Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az-Zumar: Tafsir Ayat Ke-60 & Ke-61

Tafsir Surah Az-Zumar: Tafsir Ayat Ke-60 & Ke-61

315
0
Iklan

Tafsir Ayat Ke-60
Takhwif Ukhrawi

وَيَومَ القِيٰمَةِ تَرَى الَّذينَ كَذَبوا عَلَى اللهِ وُجوهُهُم مُّسوَدَّةٌ ۚ أَلَيسَ في جَهَنَّمَ مَثوًى لِّلمُتَكَبِّرينَ

Dan pada hari kiamat, engkau akan melihat orang-orang yang berdusta terhadap Allah (dan yang menyatakan kesedihan itu) – muka mereka hitam legam; bukankah (telah diketahui bahawa) dalam neraka Jahannam disediakan tempat tinggal bagi orang-orang yang sombong takbur?

وَيَوْمَ الْقِيٰمَةِ

Dan pada hari kiamat itu,

Maksudnya mereka yang menolak wahyu akan dimasukkan ke dalam neraka akhirnya.

تَرَى الَّذِينَ كَذَبُوا عَلَى اللهِ

engkau akan melihat orang-orang yang berdusta terhadap Allah itu.

Iaitu mereka yang berdusta dengan wahyu-Nya kerana mereka tidak mahu belajar tafsir al-Qur’an dan tidak mahu belajar hadis Nabi-Nya.

Apakah yang dimaksudkan ‘berdusta terhadap Allah?’i aitu mereka yang apabila disampaikan wahyu kepada mereka, mereka tolak dan kata itu adalah dusta. Termasuk juga mereka yang mengajar fahaman atau amalan yang bukan daripada Allah SWT dan Nabi SAW tetapi mereka dakwa ianya ada dalam Islam.

Ini termasuklah mereka yang mengatakan sesuatu amalan yang Nabi SAW tidak pernah ajar itu sebagai ‘Bid’ah Hasanah‘. Padahal tidak ada Bid’ah Hasanah dalam Islam.

Semua perkara bid’ah adalah sesat seperti hadis Nabi SAW. Ini termasuklah amalan Majlis Tahlil, Solat Hajat berjemaah, talqin, Sambutan Maulid Nabi dan sebagainya lagi.

وُجُوهُهُمْ مُّسْوَدَّةٌ

muka-muka mereka hitam pekat

Wajah mereka akan dalam kegelapan, sedangkan wajah mereka yang berpegang dengan sunnah akan berseri-seri bercahaya.

Disebabkan perbuatan mereka di dunia dahulu, Allah jadikan muka mereka hitam legam. Selalunya muka kitalah yang kita paling jaga, tetapi Allah SWT jadikan muka itu hitam pekat. Semua orang boleh tengok semasa di Mahsyar nanti.

أَلَيْسَ فِي جَهَنَّمَ مَثْوًى لِّلْمُتَكَبِّرِينَ

Tidakkah neraka jahanam itu tempat yang sesuai sekali kepada mereka yang sombong?

Nerakalah tempat yang sesuai dan layak bagi mereka atas perbuatan mereka dahulu semasa di dunia kerana mereka sombong untuk terima ajaran tauhid. Sombong untuk belajar al-Qur’an dan tentang agama.

Apabila diajak untuk belajar tafsir al-Qur’an, macam-macam alasan yang mereka akan berikan. Maka nerakalah tempat yang paling sesuai untuk mereka.

Tafsir Ayat 61

Tabshir Ukhrawi. Ini pula adalah kepada orang yang hendak belajar agama Allah SWT. Mereka berusaha untuk belajar al-Qur’an dan Hadis Nabi SAW yang sahih.

وَيُنَجِّي اللهُ الَّذينَ اتَّقَوا بِمَفازَتِهِم لا يَمَسُّهُمُ السّوءُ وَلا هُم يَحزَنونَ

Dan (sebaliknya) Allah akan menyelamatkan orang-orang yang bertaqwa (yang menjauhkan diri dari perbuatan syirik dan maksiat) dengan mereka mendapat kemenangan besar (keredaan Allah) mereka tidak akan disentuh sesuatu yang buruk, dan tidak akan berdukacita.

وَيُنَجِّي اللَهُ الَّذِينَ اتَّقَوْا

Dan Allah akan selamatkan orang-orang yang bertaqwa,

Iaitu mereka yang mengikut suruhan Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya. Yang paling penting adalah mereka yang menjauhkan diri dari melakukan syirik kepada Allah SWT.

Surah Zumar ini adalah berkenaan syirik kepada Allah SWT. Oleh itu tema di dalam surah ini adalah berkenaan dengan syirik. Jadi makna ‘taqwa’ dalam ayat ini adalah menjaga diri dari melakukan syirik kepada Allah SWT dan caranya dengan belajar.

Kepada mereka yang sebegitu, Allah SWT akan selamatkan mereka di akhirat kelak. Inilah yang penting sekali kita kehendaki kerana di situlah tempat yang kita amat-amat memerlukan pertolongan.

Hanya Allah SWT sahaja yang kita boleh harapkan pertolongan itu. Tidak ada sesiapa yang boleh tolong walaupun Nabi, wali dan malaikat.

بِمَفَازَتِهِمْ

dengan memberi pelepasan kepda mereka.

Di akhirat nanti, kita akan menempuh beberapa tempat yang perlu dilalui. Iaitu kubur, Mahsyar, Titian Sirat, Neraka dan sebagainya. Di tempat-tempat ini, orang-orang bertaqwa akan dilepaskan dari bahaya.

Berapa ramai lagi yang tidak akan selamat kerana mereka telah melakukan kesalahan-kesalahan yang entah berapa banyak? Maka beruntunglah mereka yang diselamatkan.

Apabila dia berada di dalam kubur, dia akan dilepaskan daripada azab kubur. Apabila dia berada di tempat kebangkitan, dia akan selamat lagi. Di Mahsyar, Nabi SAW akan siap sedia menanti mereka di situ. Nabi SAW akan panggil mereka untuk minum air daripada Telaga Kautsar.

Bila dia minum Air Telaga Kautsar itu, dia tidak akan dahaga sampai bila-bila. Kemudian itu baru pergi ke Mahsyar. Masa itu belum diberi syafaat lagi. Orang-orang yang dapat minum air Telaga Kautsar sahaja yang akan dapat syafaat.

Apabila Nabi SAW menunggu di telaga itu, Nabi SAWakan nampak orang Islam yang cerah anggota-anggota wudhu’ mereka, maka mereka dipanggil oleh Nabi SAW untuk minum dari air Kauthar itu. Nabi SAW akan menggamit dan memanggil mereka kerana Nabi SAW sangka mereka adalah umatnya.

Namun, malaikat yang menunggu bersama Nabi SAW akan beritahu baginda bahawa mereka buat apa yang Nabi SAW tidak ajar selepas kematian baginda. Maka Nabi SAW akan halau mereka jauh-jauh. Ini sebelum masuk dibicarakan di Mahsyar lagi.

Ini adalah dalil yang mengatakan melakukan bid’ah itu bukanlah sesuatu yang baik. Janganlah kita terkeliru dengan kata-kata terdapat dua jenis bid’ah – bid’ah Hasanah dan bid’ah Mazmumah. Kena lihat penjelasan yang lebih tentang perkara itu.

Kemudian, semua manusia akan melalui Titian Sirat yang akan berada di atas Neraka. Maknanya, semasa melalui Sirat itu, kita sebenarnya sedang melalui neraka. Semua orang boleh tengok bagaimana keadaan azab di neraka itu. Ada yang dapat lalu dengan cepat dan ada yang dapat lalu juga, tetapi perlahan.

Dan malangnya nanti, ada yang akan ditarik sampai terjatuh, tetapi orang-orang yang bertaqwa akan diselamatkan. Oleh itu, kemenangan yang dimaksud dalam ayat ini adalah kemenangan selamat dari bahaya.

Itu adalah kemenangan yang amat besar sekali. Bayangkan kalau kita terselamat dari dilanggar bas, hampir terkena dan kita rasa amat bersyukur sekali dan waktu itu kita memang terasa lepas dari bahaya yang amat besar. Begitulah juga di akhirat kelak.

Kita sudah nampak azab yang boleh jadi kena kepada kita, tetapi kita dapat selamat dari bahaya itu. Jadi, kejayaan itu lebih bermakna. Sebab itulah Allah SWT akan melalukan kita dalam neraka, supaya kita akan lebih menghargai nikmat syurga yang diberikan kepada kita nanti.

Jadi, di mana saja tempat yang ada azab orang-orang mukmin akan terlepas dari azab itu. Apabila dibicarakan, mereka akan terlepas. Waktu itu akan dibacakan segala perbuatan kita semasa di dunia itu. Siapa yang akan baca?

Kita sendiri akan baca buku amalan kita. Mana-mana kesalahan yang telah dimaafkan oleh Allah SWT, tidak akan dibaca. Ini adalah kerana ia telah dimaafkan oleh Allah.

Setiap dosa selagi tidak ditanya, maka maknanya kita akan selamat. Kita akan jumpa Tuhan sendiri-sendiri, seorang-demi seorang. Maka kita kena pasang niat hendak jumpa Tuhan bukan dengan cara Dia dalam keadaan marah. Minta ampunlah semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa-dosa kita.

Mintalah supaya Allah SWT ampun dosa kita supaya kita dapat jumpa dengan Dia di syurga Firdaus nanti. Mintalah dan tinggalkanlah dosa-dosa yang kita buat selama ini.

Bagaimanakah Allah SWT akan menyelamatkan mereka? Dengan memasukkan mereka ke dalam syurga. Itulah kejayaan yang paling besar.

لَا يَمَسُّهُمُ السُّوءُ

Dan tidak akan ditimpa sebarang kesusahan (azab)

Dia tidak akan merasa azab yang akan dikenakan kepada mereka yang engkar. Tidak ada kesusahan langsung walaupun sedikit. Waktu itu beruntunglah mereka yang percaya dan berpegang kepada wahyu Allah SWT

وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

dan mereka tidak akan berdukacita.

Allah SWT akan cabut segala perasaan dukacita mereka kerana syurga adalah tempat untuk menikmati segala kenikmatan.

Jadi, kalau ada rasa sedih teringat orang lain, teringat keluarga kita yang kita tinggalkan, harta kita tinggalkan dan apa-apa sahaja, itu tidak sesuai di dalam syurga kerana kita sudah tidak dapat menikmati nikmat syurga.

Jadi, walaupun anak beranak, adik beradik dia masuk neraka pun dia tidak akan berasa dukacita kerana dalam syurga tidak ada perasaan berduka cita. Maka oleh itu dicabut dari hatinya perasaan dukacita itu. Tidak berasa kasihan belas lagi walaupun kepada mak ayah atau anak-anak kita sekalipun kerana Allah SWT akan tarik ingatan kita kepada mereka.

Kita sekarang di dunia memang berasa kasihan kepada mereka, tetapi Tuhan akan cabut perasaan itu apabila sudah masuk syurga nanti. Kalau tidak, dia tidak boleh merasai kelazatan dalam syurga dan syurga itu adalah tempat merasai nikmat sahaja.

Maka, janganlah hendaknya kita masuk dalam neraka, sebab orang yang paling sayang kepada kita pun tidak akan ingat kepada kita lagi.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan