Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az-Zumar: Tafsir ayat ke-7 dan ke-8

Tafsir Surah Az-Zumar: Tafsir ayat ke-7 dan ke-8

536
0
Iklan

Tafsir Surah Az-Zumar

Tafsir Ayat ke-7 (sambungan)

وَإِنْ تَشْكُرُوا يَرْضَهُ لَكُمْ

Sekiranya kamu bersyukur kepada Allah, Allah redha kepada kamu,

Kalau kita bersyukur, Allah ﷻ akan tambah nikmat yang telah diberikan kepada kita tetapi kena faham balik apakah maksud ‘syukur’ itu.

Maksud ‘bersyukur’ itu bukan sahaja bermaksud mengucapkan ‘alhamdulillah’ sahaja tetapi perlulah disertai dengan taat kepada Allah ﷻ. Ini kerana kalau setakat sebut di mulut sahaja dan tidak diteruskan dengan perbuatan, tidak bermakna. Munafik pun boleh sebut alhamdulillah berkali-kali.

Jadi, kalau tidak taat kepada Allah ﷻ, tidak memberi kesan kepada Allah ﷻ kerana Dia tidak memerlukan ibadat kita. Sebaliknya, kepada sesiapa yang taat kepada arahan Allah ﷻ, beramal seperti yang dikehendaki-Nya, Allah ﷻ akan redha kepada orang itu.

Apabila Allah ﷻ redha, itu bermaksud Dia akan balas dengan kebaikan: setiap ibadat Dia akan balas dengan pahala, dengan keampunan dan balasan syurga dan macam-macam lagi. Malahan Allah ﷻ akan balas berganda-ganda lebih baik dari amal ibadat itu.

Orang yang bersyukur dengan Allah ﷻ itu bermaksud dia menghargai segala nikmat-nikmat yang Allah ﷻ telah berikan kepada dirinya. Sedangkan kalau kita terima kebaikan dari manusia lain pun kita tahu berterima kasih kepada mereka, ikut cakap dia, buat perkara yang orang itu suka; apatah lagi dengan Allah ﷻ yang telah memberi segala-galanya kepada kita.

Maka kenalah kita ikut dan taat kepada Allah ﷻ kerana Allah ﷻ telah beri segala-galanya kepada kita. Tanda bersyukur dengan Allah ﷻ itu adalah dengan taat kepada perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Malah yang paling penting adalah terima akidah tauhid seperti yang diajar-Nya dan disampaikan oleh Nabi-Nya.

Maka Surah Zumar ini adalah berkenaan tauhid dan kerana itu kita tidak boleh lari dari tajuk itu. Surah ini adalah surah utama yang kena dipelajari oleh manusia.

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ

dan seseorang yang menanggung dosa sendiri, tidak boleh pikul dosa orang lain,

Apabila ada orang yang mengikut ajaran Nabi Muhammad ﷺ di Mekah, ada musyrikin Mekah yang bagitahu kepada orang yang beramal tauhid itu, janganlah takut kalau tidak ikuti Nabi Muhammad ﷺ itu. Dia kata kalau orang yang kedua itu membuat amal syirik dan ada dosa, dia (orang pertama) akan tanggung dosa orang kedua itu.

Zaman sekarang juga ada yang cakap begitu, sama seperti kata orang jahiliah itu. Ada ajaran sesat yang guru kata mereka akan tanggung dosa anak murid. Ini tidak mungkin seperti yang disebut dalam ayat ini. Semua kita menanggung dosa kita sendiri, takkan kita boleh hendak tanggung dosa orang lain pula?

Ini adalah sebagai respons kepada orang musyrik yang konon dia kata dia akan tanggung dosa orang lain. Ini tidak mungkin kerana semua manusia sama-sama akan tanggung dosa masing-masing.

Walaupun begitu, mereka yang ajak atau mengajar kepada perkara yang salah, memang akan tanggung juga dosa orang lain. Ini kerana orang itu buat dosa kerana dia. Maknanya, yang mengajak dan mengajar itu pun akan dapat saham juga, tetapi tidaklah sampai habis licin dosa pelaku itu. Orang yang melakukannya tetap berdosa juga.

Maka, tidaklah benar seperti yang dikatakan oleh paderi-paderi Kristian yang kata mereka akan pikul dosa orang lain, atau kata Nabi Isa akan pikul dosa mereka. Manusia tidak boleh pikul dosa sesiapa pun, sama ada emak atau ayah kita pun. Begitu juga, kalau dosa pun tidak boleh dipikul, diberikan kepada orang lain, pahala juga tidak boleh diberikan kepada orang lain. Maka amalan sedekah pahala kepada simati turut tidak ada dalam Islam.

Ayat ini mengajar kita untuk bertanggungjawab atas perbuatan kita sendiri. Maka, kalau ada ajaran yang mengatakan tok guru boleh tanggung dosa anak murid, itu adalah ajaran sesat namanya. Ini penting kita faham kerana ada ajaran-ajaran seperti ajaran tarekat yang mengatakan guru boleh memikul dosa anak murid mereka.

Keturunan juga tidak boleh menyelamatkan kita. Walaupun kita keturunan Nabi Muhammad ﷺ sendiri pun. Nabi Muhammad ﷺ sendiri juga pernah mengingatkan seluruh keluarganya dari Bani Hasyim, Bani Abdul Muttalib dan lain-lain, agar jangan mereka mengharap kepada kedudukan pertalian persaudaraan dengan baginda. Malah kepada anaknya Fatimah dan isteri-isterinya pun diingatkan begitu.

Oleh itu, tidak ada sesiapa yang akan tanggung dosa kita. Ada pengecualian dalam hal ini seperti yang kita telah sebut di atas. Ada dosa orang lain yang kita akan kena pikul juga kalau kita buat salah iaitu dosa orang lain yang kita ajar dia perkara yang salah.

Contohnya ada orang yang mengajar anak-anak mereka main sabung ayam dan apabila anak dia berlaga ayam pula, dia juga akan dapat dosa anaknya itu. Lepas itu kalau anak dia ajar pula kepada orang lain, dia pun akan dapat dosa orang lain itu juga. Sampai seterusnya, bertimpa-timpa dosa dia akan dapat. Anak itu berdosa, ayahnya yang mengajarnya juga akan berdosa juga.

Sebaliknya, kalau seseorang mengajar kebaikan kepada orang lain, dia turut akan dapat pahala juga dari amalan anak murid yang dia ajar itu. Maka, kalau seorang guru itu mengajar ibadat yang benar, guru itu akan dapat pahala orang yang membuat ibadat itu juga.

Maknanya, Nabi kita dapat pahala daripada segala apa ibadat yang kita buat sekarang ini. Jadi, buat apa lagi hendak kirim bacaan al-Fatihah kepada baginda? Nabi ﷺ sudah mendapat pahala berkali-kali ganda setiap kali kita buat amal ibadat kerana bagindalah yang mula-mula ajar ibadat itu.

Maknanya sesiapa yang kononnya hendak ‘hantar pahala’ kepada Nabi ﷺ sebenarnya adalah kerana ingin membodek dan mendapatkan berkat dari baginda sahaja. Itu adalah perbuatan yang salah.

Begitu juga, kalau seorang guru itu mengajar amalan yang salah, maka dia akan mendapat dosa dari perbuatan anak muridnya yang mengamalkan dosa yang salah itu juga. Sama banyak dengan dosa yang diperolehi oleh anak muridnya itu. Maka, apabila kita mengajar manusia lain melakukan ibadah yang benar, itulah yang terbaik.

Itulah yang dipanggil ‘ilmu berguna yang kita tinggalkan’. Jadi sampaikan kepada orang lain apa yang kita sedang belajar. Jangan simpan sendiri sahaja kerana dengan orang lain belajar, kita akan melipat gandakan pahala kita.

Ini juga menolak pemahaman manusia yang kata, seorang ayah akan menanggung dosa anak dia kalau anak dia tidak pakai tudung tutup aurat atau anak dia tidak solat. Termasuk juga ada yang kata, seorang suami akan tanggung dosa isteri kalau isteri tidak tutup aurat atau tidak solat. Kalau tiada dalil yang sahih, pemahaman kita dari ayat ini adalah: masing-masing akan tanggung dosa sendiri.

Lainlah kalau ayah itu yang suruh anak dia buat dosa, atau seorang suami larang isteri pakai tudung tutup aurat, barulah dia akan tanggung segala dosa itu. Namun, kalau dia sudah ajar dan suruh mereka buat apa yang sepatutnya dilakukan, dia tidak tanggung dosa mereka.

ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّكُمْ مَّرْجِعُكُمْ

Kemudian kepada Tuhan kamulah kamu semua akan dikembalikan.

Sama ada kamu buat ibadat atau buat syirik, suka atau tidak, beriman atau tidak, semua sekali akan dikumpulkan di hadapan Allah ﷻ. Sentiasa Allah ﷻ mengingatkan kita tentang mati dalam Al-Quran ini kerana ini adalah perkara yang amat penting. Ingatlah bahawa kita hanya tinggal sebentar sahaja di dunia ini.

Setelah ajal kita habis, kita semua akan mati. Kehidupan di dunia ini amatlah sedikit dan pendek kalau dibandingkan dengan kehidupan yang kekal abadi di akhirat kelak. Malangnya, manusia ramai yang leka dengan kehidupan dunia ini sampai mereka lupa bahawa mereka akan mati dan akhirnya akan bertemu mengadap Allah ﷻ juga. Oleh kerana itu, Allah ﷻ sentiasa mengingatkan manusia tentang mati dalam ayat-ayat-Nya.

Allah ﷻ akan membicarakan banyak perkara dalam Al-Quran ini, dan akan diselit tentang kematian kepada pembacanya. Baca beberapa ayat, akan jumpa tentang Kiamat, kemudian baca lagi ayat lain, akan jumpa lagi tentang Kiamat dan kematian – silih berganti berulang-ulang akan disentuh.
فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ

Maka Dia akan memberitahu kepada kamu semua tentang apa yang kamu semua telah kerjakan.

Tujuan diceritakan semula semua itu sebab hendak balas balik perbuatan dia semasa di dunia dahulu. Bukan hendak cerita kosong sahaja. Macam polis baca tuduhan kepada pesalah-pesalah yang dibawa ke hadapan mahkamah, bukan polis itu hendak baca novel tetapi sebab hendak buat pertuduhan kepada orang yang dituduh itu.

Maka Allah ﷻ akan ceritakan balik satu persatu apa yang dilakukan oleh setiap manusia. Semua perbuatan kita di duni akan dibalas. Amal soleh akan dibalas berkali-kali ganda dengan kebaikan. Dosa pula, untuk satu kesalahan, akan dibalas satu juga, atau kurang dari itu, atau diampunkan terus.

Oleh itu, ingatlah bahawa amalan perbuatan kita semasa di dunia ini tidaklah sia-sia. Semuanya akan dibalas dengan selayaknya. Perbuatan dosa tidak akan pergi begitu sahaja, tetapi akan ditunjukkan balik kepada kita di akhirat kelak dan akan dibalas.

Allah ﷻ juga akan memberitahu nilai amalan kita itu. Ada amalan baik yang kita lakukan, tetapi sebenarnya tidak ikhlas. Amalan yang seperti itu akan dibuang dan dilemparkan kepada pembuatnya.

Allah ﷻ akan cerita balik kenapa kita buat amal itu, mungkin sebab kita hendak menunjuk kepada orang, sebab malu kepada orang, atau kerana hendak pulangan duit dan sebagainya. Allah ﷻ sudah beritahu yang Dia tahu isi hati kita dan Dia akan ceritakan balik.

إِنَّهُ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ

Sesungguh Dia Maha Mengetahui apa yang ada dalam lipatan hati manusia.

Maka Tuhan akan balas mengikut keikhlasan hati manusia. Kalau amalan itu dilakukan dengan ikhlas hati kepada Allah ﷻ, maka Allah ﷻakan balas dengan kebaikan. Kalau dalam hati pun Allah ﷻ tahu, apatah lagi perbuatan fizikal yang kita telah lakukan.

Namun, ingatlah, walaupun niat pelaku amal ibadat itu ikhlas, tetapi kalau amalan itu bukan yang ikut sunnah, pun tidak diterima walau bagaimana ikhlas pun perbuatannya itu. Ini menolak pendapat golongan ahli bid’ah yang mengatakan ‘kalau kita ikhlas, Allah ﷻ akan terima amal ibadat kita itu’. Ini adalah pandangan yang salah. Jangan kita tertipu dengan kata-kata sebegini.

Sia-sia sahaja amalan yang bukan datang dari ajaran Allah ﷻ dan Nabi. Banyak ayat-ayat Al-Quran akan memperkatakan perkara ini nanti dan banyak hadith-hadith Nabi yang memberitahu kita perkara yang sama. Orang yang kata hanya ikhlas sahaja yang perlu, itu menunjukkan mereka tidak belajar tafsir Al-Quran dan hadith-hadith Nabi tetapi mereka sebenarnya ikut akal fikiran mereka sahaja.

Tafsir Ayat ke-8

Ayat Zajrun.

Sekarang Allah ﷻ memberikan ayat ancaman pula sebagai peringatan kepada kita. Ingatlah bahawa apabila manusia buat syirik, maka bala akan menyusul. Oleh itu, bala yang kita terima adalah kerana disebabkan dosa yang kita lakukan atau sebagai ujian daripada Allah ﷻ untuk orang yang beriman.

Malangnya sekarang manusia banyak cuba menolak bala dengan doa sambil telungkup tangan seperti yang kadang-kadang dibuat oleh imam-imam di masjid-masjid. Mereka itu doa ‘tolak bala’. Itu tidak pernah diajar oleh Nabi dan tidak dibuat oleh sahabat. Bala yang Allah ﷻ beri itu adalah kerana dosa yang dibuat oleh manusia. Maka sepatutnya manusia kena minta ampun dari dosa dia. Bukannya tambah dosa lagi dengan buat amal bid’ah.

Telah disebut dalam Al-Quran bahawa musibah yang kena pada kita, yang berbagai-bagai macam musibah, seperti perniagaan jatuh dan sebagainya, adalah kerana hasil kerja tangan manusia. Akan tetapi dosa-dosa kita banyak yang telah diampunkan apabila Allah ﷻ turunkan musibah kepada kita – apabila kita sabar dengan musibah itu, dosa-dosa kecil yang kita telah lakukan akan diampunkan.

Hanya dosa besar sahaja yang tidak diampunkan lagi. Untuk mendapatkan keampunan dari Allah ﷻ atas dosa besar itu, kita kena mohon doa kepada Allah ﷻ supaya mengampunkan dosa-dosa itu secara khusus. Tidak cukup dengan kata: ‘Ya Allah, ampunkanlah dosa aku.’

Antara dosa yang perlu kita minta ampun adalah dosa syirik kepada Allah ﷻ. Dosa syirik adalah amat berat sekali tetapi masih lagi boleh diampunkan, kita kena mohon doa supaya diampunkan dengan ikhlas hati kepada Allah ﷻ.

۞ وَإِذا مَسَّ الإِنسٰنَ ضُرٌّ دَعا رَبَّهُ مُنيبًا إِلَيهِ ثُمَّ إِذا خَوَّلَهُ نِعمَةً مِّنهُ نَسِيَ ما كانَ يَدعو إِلَيهِ مِن قَبلُ وَجَعَلَ ِللهِ أَندادًا لِّيُضِلَّ عَن سَبيلِهِ ۚ قُل تَمَتَّع بِكُفرِكَ قَليلًا ۖ إِنَّكَ مِن أَصحٰبِ النّارِ

Dan apabila manusia disentuh oleh sesuatu musibah, ia segera berdoa kepada Tuhannya dengan keadaan rujuk kembali bertaubat kepadaNya; kemudian apabila Allah memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) daripadaNya, lupalah ia akan segala musibah yang menyebabkannya merayu kepada Allah sebelum itu dan ia pula menjadikan sekutu-sekutu bagi Allah, untuk menyesatkan dirinya (dan orang lain) dari jalan Allah. Katakanlah (kepadanya): “Bersenang-senanglah engkau dengan kekufuranmu itu bagi sementara, sesungguhnya engkau dari penduduk neraka.

وَإِذَا مَسَّ الْإِنْسٰنَ ضُرٌّ دَعَا رَبَّهُ مُنِيبًا إِلَيْهِ

Apabila dikenakan kepada insan kufur itu bala musibah, dia berdoa kepada Allah, sifatnya condong menghampiri kepada Allah.

Orang yang dimaksudkan dalam ayat ini asalnya merujuk kepada orang Mekah jahiliah. Mereka pun ada juga berdoa kepada Allah ﷻ. Ini adalah kerana memang mereka kenal Allah ﷻ pun, bukannya tidak kenal. Kalau mereka ada musibah, mereka hanya berdoa hanya kepada Allah ﷻ sahaja. Mereka akan meninggalkan sembahan dan doa kepada selain Allah.

Begitu jugalah orang kita pun ada juga berdoa kepada Allah ﷻ. Apabila seseorang itu telah ditimpa musibah kesusahan, mulalah dia jadi baik sekejap, berkopiah atau berserban. Dulu masa dia senang, sihat, dia tidak ingat Allah. Dia hanya menghabiskan masa dengan bersuka-sukaan sahaja. Tidak ingat hendak belajar agama, tidak ingat hendak solat atau hendak pergi masjid.

Namun, apabila sudah kena musibah, baru dia tahu langit tinggi rendah. Mulalah dia hendak kenal solat dan hendak mendekatkan diri dengan surau dan masjid. Kalau bercakap dengan orang pun, baik-baik sahaja, lembut sahaja. Selalu juga kita jumpa orang yang macam ini, bukan? Tiba-tiba dia jadi baik apabila ada masalah, jadi warak tiba-tiba. Solat pun khusyuk. Kalau berdoa pun lama iaitu berlainan dari dirinya yang dulu.

ثُمَّ إِذَا خَوَّلَهُ نِعْمَةً مِّنْهُ نَسِيَ مَا كَانَ يَدْعُو إِلَيْهِ مِنْ قَبْلُ

Kemudian apabila (Allah) berikan kepadanya nikmat yang baru, dia lupa terus apa yang dia pernah doa kepada-Nya sebelum ini,

Allah ﷻ memberi kesusahan sekejap sahaja. Selepas beberapa lama, masalah dia akan selesai. Allah ﷻ yang selesaikan masalah dia. Apabila keadaannya sudah berubah kepada baik, dia sudah lupa kepada Allah ﷻ, lupa kepada musibah yang dia kena dulu.

Maksud ‘dia lupa’ itu adalah dia buat syirik kembali. Dia lupa yang dulu dia doa kepada Allah ﷻ dan masalah yang dia hadapi itu diselesaikan oleh Allah ﷻ. Patutnya dia teruslah ibadat dan doa kepada Allah ﷻ sahaja, bukan? Ini kerana dia lupa dia dulu telah doa terus kepada Allah ﷻ.

Begitulah juga dengan orang kita. Apabila sudah jadi baik balik, dia sudah buang kopiah dan serban yang dipakainya sebelum itu. Sudah balik kepada keadaannya yang asal sebelum kena musibah itu.

Pada hal, sebelum itu kepada Allah ﷻ lah dia berdoa dengan bersungguh-sungguh. Namun, bila masalah dia sudah selesai, dia sudah lupa yang dulu dia telah berdoa kepada Allah ﷻ meminta dan merayu supaya masalah yang sedang dihadapinya itu diselesaikan oleh Allah ﷻ. Dia lupa yang daripada doanya itu, masalahnya telah diselesaikan oleh Allah ﷻ.

Perkataan خَوَّلَ bermaksud ‘diselimuti’. Ada banyak selimut yang meliputi kita. Roh kita diselimuti oleh tubuh kita. Tubuh kita diselimuti dengan baju. Kita diselimuti oleh rumah. Rumah kita dengan kawasan perumahan kita. Kemudian diselimuti oleh negara kita. Negara kita diselimuti oleh planet bumi. Planet diselimuti oleh langit pertama, langit kedua dan seterusnya. Berapa banyak nikmat telah Allah ﷻ selimutkan diri kita.

Kadang-kadang apabila kita dalam selimut, kita tidak perasan selimut itu. Pada hari Akhirat nanti, semua yang menyeliputi itu akan dicabut satu persatu dan roh kita akan berdiri di hadapan Allah ﷻ untuk menemuinya. Begitulah, kita tidak perasan nikmat yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita selama hari ini, kerana kita dari kecil dapat nikmat. Apabila ditarik sekejap nikmat itu, barulah perasan nikmat sudah tiada.

وَجَعَلَ ِللهِ أَنْدَادًا لِّيُضِلَّ عَنْ سَبِيلِهِ

Kemudian dia jadikan sekutu-sekutu bagi Allah yang memesongkannya daripada jalan Allah.

Apabila musibah sudah diangkat, dia buat syirik pula kepada Allah ﷻ. Bagaimanakah ini boleh terjadi?

Contoh: Ketika perniagaannya jatuh dahulu, dia telah jumpa seseorang dan orang itu beritahu dia, kalau hendak pulihkan semula perniagaan, kena jumpa tok guru ini, tok guru itu. Dia pun pergilah bertemu tok-tok guru tersebut dan mungkin tok guru itu telah mandikan dia dengan ‘mandi tolak bala’, ‘mandi bunga’ dan sebagainya.

Kebetulan, semenjak dimandikan oleh tok guru tersebut, perniagaan dia kembali pulih, semangat dia pun kembali naik. Kalau dulu dia tidak sihat, sekarang sudah lega. Apabila terjadi begitu, dia tidak katakan Allah ﷻ yang memulihkan dia, tetapi dia kata ‘tok guru’ itu yang pulihkan dia iaitu tempat yang dia mandi bunga, mandi tolak bala dulu. Ini syirik.

Ramai orang buat begini pada zaman dahulu. Zaman sekarang, mungkin tidak mandi tolak bala lagi, tetapi kesyirikan dilakukan dengan cara-cara lain pula. Mereka jumpa tok guru untuk ‘tolak bala’ dengan minta ustaz atau mana-mana orang untuk doakan untuk mereka diangkat bala musibah.

Cuma yang mereka tidak cakap adalah berapa banyak upah yang mereka telah beri kepada guru itu. Ini kerana guru atau ‘ustaz’ yang sebegitu, mereka memang buat duit dengan cara mendoakan orang lain.

Dalam masyarakat kita, sampai ada yang beri kereta mereka yang baru dibeli untuk dimandikan oleh tok guru dan melakukan berbagai-bagai perkara yang mengarut-ngarut. Pada mereka, dengan dimandikan kereta itu dengan air jampi guru itu, atau guru itu memakai dahulu kereta itu, maka kereta itu akan terselamat dari musibah.

Inilah yang dinamakan ‘andada,’ iaitu sekutu-sekutu kepada Tuhan. Ini kerana Allah ﷻ lah yang mengangkat musibah itu dari mereka, tetapi mereka kata guru/ustaz/bomoh yang telah menyelamatkan mereka. Allah ﷻ terpaksa bertanding pula dengan makhluk untuk mendapat pujian dari manusia. Ini tidak patut sama sekali. Ini adalah fahaman syirik.

Itu sebenarnya adalah perbuatan syirik. Tok guru itu sendiri pun sebenarnya tidak tahu dia telah buat syirik kepada Tuhan. Dia pula yang jadi penganjur kepada perbuatan itu, padahal sepatutnya dialah yang mengajar perkara-perkara yang benar.

Sepatutnya dialah yang cakap yang perbuatan itu adalah salah dan mengajar kepada mereka yang datang meminta doa itu supaya berdoa sendiri sahaja kepada Allah ﷻ, tidak perlu meminta orang lain doakan. Ini kerana kalau buat juga, samalah seperti apa yang dibuat oleh agama-agama lain yang melakukan sesuatu amalan untuk tolak bala, tolak sial dan sebagainya.

Sebagai contoh, penganut Hindu akan pergi jumpa sami mereka untuk minta sami itu doakan untuk mereka. Malangnya, kita pun begitu juga. Akhirnya, sama sahaja akidah kita dengan agama kufur yang lain. Mereka ada tolak bala, kita pun hendak ada tolak bala juga.

Selain itu,ada yang kata cincin atau tangkal yang dia pakailah yang telah menghilangkan musibah yang jatuh kepada mereka. Kalaulah kebetulan nasibnya berubah selepas dia pakai cincin atau tangkal itu, tidaklah ia membuktikan kebenaran atas apa yang telah dilakukannya itu. Macam mereka yang pakai Kavadi masa Thaipusam, cucuk sana sini, tetapi selamat, tidak luka sedikitpun atau penyembah berhala pada zaman jahiliah dulu yang tidak dikenakan bala kepada mereka.

Maka, jika perbuatan salah yang dilakukan oleh seseorang tidak dijatuhkan bala oleh Allah sebaik sahaja mereka lakukan, malah ‘menjadi’ pula apa yang mereka kehendaki, tidaklah itu memberi tanda bahawa tidak salah perbuatan itu.

Allah ﷻ hanya membiarkan sahaja mereka di dalam kesesatan tanpa menurunkan bala terus. Allah ﷻ membenarkan ia terjadi tetapi Allah ﷻ tidak redha. Allah ﷻ sanggup tunggu mereka mati dan kemudian baru mereka akan diazab di akhirat kelak.

Cincin atau alat-alat keramat itu mereka simpan dalam kain kuning. Bukan dalam simpanan yang biasa kerana pada mereka, benda-benda keramat itu kena simpan dalam kain kuning. Kadang-kadang mereka akan perasap pada malam-malam tertentu. Bermakna, mereka ada memuja benda-benda itu. Itu adalah amalan khurafat dan amalan syirik.

Namun, kenapakah guru-guru agama di negara kita tidak berani hendak tegur perkara ini secara berdepan? Ke mana perginya mufti-mufti di negara ini dan kenapa ayat ini mengatakan mereka juga memesongkan orang lain?

Ini kerana orang-orang sebegini bukan sahaja telah terpesong, tetapi mereka juga memesongkan orang lain yang melihat mereka. Ini kerana kalau mereka nampak berjaya, orang lain pun hendak jadi macam dia juga.

Orang lain akan bertanya, siapa yang kau jumpa sampai kau boleh dapat begini, begitu? Mereka pun cakaplah mereka berjaya pulih kerana orang ini, orang itu. Selepas itu yang bertanya itu pun akan pergi kepada ustaz yang sama, bomoh yang sama dan sebagainya. Akhirnya, semakin ramai yang akan sesat.

Manusia memang suka hendak ikut orang lain tanpa usul periksa. Ini adalah kerana kejahilan yang berleluasa dalam masyarakat kita.

قُلْ تَمَتَّعْ بِكُفْرِكَ قَلِيلًا ۖ إِنَّكَ مِنْ أَصْحٰبِ النَّارِ

Kata kepada mereka: bersenang-senanglah dengan kekafiran kamu untuk sementara. Sesungguhnya kamu adalah penghuni tetap neraka.

Ini takhwif ukhrawi.

Allah ﷻ memberitahu dalam ayat ini bahawa perbuatan mereka itu adalah perbuatan kufur dan Allah ﷻ suruh Nabi Muhammad ﷺ sampaikan kepada mereka untuk bersenang-senang buat sementara waktu sementara hidup. Berseronoklah dalam kehidupan dunia ini selagi mereka boleh.

Sebab itu kalau kita tengok orang yang mengamalkan syirik, selalunya hidup mereka akan senang sahaja. Hidup mereka nampak macam senang lenang sahaja. Ini kerana memang Allah ﷻ memberi kesenangan kepada mereka selama mereka di dunia tetapi di akhirat nanti, mereka akan mendapat azab yang kekal.

Maka, jangan kita tertipu melihat kesenangan mereka dan jangan kita ikuti mereka pula serta sangka yang Allah ﷻ beri rahmat kepada mereka. Biarlah dia seronok kerana dia tetap akan masuk neraka, maka dia dibiarkan Allah ﷻ dalam kesesatan. Biar dia terus mengumpul dosa selama dia hidup. Supaya apabila mereka masuk ke alam akhirat nanti, mereka tidak ada hujah lagi hendak menyatakan mereka tidak bersalah.

Allah ﷻ kata apa sahaja yang mereka lakukan dan dapat, itu hanya ‘sedikit’ sahaja. Mereka sahaja sangka mereka dapat banyak kelebihan, tetapi Allah ﷻ beritahu itu sedikit sahaja.Tidak berbaloi kalau dibandingkan dengan azab yang mereka akan terima.

Kesenangan yang sedikit, tetapi azab yang berterusan selama-lamanya.Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan mereka akan kekal dalam neraka selama-lamanya.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan