Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az-Zumar: Ayat ke-3 hingga ke-5

Tafsir Surah Az-Zumar: Ayat ke-3 hingga ke-5

584
0
Iklan

Tafsir Surah Az-Zumar

Tafsir Ayat Ke-3 (sambungan)

Ada banyak cara-cara berdoa dalam Al-Quran. Semua ayat doa boleh digunakan dan diamalkan. Ini kerana dalam hadis ada juga diajarkan cara-cara berdoa yang baik. Maka kenalah kita ikut cara berdoa dalam Al-Quran dan hadith Nabi yang sahih.

Apabila tidak faham perkara ini, maka manusia terus bergelumang dalam dosa syirik. Ini bukan perkara kecil, bukan hanya melibatkan soal dosa sahaja, tetapi sudah melibatkan soal kerosakan tauhid.

Satu lagi perkara yang kita hendak tambah. Dalil dari Al-Quran mengatakan bahawa kita tidak boleh mereka-reka doa kepada Allah ﷻ sebab dikhuatiri akan menyebabkan syirik kalau kita salah doa. Kalau tidak syirik, mujurlah berkebetulan apa yang kita minta itu tidak mengandungi perkara syirik. Namun, ditakuti ada kemungkinan akan menyebabkan kita melakukan syirik. Jadi eloklah kalau kita tidak melakukannya.

✍🏻Ia diterangkan di dalam [ Hud: 46-47 ]:

قالَ يا نوحُ إِنَّهُ لَيسَ مِن أَهلِكَ ۖ إِنَّهُ عَمَلٌ غَيرُ صالِحٍ ۖ فَلا تَسأَلنِ ما لَيسَ لَكَ بِهِ عِلمٌ ۖ إِنّي أَعِظُكَ أَن تَكونَ مِنَ الجاهِلينَ

Allah berfirman: “Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana ia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); sesungguhnya bawaannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon kepada-Ku sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang yang jahil”.

قالَ رَبِّ إِنّي أَعوذُ بِكَ أَن أَسأَلَكَ ما لَيسَ لي بِهِ عِلمٌ ۖ وَإِلّا تَغفِر لي وَتَرحَمني أَكُن مِنَ الخاسِرينَ

Nabi Nuh berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada memohon sesuatu yang aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan jika Engkau tidak mengampunkan dosaku, dan memberi rahmat kepadaku, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang rugi”.

Ayat-ayat daripada surah Nuh ini memberitahu bahawa cara berdoa kita tidak boleh reka. Kita dikira seorang yang jahil kalau berdoa tanpa mengetahui maksud doa itu. Rugi dunia akhirat kalau tersilap. Bukan setakat rugi di dunia sahaja, tetapi di akhirat. Ini kerana kalau rugi di dunia sahaja, tidak mengapa lagi.

Oleh itu, jangan kita berdoa sebarangan. Kita boleh bayangkan kalau raja bagi titah, tidak boleh kita hendak tukar-tukar titah baginda. Tentu dipancungnya kita kalau dia mendapat tahu kita sudah tukar-tukar perkataannya. Kalau kita buat kesalahan itu dengan Allah ﷻ, lagilah berat, kerana Dia boleh masukkan kita dalam neraka.

Janganlah kita berdegil, masih hendak bertawassul dengan nabi-nabi, wali-wali atau malaikat-malaikat. Sedangkan kita sepatutnya beribadat dan minta hanya kepada Allah ﷻ sahaja seperti dalam surah [ Fatihah: 4 ], dimulakan dengan perkataan ‘iyyaka’.

📍Maksudnya hanya semata-mata kepada Allah ﷻ. Oleh sebab orang Arab ada juga pakai perkataan na’budu iyyaka, tetapi kalau letak ‘iyyaka’ diawal ayat, maka ia bermakna ”hanya” kepada Allah ﷻ sahaja.

📍Potongan ayat ini seterusnya. Kalau masih berdegil… maka,

إِنَّ اللهَ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ

Pasti Allah akan buat keputusan di kalangan mereka

Ini adalah khabar dari Allah ﷻ. Allah ﷻ akan menjadi hakim di antara pendapat-pendapat yang berbeza itu. Ini kerana ada yang kata boleh untuk memuja kepada selain Allah ﷻ dan ada yang kata tidak. Jadi ada pertentangan fahaman dan akidah di situ.

Orang yang mengamalkan tawasul itu mengatakan yang perbuatan mereka itu akan menghampirkan mereka dengan Allah ﷻ dan akan menyebabkan mereka kekal dalam syurga.

Namun, di satu pihak yang lain mengatakan amalan tawassul itu adalah amalan syirik dan sesiapa yang mengamalkannya dan tidak minta ampun sebelum mereka meninggal, akan dimasukkan ke dalam neraka dan kekal di dalamnya.

Jadi, ada perselisihan yang amat besar di sini. Jadi siapakah yang betul sebenarnya? Allah ﷻ lah yang akan memberikan hukuman di akhirat nanti, siapakah yang benar.

فِي مَا هُمْ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ

Tentang apa yang mereka berselisih padanya.

Pasti Allah ﷻ akan menghukum mereka yang masih berselisih dari kebenaran itu. Namun, keputusan Allah ﷻ ini adalah keputusan ‘amali’, iaitu akan diberikan keputusan dan terus dimasukkan ke dalam neraka. Secara ‘teori’, sudah diberikan dalil-dalil yang jelas dari Al-Quran dan Sunnah, jadi penghakiman sebenarnya telah berlaku di dunia lagi.

Cuma di akhirat, akan dilakukan penghukuman yang amali, beritahu yang mereka itu salah, dan terus dimasukkan ke dalam neraka. Ramai juga yang hendak mempertahankan juga tawassul dengan orang-orang yang telah mati itu.

Ada yang kata apa yang guru mereka buat mestilah betul. Kalau salah, tentulah malaikat akan tegur atau roh Nabi akan betulkan. Itu adalah dakwaan dari golongan-golongan yang sesat. Siapa kita yang Allah ﷻ akan suruh malaikat tegur? Sedangkan Allah ﷻ telah berikan berapa banyak dalil untuk menjelaskan perkara itu dalam Al-Quran – tetapi disebabkan mereka tidak belajar tafsir Al-Quran, jadi mereka tidak tahu.

Mereka adalah pendusta sebab mendustakan Allah ﷻ dengan menggunakan pendapat sendiri. Allah ﷻ telah tegaskan dalam Al-Quran semuanya tetapi mereka tidak mahu belajar.

Perlembagaan akidah telah ada dalam Al-Quran. Allah ﷻ sentuh perkara akidah satu persatu sampai habis, diperjelaskan satu persatu sampai tidak tinggal satu pun. Semua ayat dalam Al-Quran sebenarnya adalah untuk mentauhidkan Allah ﷻ. Walaupun Allah ﷻ cerita tentang pokok, langit dan bumi dan banyak lagi perkara lain, semuanya menjurus kepada mentauhidkan Allah ﷻ juga.

Hadith tidak boleh memansuhkan Al-Quran. Ini disebabkan ada yang kata dalam hadith ada yang membenarkan tawassul. Walaupun hadith yang dikeluarkan itu adalah hadith sahih. Memang tiada hadith sahih yang mengatakan boleh pakai tawassul dalam peribadatan.

Cuma mereka sahaja yang salah faham kerana walau pun telah membaca hadith, tetapi mereka tidak belajar apakah maksud hadith itu. Mereka tidak belajar tetapi telah tafsir hadith dengan pandangan mereka sendiri. Sepatutnya mereka kena tafsir hadith dan sunnah itu dengan apa yang difahami oleh golongan salafussoleh. Ini kerana golongan itulah yang lebih faham tentang agama kerana mereka lebih dekat dengan Nabi.

Jadi, apabila tidak faham dengan tawassul, ramai yang menyeru selain Allah ﷻ. Apa yang dimaksudkan dengan seru? Apabila guna perkataan “ya!“ Seperti ‘Ya Muhammad’, itu sebenarnya adalah perbuatan seru kepada Nabi Muhammad ﷺ. Atau ada yang kata: “Ya Sheikh Abdul Qadir“, “Ya Jibril“ dan sebagainya.

Mereka seru makhluk-makhluk itu bersama Allah ﷻ (mereka sebut juga nama Allah ﷻ, tetapi dalam masa yang sama, sebut nama selain Allah ﷻ).

✍🏻Ini adalah satu perbuatan yang kufur seperti yang telah disebutkan dalam [ Al-Mu’minun: 117 ]:

وَمَن يَدعُ مَعَ اللهِ إِلٰهًا آخَرَ لا بُرهانَ لَهُ بِهِ فَإِنَّما حِسابُهُ عِندَ رَبِّهِ ۚ إِنَّهُ لا يُفلِحُ الكافِرونَ

Dan sesiapa yang menyeru ilah yang lain bersama-sama Allah, dengan tidak berdasarkan sebarang bukti mengenainya, maka sesungguhnya hitungannya disediakan di sisi Tuhannya. Sesungguhnya orang-orang yang kafir tidak akan berjaya.

Mereka buat perkara yang salah itu, tetapi dalam masa yang sama, mereka tidak boleh membawa dalil yang mengatakan amalan itu ada dalam Islam. Dan di hujung ayat itu, Allah ﷻ berfirman yang Dia tidak akan memberi kejayaan kepada ‘orang kafir’. Maknanya, buat perkara itu, sudah menjadi kafir. Itulah maksud ayat ini.
Bila kita ada buat, maka kita kena berkata:

✍🏻[ Al-Mu’minun: 118 ]:

وَقُل رَبِّ اغفِر وَارحَم وَأَنتَ خَيرُ الرّاحِمينَ

Dan berdoalah (wahai Muhammad dengan berkata): “Wahai Tuhanku, berikanlah ampun dan kurniakan rahmat, dan sememangnya Engkaulah sahaja sebaik-baik Pemberi rahmat!”

Kena minta ampun sebab kita tidak tahu yang apa yang kita buat sebelum ini, adalah salah. Sekarang ini baru tahu. Oleh itu semua perkara yang kita lakukan dulu, biarlah ia berlalu, kita tidak dapat mengubah masa. Cuma apa yang boleh kita lakukan, minta ampun, bertaubat kerana telah melakukannya, dan berazam untuk tidak melakukannya lagi.

إِنَّ اللهَ لَا يَهْدِي مَنْ هُوَ كٰذِبٌ

Sesungguhnya Allah tidak akan memberi petunjuk kepada seorang yang pendusta

Di dunia lagi, Allah ﷻ tidak akan memberi hidayah kepada mereka orang yang berdusta dalam percakapannya. Setelah diberitahu dengan dalil dan hujah, masih tidak mahu terima juga iaitu mereka yang kata Tuhan perlu perantaraan dalam ibadat doa, dalam ibadah. Kalau mereka ada kata begitu, bermaksud dia berdusta.

Mereka inilah yang berkata, boleh minta berkat dengan Nabi Muhammad ﷺ dan Nabi-Nabi yang lain. Selain itu juga mereka kata boleh memohon melalui malaikat dan wali-wali. Macam Kristian, Hindu, Buddha dan kita sendiri, kalau kita buat juga perkara yang sama, maka kita juga adalah pendusta.

Mereka dikatakan dusta kerana mereka berkata boleh bertawassul, tetapi tidak membawakan dalil yang sahih. Mereka tidak membawakan dalil dari Al-Quran dan hadith, tetapi hanya bawa dalil dari akal fikiran mereka sahaja.

كَفَّارٌ

Kufur dia dalam ibadat dia,

Kalau dia buat ibadat seperti itu, dia sudah dikira kufur iaitu kufur dalaman. Orang Islam hanya sembah dan ibadat kepada Allah ﷻ sahaja; kalau sudah sembah dan ibadat kepada selain dari Allah ﷻ, maka itu sudah kufur. Mungkin dia masih Islam pada mata manusia, tetapi belum tentu lagi dalam mata Allah ﷻ.

Kalau sebelum dia beribadat cara yang salah, dia baru cakap sahaja, dia hanya berdusta sahaja. Namun, apabila dia sudah buat, dia sudah buat satu perbuatan kufur.

Tafsir Ayat ke-4

Ayat Zajrun lagi

Ayat ini adalah sebagai jawapan bagi kekeliruan manusia. Soalan mereka adalah: “apa salahnya aku pilih anak Allah ﷻ untuk menghubungkan aku dengan Allah ﷻ? Lagipun, mereka adalah amat dekat dengan Allah ﷻ…”

Jawapannya dalam ayat ini:

لَو أَرادَ اللَهُ أَن يَتَّخِذَ وَلَدًا لَّاصطَفىٰ مِمّا يَخلُقُ ما يَشاءُ ۚ سُبحٰنَهُ ۖ هُوَ اللهُ الوٰحِدُ القَهّارُ

Kalaulah Allah hendak mempunyai anak, tentulah Dia memilih mana-mana yang dikehendaki-Nya dari makhluk-makhluk yang diciptakan-Nya; Maha Suci Dia. Dia lah Allah, Yang Maha Esa, lagi Yang Maha Perkasa.

لَوْ أَرَادَ اللهُ أَنْ يَتَّخِذَ وَلَدًا لَّاصْطَفَىٰ

Kalaulah Allah inginkan anak, pastinya Allah akan pilih sendiri,

Tentulah Allah ﷻ yang pilih sendiri, bukan manusia yang pandai-pandai pilih untuk-Nya pula.

Lafaz وَلَدًا boleh digunakan untuk membawa makna ‘anak angkat’, bukan anak kandung. Tujuan anak angkat itu diangkat adalah sebagai wakil, dan sebagai pemberi bantuan kepada mereka yang menyembah dan menyeru mereka.

Contoh seperti golongan Kristian, mereka buat sebegini sebagai perantaraan antara mereka dan Tuhan sebab mereka merasakan mereka banyak dosa. Jadi mereka sangka yang Allah ﷻ tidak layan mereka dan tidak dengar doa dan seruan mereka. Oleh itu, mereka seperti guna ‘broker’ untuk sampaikan kehendak mereka kepada Tuhan.

Oleh kerana itulah mereka akan ‘lantik’ anak untuk Tuhan. Orang Kristian kata Nabi Isa عليه السلام itu ‘anak Tuhan’ dan orang Yahudi pula kata Nabi Uzair عليه السلام adalah anak Tuhan. Sementara Musyrikin Mekah pula buat cerita kata para malaikat itu adalah ‘anak-anak perempuan’ Allah ﷻ.

Semua orang tahu bahawa Tuhan tidak beranak, orang kafir sendiri pun tahu Tuhan tidak beranak. Kalau orang Islam, lagilah tidak rasa Allah ﷻ ada anak kerana dalam surah al-Ikhlas Allah telah sebut: Lam yalid walam yuulad. Tidak mungkin dulu kini dan selamanya, Allah ﷻ akan beranak. Itulah makna lam: ‘dulu, kini dan selamanya’.

Maka ‘anak’ di sini adalah membawa maksud ‘anak angkat’ iaitu anak yang dilantik. Mereka hendak memohon kepada ‘tugas’ anak angkat Tuhan itu iaitu untuk tolong sampaikan permintaan-permintaan mereka kepada Tuhan.

Dalam bahawa Arab, ini dipanggil ‘tawassul’. Masalahnya, mereka lantik sendiri pangkat ‘anak angkat’ itu, bukannya Allah ﷻ sendiri yang pilih. Adakah patut begitu?

مِمَّا يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ

daripada makhluk-Nya yang Dia cipta, sesiapa yang Dia kehendaki

Allah ﷻ mengunakan perkataan ‘ma’ sebab tidak kira sesiapa dan ‘apa-apa’ sahaja. Bukan Allah ﷻ gunakan perkataan ‘man’ – sesiapa. Kalau Allah ﷻ gunakan perkataan ‘man’ maka itu hanya bermaksud makhluk yang bernyawa sahaja. Maksudnya perantaraan itu termasuklah benda-benda yang tidak bernyawa juga. Allah ﷻ hendak mengeji perbuatan makhluk yang buat kerja salah itu, jadi Allah ﷻ guna perkataan ma.

Kalau benarlah boleh menggunakan perantaraan, tentulah Allah ﷻ sendiri yang beritahu kepada kita dalam Al-Quran atau melalui Nabi-Nya. Bukan seperti yang manusia pandai-pandai sendiri pilih. Bukan manusia yang menjadi pemilih, tetapi Allah ﷻ sendiri. Allah ﷻ lah pencipta, sedangkan semua makhluk adalah yang dicipta dan yang memilih, bukan kamu tetapi Allah ﷻ.

Inilah yang dipanggil tauhid dalam ikhtiar. Segala pilihan mestilah bergantung kepada Allah ﷻ. Kalau Allah ﷻ hendakkan anak, mesti Dia sendiri pilih dan sebut dalam Al-Quran. Tambahan pula, semua makhluk dicipta oleh-Nya, oleh itu, tentu Dia tahu siapa yang layak kerana Dia kenal semua makhluk Dia.

Namun, tidak ada dalam Al-Quran tentang perlantikan. Tidak ada satu ayat pun. Dalam Injil pun tiada juga dan begitu juga dalam Taurat. Jadi, siapa yang memandai melantik ‘anak angkat’ untuk Tuhan ini?

Kenapa agaknya manusia melakukan tawassul yang dilarang itu? Ini kerana mereka bandingkan kerajaan Allah ﷻ dengan kerajaan manusia yang lemah. Dalam kerajaan dunia, seorang pemerintah memerlukan sokongan dan orang bawahan untuk membantu dia memerintah.

Oleh kerana itu seorang Perdana Menteri ada menteri, ada setiausaha, ada ADUN dan sebagainya. Namun, Allah ﷻ tidak lemah macam manusia, Allah ﷻ tidak perlukan sesiapa pun. Allah ﷻ boleh memerintah dengan sendiri.

سُبْحٰنَهُ

Maha suci Allah

Maha Suci Allah daripada dakwaan yang mengatakan Dia ada anak, sama ada anak angkat atau tidak. Maha Suci Allah dari memerlukan anak. Maha Suci Allah dari memerlukan perantaraan untuk berdoa kepada-Nya. Kita sebenarnya mencela Allah ﷻ dengan mengatakan bahawa Allah ﷻ memerlukan perantaraan untuk minta sesuatu dengan Dia.

Subhanallah adalah satu kalimah yang menyucikan sifat Allah ﷻ dari pemahaman yang salah. Orang kafir dan sesat ada banyak persangkaan yang salah tentang Allah ﷻ dan dengan kita menyebut Subhanallah, sebenarnya kita menidakkan semua kesalahan mereka itu.

Perkataan subhanallah ini menyucikan sifat Allah ﷻ daripada pemahaman orang lain yang mensyirikkan Allah ﷻ. Namun, kalau kita yang buat syirik, kita persenda Allah ﷻ pula kalau kita sebut subhanallah. Begitulah ramai manusia yang hari-hari berzikir ‘subhanallah, subhanallah’, tetapi dalam masa yang sama mensyirikkan Allah ﷻ tanpa mereka sedari. Ini adalah kerana mereka sendiri tidak tahu apa yang mereka sebut. Oleh kerana mereka jahil, mereka buat perkara dan kata sesuatu tentang agama yang mereka tidak tahu.

Maha suci Allah dari memerlukan bantuan untuk mentadbir alam ini. Allah ﷻ tidak bersekutu dalam mentadbir alam ini. Tidak pernah Allah ﷻ kata di mana-mana bahawa Dia memerlukan sesiapa dalam pentadbiran alam ini.

هُوَ اللهُ الْوٰحِدُ

Dialah Allah, yang Maha Esa,

Hanya Allah ﷻ sahaja yang mempunyai segala sifat-sifat kesempurnaan. Tidak ada yang sama dengan sifat Allah ﷻ . Dia berdiri sendiri dan tidak memerlukan sesiapa pun. Oleh kerana Dia itu lain dari makhluk, maka Dia sahaja yang layak disembah dan diseru. Itulah konsep Tauhid yang perlu difahami oleh makhluk yang mempunyai akal.

الْقَهَّارُ

Maha Perkasa,

Tidak ada sesiapapun boleh menggugat Allah ﷻ. Ini adalah lanjutan daripada maksud al-Aziz. Allah ﷻ sentiasa dapat mengalahkan selain dari-Nya. Allah ﷻ berkuasa untuk menghukum sesiapa sahaja yang buat syirik.

Contoh doa yang direka adalah seperti ini: Allahumma inna nas’aluka biNabiyyuka …. (Aku bermohon kepada-Mu dengan berkat kedudukan Nabi Muhammad ﷺ). Cara ini adalah cara doa syirik kepada Allah ﷻ sebab kita guna perantaraan dalam doa ini. Mereka rasa kalau mereka menggunakan Nabi Muhammad ﷺ sebagai perantaraan dalam doa mereka, Allah ﷻ kena beri kepada mereka.

Kenapa manusia bertawassul dalam berdoa? Ini kerana mereka hendak mendekatkan diri dengan Allah ﷻ supaya doa lebih makbul. Lafaz doa imam-imam yang menggunakan perkataan sebegitu adalah salah. Ramai yang tidak faham, maka mereka aminkan sahaja doa imam-imam itu sedangkan imam itu sedang melakukan tawassul yang dilarang. Oleh sebab itu syarat berdoa adalah kena faham makna doa yang dibaca.

Kalau doa-doa tok guru tarekat, kena tanya mereka dapat dari mana doa itu atau suruh mereka terjemah. Ingatlah apa yang Allah ﷻ telah firmankan dalam surah Hud yang melarang kita berdoa dengan sesuatu yang kita tidak tahu. Minta hanya menggunakan doa yang kita tahu maknanya sahaja. Sebab kalau doa itu baik, pasti Nabi telah ajar.

Bukanlah semua jenis tawassul itu tidak boleh. Ada tawassul yang diajar dan digalakkan oleh Islam. Tawassul dengan amalan dan iman memang boleh. Macam cerita tiga pemuda yang buka batu yang terjatuh dan menutup pada pintu gua. Mereka telah berdoa kepada Allah ﷻ dengan menyebut amalan baik mereka. Ini menunjukkan bahawa bukan semua tawasul tidak boleh.

✍🏻Hadith

Daripada Abdullah Bin Umar r.a telah berkata, bahawa aku telah mendengar Rasullulah SAW telah bersabda: Dari kalangan umat sebelum kamu ada tiga orang yang telah keluar (bermusafir) bersama-sama. (Mereka berjalan sehingga waktu malam) dan memasuki sebuah gua untuk bermalam di situ. Maka pada waktu itu satu batu besar telah jatuh dari bukit dan telah menutupi pintu gua itu. (Melihatnya mereka telah berkata:) Kita hanya akan terselamat keluar dari batu ini hanya dengan berdoa kepada Allah taala dengan perantaraan amal soleh masing-masing. (Maka mereka telah berdoa dengan perantaraan amalan soleh masing-masing).

Seorang telah berkata dalam doanya: Ya Allah! Engkau sememangnya mengetahui bahawa kedua ibu bapaku telah terlalu tua. Aku tidak akan memberi susu kepada ahli keluarga dan hamba-hambaku sebelum mereka. Pada suatu hari aku telah keluar jauh untuk mencari sesuatu. Bila aku pulang maka ibu dan ayah telah tidur. (Pun begitu) aku telah membawa susu mereka untuk petang itu. (Aku telah meletakkannya dalam mangkuk dan membawanya kepada mereka). Aku telah melihat mereka (pada waktu itu) masih lagi tidur. Aku tidak suka mengejutkan mereka dan aku juga tidak sanggup untuk memberi susu itu kepada ahli keluarga dan hamba-hamba ku untuk mereka minum. Lalu aku memegang mangkuk susu dan berdiri berhampiran kepala mereka dan menunggu mereka bangun sehinggalah pagi. Mereka pun bangun (lalu aku telah memberi susu itu). Pada waktu itu, baru lah mereka minum susu untuk malam itu. Ya Allah!, jika aku melakukan perkara ini, untuk keredhaan-Mu, maka selamatkan lah kami daripada musibah kerana batu ini. Oleh kerana doa ini, batu itu telah bergeser sedikit, akan tetapi masih tidak memadai untuk mereka keluar.

Rasulullah SAW bersabda lagi: Orang kedua telah berdoa; Aku mempunyai seorang saudara sepupu perempuan yang sangat aku sayangi. Aku (pada satu kali) telah ingin melepaskan syahwatku padanya. Akan tetapi dia tidak menyanggupinya, sehinggalah sampai satu masa musim kemarau yang telah mendesaknya datang (kepadaku). Aku telah memberinya 120 dinar dengan syarat dia datang kepadaku berseorangan diri. Dia setuju sehinggalah aku berkuasa penuh kepada dirinya (dan nyaris-nyaris sahaja aku melepaskan nafsu syahwatku) maka dia telah berkata: “aku rasa tidak halal bagi kamu untuk memecahkan mohor tanpa hak“. (Mendengarnya,) aku telah berhenti dari niat jahat ku itu dan aku telah menjauhkan diriku darinya walaupun aku sangat-sangat kasihkannya. Aku juga telah membiarkan 120 dinar yang telahku beri kepadanya. Ya Allah jika aku mengerjakan ini untuk keredhaanMu maka selamatkan lah kami daripada musibah ini. Maka batu besar itu bergeser sedikit lagi, tetapi masih tidak memungkinkan lagi untuk mereka keluar.

Orang ketiga telah berdoa: Ya Allah! aku telah mengupah beberapa orang pekerja. Semuanya telah ku berikan upahnya kecuali seorang yang telah pergi tanpa mengambil upahnya. Aku telah memperniagakan wang upahannya itu sehinggakan telah berlaku penambahan harta yang terlalu banyak. Selepas beberapa lama, pada suatu hari orang itu telah datang lalu berkata: Wahai hamba Allah! Berilah upah kepadaku. Aku telah berkata: Unta-unta, lembu-lembu, kambing-kambing dan hamba-hamba yang kamu nampak ini semuanya adalah upah kamu. Yakni wang upahanmu itu aku telah niagakan dan inilah hasilnya. Orang itu berkata:, Wahai hamba Allah!, jangan lah bergurau. Aku berkata: “Aku tidak bergurau, (“aku sedang menceritakan perkara yang sebenar”). Maka (selepas penjelasanku ini) orang itu membawa semua harta itu, sedikitpun tidak ditinggalnya. Ya Allah! jika perkara ini aku lakukan semata-mata untuk redhaMu maka jauhkan lah kami daripada musibah yang menimpa kami ini. Maka, batu itu terus berganjak (dan pintu gua telah terbuka) dan semuanya telah keluar.
(Hadith Riwayat Bukhari).

Macam-macam cara amalan ibadat yang direka oleh golongan yang sesat dan tidak berilmu. Ingatlah bahawa matlamat tidak menghalalkan cara. Banyak mana yang niatnya baik, tetapi amalan tidak soleh. Semua agama lain, niat mereka adalah baik dan ikhlas, siap menangis lagi dalam doa dan penyembahan mereka kerana ikhlas dan sifat mengharap dalam diri mereka, tetapi Allah ﷻ tidak terima ibadat mereka itu.

Rugi sahaja amalan-amalan mereka dalam dunia ini. Mereka bersusah payah dalam beramal, tetapi akhirnya, mereka akan masuk ke dalam Neraka.

✍🏻Seperti yang telah disebut dalam surah [ al-Ghasyiah: 3-4 ]

عامِلَةٌ ناصِبَةٌ

Mereka menjalankan kerja yang berat lagi berpenat lelah,

تَصلىٰ نارًا حامِيَةً

Mereka tetap menderita bakaran neraka yang amat panas (membakar)

Tafsir Ayat ke-5

Ayat kelima ini dan seterusnya adalah Ayat Dalil – Ayat ini adalah ayat Dalil Aqli Afaqi. Dalil kepada kita kenapa hanya Allah ﷻ sahaja yang boleh dipuja dan mengapa kita mesti berdoa kepada-Nya sahaja.

Kalau ada sesiapa yang kata ada wali yang boleh memberi bantuan kepada mereka selain dari Allah ﷻ, ia dijawab oleh ayat kelima ini. Allah ﷻ beritahu kepada manusia, Dia sahaja yang mencipta langit dan bumi. Kalau sesiapa mengatakan boleh menggugat Allah ﷻ, boleh didesak Allah ﷻ itu dengan Nabi, wali atau malaikat, mereka telah melakukan syirik. Kena faham, kalau ada yang boleh desak, mestilah hebat, sekurang-kurangnya sama kuasanya dengan Allah ﷻ. Boleh cipta langit sendiri, contohnya.

خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ بِالحَقِّ ۖ يُكَوِّرُ اللَّيلَ عَلَى النَّهارِ وَيُكَوِّرُ النَّهارَ عَلَى اللَّيلِ ۖ وَسَخَّرَ الشَّمسَ وَالقَمَرَ ۖ كُلٌّ يَجري لِأَجَلٍ مُّسَمًّى ۗ أَلا هُوَ العَزيزُ الغَفّٰرُ

Dialah yang menciptakan langit dan bumi dengan kebenaran; Ia pula menjadikan malam melingkari siang, dan menjadikan siang melingkari malam; dan Ia menjadikan matahari dan bulan beredar menurut perintahnya, – tiap-tiap satu dari keduanya, beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Ingatlah! Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Yang sentiasa Mengampuni.

خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضَ بِالْحَقِّ

Dia mencipta langit-langit dan bumi untuk menzahirkan kebenaran.

Kebenaran apakah yang perlu dizahirkan? Kebenaran itu adalah Dia lah Maha Pencipta. Tidak ada yang lain yang boleh mencipta seperti-Nya. Penciptaan-Nya adalah sempurna. Tidak ada kacau bilau dalam makhluk-Nya. Oleh kerana itu, pujalah Dia sahaja dan seru kepada Dialah sahaja.

يُكَوِّرُ اللَّيْلَ عَلَى النَّهَارِ

Dialah menutup malam ke atas siang.

Iaitu siang ditutup dengan malam. Sedang kita bersuka ria dengan hari siang dengan adanya matahari yang menyinari, tiba-tiba malam datang menutup siang itu. Allah ﷻ hendak mengingatkan kita bahawa kejadian siang dan malam itu bukan terjadi sendiri tetapi dengan qudrat Dia. Siang dan malam adalah perbuatan Dia juga.

وَيُكَوِّرُ النَّهَارَ عَلَى اللَّيْلِ

dan Dia menutup siang ke atas malam.

Sedang kita diulit mimpi di malam hari, siang datang menyinsing. Panjang malam dan siang berubah mengikut musim. Kita di Malaysia tidak mengalami keadaan ini. Sepanjang tahun sama sahaja siang dan malam. Namun, ada tempat-tempat lain di dunia yang tidak sama malam dan siang sepanjang tahun. Ada masa siang jadi panjang dan di musim yang lain, siang jadi pendek. Semua itu adalah dalam kekuasaan Allah ﷻ.

Ayat ini boleh juga ditafsir begini: apabila Allah ﷻ kata ‘menutup malam ke atas siang’, itu bermaksud malam jadi panjang dan siang jadi pendek. Apabila Allah ﷻ kata: ‘menutup siang ke atas malam’, itu bermaksud siang menjadi panjang.

Nota:
Ayat ini juga menjadi bukti bahawa bumi ini berbentuk sfera. Ini kerana kalimah kawwara bermaksud ‘melilit’ dari segi bahasa – seperti serban dililit mengelilingi kepala yang bulat.

وَسَخَّرَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ

dan Dialah yang menundukkan matahari dan bulan

Perjalanan matahari dan bulan mengikut peraturan yang telah ditetapkan-Nya. Mengikut orbit yang telah ditetapkan. Sudah ribuan malah mungkin jutaan tahun, sama sahaja peredaran matahari dan bulan itu. Matahari akan mengambil masa 365 hari untuk dikelilingi oleh bumi dan bulan akan mengambil masa 354 hari untuk mengelilingi bumi setiap tahun.

Tidak berubah sampaikan manusia boleh menggunakan peredaran matahari dan bulan itu untuk mengira peredaran masa. Kalaulah tidak tetap, susah manusia hendak menentukan masa. Maka, bersyukurlah yang matahari dan bulan itu telah ditetapkan oleh Allah ﷻ.

Ahli astronomi mengkaji bulan, bintang dan planet-planet lain. Namun, adakah mereka mengaitkan perjalanan semua planetari itu kepada Allah ﷻ? Mungkin tidak. Namun, orang Islam sepatutnya melihat kepada alam yang amat luas ini dan kena sedar bahawa semuanya ditentukan oleh Allah ﷻ.

كُلٌّ يَجْرِي لِأَجَلٍ مُّسَمًّى

semua bergerak sehingga ke tempoh yang sudah ditetapkan.

Semua berjalan mengikut ketetapan Allah ﷻ sehingga sampai satu tempoh. Apabila sampai tempoh, akan dibinasakan semua sekali. Bilakah masa itu, kita tidak tahu sama sekali. Setelah semua makhluk diuji, maka langit dan bumi akan dihancurkan iaitu apabila datangnya hari Kiamat. Alam bumi akan dihancurkan kerana tugasnya telah selesai.

Contohnya, apabila kita buat bangunan, kita akan pakai tiang untuk membina rumah itu. Apabila bangunan sudah siap, tiang akan dibuang.

‘Kiamat kecil’ bagi kita adalah ‘mati’. Mati boleh datang bila-bila sahaja. Kiamat sebenar belum tentu lagi bila akan datang. Banyak lagi perkara akan berlaku sebelum berlakunya kiamat itu. Contohnya, Yakjuj Makjud dan Dajjal belum keluar lagi. Walaupun begitu kita kena sedar yang Allah Maha Berkuasa. Maknanya, Allah ﷻ boleh jadikan Kiamat bila-bila masa sahaja, tidak perlu tunggu ada segala tanda-tanda itu.

Ayat ini menjadi dalil bahawa bulan dan matahari bergerak. Oleh kerana itu jangan kita kata matahari tidak bergerak pula. Maka kita kenalah terima penemuan sains dan astronomi kerana Al-Quran tidak berlawanan dengan kajian sains.

Sekarang ramai yang kata bumi ini leper, tidak sfera. Ini berlawanan dengan kajian sains. Maka kalau ada dalil yang kuat, bolehlah kita kata bumi ini leper tetapi kalau dalil dan hujah tidak kuat, janganlah kita memandai-mandai pula. Jangan malukan agama Islam.

أَلَا هُوَ الْعَزِيزُ الْغَفّٰرُ

Ketahuilah! Dialah Dzat yang Maha Gagah Perkasa, yang Maha Memberi Keampunan

Allah itu Maha Gagah Perkasa tidak boleh dikalahkan. Segala dalam alam ini mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh-Nya. Matahari, bulan, pergulungan angin, ombak pada laut, malah semua sekali. Sampai satu masa, semuanya akan hancur dengan arahan-Nya.

Dengan sifat ini, mengajar kita untuk beringat bahawa Hari Kiamat akan tiba tidak lama lagi. Allah ﷻ tidak perlu tunggu apa-apa untuk menghancurkan alam ini. Andai Dia hendak hancurkan sekarang, Dia boleh hancurkan dan kita tidak boleh katakan apa-apa.

Semua dalam alam ini mengikut perintah-Nya tetapi, manusia dan jin yang telah diberi nafsu dan kebolehan memilih jalan yang baik atau buruk. Namun, ramai yang telah terpesong kerana menyembah selain Allah ﷻ, berbuat syirik dan dosa serta macam-macam lagi. Untuk mereka seperti itu, Allah akan bersifat Gagah Perkasa dengan mereka. Allah ﷻ akan menghukum mereka apabila sampai hari akhirat kelak.

Namun, Allah ﷻ juga bersifat Maha Pengampun atas dosa yang makhluk lakukan iaitu kepada sesiapa yang hendak meminta keampunannya. Walaupun dosa itu adalah dosa syirik yang manusia perbuat, Allah ﷻ masih boleh ampunkan asalkan manusia itu sedar dan memohon keampunan dari Allah ﷻ. Oleh itu, kita hendaklah mengambil peluang untuk mendapatkan pengampunan dari Allah ﷻ .

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan