Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az-Zumar – Tafsir Ayat Ke-28 hingga Ke-30

Tafsir Surah Az-Zumar – Tafsir Ayat Ke-28 hingga Ke-30

612
0
Iklan

Tafsir Ayat ke-28

قُرءآنًا عَرَبِيًّا غَيرَ ذي عِوَجٍ لَّعَلَّهُم يَتَّقونَ

laitu Al-Quran yang berbahasa Arab, yang tidak mengandungi sebarang keterangan yang terpesong; supaya mereka bertaqwa.

قُرْءآنًا عَرَبِيًّا

Iaitu Al-Quran yang berbahasa arab.

Maksud ‘Quran’ adalah sesuatu yang dibaca berkali-kali dengan banyak sekali. Inilah salah satu mukjizat Quran ini. Tidak ada kitab lain selain Quran yang dikaji dan dipelajari manusia seperti kitab Quran ini, termasuklah kitab-kitab wahyu dahulu.

Ia bukan sahaja dikaji, malah dihafal oleh banyak orang di seluruh dunia. Oleh kerana itu banyak sekali Sekolah Tahfiz di merata dunia. Sifat Quran ini adalah ia dalam bahasa Arab. Bahasa Arab adalah bahasa yang tepat dan kaya. Hanya dengan lafaz yang pendek, ia boleh membawa dan menjelaskan banyak makna.

Oleh sebab itulah, kalau Quran itu dalam bahasa Melayu, agaknya kena gunakan lori untuk bawa satu Qur’an, sebab banyak sangat untuk dihuraikan. Allah ‎ﷻ telah pilih bahasa Arab ini sebagai bahasa untuk kitab-Nya yang terakhir.

Ia adalah satu bahasa yang indah yang dapat menghuraikan apakah yang dimaksudkan oleh Allah ‎ﷻ. Apabila kita tahu bahawa bahasa Arab adalah bahasa Quran, maka ini sepatutnya memberi kita satu motivasi untuk belajar bahasa Arab supaya kita lebih memahami Quran.

Ini kerana tidak sama kalau kita baca Quran dan faham bahasa Arab berbanding dengan hanya baca terjemahan sahaja. Maka, hendaklah kita cuba belajar setakat yang boleh sahaja. Jadi, ayat ini adalah targhib kepada belajar bahasa Arab juga.

Cuma, janganlah dijadikan alasan tidak tahu bahasa Arab untuk tidak belajar tafsir Quran pula. Belajar tafsir haruslah dilakukan segera, tidak perlu tunggu lagi. Kita masih lagi boleh faham tentang pengajaran dalam Quran kalau diterangkan oleh guru yang sudah tahu.

Banyak orang yang kononnya hendak belajar bahasa Arab dahulu baru boleh belajar tafsir Quran tetapi sampai bila baru mereka boleh faham Quran?

Mungkin bertahun-tahun masa yang diambil untuk belajar bahasa Arab. Bagaimana pula kalau mereka tidak pandai-pandai bahasa Arab? Jadi, mereka telah menunda mempelajari ajaran dalam Quran.

Oleh sebab tidak belajar dalam waktu itu, mereka akan melakukan kesalahan yang tidak disedari kerana kejahilan mereka sendiri.

غَيْرَ ذِي عِوَجٍ

yang tidak ada mengandungi kesilapan.

Tidak ada silap dalam mana-mana lafaz Quran. Malah tidak ada juga ayat yang bertentangan dengan ayat-ayat yang lain. Pertentangan dengan sains dan sebagainya juga tidak ada. Kalau ada yang jumpa pertentangan itu, ia boleh dijelaskan.

Sebagai contoh, ada yang berkata Quran mengandungi kesalahan nahu bahasa Arab, namun apabila diperjelaskan, memang tidak ada kesalahan di mana-mana pun.

Ia adalah ayat-ayat yang mudah difahami. Tidak kompleks sebenarnya dan senang sahaja untuk kita faham kalau kita mahu belajar.

Bandingkan kalau kita baca buku-buku falsafah. Berpusing-pusing idea yang disampaikan dalam ilmu falsafah itu sampaikan kita menjadi semakin pening dan keliru selepas belajar kerana tidak tahu apa yang kita belajar.

Padahal, Quran itu adalah mudah difahami. Ia adalah lurus, tidak pusing-pusing dan tepat kepada maksud yang hendak disampaikan.

