Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az-Zumar – Tafsir Ayat Ke-11 hingga Ke-16

Tafsir Surah Az-Zumar – Tafsir Ayat Ke-11 hingga Ke-16

377
0
Iklan

Tafsir Ayat ke-11

Ini adalah Dalil Wahyi sekali lagi.

Allah ﷻ ulang dakwa dan kali ini ada kalimah قل sebagai arahan khusus dari Allah ﷻ. Maksudnya, Nabi Muhammad ﷺ sampaikan ajaran Islam dan ajaran tauhid ini kerana baginda diarahkan oleh Allah ﷻ. Memang baginda kena sampaikan. Begitu jugalah dengan kita yang meneruskan tugas para Rasul ini.

Ini penting kerana ada orang yang marah kalau kita dakwah kepada mereka. Mereka kata: “kenapa kamu hendak sibuk-sibuk ni, kamu hendak buat amal kamu, buatlah… jangan kacau amalan kami.”

Maka jawapan kita kepada mereka. Kita sampaikan kerana Allah ﷻ suruh kita sampaikan.

قُل إِنّي أُمِرتُ أَن أَعبُدَ اللَهَ مُخلِصًا لَّهُ الدّينَ

Katakanlah lagi (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat kepada-Nya;

Nabi Muhammad ﷺ, dan kita juga, disuruh untuk sampaikan ajaran tauhid ini kepada manusia. Selagi kita hidup, kita kena sampaikan. Ini kerana Allah ﷻ telah titahkan arahan secara khusus. Maka ini memberitahu kita yang menyampaikan dakwah adalah WAJIB iaitu kita beritahu kepada manusia, mesti beribadat ikut 100% sepertimana yang Nabi ﷺ ajar.

Maksud tulus ikhlas dalam ayat ini adalah apa sahaja ibadat yang dibuat kenalah ikut sunnah Nabi. Kalau ibadat yang bukan dari syariat, walau bagaimana ikhlas pun tidak diterima. Maka tidaklah boleh kita buat ibadat yang kita rasa molek untuk dibuat, tetapi tiada dalil.

Ayat ini juga memberitahu kepada kita bahawa tujuan hidup kita adalah kerana Allah ﷻ. Kita menjalani kehidupan di dunia untuk mencari redha Allah ﷻ. Bukannya mencari redha manusia. Ramai antara kita yang mencari-cari redha manusia sampaikan meninggalkan redha Allah ﷻ.

Sebagai contoh, Allah ﷻ tidak benarkan kita buat amalan bid’ah, tetapi kerana takut orang lain marah kita, maka kita buat juga. Takut sangat kalau orang lain ajak kita pergi Majlis Tahlil, tetapi kita tidak pergi. Kita risau apa orang kata namun kita tidak hiraukan apa yang Allah ﷻ akan kata kepada kita.

Maka Allah ﷻ ingatkan sekali lagi dalam ayat ini yang penyembahan kita mestilah hanya kepada Allah ﷻ sahaja. Jangan campur sembahan dan seruan kepada selain Allah ﷻ. Maka amalan doa bertawassul kepada Nabi, wali dan malaikat adalah haram.

Apabila kita sudah faham Islam, kita akan mengamalkan cara hidup Islam iaitu menjalani kehidupan yang beretika. Kadang-kadang kita ikut undang-undang, tetapi kita tidak hidup beretika. Jadi kena faham apakah ‘etika’ itu.

Etika itu adalah perkara seperti kesamarataan, keadilan, jangan rendahkan martabat sesuatu kaum, cara melayan orang lain, cara melayan pekerja kita, dan perkara-perkara lain.

Perkara-perkara ini sebenarnya kita boleh faham sendiri, tidak perlu fatwa pun, tidak perlu diberitahu satu persatu pun. Kadang-kadang manusia menyalahgunakan undang-undang untuk melanggar etika. Contohnya, seorang bapa yang mencari fatwa untuk tidak memberi harta kepada anaknya kerana dia marah kepada anaknya itu.

Kadang-kadang perkara kecil sahaja yang menunjukkan kita tidak beretika. Contohnya, beratur untuk mendapatkan sesuatu. Kadang-kadang kita memotong barisan yang telah ada. Memang tidak ada ayat al-Quran dan hadith berkenaan jangan memotong barisan tetapi perkara itu adalah perkara etika.

Orang bukan Islam pun tahu perkara itu kerana benda itu tidak payah diajar. Jadi, amat malu sekali kalau orang Islam sendiri tidak menjaga perkara ini dan ini boleh memalukan agama kita sendiri. Inilah yang dimaksudkan menjaga perkara dalam agama, bukan hanya tentang ibadat ritual sahaja. Jangan kita buat amalan-amalan ibadat sahaja, tetapi tidak menjaga perkara-perkara dalaman.

Tafsir Ayat ke-12

Apa lagi yang kita disuruh?

وَأُمِرتُ لِأَن أَكونَ أَوَّلَ المُسلِمينَ

“Dan aku diperintahkan supaya menjadi orang yang awal pertama berserah diri bulat-bulat (kepada Allah)”.

Maksud yang diperintah dalam ayat ini adalah Nabi Muhammad ﷺ. Perkara yang diperintahkan kepadanya adalah untuk mula-mula sekali menyerah diri bulat-bulat kepada Allah ﷻ. Ini kerana bagindalah yang pertama sekali menerima wahyu, jadi bagindalah yang kena menjadi muslim dahulu.

Baginda ﷺ disuruh menyerahkan diri baginda sepenuhnya kepada Allah ﷻ. Taat kepada segala perintah Allah ﷻ tanpa menolak satu pun. Itulah makna menjadi ‘muslimin’. Itulah maknanya ‘menyerah diri’. Kalau Allah ﷻ suruh sampaikan, maka kita kena sampaikan.

Nabi Muhammad ﷺ bukan sahaja menyuruh umatnya menerima Islam tetapi baginda sendiri telah mula-mula sekali menerimanya. Baginda menjadi contoh kepada orang lain. Kita pun sepatutnya awal-awal lagi telah terima hukum Allah ﷻ. Apabila telah sampai dalil yang sahih kepada kita, maka hendaklah kita awal-awal lagi terima. Jangan kita tangguh-tangguh lagi.

Jangan ada perasaan hendak tengok sama ada orang lain terima atau tidak. Kita terus sahaja terima kerana memang telah jelas manakah kebenaran apabila yang datang berdakwah kepada kita itu datang dengan membawa dalil yang sah.

Ayat ini memberitahu kita bahawa asal Islam ini adalah seorang diri sahaja. Jadi, kalau seorang pun masih boleh berjalan lagi agama Islam ini. Kalau kita sahaja yang mengamalkan tauhid, orang lain semuanya tidak mengamalkannya, maka kita kena tetap terus mengamalkan tauhid. Jangan kisah kalau kita seorang sahaja mengamalkan sunnah.

Tafsir Ayat ke-13

Kenapa kita ikut arahan? Ini kerana kita takut.

قُل إِنّي أَخافُ إِن عَصَيتُ رَبّي عَذابَ يَومٍ عَظيمٍ

Katakanlah lagi: “Sesungguhnya aku takut – jika aku menderhaka kepada Tuhanku – akan azab hari yang besar (soal jawabnya)”.

Ini kerana kita takut sangat dengan azab Allah ﷻ kalau kita tidak sampaikan, kalau kita tidak amalkan seperti yang Allah ﷻ suruh dan yang disuruh cakap begini adalah Nabi Muhammad ﷺ. Baginda membawa satu mesej yang perlu disampaikannya dan baginda sendiri takut jikalau baginda tidak menyampaikannya.

Baginda tidak takut kepada orang lain, tetapi apa yang baginda takut adalah tidak berjaya menyampaikan agama Islam kepada manusia. Ini kerana baginda tahu bahawa apa yang perlu disampaikannya itu adalah amat berat dan amat penting sekali.

Berdosa besar kalau baginda tidak sampaikan dan amat bahaya kepada umatnya kerana mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan akan kekal di dalamnya selama-lamanya. Nabi Muhammad ﷺ juga disuruh untuk memberitahu kepada manusia, kalau baginda sendiri derhaka, maka baginda juga akan menerima azab.

Ini sebagai kata sahaja, kerana tidak akan Nabi Muhammad ﷺ menderhaka kepada Allah ﷻ. Maka kalau Nabi Muhammad ﷺ sendiri pun takut, maka kita kena lebih-lebih takut lagi. Jangan kita rasa tenang sahaja buat apa yang kita hendak.

Tafsir Ayat ke-14

Allah ﷻ ulang Dakwa Surah sekali lagi. Oleh kerana pentingnya perkara ini, sampai diulang sekali lagi.

قُلِ اللَهَ أَعبُدُ مُخلِصًا لَّهُ ديني

Katakanlah lagi: “Hanya Allah jualah yang aku sembah dengan mengikhlaskan amalan agamaku kepada-Nya.

Diulang-ulang ayat ini sebab ayat ini penting sangat. Jika sesuatu ayat di dalam al-Quran itu disebut berulangkali, bermaksud ia sangat penting untuk difahami dan diamalkan dalam kehidupan kita.

Ini kerana kadang-kadang fikiran kita boleh terima, tetapi hati kita tidak dapat terima. Oleh itu, kita perlu diingatkan berkali-kali tentang keikhlasan kepada Allah ﷻ. Segala perbuatan kita mestilah kena bandingkan adakah ia sesuai dengan agama.

📍Kepada Allah ﷻ sahajalah kita kena ibadat, kepada Allah ﷻ sahajalah seruan dalam doa. Tidak ada kepada yang lain.

Tafsir Ayat ke-15

Kalau masih berdegil dengan segala ayat-ayat sebelum ini, maka sekarang diberikan dengan ayat Takhwif Ukhrawi sebagai ugutan. Ayat ini ditujukan kepada sesiapa yang masih ingkar. Sekiranya masih ingkar tidak mahu ikut syariat, masih lagi hendak bertawasul dengan cara yang salah, maka Allah kata kepada mereka:

فَاعبُدوا ما شِئتُم مِّن دونِهِ ۗ قُل إِنَّ الخٰسِرينَ الَّذينَ خَسِروا أَنفُسَهُم وَأَهليهِم يَومَ القِيٰمَةِ ۗ أَلا ذٰلِكَ هُوَ الخُسرانُ المُبينُ

“(Setelah kamu mengetahui pendirianku ini wahai kaum musyrik, dan kamu masih juga berdegil) maka sembahlah kamu apa yang kamu kehendaki, yang lain daripada Allah, (kamu akan mengetahui akibatnya)”. Katakanlah lagi: “Sesungguhnya orang-orang yang rugi (dengan sebenar-benarnya) ialah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri dan pengikut-pengikutnya pada hari kiamat (dengan sebab perbuatan mereka memilih kekufuran atau kederhakaan). Ingatlah, yang demikian itulah kerugian yang jelas nyata.”

فَاعْبُدُوا مَا شِئْتُمْ مِّنْ دُونِهِ

Maka kamu sembahlah apa sahaja yang kamu nak puja, selain dari Allah.

Maknanya Allah ﷻ suruh dengan ancaman. Bukan benar-benar Allah ﷻ suruh manusia untuk sembah apa sahaja. Ini seumpama kita suruh anak kita yang degil yang hendak main juga di sungai dalam hujan lebat.
Kita pun kata: “ha, kalau hendak pergi sangat, pergilah!”

Walau pun dari segi bahasa, nampak macam kita suruh, tetapi bukan kita hendak suruh sebenarnya. Kalau tidak faham bahasa, memang jenis orang bodoh sungguhlah.

Ada dua jenis perkara yang disembah selain Allah ﷻ. Ada perkara yang kita boleh nampak seperti berhala, patung, manusia dan sebagainya. Namun, ada juga perkara yang kita sembah yang kita tidak nampak, seperti nafsu. Itu pun kita kena berhati-hati.

قُلْ إِنَّ الْخٰسِرِينَ الَّذِينَ خَسِرُوا أَنْفُسَهُمْ وَأَهْلِيهِمْ يَوْمَ الْقِيٰمَةِ

Katakanlah sesungguhnya mereka yang sebenar-benar rugi itu merugikan diri mereka sendiri dan keluarga mereka pada hari kiamat nanti.

Mereka akan sedar kerugian mereka di akhirat nanti. Memang mereka sedang rugi di dunia ini lagi tetapi mereka tidak nampak lagi. Sudahlah mereka sendiri rugi, tetapi mereka juga merugikan keluarga mereka sendiri? Bagaimana pula dikatakan mereka akan merugikan keluarga mereka juga?

Mereka merugikan keluarga mereka sekali, sebab mereka akan ajar kepada anak isterinya kesyirikan yang mereka buat itu. Sama-sama akan masuk neraka belaka kalau berterusan begitu dan tidak sedar dan meminta ampun.

Sepatutnya dia gunakanlah ahli keluarga sebagai sumber pahala. Ini kerana kalau dia beri ajaran yang bagus, sampai mereka juga beramal tauhid seperti Allah ﷻ kehendaki, dia akan mendapat saham pahala dari orang itu tetapi malang sekali kalau tidak ambil peluang ini.Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka bersama-sama dan mereka akan merasa amat-amat rugi sekali nanti.

أَلَا ذَٰلِكَ هُوَ الْخُسْرَانُ الْمُبِينُ

Ingatlah! Sesiapa yang buat demikian betul-betul rugi yang jelas nyata.

Mereka akan kekal abadi dalam neraka. Itulah kerugian yang paling besar sekali. Ketika di dunia tidak nampak lagi kerugian itu tetapi ia akan nyata di akhirat kelak. Dalam ayat seterusnya, akan diterangkan apakah yang mereka akan terima.

Tafsir Ayat ke-16

Ayat Takhwif Ukhrawi kepada mereka yang tetap ingkar. Allah ﷻ hendak memberitahu yang rugi di akhirat tidak sama dengan rugi di dunia. Allah ﷻ terangkan apakah yang menanti mereka di neraka kelak.

لَهُم مِّن فَوقِهِم ظُلَلٌ مِّنَ النّارِ وَمِن تَحتِهِم ظُلَلٌ ۚ ذٰلِكَ يُخَوِّفُ اللَهُ بِهِ عِبادَهُ ۚ يٰعِبادِ فَاتَّقونِ

Bagi mereka (yang kafir disediakan lapisan-lapisan dari api menyerkup di atas mereka, dan lapisan-lapisan (dari api) di bawah mereka; dengan (azab) yang demikian, Allah menakutkan hamba-hambaNya: “Oleh itu, bertaqwalah kepadaKu wahai hamba-hambaKu!”

لَهُمْ مِّنْ فَوْقِهِمْ ظُلَلٌ مِّنَ النَّارِ

Bagi mereka, dari atas mereka lapisan-lapisan azab api neraka.

Di bahagian atas mereka adalah azab daripada api. Berlapis-lapis api itu yang akan menaungi mereka di neraka kelak.

وَمِنْ تَحْتِهِمْ ظُلَلٌ

dan di bawah mereka lapisan api lagi.

Bukan sahaja api di atas tetapi api neraka juga akan ada di bawah. Di ayat lain dikatakan api itu akan berada di sekeliling mereka. Apabila Allah ﷻ kata ‘atas dan bawah’, bermakna di setiap arah akan ada api neraka. Begitu juga, kalau Allah ﷻ kata timur dan barat, ia bermakna, di semua arah.

Dalam ayat lain pula, diceritakan lagi, sebelum dimasukkan dalam api neraka itu, mereka akan dicelur dulu di dalam air panas. Sebelum mereka dibakar, mereka akan ditambat dengan rantai besi, diikat kaki mereka, dan rantai itu akan ditarik ke belakang, kemudian baru dicelur dalam air panas. Kemudian dibakar.

Teruk sangat azab yang akan dikenakan tetapi ahli syurga tidak akan mati-mati. Dia tidak mati sebab tubuh badan dia sudah ditambahbaik. Jantung pun tidak pecah dan dia tetap masih bernyawa lagi. Selepas dibakar itu, dia akan dipulih kembali dan dicelur balik.

Untuk cuba bayangkan teruknya rantai yang merantai mereka itu, bayangkan kalau satu gelang rantai itu sahaja diletakkan di atas bukit Thursina, hancur bukit itu jadi debu. Sebab panasnya rantai itu.

ذَٰلِكَ يُخَوِّفُ اللَهُ بِهِ عِبَادَهُ ۚ

Demikianlah Allah menakutkan dengan ancaman neraka kepada hambaNya

Allah ﷻ memberi peringatan kepada manusia supaya manusia beringat untuk bertaubat. Tujuan Allah ﷻ menakutkan manusia adalah untuk kebaikan manusia sendiri. Inilah salah satu dari rahmat Allah ﷻ.

Allah ﷻ menakutkan manusia bukanlah seperti ibu bapa yang menakutkan anak mereka dengan hantu supaya mereka ikut kata. Malah yang ibu bapa itu buat adalah tipu sahaja tetapi apa yang Allah ﷻ takutkan kita itu pasti akan berlaku. Bukan kata yang main-main, olok-olok.

يٰعِبَادِ فَاتَّقُونِ

Wahai hambaKu, hendaklah kamu taqwa kepada Aku sahaja.

Hendaklah kita bertaqwa dengan menjaga hukum. Dalam ayat ini, ada disebut tentang ‘takut’ dan ‘taqwa’. Apabila dua perkataan itu diletakkan dalam satu ayat, itu bermaksud ia tidak sama.

Oleh itu, taqwa bukanlah hanya bermaksud ‘takut’ sahaja. Walaupun ramai yang menterjemahkan ‘taqwa’ dengan bermaksud ‘takut’. Sedangkan maksud ‘taqwa’ adalah lebih luas lagi. Ia adalah satu sifat dalam diri kita yang berhati-hati dalam segala perbuatan kita dalam hidup kita.

Muttaqeen amat prihatin dengan hukum Allah ﷻ dan setiap kali hendak melakukan sesuatu, dia akan periksa apakah kehendak Allah ﷻ dalam hal itu. Lihatlah cara Allah ﷻ memanggil kita dalam ayat ini: Allah ﷻ memanggil kita dengan panggilan manja: “HambaKu”. Allah ﷻ masih lagi memanggil kita sebagai hamba-Nya seperti seorang ibu yang menasihati anaknya: “Wahai anakku yang aku sayangi….”

Ada dalam kalangan kita yang telah jauh dari agama tetapi Allah ﷻ masih lagi sayang dan Allah ﷻ masih lagi membuka pintu rahmah-Nya untuk dimasuki oleh hamba-hamba-Nya. Maka jangan kita putus asa dengan sesiapa pun kerana mungkin Allah ﷻ akan beri dia peluang untuk kembali ke jalan-Nya.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan