Kitab : Thaharah
Bab: Tayamum
Bahagian: Beberapa Permasalahan Melibatkan Tayammum
Tajuk:
🔗 Bolehkah Tayammum bagi orang yang khuatir tertinggal rombongan?
🔗 Tayammum untuk balas salam ketika bermukim atau pun safar, walaupun pada ketika itu ada air.
🔗 Tayammum bagi orang sakit.
🔗 Tayamumum orang yang musafir
🔗 Tayammum orang yang dalam junub.
🔗 Apakah benar tayammum sampai ke lengan atau sampai ke ketiak?
E. Beberapa permasalahan yang melibatkan Tayammum
Seperti biasa, ada sahaja perbincangan yang timbul dalam bab Tayammum ini. Ulama’ telah membincangkan banyak perkara dan sekarang kita bincangkan beberapa permasalahan yang selalu ditimbulkan. Semoga dengan meneliti permasalahan-permasalahan ini, kita semakin faham tentang Tayammum dan dapat mengamalkannya.
1. Bolehkah Tayammum bagi orang yang khuatir tertinggal rombongan?
Ini satu masalah yang mungkin sering terjadi. Biasalah Rombongan Kak Limah tiap-tiap cuti sekolah akan ada melawat ke sana sini naik bas. Bolehkah hendak pakai tayammum dalam keadaan begitu? Ini disebabkan kalau pergi ke tandas takut kena tinggal pula?
Begitu jugalah dalam keadaan menaiki bas express. Bolehkah tayammum sahaja? Syaikh Albani menjawab pertanyaan ini dengan mengatakan ini adalah isu relatif. Tertinggal rombongan itu bergantung kepada keadaan.
Ada yang kalau tertinggal itu boleh menyebabkan nyawa melayang kerana kena tinggal di kawasan musuh. Selain itu ada yang cuma tertinggal rombongan sahaja dan nanti rombongan akan patah balik.
Maka, ini kena nilai keadaan sendiri: adakah ia membahayakan atau tidak? Ia bergantung kepada keadaan anda. Anda sendiri yang akan menjawab di hadapan Allah ﷻ.
2. Tayammum untuk balas salam ketika bermukim atau pun safar, walaupun pada ketika itu ada air
✍🏻Isu ini adalah berdasarkan hadis ini:
325 – حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ بُكَيْرٍ قَالَ حَدَّثَنَا اللَّيْثُ عَنْ جَعْفَرِ بْنِ رَبِيعَةَ عَنْ الْأَعْرَجِ قَالَ سَمِعْتُ عُمَيْرًا مَوْلَى ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ أَقْبَلْتُ أَنَا وَعَبْدُ اللَّهِ بْنُ يَسَارٍ مَوْلَى مَيْمُونَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى دَخَلْنَا عَلَى أَبِي جُهَيْمِ بْنِ الْحَارِثِ بْنِ الصِّمَّةِ الْأَنْصَارِيِّ فَقَالَ أَبُو الْجُهَيْمِ الْأَنْصَارِيُّ أَقْبَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ نَحْوِ بِئْرِ جَمَلٍ فَلَقِيَهُ رَجُلٌ فَسَلَّمَ عَلَيْهِ فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى أَقْبَلَ عَلَى الْجِدَارِ فَمَسَحَ بِوَجْهِهِ وَيَدَيْهِ ثُمَّ رَدَّ عَلَيْهِ السَّلَامَ
325. Telah menceritakan kepada kami Yahya bin Bukair berkata, telah menceritakan kepada kami Al Laits daripada Ja’far bin Rabi’ah daripada Al A’raj ia berkata, “Aku mendengar Umair mantan budak Ibnu Abbas, dia berkata, “Aku dan Abdullah bin Yasar, mantan budak Maimunah, isteri Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mengunjungi Abu Juhaim Ibnul Harits bin Ash Shimmah Al Anshari, dia berkata, “Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam kembali dari Bi`ar Jamal (nama tempat), lalu ada seorang laki-laki menemui baginda seraya memberi salam, namun baginda tidak membalasnya. Baginda kemudian pergi ke dinding dan menepuk tangan ke dinding, lalu mengusap muka dan kedua belah tangannya. Baru kemudian membalas salam kepada orang itu.”
[ Sahih Bukhari no. 325 ]
Syarah:
Waktu itu Nabi Muhammad ﷺ berada di Madinah, maka baginda sedang bermukim dan baginda dalam hadas pada waktu itu. Apabila baginda mendengar salam, baginda tidak mahu menjawab salam itu dalam hadas, maka baginda terus sahaja tayammum.
Mungkin air ada waktu itu, tetapi baginda ﷺ hendak cepat kerana takut orang yang beri salam itu akan pergi. Ini hanya sunat sahaja. Tidaklah kita perlu ada wudhu’ baru boleh jawab salam.
3. Tayammum bagi orang sakit
Walaupun ada air, tetapi orang sakit boleh menggunakan Tayammum.
✍🏻Dalilnya ayat [ Maidah: 6 ]
وَإِن كُنتُم مَرضىٰ أَو عَلىٰ سَفَرٍ أَو جاءَ أَحَدٌ مِنكُم مِنَ الغائِطِ أَو لامَستُمُ النِّساءَ فَلَم تَجِدوا ماءً فَتَيَمَّموا
dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan atau kembali dari tempat buang air atau menyentuh perempuan, lalu kamu tidak memperoleh air, maka bertayammumlah.
Namun, persoalannya, sakit yang macam mana? Maka ini pun perlu dijawab sendiri oleh pesakit. Sama ada sakitnya itu boleh pakai air atau tidak.
Ini kerana ada sakit yang biasa sahaja, demam sikit sahaja. Bolehlah pakai air untuk wudhu’ kalau begitu, janganlah mengada-ngada tetapi ada jenis sakit yang memang bahaya pakai air. Mungkin luka tidak dapat sembuh atau air sangat sejuk sampai boleh menyebabkan dia jadi demam lagi teruk.
Selain itu mungkin, dia sakit dan air ada, tetapi tidak boleh hendak ke bilik air untuk ambil air. Maka ini pun boleh tayammum juga. Ringkasnya, kita kena nilai sendiri keadaan kita. Letaklah diri di pertengahan: jangan bermudah sangat dan jangan menyusahkan diri sangat sampai membahayakan.
4. Tayamumum orang yang musafir
Selalunya Tayammum ini diamalkan oleh orang yang dalam musafir.
✍🏻Dalil bagi orang yang musafir boleh tayammum (kalau tidak jumpa air) adalah ayat [ Nisa’: 43 ]
وَإِن كُنتُم مَرضىٰ أَو عَلىٰ سَفَرٍ أَو جاءَ أَحَدٌ مِنكُم مِنَ الغائِطِ أَو لامَستُمُ النِّساءَ فَلَم تَجِدوا ماءً فَتَيَمَّموا
Dan jika kamu sakit atau sedang dalam musafir atau datang dari tempat buang air atau kamu telah menyentuh perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air, maka bertayamumlah kamu
Mungkin dalam perjalanan itu ada air, tetapi air itu sedikit sahaja dan diperlukan untuk minuman, maka dalam keadaan ini boleh tayammum menggantikan air untuk mengangkat hadas.
5. Tayammum orang yang dalam junub
Orang yang bertayammum juga boleh menggunakan Tayammum untuk mengangkat hadas besarnya itu.
✍🏻Dalilnya adalah ayat [ Maidah: 6 ] itu juga
وَإِن كُنتُم مَرضىٰ أَو عَلىٰ سَفَرٍ أَو جاءَ أَحَدٌ مِنكُم مِنَ الغائِطِ أَو لامَستُمُ النِّساءَ فَلَم تَجِدوا ماءً فَتَيَمَّموا
dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan atau kembali dari tempat buang air atau menyentuh perempuan, lalu kamu tidak memperoleh air, maka bertayammumlah
Dalam ayat ini, kalimah ‘menyentuh wanita’ itu bukan sahaja bermaksud ‘sentuh’ biasa tetapi bersentuh-sentuhan. Keadaan yang dimaksudkan adalah jimak. Maka kalau dalam junub dan tiada air, maka boleh menggunakan tayammum. Ini disokong oleh sunnah juga.
✍🏻Lihat hadith ini:
326 – حَدَّثَنَا آدَمُ قَالَ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ حَدَّثَنَا الْحَكَمُ عَنْ ذَرٍّ عَنْ سَعِيدِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبْزَى عَنْ أَبِيهِ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ فَقَالَ إِنِّي أَجْنَبْتُ فَلَمْ أُصِبْ الْمَاءَ فَقَالَ عَمَّارُ بْنُ يَاسِرٍ لِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ أَمَا تَذْكُرُ أَنَّا كُنَّا فِي سَفَرٍ أَنَا وَأَنْتَ فَأَمَّا أَنْتَ فَلَمْ تُصَلِّ وَأَمَّا أَنَا فَتَمَعَّكْتُ فَصَلَّيْتُ فَذَكَرْتُ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيكَ هَكَذَا فَضَرَبَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَفَّيْهِ الْأَرْضَ وَنَفَخَ فِيهِمَا ثُمَّ مَسَحَ بِهِمَا وَجْهَهُ وَكَفَّيْهِ
326. Telah menceritakan kepada kami Adam ia berkata; telah menceritakan kepada kami Syu’bah berkata, telah menceritakan kepada kami Al Hakam daripada Dzar daripada Sa’id bin ‘Abdurrahman bin Abza daripada Bapaknya berkata, “Seorang laki-laki datang kepada Umar Ibnul Khaththab dan berkata, “bagaimana kalau aku mengalami junub tapi tidak mendapatkan air?” Maka berkatalah ‘Ammar bin Yasir kepada ‘Umar bin Al Khaththab, “Masih ingatkah engkau ketika kita dalam suatu perjalanan? Ketika itu aku dan engkau sedang berjunub. Adapun engkau tidak bersolat. Sedangkan aku bergulingan di atas tanah lalu solat? Kemudian hal itu aku sampaikan kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, dan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sebenarnya cukup kamu melakukan begini.” Baginda lalu menepuk telapak tangannya ke tanah dan meniupnya, lalu mengusapkannya ke muka dan kedua telapak tangannya di bahagian belakangnya hingga ke pergelangan.”
[ Sahih Bukhari no. 326 ]
Syarah:
Hadith ini menjadi dalil bahawa junub juga boleh diangkat dengan Tayammum. Sama sahaja caranya untuk mengangkat hadas kecil, tidak ada bezanya. Bagaimana kalau dalam haidh? Sama juga, boleh tayammum.
6. Apakah benar tayammum sampai ke lengan atau sampai ke ketiak itu sahih?
Ada juga pendapat yang mengatakan sapu tangan dalam Tayammum itu seperti juga dalam wudhu’ sampai ke siku. Ini adalah pendapat mazhab Syafie dan inilah yang diajar di sekolah-sekolah kita kerana rata-ratanya masyarakat kita berpegang dengan mazhab Syafie.
Ada juga yang berpendapat, tangan itu disapu sampai ke ketiak kerana tangan itu seluruh tangan kata mereka, iaitu sampai ke ketiak.
📍Lalu apakah pendapat yang rajih?
Dalam Kitab Sahih Bukhari, beliau bawa satu tajuk dalam Kitab Tayammum: Tayammum Untuk Muka Dan Kedua (Belakang) Tapak Tangan (Sahaja) . Tajuk ini dalam nada jazam (tegas) kerana Imam Bukhari hendak kritik pendapat yang mengatakan kena sapu sampai lengan dan ada yang kata sampai ketiak. Yang mengatakan demikian, mereka menggunakan konsep qiyas.
✍🏻Hadis yang dibawa oleh Imam Bukhari adalah hadith riwayat Ammar:
327 – حَدَّثَنَا حَجَّاجٌ قَالَ أَخْبَرَنَا شُعْبَةُ أَخْبَرَنِي الْحَكَمُ عَنْ ذَرٍّ عَنْ سَعِيدِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبْزَى عَنْ أَبِيهِ قَالَ عَمَّارٌ بِهَذَا وَضَرَبَ شُعْبَةُ بِيَدَيْهِ الْأَرْضَ ثُمَّ أَدْنَاهُمَا مِنْ فِيهِ ثُمَّ مَسَحَ بِهِمَا وَجْهَهُ وَكَفَّيْهِ
وَقَالَ النَّضْرُ أَخْبَرَنَا شُعْبَةُ عَنْ الْحَكَمِ قَالَ سَمِعْتُ ذَرًّا يَقُولُ عَنْ ابْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبْزَى قَالَ الْحَكَمُ وَقَدْ سَمِعْتُهُ مِنْ ابْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَنْ أَبِيهِ قَالَ قَالَ عَمَّارٌ
327. Telah menceritakan kepada kami Hajjaj dia berkata; telah mengkhabarkan kepada kami Syu’bah telah mengkhabarkan kepada kami Al Hakam daripada Dzarri daripada Sa’id bin ‘Abdurrahman bin Abza dari bapanya, telah berkata ‘Ammar: buat begini. Sambil Syu’bah menepuk kedua telapak tangannya ke tanah lalu mendekatkannya kepada mulutnya (lalu meniupnya) kemudian mengusapkannya ke mukanya dan bahagian belakang kedua tangannya. Dan telah berkata An Nadlar telah mengabarkan kepada kami Syu’bah daripada Al Hakam dia berkata; saya mendengar Dzarr berkata; daripada Ibnu Abdurrahman bin Abzaa, berkata Al Hakam; dan aku telah mendengarnya daripada Ibnu Abdurrahman daripada ayahnya berkata; Ammar berkata: muka bumi yang suci adalah air sembahyang (bahan penyuci) orang Islam. Ia memadai untuknya sebagai pengganti air.
[ Sahih Bukhari no. 327 ]
Ayat al-Qur’an berkenaan dengan tayammum menggunakan kalimah ‘tangan’ tetapi tidak disebutkan had untuk menyapu dalam tayammum. Maka ada yang memegang perlu disapu sampai lengan mengikut perbuatan dalam wudhu’ dan ada juga yang pegang bahawa perlu disapu keseluruhan tangan sampai ketiak.
Tidak pula mereka kata sapu sampai bahu kalaulah betul hendak pakai makna keseluruhan tangan. Sebenarnya kita kena pakai yang selalu dipegang sebagai ‘tangan’ dalam penggunaan syarak iaitu sampai pergelangan tangan sahaja.
Contohnya, dalam mengamalkan hudud, apabila pencuri ditangkap, mereka yang dipotong tangan juga hanya sampai pergelangan juga walaupun tidak disebut had tangan untuk dipotong di dalam al-Qur’an. Ini kerana pengamalannya dilihat dan diambil dari perbuatan Rasulullah.
Kesimpulan:
Untuk tayammum, maka hanya sapu pada muka dan tangan sampai ke pergelangan tangan sahaja. Malah lebih tepat lagi, belakang tapak tangan sahaja kerana tapak tangan sendiri sudah kena muka bumi maka tidaklah perlu untuk disapu lagi.
Malah, kalau kita lihat cara ini amatlah mudah bagi para wanita. Mereka tidak perlu hendak sinsing lengan pun.
7. Adakah tayammum sekali tepuk atau dua kali tepuk pada tanah?
Adakah tepukan sekali atau dua kali? Dua kali itu maksudnya: sekali untuk muka dan sekali lagi untuk tangan. Malah ada yang berkata sehingga tiga kali.
Tepukan pada muka bumi itu sekali sahaja. Inilah pendapat Imam Bukhari رضي الله عنه sampaikan beliau memasukkan satu tajuk di dalam Kitab Tayammum di dalam Sahih Bukhari: بَاب التَّيَمُّمُ ضَرْبَةٌ (Bab Bertayammum Hanya Dengan Satu Tepukan)
✍🏻Beliau membawakan hadis ini sebagai hujah:
334 – حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ سَلَامٍ قَالَ أَخْبَرَنَا أَبُو مُعَاوِيَةَ عَنْ الْأَعْمَشِ عَنْ شَقِيقٍ قَالَ كُنْتُ جَالِسًا مَعَ عَبْدِ اللَّهِ وَأَبِي مُوسَى الْأَشْعَرِيِّ فَقَالَ لَهُ أَبُو مُوسَى لَوْ أَنَّ رَجُلًا أَجْنَبَ فَلَمْ يَجِدْ الْمَاءَ شَهْرًا أَمَا كَانَ يَتَيَمَّمُ وَيُصَلِّي فَكَيْفَ تَصْنَعُونَ بِهَذِهِ الْآيَةِ فِي سُورَةِ الْمَائِدَةِ { فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا }
فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ لَوْ رُخِّصَ لَهُمْ فِي هَذَا لَأَوْشَكُوا إِذَا بَرَدَ عَلَيْهِمْ الْمَاءُ أَنْ يَتَيَمَّمُوا الصَّعِيدَ قُلْتُ وَإِنَّمَا كَرِهْتُمْ هَذَا لِذَا قَالَ نَعَمْ فَقَالَ أَبُو مُوسَى أَلَمْ تَسْمَعْ قَوْلَ عَمَّارٍ لِعُمَرَ بَعَثَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي حَاجَةٍ فَأَجْنَبْتُ فَلَمْ أَجِد الْمَاءَ فَتَمَرَّغْتُ فِي الصَّعِيدِ كَمَا تَمَرَّغُ الدَّابَّةُ فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيكَ أَنْ تَصْنَعَ هَكَذَا فَضَرَبَ بِكَفِّهِ ضَرْبَةً عَلَى الْأَرْضِ ثُمَّ نَفَضَهَا ثُمَّ مَسَحَ بِهِمَا ظَهْرَ كَفِّهِ بِشِمَالِهِ أَوْ ظَهْرَ شِمَالِهِ بِكَفِّهِ ثُمَّ مَسَحَ بِهِمَا وَجْهَهُ فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِe أَفَلَمْ تَرَ عُمَرَ لَمْ يَقْنَعْ بِقَوْلِ عَمَّارٍ
وَزَادَ يَعْلَى عَنْ الْأَعْمَشِ عَنْ شَقِيقٍ كُنْتُ مَعَ عَبْدِ اللَّهِ وَأَبِي مُوسَى فَقَالَ أَبُو مُوسَى أَلَمْ تَسْمَعْ قَوْلَ عَمَّارٍ لِعُمَرَ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعَثَنِي أَنَا وَأَنْتَ فَأَجْنَبْتُ فَتَمَعَّكْتُ بِالصَّعِيدِ فَأَتَيْنَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَخْبَرْنَاهُ فَقَالَ إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيكَ هَكَذَا وَمَسَحَ وَجْهَهُ وَكَفَّيْهِ وَاحِدَةً
334. Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Salam berkata; telah mengabarkan kepada kami Abu Mu’awiyah daripada Al A’masy daripada Syaqiq dia berkata; Aku pernah duduk bersama ‘Abdullah bin Mas’ud dan Abu Musa Al Asy’ari. Lalu Abu Musa berkata kepadanya, “Seandainya ada seseorang mengalami junub dan tidak mendapatkan air selama satu bulan, adakah dia tidak boleh bertayamum dan salat? Abdullah menjawab: Dia tidak boleh bertayammum walaupun tidak mendapat air selama sebulan. Abu Musa bertanya: Dan bagaimana dengan ayat di dalam Surah [ Al Maidah: 6 ] ‘(Lalu kamu tidak memperoleh air, maka bertayammumlah dengan tanah yang baik (bersih) ‘? ‘Abdullah berkata, “Kalau dipermudahkan kepada mereka dalam masalah ini, nanti bila dirasakan sejuk, mereka akan terus bertayamum menggunakan tanah.” Al A’masy bertanya, “Apakah kamu (Syaqiq) tidak suka orang bertayammum kerana ini?” Syaqiq menjawab, “Ya.” Kemudian Abu Musa berkata, “Tidakkah kamu pernah mendengar ucapan ‘Ammar kepada Umar, ‘Rasulullah ﷺ mengutuskanku di dalam suatu urusan, aku lalu junub dan tidak mendapatkan air. Maka aku pun berguling-guling di atas tanah seperti haiwan. Kemudian aku ceritakan hal tersebut kepada Nabi ﷺ, lalu baginda bersabda: “Sebenarnya cukup buatmu melakukan begini.” Nabi ﷺ kemudian menepuk telapak tangannya sekali ke permukaan tanah dan mengibaskannya, lalu mengusap belakang tangan kanannya dengan telapak tangan kirinya, dan belakang telapak kirinya dengan telapak tangan kanannya, kemudian baginda mengusap wajahnya dengan kedua-kedua belah tangannya.” Abdullah berkata, “Tidakkah engkau melihat ‘Umar tidak berpuas hati dengan kata-kata ‘Ammar itu?” Ya’la menambahkan dari Al A’masy dari Syaqiq, “Aku pernah bersama ‘Abdullah dan Abu Musa. Abu Musa lalu berkata, “Tidakkah kamu mendengar perkataan ‘Ammar kepada ‘Umar ‘Sesungguhnya Rasulullah ﷺ telah mengutus aku dan kamu, lalu aku mengalami junub dan kerananya aku bergulingan di atas tanah. Kemudian kita temui Rasulullah ﷺ menceritakan hal itu kepada baginda. Baginda lalu bersabda: “Sebenarnya buat begini sahaja sudah memadai untukmu.” Baginda lalu menyapu muka dan kedua tangannya satu kali sahaja.
[ Sahih Bukhari No. 334 ]
Syarah:
Dalam hadith ini disebut Rasulullah ﷺ menepuk tangan baginda sekali sahaja ke tanah. Tidak dua atau tiga kali. Ini kita ketahui dari kalimah ضَرْبَةً yang bermaksud ‘sekali pukul’. Kalau dua kali tepuk, tentulah kalimah yang digunakan adalah ضربتين.
8. Adakah tayammum dapat menggantikan kedudukan air?
Perkara ini menjadi khilaf di kalangan ulama’. Adakah tayammum itu benar-benar mengangkat hadas, atau ia hanya sebagai rukhsah semasa darurat sahaja?
Kalau ia rukhsah semasa darurat sahaja, maka tidaklah hadas terangkat dengan tayammum. Hadas masih tetap ada, cuma boleh untuk salat sahaja. Ini adalah pendapat Mazhab Syafie.
Bagi yang mengatakan tayammum tidak mengangkat hadas, maka mereka berpendapat setiap kali hendak salat, kena tayammum dan tayammum hanya boleh dilakukan apabila waktu salat sudah masuk. Kalau waktu belum masuk, tayammum tidak akan dikira.
Pendapat yang rajih adalah memang tayammum itu telah mengangkat hadas. Ini adalah kerana tayammum itu adalah ‘pengganti’ kepada air, dan sebagaimana air mengangkat hadas, maka tayammum itu juga mengangkat hadas. Maknanya orang yang telah melakukan tayammum adalah suci.
✍🏻Dalilnya:
Rasulullah ﷺ bersabda, “Tanah adalah wudhu’ seorang muslim jika tidak mendapatkan air walaupun selama sepuluh tahun.”
[ HR An-Nasai dan Ibnu Hibban ]
Maknanya, tanah itu sebagai alat untuk menyucikan seseorang yang dalam hadas.
Ramai ulama’ yang berpendapat begini, antaranya Imam Bukhari, Ibnu Taimiyyah, Hasan al Basri رضي الله عنهم dan lain-lain lagi. Jadi tidak perlu untuk melakukan tayammum setiap kali hendak salat. Dalam hadith, Nabi ﷺ ada menyebut, wanita yang istihadhah perlu mengambil wudhu’ setiap kali waktu salat. Namun, Nabi ﷺ tidak pernah menyebut orang yang bertayammum dikehendaki melakukan tayammum setiap kali hendak salat.
Ini bersesuaian dengan kemudahan tayammum yang diberikan oleh Allah ﷻ. Kalau setiap kali hendak salat dikehendaki melakukan tayammum, itu tidaklah dikira sebagai memudahkan. Sudah menjadi satu kesusahan pula untuk mencari tanah untuk tayammum.
Maknanya, sekali Tayammum dapat digunakan untuk beberapa salat, asalkan tidak batal tayammum itu. Pembatalan tayammum adalah sebagaimana pembatalan wudhu’ juga (seperti kentut dan buang air).
9. Syarat sucinya tanah yang digunakan untuk tayammum.
Syarat menggunakan tanah atau mukabumi sebagai alat tayammum adalah ia mesti suci bersih. Kalau tidak bersih, maka tidak boleh digunakan. Ini kita pastikan dengan melihatnya sahaja. Kalau kita lihat mukabumi itu bersih tanpa najis, maka boleh digunakan tanpa was-was.
✍🏻Dalilnya Allah ﷻ berfirman dalam [ Nisa’: 43 ]
فَتَيَمَّموا صَعيدًا طَيِّبًا
maka bertayamumlah kamu dengan tanah yang baik (suci);
10. Boleh tayammum secara jamaah dari satu tempat.
Tidak ada masalah untuk menggunakan tanah yang sama oleh ramai orang. Tanah itu tidak jadi mustaqmal. Sebagaimana air wudhu’ boleh diambil dari bekas yang sama oleh ramai orang, maka begitu juga dengan tanah.
11. Sah salat orang yang wudhu’ mengikuti imam yang tayammum
Perkara ini khilaf di kalangan ulama’. Ada ulama’ yang berpendapat makruh bagi mereka yang menggunakan tayammum mengimami makmum yang bersuci dengan air.
Ibn Abbas رضي الله عنه pernah menjadi imam menggunakan tayammum dan waktu itu beliau mengimami makmum yang berwudhu’. Kalau beliau tidak layak menjadi imam kerana bertayammum, tentu beliau sudah menyuruh orang lain untuk menjadi imam.
Akan tetapi sebenarnya tidak ada masalah kerana jelas di dalam hadith bagaimana telah dibawa oleh Imam Bukhari رضي الله عنه secara muallaq (tanpa sanad) dalam Sahih Bukhari:
✍🏻Hadis
وَقَالَ الْحَسَنُ يُجْزِئُهُ التَّيَمُّمُ مَا لَمْ يُحْدِثْ وَأَمَّ ابْنُ عَبَّاسٍ وَهُوَ مُتَيَمِّمٌ وَقَالَ يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ لَا بَأْسَ بِالصَّلَاةِ عَلَى السَّبَخَةِ وَالتَّيَمُّمِ بِهَا
Al-Hasan berpendapat tayammum memadai untuknya selagi dia tidak berhadas. Dan Ibn Abbas رضي الله عنه menjadi imam dengan bertayamum. Yahya bin Said berpendapat tidak salah salat di atas tanah yang tandus yang masin dan bertayamum dengannya.
✍🏻Dan dalam hadith yang lain, Imam Bukhari رضي الله عنه juga membawa hadith secara muallaq ketika Amar al As yang menjadi panglima perang dan beliau junub dan hanya bertayammum sahaja sedangkan ada sahabat lain yang berwudhu’ menjadi makmumnya.
✍🏻Hadis:
وَيُذْكَرُ أَنَّ عَمْرَو بْنَ الْعَاصِ أَجْنَبَ فِي لَيْلَةٍ بَارِدَةٍ فَتَيَمَّمَ وَتَلَا { وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا } فَذَكَرَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمْ يُعَنِّفْ
Dan ada disebutkan bahawa Amar bin al-As telah berjunub pada suatu malam yang sejuk. Dia telah bertayammum dan membaca firman Allah ﷻ: “Jangan kamu membunuh dirimu sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepada dirimu“. Perkara itu telah diceritakan kepada Nabi ﷺ namun baginda tidak menegur Amar.
12. Orang yang salat dengan tayammum tidak perlu mengulangi salat walaupun air ada sebelum habis waktu salat.
Kalau seseorang salat dengan menggunakan tayammum, dia tidak perlu lagi salat walaupun selepas itu dia menjumpai air. Katakanlah pada awal waktu Zuhur dia telah salat dengan yayammum. Kemudian dia meneruskan perjalanan dan sebelum waktu Zuhur habis, dia telah menjumpai air. Maka, dia tetap tidak perlu menggantikan salatnya yang di awal waktu tadi. Ini adalah kerana salatnya telah sah dan tidak perlu diganti.
✍🏻Dalilnya:
حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ إِسْحَاقَ الْمُسَيَّبِيُّ، أَخْبَرَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ نَافِعٍ، عَنِ اللَّيْثِ بْنِ سَعْدٍ، عَنْ بَكْرِ بْنِ سَوَادَةَ، عَنْ عَطَاءِ بْنِ يَسَارٍ، عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ، قَالَ خَرَجَ رَجُلاَنِ فِي سَفَرٍ فَحَضَرَتِ الصَّلاَةُ وَلَيْسَ مَعَهُمَا مَاءٌ فَتَيَمَّمَا صَعِيدًا طَيِّبًا فَصَلَّيَا ثُمَّ وَجَدَا الْمَاءَ فِي الْوَقْتِ فَأَعَادَ أَحَدُهُمَا الصَّلاَةَ وَالْوُضُوءَ وَلَمْ يُعِدِ الآخَرُ ثُمَّ أَتَيَا رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَذَكَرَا ذَلِكَ لَهُ فَقَالَ لِلَّذِي لَمْ يُعِدْ ” أَصَبْتَ السُّنَّةَ وَأَجْزَأَتْكَ صَلاَتُكَ ” . وَقَالَ لِلَّذِي تَوَضَّأَ وَأَعَادَ ” لَكَ الأَجْرُ مَرَّتَيْنِ ” .
Daripada Abu Sa’id al Khudri, dia berkata: “Dua orang lelaki keluar dalam satu safar. Kemudian tiba waktu salat, keduanya tidak memiliki air. Keduanya bertayammum dengan tanah yang suci lalu mengerjakan salat. Setelah itu, mereka mendapati air tatkala masih dalam waktu salat. Salah seorang dari keduanya wudhu’ dan salat semula dan yang seorang lagi tidak mengulanginya. Setelah itu keduanya mendatangi Rasulullah ﷺ dan menceritakan kejadian tersebut kepada baginda. Baginda bersabda kepada seorang yang tidak mengulangi: “Kamu telah menepati sunnah dan salat yang kamu kerjakan telah cukup bagimu”. Dan baginda bersabda kepada yang berwudhu’ dan mengulangi salatnya: “Bagimu pahala dua kali”.
[ Sunan Abi Dawud No. 338. Sahih ]
Syarah:
Hadith ini menjadi dalil bahawa tidak perlu mengulangi salat walaupun boleh menggunakan air semasa waktu salat masih ada. Sahabat yang seorang lagi tidak menepati sunnah tetapi beliau mendapat dua kali pahala kerana menggunakan ijtihadnya. Oleh kerana Nabi ﷺ telah memberi hukum tidak perlu mengulangi, maka perbuatan sahabat itu mengulangnya salatnya tidaklah perlu diikuti.
Sahabat itu sahaja yang mendapat dua kali pahala. Kalau kita pun ingin mengulangi salat, maka kita telah melanggar hadith yang lain:
✍🏻Hadis:
لا تصلوا صلاة في يوم مرتين
Janganlah kamu mengerjakan salat dua kali dalam sehari.
[ Riwayat Ahmad. Sanadnya hasan mengikut Albani ]
Allahu a’lam.