Oleh kerana Quran itu mudah, apabila para filosofi Greek membaca Quran, mereka tidak suka kerana mereka berkata ia lurus sangat. Tidak macam ilmu falsafah mereka yang berbelit-belit. Mereka ingin berkata yang ilmu mereka lebih tinggi dan berkualiti.

Namun, yang lurus dan mudah difahami itulah yang bagus. Kalau bahasanya sudah pusing-pusing, sampai orang yang baca pun tidak tahu, apakah gunanya kalau begitu, bukan?

Kadang-kadang manusia pun bercakap berbelit-belit – macam ahli politik yang apabila bercakap putar belit sampai tidak nampak apakah yang mereka maksudkan.

لَّعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ

Mudah-mudahan mereka mendapat taqwa;

Dengan belajar dan memahami maksud Quran, ia boleh menjadikan kita mendapat taqwa supaya kita jadi orang muttaqeen. Maksud ‘taqwa’ itu adalah jaga diri daripada menderhaka kepada Allah ‎ﷻ.

📍Taqwa itu adalah menjaga hukum yang Allah ‎ﷻ telah berikan. Hendaklah kita mengikut suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya dalam segenap perkara.

Tafsir Ayat ke-29

Sebelum ini Allah ‎ﷻ telah sebut bahawa Al-Quran mengandungi banyak perbandingan supaya kita mudah faham apa yang hendak disampaikan. Sekarang dibawakan satu lagi contoh perbandingan – atau dipanggil analogi.

ضَرَبَ اللَهُ مَثَلًا رَّجُلًا فيهِ شُرَكاءُ مُتَشٰكِسونَ وَرَجُلًا سَلَمًا لِّرَجُلٍ هَل يَستَوِيانِ مَثَلًا ۚ الحَمدُ ِللهِ ۚ بَل أَكثَرُهُم لا يَعلَمونَ

Allah memberikan satu misal perbandingan: Seorang hamba lelaki yang dimiliki oleh beberapa orang yang berkongsi dirinya yang bertentangan tabiat dan kemahuannya; dan seorang hamba lelaki yang lain hanya dimilik oleh seorang tuan sahaja; adakah kedua-dua hamba itu sama keadaannya (Tentulah tidak sama). Ucaplah: “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur terhadap penjelasan soal tauhid itu) bahkan kebanyakan mereka (yang musyrik) tidak mengetahui (hakikat tauhid).

ضَرَبَ اللَهُ مَثَلًا

Allah membuat suatu bandingan,

Allah ‎ﷻ hendak membandingkan antara orang yang mengamalkan tauhid dan orang yang mengamalkan syirik. Allah ‎ﷻ berikan bandingan yang boleh dilihat dan difahami. Orang biasa pun boleh faham analogi yang diberikan ini.

رَّجُلًا فِيهِ شُرَكَاءُ

satu orang lelaki yang dimiliki oleh banyak tuan.

Allah ‎ﷻ menggunakan analogi yang semua manusia boleh faham. Bayangkan seorang kuli, tetapi bos dia ada tiga orang atau lebih. Malah bos-bos ini pula tidak sefahaman.

مُتَشٰكِسُونَ

yang bertentangan kemahuan mereka.

Sudahlah ada banyak bos, dan bos-bos itu pula tidak sama kepala mereka. Kalau boleh bertolak ansur sesama majikan itu, boleh kiralah juga.

Namun, bagaimana kalau majikan itu tidak sefahaman? Macam-macam arahan diberi kepada hamba itu, satu arahan berlawanan dengan arahan yang sebelumnya.

Maka orang itu akan celaru kerjanya, tidak tahu yang mana satu yang dia perlu ikut. Dia akan sentiasa ada masalah sahaja. Satu bos mahu pekerja buat A dan satu lagi bos mahu dia buat B pula. Tentulah tidak tenang sahaja perasaan pekerja itu.

Bandingkan keadaan ini dengan agama-agama lain yang ada banyak tuhan. Tuhan mana satu yang mereka kena ikut?

Sebagai contoh, lihatlah agama Hindu yang ada banyak tuhan/dewa mereka yang berjenis-jenis perangainya. Seorang Dewa Perang, seorang lagi Dewa Keamanan dan macam-macam lagi.

Kalau seorang anak ada ibu bapa yang memberi arahan berbeza pun sudah susah. Dia tidak tahu manakah yang dia patut ikut dan akan rasa serba salah sahaja. Ingin puaskan hati emak atau hati ayah? Itu tidak bagus.

Kita sendiri pun boleh faham perkara ini, bukan? Namun, kenapa ada juga yang berbuat syirik kepada Allah ‎ﷻ?

وَرَجُلًا سَلَمًا لِّرَجُلٍ

dan bandingkan dengan sorang lelaki yang bergantung kepada seorang tuan sahaja.

Oleh kerana dia ada satu tuan sahaja, senang dia bekerja. Dia hanya perlu ikut satu arahan sahaja dan akan sentiasa rasa aman. Begitulah juga dengan Islam.

Hanya ada satu Tuhan sahaja. Hanya ada satu arahan sahaja. Kita hanya perlu ikut satu arahan sahaja dan hanya belajar satu arahan sahaja. Itulah ajaran sunnah. Inilah ajaran tauhid – hanya sembah dan seru kepada satu ilah sahaja – Allah ‎ﷻ.

هَلْ يَسْتَوِيَانِ مَثَلًا

Adakah sama dua contoh ini?

Satu lagi soalan ditanya kepada kita. Tentulah tidak sama antara dua orang hamba itu. Maknanya patutkah kita ambil ramai ilah-ilah berbanding dengan Allah ‎ﷻ yang satu? Maka ambillah Allah ‎ﷻ sahaja sebagai ilah kita. Itulah maksudnya ayat ini.

الْحَمْدُ ِلِلهِ ۚ

Segala puji milik Allah,

Allah ‎ﷻ sahaja yang memiliki sifat terpuji yang layak diberikan kepada ilah. Orang Arab sudah lama menggunakan lafaz ‘hamd’ ini untuk ilah-ilah mereka, termasuk untuk Allah ‎ﷻ sekali.

Al-Quran memperbetulkan mereka dengan memberitahu yang lafaz ‘alhamd’ ini hanya layak untuk Allah ‎ﷻ sahaja. Ini dijelaskan dalam tafsir Surah Fatihah.

Segala puji dan syukur kepada Allah ‎ﷻ kerana menjadikan kita hanya tunduk dan taat kepada Dia sahaja, tidak kepada yang lain. Tidak perlu untuk seru selain Dia. Maka inilah yang senang.

بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

tetapi kebanyakan mereka itu tidak faham.

Contoh yang diberikan amat mudah sebenarnya untuk difahami, namun ramai yang tidak mahu membuka hati mereka untuk faham. Sepatutnya pujian yang khusus itu untuk Allah ‎ﷻ sahaja, tetapi mereka ingin berikan juga sembahan dan seruan kepada selain Allah ‎ﷻ.

Itulah yang menyebabkan ramai yang kalau berdoa, mereka akan puji/puja Nabi ﷺ, para sahabat, atau wali-wali Allah ‎ﷻ seperti Sheikh Abdul Qadir Jailani dan berbagai-bagai wali lagi. Kononnya mereka kata perbuatan itu sebagai tertib dalam berdoa.

Mereka menggunakan segala wali, Nabi dan malaikat itu sebagai ‘perantaraan’ dalam berdoa mereka. Istilah yang digunakan adalah tawassul. Tawassul yang sebegitu adalah haram dalam Islam.

Umat Islam kena faham manakah tawassul yang dibenarkan dan manakah yang tidak. Malangnya ramai yang tidak faham kerana jauh dari ajaran wahyu.

Mereka tidak faham bahawa Allah ‎ﷻlah yang mengatur semua sekali. Namun kebanyakan manusia tidak faham. Mereka sangka perantara-perantara itu pun ada kuasa untuk menolong mereka. Mereka jauh tersilap. Ini dijelaskan dalam surah-surah yang seterusnya nanti.

Tafsir Ayat ke-30

Musyrikin Mekah berkata, apabila mereka tidak boleh halang Nabi Muhammad ﷺ dari berdakwah, mereka sangka mereka cuma perlu tunggu Nabi Muhammad ﷺ mati sahaja, tentu ajaran baginda akan habis begitu sahaja.

