cara bagaimana Kitab Taurat diturunkan. Yang berkata begini adalah mereka yang tidak sembah anak lembu sebab yang sembah anak lembu sudah dibunuh. Maknanya, yang tidak menyembah patung anak lembu itu pun ada masalah juga.
Maka Nabi Musa عليه السلام telah diperintahkan untuk memilih setiap seribu orang, seorang wakil. Maka ada 70 orang telah dipilih untuk lihat bagaimana cara kitab Taurat diturunkan kepada Nabi Musa عليه السلام. Mereka telah dibawa naik ke Bukit Thur untuk menyaksikan sendiri proses penurunan Taurat itu. Setelah mereka sendiri melihatnya, mereka masih juga tidak percaya. Mereka kemudian minta untuk melihat Allah ﷻ dengan mata mereka sendiri.
Oleh kerana permintaan mereka itu, Allah ﷻ mematikan mereka terus pada waktu itu juga kerana amat kurang ajar mereka itu. Allah ﷻ mematikan mereka dengan tempikan dan gegaran. Terus mereka mati bergelimpangan. Mereka lihat sendiri yang mereka jatuh rebah dan mati di situ juga.
وَإِذ قُلتُم يا موسىٰ لَن نُؤمِنَ لَكَ حَتّىٰ نَرَى اللهَ جَهرَةً فَأَخَذَتكُمُ الصّاعِقَةُ وَأَنتُم تَنظُرونَ
Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala kami)”. Maka kerana itu kamu disambar petir, sedang kamu semua melihatnya.
وَإِذْ قُلْتُمْ
Dan ingatlah ketika kamu berkata;
Yang berkata dalam ayat ini bukan Yahudi zaman Nabi Muhammad ﷺ, tetapi tok nenek mereka dahulu. Tetapi Allah ﷻ menggunakan perkataan ‘kamu’ dalam ayat ini. Ini adalah kerana Bani Israil merasakan mereka adalah satu keluarga yang dari dahulu sehingga sekarang. Mereka bangga dengan keturunan mereka yang dahulu. Dan mereka tahu apa yang terjadi pada zaman dahulu kerana disampaikan turun temurun. Jadi Allah ﷻ bercakap kepada mereka seperti mereka adalah orang yang sama juga.
Seramai 70 orang wakil dari Bani Israil telah dijemput naik ke Bukit Thursina untuk melihat cara kitab Taurat diturunkan. Semua sekali rakyat Bani Israil adalah seramai 70 ribu orang. Setiap seribu, dipilih seorang wakil untuk naik ke atas mengikut Nabi Musa عليه السلام. Selepas mereka melihat bagaimana Taurat diturunkan, mereka masih tidak berpuas hati lagi untuk beriman. Maka mereka berkata:
يَا مُوسَىٰ لَنْ نُؤْمِنَ لَكَ
“Wahai Musa, kami tidak akan percaya kepada kamu”,
Mereka masih tidak percayakan Nabi Musa عليه السلام kerana perkataan yang digunakan dalam ayat ini adalah ‘لَكَ’ – kepada kamu. Bayangkanlah, Nabi mereka sendiri pun mereka tidak percaya. Sedangkan Nabi Musa عليه السلام itulah yang telah membawa mereka menyeberangi Laut Merah, telah mengeluarkan air dari batu dan macam-macam lagi mukjizat yang mereka boleh lihat dengan mata mereka sendiri. Namun mereka masih tidak percaya. Lihatlah betapa degilnya mereka.
Ada yang mengatakan bahawa makna ‘لَكَ’ yang digunakan dalam ayat ini menunjukkan mereka ‘tidak mahu ikut arahan kamu’. Mereka percaya Nabi Musa عليه السلام adalah seorang Rasul dan Nabi tetapi mereka masih tidak mahu mengikut arahan baginda. Kerana kalau tidak percaya, perkataan yang sepatutnya digunakan adalah ‘بِكَ’ – ‘dengan kamu’.
Maknanya, mereka itu adalah umat yang amat degil. Dengan Nabi yang memang mereka sudah percaya pun mereka tidak mahu mengikut arahan yang diberikan. Padahal, arahan yang disampaikan oleh Nabi Musa عليه السلام itu adalah arahan daripada Allah ﷻ, bukan daripada dirinya sendiri.
Ada yang berkata, yang mereka tidak percaya itu adalah arahan supaya dibunuh mereka yang telah murtad kerana menyembah anak lembu itu. Mereka tuduh arahan itu daripada Nabi Musa عليه السلام sahaja. Maka mereka hendak dengar sendiri arahan itu daripada Allah ﷻ. Begitulah degil dan kurang ajar mereka dengan Nabi mereka sendiri. Maka, kalau dengan Nabi mereka sendiri yang mereka telah terima pun mereka degil, apatah lagi dengan Nabi Muhammad ﷺ.
حَتَّىٰ نَرَى اللَّهَ جَهْرَةً
“sehingga kamu menunjukkan Allah secara terang-terang”;
Mereka hendak melihat sendiri Allah ﷻ dengan mata mereka. Padahal Nabi Musa عليه السلام hendak tengok Allah ﷻ pun sudah pengsan – kerana tidak mampu – ada dikisahkan dalam ayat yang lain.
Lihat betapa degilnya mereka. Mereka tidak cukup dengan melihat bagaimana Kitab Taurat diturunkan sahaja, tetapi mereka hendak melihat sendiri Allah ﷻ dengan mata mereka. Ini adalah perbuatan yang melampau. Musyrikin Mekah pun ada yang minta begitu.
فَأَخَذَتْكُمُ الصَّاعِقَةُ
Maka ditimpakan azab tempikan kepada kamu;
Disebabkan oleh permintaan mereka itu, mereka dikenakan azab tempikan daripada Jibrail عليه السلام, maka mereka terus mati. Tempikan itu kuat sampaikan boleh mati terus.
وَأَنْتُمْ تَنْظُرُونَ
sedangkan kamu melihat;
Mereka melihat sendiri kawan-kawan mereka mati seorang demi seorang. Ini kerana mereka mati seorang demi seorang.
Allahu a’lam.