Utama Bilik Motivasi Presuposisi 6: People Have All The Resources They Need To Succeed

Presuposisi 6: People Have All The Resources They Need To Succeed

220
0
Iklan

Siri Pengenalan NLP Oleh Azlizan Nueq.

Presuposisi Yang Keenam:

6. People have all the resources they need to succeed.

Manusia mempunyai sumber penyelesaian mereka perlukan untuk berjaya.”

Kita telah sebut sebelum ini tidak ada sesiapa yang rosak. Allah ‎ﷻ telah berikan banyak sumber untuk memberi kejayaan kepada kita. Cuma kadangkala kita tidak dapat untuk menggunakan sumber-sumber itu kerana kita tidak pandai mencari dan menggunakannya. Ini kerana kita tidak mempelajari caranya lagi.

Sumber dalam alam ini sememangnya terlalu banyak tetapi kalau kita tidak menjumpainya, maka sebab itulah kita susah di dalam kehidupan, tidak dapat menyelesaikan masalah, sama ada masalah kewangan, masalah kesihatan, masalah perhubungan dan lain-lain lagi.

Cara untuk mendapatkan sumber-sumber itulah yang akan diajar di dalam NLP. NLP cuba untuk mengesan penghalang kepada kejayaan itu dan NLP memberi peluang untuk membuang penghalang-penghalang kejayaan itu. NLP membantu untuk membuang kepercayaan yang salah, sifat negatif, peta minda yang salah, supaya sumber yang ada boleh digunakan. Maknanya, sumber kejayaan itu ada, cuma penghalangnya banyak dan hendaklah diketepikan.

Kita juga akan memberikan cadangan bagaimana untuk mencari sumber itu. Kadangkala kita sudah tahu pun, sudah ada di dalam otak kita, tetapi cara untuk mengeluarkannya yang kita tidak pelajari.

Sumber kejayaan memang ada, namun malangnya kita selalu nampak penghalang sahaja. Inilah masalah dengan kebanyakan manusia, takut dengan halangan. Jangan jadikan penghalang itu sebagai pemati kepada cita-cita untuk menjalani kehidupan yang sempurna. Penghalang memang akan ada kerana itulah ujian kita semasa kita hidup di dunia. Untuk mencapai kejayaan, memang kena hadapi penghalang-penghalang itu.

If you find a path with no obstacles, it probably doesn’t lead anywhere” – Frank A. Clark

(Jika anda temui jalan tanpa halangan, mungkin jalan itu tidak akan membawa anda ke mana-mana pun).

Ketahuilah yang kebolehan telah ada di dalam diri kita, cuma kena dikeluarkan kerana telah terpendam lama dan tidak diajar cara bagaimana untuk mengeluarkannya. Allah ‎ﷻ telah memberikan pelbagai sumber kepada kita dan kita kenalah berusaha untuk mencarinya. Mungkin di dalam sesi NLP akan dicadangkan apakah teknik-teknik yang boleh digunakan, sumber-sumber luaran yang boleh digunakan untuk membantu.

Teknik memang banyak. Salah satu teknik adalah dengan berlakon seolah-olah anda ‘telah ada’ jawapannya: yang anda telah berjaya, anda ada hubungan yang baik dengan orang lain, anda menerima rezeki yang banyak dan sebagainya. Dengan itu, anda akan lebih bersemangat untuk menjalani kehidupan dan kerana itu semua yang anda mahukan akan berjaya diperolehi.

Ini kerana kita kadangkala tidak sedar proses yang penting. Kita selalu sangka: “kalau aku sudah berjaya, aku akan gembira.” Kesan buruk kepada kata-kata ini adalah: kita tangguhkan kegembiraan kita. Kita letak satu situasi untuk membenarkan diri kita gembira.

Namun begitu, punca gembira itu bagaikan ufuk (horizon), tidak akan dapat dicapai sampai bila-bila kalau kita kejar pun. Kerana kalau kita kejar, ufuk itu akan tetap tidak dapat dicapai.

Kerana itu kasihan kepada orang yang “postpone” (menangguhkan) kegembiraan mereka.

Ada orang kata: “Bila dah menikah nanti, aku akan gembira”.

Bila sudah menikah, dia kata pula: “Bila aku dah ada anak, aku akan gembira”.

Bila sudah ada anak, dia kata pula: “Bila anak aku dah masuk sekolah dan dapat A dalam semua exam dia, aku akan gembira.”

Bila anak dapat A, dia kata pula: “Bila anak aku dah habis sekolah, baru aku akan gembira.”

Bila anak sudah habis sekolah, dia berkata pula: “Nanti bila anak aku dah masuk universiti, aku akan gembira.”

Dan seterusnya. Ia tidak akan berakhir. (“You know where I’m going with this”).

Ini adalah jenis orang yang ada undang-undang yang dia letakkan pada dirinya sendiri: “Bila dapat A, baru aku gembira”.

Akhirnya dia tidak langsung gembira, sedar-sedar dia terlantar di katil hospital menunggu masa untuk doktor cabut alat penafasannya, sebelum dia sempat untuk gembira.

Manusia seringkala lupa yang untuk berjaya, kena gembira dahulu. Ini seperti pertelingkahan, mana yang datang dahulu: telur atau ayam? (“chicken and egg situation”). Ramai yang kata gembira hanya akan datang apabila mendapat kejayaan.

Namun, tahukah anda, kalau anda gembira sekarang, kejayaan akan lebih mudah dicapai? Selalu kita tengok orang yang berjaya itu kerana dia sedih atau kerana dia gembira? Adakah dia mencapai kejayaannya dengan penuh kesedihan? Atau dia ada semangat juang yang tinggi dan dia mencapai kejayaan itu dengan penuh gaya?

Sekian satu teknik yang boleh digunakan untuk mencapai kejayaan. Sebenarnya ada banyak lagi teknik-teknik yang ada di luar sana. Tetapi kita sahaja yang mungkin tidak tahu kerana minda kita terhad mungkin pembacaan kita tidak meluas (baca paper Sinar Harian sahaja setiap hari, contohnya). Kita tidak tahu yang sebenarnya ada sumber-sumber kejayaan di luar sana.

Yang menariknya, selalunya “resources” (sumber) Itu sudah ada di dalam minda kita. Kita pun sudah tahu apa yang perlu dibuat. Cuma menunggu masa untuk dikeluarkan sahaja.

NLP menggunakan proses untuk mengeluarkan sahaja apa yang di dalam minda itu. Selalunya dengan proses soalan. “We are the right questions.” Saya berikan contoh satu senario perbualan di antara seorang ayah dengan anak kecilnya berbincang mengenai keputusan peperiksaan:

Daddy: Husna, keputusan peperiksaan baru ni banyak tak cemerlang. Kenapa tu?
Husna: Tak tahulah daddy… susah nak jawab soalan.
Daddy: Kenapa Husna tak boleh jawab?
Husna: Banyak yang Husna tak ingat….
Daddy: Kenapa agaknya tu?
Husna: Sebab Husna banyak tengok TV ….
Daddy: Owh… kalau macam tu, apa Husna nak buat?
Husna: Kurangkan tengok TV lah..
Daddy: Kurangkan macam mana tu?
Husna: Hmmm.. Husna cuma tengok TV hari minggu sahaja. Hari-hari lain Husna belajar malam-malam.

Saya beri contoh dengan kanak-kanak kerana mereka lebih ‘suci’. Senang kita untuk kita bercakap dan mereka pun akan lebih jujur. Maka boleh gunakan teknik di atas untuk menggerakkan anak anda untuk melakukan sesuatu yang positif kerana mereka sendiri sudah ada jawapannya. Kalau jawapan itu datang dari mereka sendiri, maka ia akan lebih bermakna.

Malangnya, kalau sudah dewasa, semakin banyak alasan (banyak songel). Begitu jugalah kita selalu mengalami dugaan untuk memberi motivasi kepada rakan kita, pekerja kita, keluarga kita yang sudah dewasa. Kita ingin menolong tetapi mereka susah untuk terima. Ada sahaja alasan mereka kenapa sesuatu perkara itu tidak boleh berjaya. Ini seperti Yoda menegur Luke Skywalker di dalam filem Star Wars: “Always with you what cannot be done”. (Anda selalu sahaja dengan apa yang tidak boleh dibuat)

Mari kita lihat sedutan kata-kata hikmah dari Yoda yang boleh kita ambil pengajaran darinya.

Kalau kita buka hati kita kepada jalan penyelesaian, Allah ‎ﷻ akan berikan idea bagaimana untuk menjalankannya. Yang penting, jangan berputus asa dan cepat mengalah. Ingat yang jalan penyelesaian itu ada.

Kalau kita tidak dapat menjumpainya, bukanlah kerana tidak ada sumber, tetapi kerana sikap anda yang tidak mahu mencari. “It’s not that there is no resources, but you are in a unresouceful state”. (Bukannya tiada sumber penyelesaian, tetapi anda bukan berada di dalam keadaan tidak bersumber).

Jadi yang perlu ditukar adalah sikap anda terhadap masalah itu. Kena buka minda anda kepada jalan penyelesaian yang banyak.

Sekian semoga membantu.

 

Komen dan Soalan