Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az-Zumar – Tafsir Ayat ke-40 hingga ke-42

Tafsir Surah Az-Zumar – Tafsir Ayat ke-40 hingga ke-42

1265
0
Iklan

Tafsir Surah Az-Zumar

Tafsir Ayat ke-40

Apa yang mereka akan terima?

مَن يَأتيهِ عَذابٌ يُخزيهِ وَيَحِلُّ عَلَيهِ عَذابٌ مُّقيمٌ

“Siapakah yang akan didatangi azab yang menghinakannya, serta akan ditimpakan kepadanya azab seksa yang berkekalan”.

مَنْ يَأْتِيهِ عَذَابٌ يُخْزِيهِ

Siapakah yang akan didatangkan azab yang menghinakannya?

Ertinya iaitu azab di dunia. Ketika di dunia lagi mereka akan mendapat azab. Contohnya, ada yang mati dalam keadaan hina, mendapat penyakit yang teruk, berasa tidak tenang sahaja kehidupan mereka dan sebagainya.

وَيَحِلُّ عَلَيْهِ عَذَابٌ مُّقِيمٌ

dan akan menimpakannya azab yang berkekalan.

Semasa di akhirat kelak, lagi teruk apa yang mereka akan terima. Waktu itu tidak ada lagi jalan keluar untuk mereka. Mereka akan kekal selama-lamanya di dalam neraka. Kalau azab di dunia, mereka akan terima hanya setakat mati sahaja, namun azab di neraka, ia akan berkekalan.

Janganlah kita menjadi seperti mereka. مُقِيمٌ bermaksud ia akan kekal, tidak akan pergi. Azab itu akan di’halal’kan ke atas mereka. Allah ‎ﷻ menahan dari mengazab mereka semasa di dunia, tetapi di akhirat kelak, azab itu akan menjadi ‘halal’ atas mereka.

Tafsir Ayat ke-41

Dalil Wahyi – Titah khas daripada Allah ‎ﷻ.

إِنّا أَنزَلنا عَلَيكَ الكِتٰبَ لِلنّاسِ بِالحَقِّ ۖ فَمَنِ اهتَدىٰ فَلِنَفسِهِ ۖ وَمَن ضَلَّ فَإِنَّما يَضِلُّ عَلَيها ۖ وَما أَنتَ عَلَيهِم بِوَكيلٍ

Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab suci Al-Quran yang menyatakan segala kebenaran (untuk menjadi panduan hidup) kepada umat manusia seluruhnya. Oleh itu sesiapa yang mendapat hidayah petunjuk (beramal menurutnya), maka faedahnya terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang sesat (tidak berpandu kepadanya), maka bahaya kesesatannya itu tertimpa ke atas dirinya sendiri; dan engkau (wahai Muhammad – hanyalah penyampai) bukanlah menjadi wakil yang menguasai (keadaan dan bawaan) mereka.

إِنَّا أَنْزَلْنَا عَلَيْكَ الْكِتٰبَ لِلنَّاسِ بِالْحَقِّ

Sesungguhnya, Kamilah yang menurunkan Kitab (Qur’an) kepada kamu (Muhammad) kepada semua manusia untuk menunjukkan kebenaran.

Dalam Al-Quran itu ada kebenaran kepada sesiapa yang ingin mencari kebenaran, tentang apakah yang perlu diamalkan dan apakah yang perlu ditinggalkan.

Isi kandungan kitab ini semuanya benar. Perkataan بِالْحَقِّ bermaksud, Al-Quran itu diturunkan dengan tujuan. Bukan turunnya suka-suka sahaja.

Allah ‎ﷻ beritahu yang Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ untuk disampaikan kepada seluruh manusia, bukan hanya untuk baginda sahaja. Inilah Dalil Wahyi daripada Allah ‎ﷻ, sebagai satu perintah kepada Nabi ﷺ untuk sampaikan. Oleh kerana itulah Nabi Muhammad ﷺ sampaikan kepada umatnya.

Inilah yang menyebabkan Musyrikin Mekah marah benar dengan Nabi Muhammad ﷺ. Kalau baginda amalkan sendiri sahaja, mereka pun tidaklah hairan sangat, tetapi mereka marah kerana Nabi ﷺ sampaikan kepada orang lain. Namun, Nabi Muhammad ﷺ memang kena sampaikan seperti yang tertulis dalam ayat ini, kerana itu adalah tugas baginda.

Selain itu, dari ayat ini juga, kita tahu bahawa Al-Quran ini untuk seluruh manusia, bukan kepada orang dan bangsa tertentu sahaja. Maka, kita yang sedang memikul tugas dakwah Nabi Muhammad ﷺ juga kenalah berusaha untuk menyampaikan kepada manusia seluruhnya. Adakah kita sudah menjalankan tugas kita itu?

فَمَنِ اهْتَدَىٰ فَلِنَفْسِهِ

Sesiapa yang terpimpin mendapat hidayat, maka milik dialah hidayat itu.

Sesiapa yang mendapat dan menerima hidayah itu, kebaikan itu untuk dirinya sendiri sahaja. Dia tidak boleh hendak memberi hidayah itu kepada orang lain atau memberikan keimanan kepada sesiapa sahaja, walaupun kepada anak isterinya sendiri.

وَمَنْ ضَلَّ فَإِنَّمَا يَضِلُّ عَلَيْهَا

Sesiapa yang sesat, maka sesat itu hanyalah untuk diri dia sendiri.

Sesiapa yang degil, dia sendiri yang menanggung kesesatan itu. Tidak boleh memberi kesesatan itu kepada sesiapa termasuk anaknya sendiri. Anaknya tidak boleh menanggung kesesatan yang telah dilakukan itu. Anaknya juga tidak boleh menanggung dosa seorang ayah yang dalam kesesatan itu. Kena tanggung sendiri-sendiri.

Walau bagaimanapun, seorang ayah boleh mengajar kesesatan itu kepada anaknya sebab anak-anaknya akan melihat apakah yang ayahnya lakukan. Anaknya mungkin merasakan bahawa itu adalah perbuatan yang benar dan tidak salah.

Maka, apabila dewasa, dia mungkin akan mengamalkan apa yang ayahnya amalkan jikalau dia sendiri tidak belajar agama dengan betul. Contohnya, kalau kalau seorang ayah itu mengamalkan ‘perasap keris keramat’ pada malam Jumaat dan amalan-amalan syirik yang lain, anaknya mungkin akan membuatnya juga.

Namun, tidak semestinya anaknya akan pasti mengikutinya sebab kita boleh lihat bagaimana ramai orang yang sesat, namun anak mereka tidaklah sesat pula. Begitu jugalah kebanyakan dari masyarakat Islam kita sekarang, ramai yang mengikut amalan ibubapa dan tok nenek mereka.

Sebagai contoh, ramai yang mengamalkan Majlis Tahlil dan Doa Selamat dan selalunya, majlis itu dimulakan oleh tekong dengan bacaan: “ila hadratin nabi…” Itu adalah lafaz tawassul yang salah dan tidak boleh diamalkan.Namun begitu ia banyak sekali diamalkan oleh mereka yang tidak belajar apakah tauhid dan apakah bid’ah.

وَمَا أَنْتَ عَلَيْهِمْ بِوَكِيلٍ

Tidaklah engkau menjadi wakil ke atas mereka.

Maksud ‘wakil’ adalah ‘bertanggungjawab’. Nabi Muhammad ﷺ tidak bertanggungjawab ke atas akidah dan amalan umat baginda. Tugas Nabi Muhammad ﷺ hanya untuk memberitahu sahaja ajaran tauhid itu kepada umatnya. Namun, Nabi ﷺ tidak boleh memaksa mereka untuk beriman dengan akidah tauhid.

Nabi ﷺ juga tidak boleh menyekat mereka daripada membuat amalan yang salah. Sebagai contoh, walaupun baginda sayangkan bapa saudaranya Abu Talib tetapi baginda tidak boleh membantu bapa saudaranya itu untuk beriman. Ini amat mengecewakan Nabi ﷺ tetapi baginda tidak mampu untuk berbuat apa-apa.

Begitu juga dengan kita, cuma boleh memberikan nasihat sahaja kepada manusia yang kita dakwahkan. Kita tidak ditanya sama ada mereka terima ataupun tidak. Pahala dakwah sudah diberikan kepada kita, apabila kita dakwah kepada mereka.

Pahala bukan hanya diberi kalau mereka ikut, kerana sama ada mereka ikut ataupun tidak, itu bukan dalam kuasa kita. Cuma yang boleh memberi hidayah hanyalah Allah ‎ﷻ sahaja.

Nabi ﷺ pun diberitahu tentang hal ini. Ini kerana baginda sendiri pun tidak boleh memberikan hidayah kepada sesiapa. Baginda hanya boleh menyampaikan sahaja.

Tafsir Ayat ke-42

Dalil Aqli. Ia tentang tidur kita. Setiap hari kita tidur, dan Allah ‎ﷻ suruh kita mengambil pengajaran dari tidur itu untuk kenal akhirat.

اللَهُ يَتَوَفَّى الأَنفُسَ حينَ مَوتِها وَالَّتي لَم تَمُت في مَنامِها ۖ فَيُمسِكُ الَّتي قَضىٰ عَلَيهَا المَوتَ وَيُرسِلُ الأُخرىٰ إِلىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّقَومٍ يَتَفَكَّرونَ

Allah mengambil satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Dia menahan jiwa orang yang Dia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya).

Allah ﷻ yang mengambil jiwa-jiwa ketika matinya seseorang itu.

Sekarang Allah ‎ﷻ bercerita tentang roh pula. Allah ‎ﷻ memberikan isyarat dalam ayat ini yang roh-roh manusia itu di dalam tangan-Nya, di dalam urusan-Nya. Dia boleh beri dan ambil mana-mana roh yang Dia kehendaki.

Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan الْأَنْفُسَ dan bukan nufuus. Ini kerana nufuss bermakna lagi banyak (plural). Kalau nufuss digunakan, bermakna setiap hari akan ramai lagi manusia yang akan mati.

Perkataan نْفُسَ bermaksud ‘bernafas’. Jasad kita bernafas, dan roh kita bernafas dengan caranya. Itu isyarat kepada hidup.

Ayat ini bercerita pasal roh. Roh kita ada dua jenis: satu adalah roh yang diberi balasan nikmat atau azab kepadanya di akhirat nanti. Itu adalah roh yang mempunyai akal. Ia ada juga dinamakan Roh Natiqah.

Untuk lebih faham, bayangkan roh itu sebagai memory chip. Semua yang penting di dalam komputer itu adalah memory chip. Segala maklumat tentang komputer itu tersimpan di dalamnya. Kalau memory chip itu tiada, maka komputer itu tidak berfungsi. Samalah dengah roh yang mempunyai akal ini.

Apabila badan sudah rosak nanti, badan akan dibuang dan roh kita sekarang ini akan diletakkan dalam badan yang baru. Apabila kita dibangkitkan di akhirat kelak, kita bukan dibangkitkan dalam tubuh kita sekarang, tetapi kita akan diberikan tubuh yang baru – yang mampu untuk menerima azab neraka atau menerima nikmat di syurga. Ini kerana hebat sekali azab di neraka dan nikmat di syurga itu, sampaikan badan kita yang di dunia ini tidak akan mampu menerimanya.

Roh yang satu lagi, ialah yang menjaga badan kita, yang meneruskan tubuh kita hidup dan bernyawa – dinamakan Roh Hayat. Apabila kita tidur, roh yang berakal itu akan keluar, jalan merata-rata. Itulah yang terjadi semasa kita bermimpi. Sebab itu dalam mimpi kita, macam-macam tempat kita pergi.

Namun, roh yang satu lagi tinggal di badan kita. Kalau tiada roh itu, badan kita akan hancur. Kalau dua-dua keluar diangkat kedua-duanya oleh Allah ‎ﷻ, badan kita ini akan hancur dan akan menjadi busuk. Itulah yang terjadi apabila kita mati nanti. Dua-dua jenis roh itu akan keluar dan badan kita tidak berfungsi lagi dan badan kita akan menjadi mayat.

Ringkasnya, apabila seseorang itu ditakdirkan sudah sampai ajalnya, sudah ditakdirkan dia mati, kedua-dua jenis roh itu akan diangkat oleh Allah ‎ﷻ.

Satu lagi pendapat: oleh kerana kalimah yang digunakan dalam ayat ini adalah يَتَوَفَّى, dari segi bahasa ia bermaksud ‘menarik semua sekali’. Oleh itu, satu pendapat yang dinisbahkan kepada Saidina Ali رضي الله عنه, beliau berkata semua roh manusia diangkat, tetapi ada ‘talian’ antara roh itu dan badan itu dan kerana itulah badan itu masih hidup lagi.

وَالَّتِي لَمْ تَمُتْ فِي مَنَامِهَا

Dan roh yang belum mati, semasa dalam tidurnya.

Kalau orang itu tidur, Roh Akal sahaja yang diangkat, Roh Hayat dibiarkan di badan. Bermakna, dalam tidur pun Allah ‎ﷻ akan mencabut juga roh orang itu, tetapi hanya roh yang berakal sahaja. Ini terjadi apabila setiap hari kita tidur, ataupun ketika seseorang itu dalam keadaan koma.

Sebab itulah kita boleh dapat mimpi, kerana roh kita telah pergi ke merata tempat. Itulah sebabnya ada antara kita yang boleh dapat ‘mimpi yang benar’, kerana roh itu dibawa ke tempat yang baik.

Kejadian ini berlaku setiap hari kepada setiap orang kerana setiap orang dan setiap hari akan ada orang yang tidur. Jadi kita semua ada peluang untuk memikirkan perkara ini setiap hari. Allah ‎ﷻ memberikan pengajaran ini kepada kita setiap hari tetapi selalunya kita tidur biasa sahaja dan tidak fikirkan pun hal ini, bukan?

Maka eloklah kita mula berfikir tentang perkara ini. Supaya kita dapat ingat tentang mati setiap hari sekurang-kurangnya semasa hendak tidur dan semasa bangun tidur.

فَيُمْسِكُ الَّتِي قَضَىٰ عَلَيْهَا الْمَوْتَ

Dia akan memegang roh yang Dia telah tetapkan mati ke atasnya.

Apabila seseorang itu tidur, Allah ‎ﷻ mengangkat Roh Akal itu dan apabila sudah masa untuk jaga dari tidur, roh akal itu akan dikembalikan. Namun, apabila sudah ditakdirkan dia akan mati, Allah ‎ﷻ akan menahan roh orang itu dari dikembalikan ke dalam tubuh orang itu dan Dia akan tarik juga roh yang menjaga tubuh manusia itu.

Sebab itu ada juga orang yang mati semasa tidur. Setiap malam, malaikat akan bertanya kepada Allah ‎ﷻ adakah roh itu akan dipulangkan balik ke jasad manusia atau tidak. Kalau Allah ‎ﷻ suruh tahan, maka orang itu akan mati. Ia berlaku setiap malam kepada kita. Oleh sebab itu ada doa yang dibacakan apabila kita bangun dari tidur.

Kita berterima kasih kerana Allah ‎ﷻ kerana telah mengembalikan roh kita kembali kerana kalau tidak pulangkan, kita akan mati. Lihatlah bagaimana dalam doa itu, kita sebut kita telah ‘mati’ sebelum kita bangun dari tidur itu. Itu dinamakan ‘Kematian Kecil’.

Ada doa sebelum tidur yang disebut di dalam kitab Sahih Bukhari dan Sahih Muslim disebutkan melalui hadis ini.

✍🏻Hadis Ubaidillah ibnu Umar, dari Sa’id ibnu Abu Sa’id, dari ayahnya, dari Abu Hurairah رضي الله عنه yang telah mengatakan bahwa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

“إِذَا أَوَى أَحَدُكُمْ إِلَى فِرَاشِهِ فلْينْفُضْه بِدَاخِلَةِ إِزَارِهِ، فَإِنَّهُ لَا يَدْرِي مَا خَلَفَهُ عَلَيْهِ، ثُمَّ لِيَقُلْ: بِاسْمِكَ رَبِّي وَضَعْتُ جَنْبِي، وَبِكَ أَرْفَعُهُ، إِنْ أَمْسَكْتَ نَفْسِي فَارْحَمْهَا، وَإِنْ أَرْسَلْتَهَا فَاحْفَظْهَا بِمَا تَحْفَظُ بِهِ عِبَادَكَ الصَّالِحِينَ”

Apabila seseorang di antara kalian menempati peraduannya, hendaklah terlebih dahulu menyapu tempat tidurnya dengan bahagian dalam kainnya, kerana sesungguhnya dia tidak mengetahui kotoran apa yang telah ditinggalkannya pada peraduannya itu. Kemudian hendaklah ia mengucapkan doa, “Dengan menyebut nama Engkau, ya Tuhanku, aku letakkan lambungku dan dengan menyebut nama Engkau aku mengangkat (membangunkan)nya. Jika Engkau memegang jiwaku, maka kasihanilah ia; dan jika Engkau melepaskannya, maka peliharalah ia sebagaimana Engkau memelihara hamba-hamba-Mu yang soleh.

وَيُرْسِلُ الْأُخْرَىٰ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى

Dan Dia akan melepaskan jiwa yang lain itu hingga sampai waktu yang ditetapkan.

Maka kepada mereka yang tidak ditakdirkan mati semasa tidur malam itu, Allah ‎ﷻ akan mengembalikan roh itu supaya orang itu meneruskan kehidupannya. Namun, tidak terus, ia hanya sehingga sampai qadha Tuhan bahawa orang itu akan mati. Itulah maksudnya ajal orang itu sudah habis.

Melalui ayat ini, dapatlah kita tahu bahawa setiap malam apabila kita tidur, kita sebenarnya ‘mati’. Memang mati benar-benar, bukan main-main. Inilah ‘mati sebelum mati yang sebenar’. Allah ‎ﷻ mengingatkan kita bahawa begitulah nanti mudahnya Allah ‎ﷻ mematikan kita nanti. Dari jaga, tiba-tiba sudah mati dan dari sedar di katil, tiba-tiba sudah sedar di tempat yang lain.

Jadi, orang yang pandai, akan mengambil iktibar ini untuk mengingati mati yang pasti akan datang, di mana dia tidak akan pulang balik ke dunia dan alam nyata. Maka, beringatlah dan bersedialah untuk mati itu. Ini kerana apabila sudah mati, amal sudah tidak ada, kesalahan tidak dapat diperbetulkan, taubat sudah tidak diterima lagi.

إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Itu adalah tanda bagi kaum yang mahu berfikir.

Mereka yang faham tentang ayat ini akan memikirkan sama ada malam itu adalah malam terakhir untuk diri kita. Adakah Allah ‎ﷻ akan pulangkan kembali roh kita? Sudahkah cukup amalan kita?

Sesiapa yang berfikir, mereka akan memikirkan tentang perkara ini setiap malam. Mereka akan memikirkan sama ada mereka telah cukup amalan mereka. Ini kerana kalau mati, roh tidak kembali lagi ke dalam tubuh kita dan pergi untuk selama-lamanya. Semoga kita bersedia buat persiapan untuk mati.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan