Utama UiTO: Soal-Jawab agama bersama ustaz Abu Basyer Larangan menyebut perkataan “Kalau”

Larangan menyebut perkataan “Kalau”

5666
0
Iklan

🌿Tazkirah 🌿

Larangan Sebut “Kalau” Perkara Yang Lepas Kerana Tidak Redha Dengan Qadha Dan Qadar Daripada Allah

HUKUM asal menggunakan perkataan “kalau” dan seumpamanya adalah harus. Namun demikian, jika penggunaannya merujuk kepada kekecewaan kerana tidak dapat menerima takdir Allah SWT, maka ia adalah ungkapan yang dilarang. Ia sebagaimana firman Allah SWT:

أَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَكُونُواْ كَٱلَّذِينَ كَفَرُواْ وَقَالُواْ لِإِخۡوَٰنِهِمۡ إِذَا ضَرَبُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَوۡ كَانُواْ غُزّى لَّوۡ كَانُواْ عِندَنَا مَا مَاتُواْ وَمَا قُتِلُواْ لِيَجۡعَلَ ٱللَّهُ ذَٰلِكَ حَسۡرَة فِي قُلُوبِهِمۡۗ

Maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu seperti orang-orang kafir (orang-orang munafik) itu, yang mengatakan kepada saudara-saudara mereka apabila mereka mengadakan perjalanan di muka bumi atau mereka berperang: Kalau mereka tetap bersama-sama kita tentulah mereka tidak mati dan tidak dibunuh. Akibat (dari perkataan dan keyakinan mereka) yang demikian itu, Allah menimbulkan rasa penyesalan yang sangat di dalam hati mereka.”

[ Ali Imran: 156 ]

Baginda SAW turut menjelaskan larangan tersebut menerusi sabdanya:

وَإِنْ أَصَابَكَ شَيْءٌ، فَلَا تَقُلْ لَوْ أَنِّي فَعَلْتُ كَانَ كَذَا وَكَذَا، وَلَكِنْ قُلْ قَدَرُ اللهِ وَمَا شَاءَ فَعَلَ، فَإِنَّ لَوْ تَفْتَحُ عَمَلَ الشَّيْطَانِ

Maksudnya: “Kalau engkau tertimpa musibah, janganlah engkau mengatakan: Kalau tadi aku lakukan begini, tentu jadinya akan begini dan begini, tapi katakanlah: Sudah takdir Allah, Allah melakukan apa sahaja yang Dia kehendaki. Kerana sesungguhnya kata “kalau” itu membuka pintu amalan syaitan.”

[ Hadis Riwayat Muslim, no. 22664 ]

Imam al-Nawawi mengatakan maksud “kalau” itu membuka pintu amalan syaitan iaitu bila dilafazkan kerana kekecewaan dan penyesalan terhadap kepentingan duniawi
[ Sharh al-Nawawi ‘ala Muslim, 8/156 ].

Di tempat lain, Imam al-Nawawi menukilkan pendapat al-Qadhi ‘Iyadh yang mengatakan perkataan “kalau” yang ditegah itu adalah apabila tercetus di dalam hati seseorang perasaan menentang takdir yang dibisikkan oleh syaitan [ Sharh al-Nawawi ‘ala Muslim, 16/216 ].

Ibn Daqiq al-‘Ied pula berpandangan penggunaan kata “kalau” dimakruhkan apabila ia terjadi dalam bab keghairahan meraih kepentingan dunia. Sama ada bersifat menginginkan sesuatu, seperti seseorang mengatakan, “Kalau aku melakukan demikian, maka aku akan mendapat demikian.” Atau bersifat menolak sesuatu seperti mengatakan, “Kalau demikian, tentu tidak terjadi padaku demikian.”

Kenyataan seumpama ini menunjukkan ketiadaan sikap menyerahkan sesuatu yang berlaku itu kepada qadha dan qadar Allah SWT [ Lihat Ihkam al-Ahkam, 2/87 ]

Walau bagaimanapun, menurut Imam al-Nawawi larangan di sini bukan bermaksud larangan haram, sebaliknya makruh. Bahkan sesiapa yang menyebut perkataan “kalau” bagi menggambarkan penyesalannya terhadap ketaatan kepada Allah yang terluput daripadanya, maka ia tidak mengapa [ Sharh al-Nawawi ‘ala Muslim, 16/216 ]

Seorang mukmin yang redha kepada qadha dan qadar tidak akan menyebut “kalau” peristiwa yang telah berlaku kerana semua kejadian langit di bumi semuanya telah ditetapkan Allah sejak azali lagi.

Contoh : “Kalau aku tak keluar malam tadi tak akan berlaku kemalangan jalan raya”

Tetapi untuk perkara akan datang boleh sebut “kalau” sebagai motivasi ke arah yang lebih baik.

Contoh : Kalau akan di pilih menjadi Ketua Kampung , aku akan ubah kampung ini menjadi kampung moden , bersih dan menghidupkan balik konsep gotong royong.

Oleh itu berhat- hati jangan mudah menggunakan perkataan “kalau” kerana boleh membuka pintu bisikan syaitan.

🥦Wassalam 🥦

Makmum Sundari
9.3.2019

#MS#AB
#SuaraPrihatin

Komen dan Soalan