Mereka ingin katakan apa yang Nabi ﷺ ‎bawakan itu adalah ajaran manusia sahaja bukan Allah ‎ﷻ. Kerana kefahaman mereka sebegitulah yang menyebabkan mereka terus sesat. Orang musyrikin Mekah berkata mengenai Nabi: biarlah Muhammad ﷺ hendak cakap apa pun, satu hari nanti dia akan mati. Nanti bila dia sudah tiada, kita akan buat sesuatu kepada pengikutnya.

Maka ini adalah jawapan dari Allah ‎ﷻ:

إِنَّكَ مَيِّتٌ وَإِنَّهُم مَّيِّتونَ

Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan mati, dan sesungguhnya mereka juga akan mati.

إِنَّكَ مَيِّتٌ

Sesungguhnya kamu (Muhammad), pasti akan mati.

Bukan mereka sahaja kata Nabi ﷺ akan mati, tetapi Allah ‎ﷻ pun kata Nabi Muhammad ﷺ akan mati. Dalam kalimah مَيِّتٌ, apabila ada syaddah pada huruf ي itu, bermaksud kematian di masa hadapan.

Allah ‎ﷻ beritahu dengan jelas, yang Nabi Muhammad ﷺ pasti akan mati sebab baginda bukan tuhan, manusia biasa yang tetap akan mati. Tidak kira betapa tingginya kedudukan seseorang itu dalam agama, pasti akan mati juga, termasuklah Nabi Muhammad ﷺ.

Ini adalah satu lagi dalil dari banyak dalil untuk mengatakan yang Nabi Muhammad ﷺ itu manusia, bukan makhluk jenis lain termasuk bukan ‘Nur’. Malangnya, ada ajaran sesat yang kata Nabi ‎ﷺ hidup lagi.

Memang pening dengan sesetengah manusia yang ada fahaman ‘hayati’ iaitu Nabi Muhammad ﷺ masih hidup lagi. Mereka memberikan pelbagai hujah dan dalil. Kita katakan: memang nanti baginda akan tetap hidup tetapi hidup baginda nanti di alam barzakh.

Ia seperti hidupnya mereka yang mati syahid, yang telah mati namun terus menikmati nikmat di alam Barzakh. Bukannya bermaksud baginda terus hidup di dunia. Oleh itu, ayat ini tolak pegangan sesat mereka yang mengatakan baginda masih hidup lagi dan boleh mendengar permintaan manusia kepada baginda.

Mereka berkata yang baginda itu hidup lagi dan dapat mendengar permintaan kerana mereka ingin meminta dari baginda dan menjadikan baginda sebagai perantaraan dalam doa mereka. Ini adalah fahaman sesat, malangnya dianuti oleh ramai umat Islam yang jahil.

Ini juga menjawab kekeliruan puak jahil di negara ini dan negara-negara lain yang kata Nabi Khidr عليه السلام masih hidup lagi. Banyaklah hujah-hujah bathil yang mereka berikan kerana mereka itu jahil agama. Semua hujah mereka adalah hujah-hujah khayalan sahaja.

Memang Nabi Muhammad ﷺ akan mati, tetapi walaupun baginda telah tiada, agama Islam tetap akan berkembang. Allah ‎ﷻ ingin memberitahu yang walaupun Nabi Muhammad ﷺ mati, agama Islam tidak akan mati.

Allah ‎ﷻ tetap akan sebar dengan Qudrat-Nya. Ini kerana agama Islam bukannya bergantung kepada Nabi Muhammad ﷺ, tetapi Allah ‎ﷻ yang menentukan.

Maka, para sahabat yang sedang baca ayat ini, kenalah mengambil peluang untuk belajar dengan baginda sebanyak mungkin selagi ada peluang.

وَإِنَّهُمْ مَّيِّتُونَ

dan merekapun akan mati juga.

Allah ‎ﷻ juga hendak mengingatkan Musyrikin Mekah yang mereka pun akan mati juga, bukan Nabi Muhammad ﷺ sahaja yang mati. Dan apabila mati, tidaklah mati percuma dan habis begitu sahaja, tetapi nanti ada kesudahan.

Allah ‎ﷻ ingin mengisyaratkan satu soalan kepada mereka: Bila kamu sudah mati, apakah nasib kamu nanti? Nabi ﷺ tentu selamat, tetapi bagaimana dengan kamu nanti?

Maka ini mengingatkan kita yang kita pasti mati. Oleh itu kenalah bersiap dengan persiapan untuk menghadapi akhirat itu.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan