Kitab : Thaharah
Bab: Mandi
Bahagian : Tatacara Mandi Junub
Tajuk:
👁🗨 Mencuci tangan dengan tanah, atau dengan sabun dan lainnya
👁🗨 Mencuci tangan sebelum memasukkan ke dalam bekas
👁🗨 Berwudhu’ Sebelum Mandi
👁🗨 Berkumur dan Memasukkan Air ke Hidung
👁🗨 Menuangkan Air ke Atas Kepala 3 Kali dan Menyela-nyela Rambut
👁🗨 Memulai dari Kepala Sebelah Kanan dan kemudian Kepala Sebelah Kiri
👁🗨 Mengakhirkan Mencuci Kedua Kaki
G. Tatacara Mandi Junub
Kita telah sebut rukun ghusl (Mandi Junub) sebelum ini iaitu Niat, basmalah dan meratakan air ke seluruh badan. Itu adalah perkara yang minima yang perlu dilakukan. Selain dari itu, kalau kita melihat cara-cara Rasululluh صلى الله عليه وسلم, ada banyak perkara tambahan yang baginda lakukan. Kita kena lihat perkara itu sebagai sunat.
Maka harap dapat dibezakan antara wajib dan sunat. Sebolehnya, kita ikut cara Nabi صلى الله عليه وسلم, tetapi kalau tidak sempat, mandi junub dengan hanya meratakan air ke seluruh badan itu sudah sah. Ada beberapa cara yang disebut dalam hadith, dan mungkin ada sedikit perbezaan antara hadith-hadith itu. Apabila kita lihat semua hadith-hadith itu dan gabungkan, maka kita akan dapat satu cara mandi yang lengkap.
Kalau lihat satu hadith sahaja, tidak nampak kerana pencerita hadith-hadith itu berlainan orang dan mereka menekankan perkara yang berlainan.
✍🏻Antara hadis tentang cara Rasulullah صلى الله عليه وسلم ghusl banyak dijadikan sebagai dalil:
240 – حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يُوسُفَ قَالَ أَخْبَرَنَا مَالِكٌ عَنْ هِشَامِ بْنِ عُرْوَةَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَائِشَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا اغْتَسَلَ مِنْ الْجَنَابَةِ بَدَأَ فَغَسَلَ يَدَيْهِ ثُمَّ يَتَوَضَّأُ كَمَا يَتَوَضَّأُ لِلصَّلَاةِ ثُمَّ يُدْخِلُ أَصَابِعَهُ فِي الْمَاءِ فَيُخَلِّلُ بِهَا أُصُولَ شَعَرِهِ ثُمَّ يَصُبُّ عَلَى رَأْسِهِ ثَلَاثَ غُرَفٍ بِيَدَيْهِ ثُمَّ يُفِيضُ الْمَاءَ عَلَى جِلْدِهِ كُلِّهِ
240. Telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Yusuf berkata, telah mengkhabarkan kepada kami Malik daripada Hisyam bin ‘Urwah daripada Bapaknya daripada ‘Aisyah isteri Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, bahawa apabila Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam mandi janabat, baginda akan memulainya dengan mencuci kedua belah tangannya, kemudian berwudhu’ sebagaimana wudhu’ untuk sembahyang, kemudian memasukkan tangan ke dalam air lalu menyelati pangkal-pangkal rambut dan bulu ditubuhnya dengan tangannya, kemudian menyiramkan air ke atas kepalanya dengan cedukan kedua belah tangannya sebanyak tiga kali, kemudian baginda meratakan air ke seluruh tubuhnya.”
[ Sahih Bukhari (240) ]
Dengan itu, mari kita rungkaikan satu persatu cara-cara mandi yang mengikut sunnah:
1. Mencuci tangan dengan tanah, atau dengan sabun dan lainnya.
✍🏻Rasulullah صلى الله عليه وسلم mencuci tangan baginda sebelum memulakan ghusl. Zaman itu tidak ada sabun, maka baginda صلى الله عليه وسلم menggunakan tanah.
257 – حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ مَحْبُوبٍ قَالَ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْوَاحِدِ قَالَ حَدَّثَنَا الْأَعْمَشُ عَنْ سَالِمِ بْنِ أَبِي الْجَعْدِ عَنْ كُرَيْبٍ مَوْلَى ابْنِ عَبَّاسٍ عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَتْ مَيْمُونَةُ وَضَعْتُ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَاءً يَغْتَسِلُ بِهِ فَأَفْرَغَ عَلَى يَدَيْهِ فَغَسَلَهُمَا مَرَّتَيْنِ مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلَاثًا ثُمَّ أَفْرَغَ بِيَمِينِهِ عَلَى شِمَالِهِ فَغَسَلَ مَذَاكِيرَهُ ثُمَّ دَلَكَ يَدَهُ بِالْأَرْضِ ثُمَّ مَضْمَضَ وَاسْتَنْشَقَ ثُمَّ غَسَلَ وَجْهَهُ وَيَدَيْهِ وَغَسَلَ رَأْسَهُ ثَلَاثًا ثُمَّ أَفْرَغَ عَلَى جَسَدِهِ ثُمَّ تَنَحَّى مِنْ مَقَامِهِ فَغَسَلَ قَدَمَيْهِ
257. Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Mahbub berkata, telah menceritakan kepada kami ‘Abdul Wahid berkata, telah menceritakan kepada kami Al A’masy dari Salim bin Abu Al Ja’d dari Kuraib mantan budak Ibnu ‘Abbas, dari Ibnu ‘Abbas berkata, Maimunah berkata, “Aku menyediakan air mandi dan memasang tabir untuk Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, baginda lalu menuangkan air pada kedua tangannya dan mencuci keduanya sekali atau dua kali. – Aku tidak pasti samada dia mengatakan tiga kali atau tidak – Lalu dengan tangan kanannya beliau menuangkan air pada telapak tangan kirinya lalu mencuci kemaluannya, setelah itu menggosokkan tangannya ke tanah atau ke dinding. Kemudian berkumur-kumur dan memasukkan air ke hidung. Kemudian membasuh muka dan kedua tangannya, lalu membasuh kepalanya dan mencurahkan ke seluruh badannya. Setelah itu baginda berganjak dari tempat mandi lalu mencuci kedua kakinya. Saya pun mengulurkan satu cebisan kain tapi beliau mengisyaratkan dengan tangannya begini, bermaksud beliau tidak mahukannya”
[ Sahih Bukhari (no. 259) dan Sahih Muslim (no. 317) ]
Syarah:
Pada zaman Nabi صلى الله عليه وسلم , mereka membasuh tangan dengan mengusap tangan ke tanah dan menggosok-gosok sebelum dibasuh. Ini kerana sabun tidak ada pada zaman itu. Maka zaman kita ini kita gunakanlah sabun.
2. Mencuci tangan sebelum memasukkan ke dalam bekas
Rasulullah صلى الله عليه وسلم mandi dengan pakai air dari bekas (kita mungkin guna baldi). Baginda cedok air dari bekas itu menggunakan tangan baginda. Namun, sebelum memasukkan tangan ke dalam bekas, baginda صلى الله عليه وسلم akan basuh dulu tangan. Ini kerana air itu digunakan untuk membasuh, tetapi kalau baginda صلى الله عليه وسلم masukkan tangan tanpa basuh dulu, ditakuti akan mencemari air itu.
✍🏻Dalilnya lihat hadis di atas:
بَدَأَ فَغَسَلَ يَدَيْهِ
Baginda akan memulainya dengan mencuci kedua belah tangannya.
[ Sahih Bukhari (240) ]
Syarah:
Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم akan basuh tangan di luar bekas iaitu tuang air dan cuci tangan baginda di luar bekas. Selepas sudah basuh, barulah baginda صلى الله عليه وسلم celup dalam bekas itu.
3. Berwuduk sebelum Mandi
Hal ini menjadi persoalan dan perbincangan di kalangan ulama. Memang ada khilaf dalam hal ini dan ada banyak pula khilaf.
Antara khilaf itu:
a. Adakah benar yang baginda صلى الله عليه وسلم lakukan di awal ghusl baginda itu ‘wudhu’ atau ia adalah mandi tetapi dimulai dengan anggota wuduk?
b. Adakah wudhu’ itu sekali dengan mandi atau berasingan?
c. Adakah ia wajib atau sunat?
Biasa sahaja khilaf timbul dalam bab agama termasuk feqah. Pendapat penulis kitab rujukan kita ini dan juga Imam Bukhari adalah: memang apa yang baginda lakukan itu adalah wudhu’. Ia adalah sunat sahaja kerana kita telah sebut rukun-rukun wudhu’ di awal bab ini.
✍🏻Dalil yang diambil adalah seperti hadith riwayat Aisyah رضي الله عنها di atas dan saya potong bahagian tertentu sahaja.
كَانَ إِذَا اغْتَسَلَ مِنْ الْجَنَابَةِ بَدَأَ فَغَسَلَ يَدَيْهِ ثُمَّ يَتَوَضَّأُ كَمَا يَتَوَضَّأُ لِلصَّلَاةِ
Baginda akan memulainya dengan mencuci kedua belah tangannya, kemudian berwudhu’ sebagaimana wudhu’ untuk sembahyang….
[ Sahih Bukhari (240) ]
4. Berkumur dan memasukkan air ke hidung
Salah satu sunnah yang mungkin tidak dilakukan adalah berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung. Ini juga sunat. Walaupun ada juga pendapat yang mengatakan ia wajib. Mengikut Mazhab Hanafi, tidak sah mandi kalau tidak memasukkan air ke dalam hidung dan berkumur. Maka cubalah jangan ditinggalkan.
✍🏻Dalilnya adalah hadis riwayat Saidatina Maimunah di atas:
ثُمَّ مَضْمَضَ وَاسْتَنْشَقَ
Kemudian baginda berkumur-kumur dan memasukkan air ke hidung.
[ Sahih Bukhari (no. 259) dan Sahih Muslim (no. 317) ]
5. Menuangkan air ke atas kepala tiga kali dan menyela-nyela rambut
Tujuan menyela-nyela rambut itu adalah untuk menyampaikan air ke kulit kepala. Ini adalah memastikan, terutama kalau rambut itu tebal.
✍🏻Dalilnya:
فَيُخَلِّلُ بِهَا أُصُولَ شَعَرِهِ ثُمَّ يَصُبُّ عَلَى رَأْسِهِ ثَلَاثَ غُرَفٍ بِيَدَيْهِ
Kemudian baginda menyelati pangkal-pangkal rambut dan bulu ditubuhnya dengan tangannya, kemudian menyiramkan air ke atas kepalanya dengan cedukan kedua belah tangannya sebanyak tiga kali.
[ Sahih Bukhari (240) ]
6. Memulai dari kepala sebelah kanan dan kemudian kepala sebelah kiri
Perkara baik memang sunat dimulakan dari sebelah kanan. Rasulullah صلى الله عليه وسلم memang selalu memulakan sesuatu apa pun dengan sebelah kanan. Begitu jugalah dalam Mandi Junub ini.
✍🏻Dalilnya:
250 – حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْمُثَنَّى قَالَ حَدَّثَنَا أَبُو عَاصِمٍ عَنْ حَنْظَلَةَ عَنْ الْقَاسِمِ عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا اغْتَسَلَ مِنْ الْجَنَابَةِ دَعَا بِشَيْءٍ نَحْوَ الْحِلَابِ فَأَخَذَ بِكَفِّهِ فَبَدَأَ بِشِقِّ رَأْسِهِ الْأَيْمَنِ ثُمَّ الْأَيْسَرِ فَقَالَ بِهِمَا عَلَى وَسَطِ رَأْسِهِ
250. Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Al Mutsanna berkata, telah menceritakan kepada kami Abu ‘Ashim daripada Hanzhalah daripada Al Qasim daripada ‘Aisyah berkata, “Apabila Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam hendak mandi janabat, baginda minta diambilkan sesuatu seperti hilab. Mula-mula baginda menceduk air dengan telapak tangannya dan mencurahkannya di sebelah kanan kepalanya kemudian disebelah kiri. Kemudian menuangkan air dengan keduanya tapak tangannya pada bahagian tengah kepala.”
[ Sahih Bukhari (no. 250) ]
Penerangan:
‘Hilab’ itu adalah bekas tadahan perahan susu yang cukup untuk memerah perahan susu seekor unta.
7. Mengakhirkan mencuci kedua kaki
Maksudnya, kebiasaan Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم adalah baginda mandi dan terakhir sekali basuh kaki baginda. Kiranya, sebelum keluar bilik mandi kita basuh kaki dan terus keluar.
✍🏻Dalilnya:
Kemudian berkumur-kumur dan memasukkan air ke hidung. Kemudian membasuh muka dan kedua tangannya, lalu membasuh kepalanya dan mencurahkan keseluruh badannya. Setelah itu baginda berganjak dari tempat mandi lalu mencuci kedua kakinya.
[ Sahih Bukhari (no. 259) dan Sahih Muslim (no. 317) ]
8. Tidak berwudhu’ lagi setelah mandi
Tidak ada lagi wudhu’ selepas mandi junub kerana Nabi صلى الله عليه وسلم tidak pernah melakukannya.
✍🏻Dalilnya:
عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- كَانَ لاَ يَتَوَضَّأُ بَعْدَ الْغُسْلِ
Daripada ‘Aisyah, dia berkata, “Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam tidak berwudhu’ setelah selesai mandi.”
[ HR. Tirmidzi no. 107, An Nasai no. 252, Ibnu Majah no. 579, Ahmad 6/68. Syaikh Al Albani mengatakan bahawa hadith ini shahih ]
Ini adalah kerana mandi itu sudah lebih lagi dari wudhu’ dan sudah merangkumi semua anggota wuduk. Maka kerana itu tidak perlu lagi hendak basuh anggota wuduk yang memang sudah pun dibasuh.
✍🏻Ada sebuah riwayat dari Ibnu ‘Umar yang menjelaskan lagi,
سُئِلَ عَنِ الْوُضُوءِ بَعْدَ الْغُسْلِ؟ فَقَالَ:وَأَيُّ وُضُوءٍ أَعَمُّ مِنَ الْغُسْلِ؟
Beliau ditanya mengenai wudhu’ setelah mandi. Lalu beliau menjawab, “Lantas wudhu’ yang mana lagi yang lebih besar dari mandi?”
[ HR. Ibnu Abi Syaibah secara marfu’ dan mauquf. Lihat Ad Daroril Mudhiyah, hal. 61 ]
✍🏻Abu Bakr Ibnul ‘Arobi berkata, “Para ulama tidak berselisih pendapat bahawa wudhu’ telah masuk dalam mandi.” Ibnu Baththol juga telah menukil adanya ijma’ (kesepakatan ulama) dalam masalah ini.
Lihat Ad Daroril Mudhiyah, hal. 61
9. Tidak memakai tuala
Dalam hadith tentang mandi Rasulullah صلى الله عليه وسلم ada disebut Rasulullah صلى الله عليه وسلم tidak menggunakan tuala untuk mengeringkan tubuh baginda.
✍🏻Dalilnya: Di dalam hadits Maimunah disebutkan mengenai tata cara mandi, lalu diakhir hadith disebutkan,
فَنَاوَلْتُهُ ثَوْبًا فَلَمْ يَأْخُذْهُ ، فَانْطَلَقَ وَهْوَ يَنْفُضُ يَدَيْهِ
“Lalu aku memberikan kain (sebagai pengering) tetapi baginda tidak mengambilnya, lalu baginda pergi dengan mengeringkan air dari badannya dengan tangannya”
[ HR. Bukhari no. 276 ]
Syarah:
Berdasarkan hadith ini, sebahagian ulama memakruhkan mengeringkan badan setelah mandi. Namun yang tepat, hadith tersebut bukanlah pendukung pendapat tersebut dengan beberapa alasan:
1. Perbuatan Nabi صلى الله عليه وسلم ketika itu masih ada beberapa kemungkinan. Boleh jadi baginda tidak mengambil kain (tuala) tersebut kerana alasan lainnya yang bukan maksud untuk memakruhkan mengeringkan badan ketika itu. Boleh jadi kain tersebut mungkin koyak atau baginda terburu-buru kerana ada urusan lainnya.
2. Haditth ini sebenarnya menunjukkan kebiasaan Nabi صلى الله عليه وسلم adalah mengeringkan badan selepas mandi. Seandainya bukan kebiasaan baginda, maka tentu saja baginda tidak dibawakan kain tuala ketika itu.
3. Mengeringkan air dengan tangan menunjukkan bahawa mengeringkan air dengan kain bukanlah makruh kerana keduanya sama-sama mengeringkan.
Kesimpulan:
Tidak ada masalah kalau hendak mengeringkan tubuh atau tidak selepas mandi.
10. Mendahulukan yang sebelah kanan
Ini memang kebiasaan Nabi صلى الله عليه dan ini juga adalah sunnah dalam segenap perkara.
✍🏻Dalilnya adalah hadith ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, dia berkata,
كَانَ النَّبِىُّ – صلى الله عليه وسلم – يُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ فِى تَنَعُّلِهِ وَتَرَجُّلِهِ وَطُهُورِهِ وَفِى شَأْنِهِ كُلِّهِ
“Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam biasa mendahulukan yang kanan ketika memakai sendal, ketika bersisir, ketika bersuci dan dalam setiap perkara (yang baik-baik).”
[ HR. Bukhari no. 168 dan Muslim no. 268 ]
Oleh kerana itu baginda akan membasuh kepala bahagian kanan dahulu, bahagian tubuh yang kanan dahulu, tangan kanan, kaki kanan dan sebagainya.
11. Meratakan air ke seluruh kulit tubuh
✍🏻Ini berdasarkan hadith-hadith yang banyak tentang perkara ini antaranya:
ثُمَّ يُفِيضُ الْمَاءَ عَلَى جِلْدِهِ كُلِّهِ
kemudian baginda meratakan air ke seluruh tubuhnya.”
[ Sahih Bukhari (240) ]
Ini mungkin menjadi masalah bagi mereka yang ada penyakit was-was. Mereka hendak pastikan setiap inci bahagian tubuh mereka kena air. Memang kena setiap inci kena air, tetapi tidaklah kita kena periksa satu persatu. Apabila kita sudah curahkan air ke atas badan kita, memang sifat air itu akan pergi merata-rata ke keseluruhan badan kita.
Kalau bahagian depan, bolehlah kita gosok-gosok dan pastikan air sampai tetapi bahagian belakang kita hanya boleh diagak sahaja. Memang kita tidak nampak, tetapi kalau air sudah dicurah, maka berkemungkinan besar ia telah sampai.
Kita tidaklah dipertanggungjawabkan teruk sangat sampai hendak kena pastikan air itu sampai. Hanya dengan cara agakan sahaja boleh. Ini kerana sifat air memang akan mengalir ke semua tempat.
Apabila kita sudah agak air sudah kena dan keluar dari bilik mandi, maka terimalah sahaja yang air telah sampai. Syaitan akan bisikkan: “eh, tapi belakang pelipat kau tak kena air… kau pasti ke kena air?” Jangan dilayan bisikan syaitan itu. Kalau dilayan lagilah dia suka dan akan bagi berkali-kali lagi hasutan.
Syaitan bukan ada kerja lain. Full time job dia adalah kacau manusia. Kita manusia ini yang ada kerja. Tidak ada masa hendak melayan kerenah syaitan. Jadi bila dilayan itulah yang menyebabkan ramai yang mandi berjam-jam. Mereka sampai takut untuk mandi kerana takut mandi mereka tidak sah. Itu adalah perasaan mereka yang ada penyakit was-was sahaja.
12. Mandi dengan air kadar satu sha’ atau setara dengannya
Nabi صلى الله عليه tidaklah menggunakan air yang banyak untuk mandi junub. Manakala kandungan air yang kita gunakan dalam mandi kita tentulah lebih banyak daripada baginda. Maka bagaimana kita hendak kata air tidak sampai ke tubuh kita?
✍🏻Jabir bin Abdullah r.a berkata:
Apabila Rasulullah s.a.w mandi junub, baginda akan meratakan kepalanya dengan tiga kali cedokan air. Al-Hasan bin Muhammad bertanya: Bagaimana pula dengan rambut yang tebal? Jawab Jabir: Wahai anak saudaraku, rambut Rasulullah SAW lebih tebal dan lebih baik daripada rambutmu.”
[ Hadith Riwayat Muslim ]
Syarah:
Memang dari dulu lagi sudah ada orang yang sangka air tidak cukup. Namun, sahabat beritahu kalau Nabi Muhammad صلى الله عليه yang banyak rambut dan bulu pun cukup dengan air yang sedikit, kita apatah lagi?
✍🏻Aisyah r.a juga pernah berkata:
Rasulullah SAW mandi junub menggunakan air yang diletakkan di dalam bekas yang disebut sebagai al-Faraq.”
[ Hadis Riwayat Muslim ]
✍🏻Anas r.a berkata:
“Rasulullah SAW pernah mandi junub menggunakan air sebanyak lima maquq dan berwudhu’ dengan satu maquq.”
[ Hadis Riwayat Muslim ]
✍🏻Anas r.a berkata:
“Nabi s. a. w berwudhu’ menggunakan air sebanyak satu mud dan mandi menggunakan air sebanyak satu sha’ hingga lima mud.”
[ Hadis Riwayat Muslim ]
📍Berapa pula kadar satu sha’ itu?
Huraian mengenai had air yang digunakan oleh Rasulullah SAW ketika mandi junub sebagaimana yang dinyatakan di dalam Mu’jam Lughah al-Fuqaha, muka surat 33.
1 faraq = 3 sha’ (gantang)
1 sha’ = 5.6 liter
3 sha’ = 16 rathol
1 rathol = lebih kurang 1 liter
16 rathol = 16 liter air
1 maquq = 4.125 liter (mengikut selain mazhab Hanafi)
5 maquq = 20.625 (mengikut selain mazhab Hanafi)
1 mud = 2 liter
13. Wajibkah menggosok badan?
Ulama khilaf sama ada wajib atau tidak untuk menggosok.
✍🏻Ada ulama seperti Imam Malik yang mewajibkan menggosok badan tetapi jumhur ulama termasuk Imam Bukhari tidak mewajibkannya. Kalau ada sangkaan yang kuat air itu telah mengenai badan, maka cukup dengan mengalirkan sahaja air itu.
✍🏻Syaikh Albani pula mengatakan, kalau bulu di badan banyak, barulah wajib untuk menggosok badan kerana hendak memastikan air itu kena pada kulit.
✍🏻Pendapat yang mengatakan tidak wajib menggosok badan adalah kerana kalimah yang digunakan dalam hadith Riwayat Maimunah itu menggunakan kalimah أَفْرَغَ yang bermaksud ‘mencurah’ sahaja.
ثُمَّ أَفْرَغَ عَلَى جَسَدِهِ
dan mencurahkan keseluruh badannya.
[ Sahih Bukhari (no. 259) dan Sahih Muslim (no. 317 ]
Apabila disebut ‘mencurahkan’, ia bermaksud hanya mencurahkan sahaja air ke badan supaya kena kepada keseluruhan badan. Tidak disebut menggosok dalam hadith ini. Ringkasnya, kalau kita ada kebarangkalian air telah sampai ke badan, maka itu sudah cukup.
Cuma memang elok kalau gosok. Kita telah sebutkan dalam bab wuduk, memang molek gosok anggota wuduk supaya dapat rasa apa-apa penghalang kepada tubuh.
14. Membasuh pangkal paha dan lengan ketika mandi
Rasulullah akan memulakan membasuh bahagian pelipat dan celah kangkang sebelum membasuh bahagian yang lain.
✍🏻Dalilnya:
عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِذَا أَرَادَ أَنْ يَغْتَسِلَ مِنَ الْجَنَابَةِ بَدَأَ بِكَفَّيْهِ فَغَسَلَهُمَا ثُمَّ غَسَلَ مَرَافِغَهُ وَأَفَاضَ عَلَيْهِ الْمَاءَ فَإِذَا أَنْقَاهُمَا أَهْوَى بِهِمَا إِلَى حَائِطٍ ثُمَّ يَسْتَقْبِلُ الْوُضُوءَ وَيُفِيضُ الْمَاءَ عَلَى رَأْسِهِ .
Daripada Aisyah dia berkata: “Apabila Rasulullah صلى الله عليه وسلم hendak mandi junub, baginda memulainya dengan telapak tangan, dan mencuci keduanya kemudian mencuci pangkal tangan dan pahanya, lalu menuangkan air ke atasnya. Setelah membersihkan keduanya, baginda menggosokkan telapak tangan ke lantai lalu berwudhu’, dan menuangkan air ke atas kepala baginda.”
[ Sunan Abi Dawud (No. 243) disahihkan oleh Albani ]
Syarah:
Baginda memulai membasuh bahagian tubuh badan yang susah air hendak sampai kepadanya iaitu celah-celah kaki, pelipat tangan dan celah kangkang. Ini adalah kerana peluh selalu berkumpul di situ dan situlah tempat kotor.
Allahu a’lam.