Utama Bilik (001) Fiqh Asasi Pemula Thaharah: Jenis Najis – Darah, Keputihan dan Muntah

Thaharah: Jenis Najis – Darah, Keputihan dan Muntah

758
0
Iklan

Bab : Air dan Najis
Bahagian : Jenis Najis

Perkara yang disangka najis tetapi bukan (darah, keputihan, muntah)

4. Darah, kecuali darah haidh dan nifas.

Kita telah menyebutkan kenajisan ‘darah haidh’ sebelum ini. Boleh dirujuk pada nota-nota yang lepas.

Sekarang kita membincangkan darah yang lain, iaitu darah manusia dan darah haiwan-haiwan yang boleh dimakan. Darah itu suci dan tidak najis.

Hujahnya kerana semua perkara adalah suci pada asalnya, kecuali jika ada dalil yang mengatakan ianya najis.

Dalilnya di dalam satu hadith yang agak panjang:

عَنْ جَابِرٍ قَالَ: خَرَجْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعْنِي فِي غَزْوَةِ ذَاتِ الرِّقَاع.ِ فَأَصَابَ رَجُلٌ امْرَأَةَ رَجُلٍ مِنْ الْمُشْرِكِينَ فَحَلَفَ أَنْ لَا أَنْتَهِيَ حَتَّى أُهَرِيقَ دَمًا فِي أَصْحَابِ مُحَمَّدٍ.

Daripada Jabir bin Abdullah رضي الله عنه , dia berkata: Kami keluar bersama Rasulullah ‎ﷺ di dalam misi perang Dzat al-Riqa’. (Dalam peperangan itu), seorang lelaki (muslimin) telah menyerang isteri lelaki kaum musyrikin (kerana wanita itu turut berperang). Maka suami itu bersumpah bahawa dia tidak akan berhenti (untuk membalas dendam) sehinggalah dapat menumpahkan darah para sahabat Muhammad.

فَخَرَجَ يَتْبَعُ أَثَرَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَنَزَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْزِلًا فَقَال:َ مَنْ رَجُلٌ يَكْلَؤُنَا؟ فَانْتَدَبَ رَجُلٌ مِنْ الْمُهَاجِرِينَ وَرَجُلٌ مِنْ الْأَنْصَارِ. فَقَالَ: كُونَا بِفَمِ الشِّعْبِ.

Maka dia keluar mengikuti jejak Nabi ‎ﷺ. Maka Nabi ‎ﷺ turun di satu tempat persinggahan (untuk bermalam), lalu bertanya: “Siapakah lelaki yang akan mengawasi kami?” Seorang lelaki dari kalangan Muhajirin dan seorang lelaki dari kalangan Anshar segera menyahut seruan Nabi itu. Baginda berpesan: “Berjagalah di mulut (jalan masuk) bukit ini.”

قَالَ: فَلَمَّا خَرَجَ الرَّجُلَانِ إِلَى فَمِ الشِّعْبِ اضْطَجَعَ الْمُهَاجِرِيُّ وَقَامَ الْأَنْصَارِيُّ يُصَلِّ. وَأَتَى الرَّجُلُ فَلَمَّا رَأَى شَخْصَهُ عَرِفَ أَنَّهُ رَبِيئَةٌ لِلْقَوْمِ فَرَمَاهُ بِسَهْمٍ فَوَضَعَهُ فِيهِ فَنَزَعَهُ حَتَّى رَمَاهُ بِثَلَاثَةِ أَسْهُمٍ ثُمَّ رَكَعَ وَسَجَدَ.

Jabir رضي الله عنه melanjutkan: Maka tatkala dua lelaki itu keluar (dan sampai) ke mulut bukit, lelaki Muhajirin berbaring sementara lelaki Anshar bangun melaksanakan solat. Maka datanglah lelaki musyrikin tadi. Tatkala dia melihat ciri-ciri lelaki Anshar itu, dia tahu bahawa lelaki itu adalah pengawas bagi kaumnya (pasukan muslimin). Maka dia memanahnya dan mengena lelaki Anshar tersebut, tetapi dia menariknya keluar. Lelaki musyrikin itu terus memanah sehingga tiga anak panah sementara lelaki Anshar itu pula tetap rukuk dan sujud.

ثُمَّ انْتَبَهَ صَاحِبُهُ. فَلَمَّا عَرِفَ أَنَّهُمْ قَدْ نَذِرُوا بِهِ هَرَبَ. وَلَمَّا رَأَى الْمُهَاجِرِيُّ مَا بِالْأَنْصَارِيِّ مِنْ الدَّمِ قَال:َ سُبْحَانَ اللَّهِ أَلَا أَنْبَهْتَنِي أَوَّلَ مَا رَمَى؟ قَالَ: كُنْتَ فِي سُورَةٍ أَقْرَؤُهَا فَلَمْ أُحِبَّ أَنْ أَقْطَعَهَا.

Kemudian bangunlah sahabat Muhajirin yang berbaring tadi. Tatkala lelaki musyrikin mengetahui lelaki Muhajirin itu akan meminta pertolongan pasukannya, dia melarikan diri. Apabila lelaki Muhajirin melihat sahabat Ansharnya yang berlumuran darah, dia berkata: “Subhanallah! Kenapa tidak membangunkan aku apabila terkena panahan yang pertama?” Lelaki Anshar itu menjawab: “Aku saat itu sedang membaca surah (di dalam solat) dan tidaklah aku suka untuk memotongnya (dengan memberhentikan solat dan mengejutkan kamu)”.
[Shahih Sunan Abu Daud, no: 170/198]

Syarah hadith:

Kalaulah darah itu najis, tentulah ia telah membatalkan wuduk lelaki itu. Dan tentu Rasulullah tahu kisah kejadian ini dan tidaklah baginda menegur lelaki itu.

Memang ada pendapat yang mengatakan darah itu haram dan kerana itu ia adalah najis. Mereka mengambil dalil dari firman Allah سبحانه و تعالى ,

قُلْ لا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَى طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلا أَنْ يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنْزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ

“Katakanlah: “Tiadalah aku peroleh dalam wahyu yang diwahyukan kepadaKu, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, kecuali kalau makanan itu bangkai, atau darah yang mengalir atau daging babi – karena sesungguhnya semua itu kotor.” [ Al An’am: 145 ].

Para ulama’ tersebut menyatakan bahawa, oleh kerana di dalam ayat ini disebut darah itu haram, maka natijahnya darah itu adalah najis.

Akan tetapi kita telah menjelaskan sebelum ini bahawa tidaklah sesuatu yang haram itu otomatik menjadikannya najis. Memang darah tidak boleh diminum, tetapi tidaklah menjadikan ianya najis.

Dalil lain:
Al Hasan Al Bashri رحمه الله mengatakan,

مَا زَالَ الْمُسْلِمُونَ يُصَلُّونَ فِى جِرَاحَاتِهِمْ

“Kaum muslimin (yaitu para sahabat) biasa mengerjakan shalat dalam keadaan luka.”

Disebutkan oleh Bukhari secara mu’allaq (tanpa sanad) dalam kitab shahihnya.

Dalil lagi:

Dalam Muwatho’ disebutkan mengenai sebuah riwayat dari Miswar bin Makhromah, ia menceritakan bahwa ia pernah menemui ‘Umar bin Al Khattab رضي الله عنه pada malam hari saat ‘Umar ditusuk. Ketika tiba waktu Subuh, ia pun membangunkan ‘Umar untuk solat Subuh. ‘Umar mengatakan,

وَلَا حَظَّ فِي الْإِسْلَامِ لِمَنْ تَرَكَ الصَّلَاةَ

“Tidak ada bahagian di dalam Islam bagi orang yang meninggalkan solat.”

Lalu ‘Umar رضي الله عنه solat dalam keadaan darah yang masih mengalir.

Bagaimana pula dengan darah haiwan? Ia juga tidak najis dan dalilnya:

Ada riwayat dari Ibnu Mas’ud رضي الله عنه yang menguatkan hujah bahawa darah dari haiwan yang halal dimakan itu suci. Riwayat tersebut,

صَلَّى بْنُ مَسْعُوْدٍ وَعَلَى بَطْنِهِ فَرْثٌ وَدَمٌّ مِن جَزْرِ نَحْرِهَا وَلَمْ يَتَوَضَّأْ

“Ibnu Mas’ud رضي الله عنه pernah solat dan di bawah perutnya terdapat kotoran (haiwan ternak) dan terdapat darah unta yang disembelih, namun beliau tidak mengulangi wudhu’nya.” Mushonnaf ‘Abdur Rozaq (1/125)

Ada pula riwayat daripada Ibnu Mas’ud رضي الله عنه, ia mengatakan, “Nabi ‎ﷺ pernah solat di sisi Ka’bah. Sedangkan Abu Jahal dan sahabat-sahabatnya sedang duduk-duduk ketika itu. Sebahagian mereka mengatakan kepada yang lainnya, “Cubalah kalian pergi ke tempat penyembelihan si fulan”. Lalu Abu Jahal mendapatkan kotoran haiwan, darah sembelihan dan sisa-sisa lainnya, kemudian dia perlahan-lahan meletakkannya kepada Nabi ‎ﷺ ketika baginda sedang sujud. Baginda ﷺ merasa kesulitan di dalam solatnya. Ketika baginda ﷺ sujud, Abu Jahal kembali meletakkan kotoran dan darah tadi di antara bahunya. Baginda tetap sujud, sedangkan Abu Jahal dan sahabatnya dalam keadaan tertawa.”
[ HR. Bukhari no. 240 dan Muslim no. 1794 ]

5. Lendir yang keluar dari kemaluan wanita

Lendir ini termasuklah yang dipanggil ‘keputihan’ oleh orang kita. Ia juga tidak najis kerana mengambil konsep bahawa sesuatu perkara itu tidak najis melainkan ada dalil dari syarak yang mengatakan ianya najis.

📍Soalan pertama perbincangan kita: Adakah lendir dari kemaluan wanita itu najis?

Cairan keputihan yang keluar dari organ pembiakan wanita, adalah hal yang wajar terjadi di masa silam. Meskipun demikian, kita tidak menjumpai adanya riwayat daripada para sahabat wanita (shahabiyah) yang menanyakan hal itu kepada Nabi ﷺ . Padahal umumnya mereka hanya memiliki satu pakaian. Jika ini najis, tentu Rasulullah ﷺ akan mengingatkannya.

Memang ada ulama yang mengatakan ianya najis kerana diqiyaskan dengan mazi yang juga dikira sebagai najis tetapi hujah ini tidak kuat kerana ada lagi hujah-hujah yang lain.

Salah satu dalil yang digunakan oleh ulama’ adalah hadith tentang Saidatina Aisyah رضي الله عنها hanya mengerik/mengikis mani dari baju Rasulullah.

Eh, macam mana pula hadith ini dijadikan dalil bagi ‘keputihan’? Mari kita lihat hadith itu kembali.

Telah berkata A’isyah رضي الله عنها :
كُنْتُ أَفْرُكُهُ مِنْ ثَوْبِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Aku mengerik mani itu dari baju Rasulullah ﷺ .
[ HR. Muslim 288, Nasai 296, dan yang lainnya ].l

Yang difahami dari hadith ini (sebagaimana keterangan Ibnu Qudamah رحمه الله),

1. Mani yang ada di baju Nabi ﷺ adalah bekas hubungan badan (baginda dan Aisyah), dan bukan mani mimpi basah. Ini kerana para Nabi tidak mengalami mimpi basah.

2. Kerana mani itu bekas dari hubungan badan, maka tentulah cairan yang menempel di situ bercampur dengan cairan yang ada di faraj wanita.

3. A’isyah رضي الله عنها menggeriknya, dan perbuatan menggerik itu tentu tidak akan bersih sempurna.

4. Tetapi pakaian itu terus sahaja dipakai baginda untuk bersolat, maka ini menunjukkan yang ia bukan najis. Kalau tidak, tentu baginda tidak akan memakai pakaian itu di dalam solat.

Imam An-Nanawi رحمه الله menjelaskan mengenai ikhtilaf ulama’ dan merajihkan bahawa keputihan adalah suci, beliau menjelaskan,

رطوبة الفرج ماء أبيض متردد بين المذى والعرق فلهذا اختلف فيها …وقال صاحب الحاوى في باب ما يوجب الغسل نص
الشافعي رحمه الله في بعض كتبه علي طهارة رطوبة الفرج

“Keputihan yang keluar dari kemaluan wanita iaitu cairan putih. Diperselisihkan sifatnya apakah disamakan dengan madzi dan cairan kemaluan. Kerananya ulama’ berbeza pendapat mengenai hukumnya. Penulis kitab al-Hawi mengatakan, Imam as-Syafi’iy رحمه الله menegaskan di dalam sebahagian kitab-kitabnya bahwa keputihan wanita hukumnya adalah suci.” [ Al-Majmu’, 2/570, syamilah ]

Kita tidak menafikan yang memang terdapat perbezaan pendapat ulama’ berkait pembahasan hal ini. Dan ini memang masalah klasik yang tidak akan habis dibincangkan.

Ringkasan dari kajian tentang pendapat-pendapat yang ada:

1. Apakah keputihan itu najis atau tidak, pendapat terkuat mengatakan ianya tidak najis.

2. Jika keluar apakah membatalkan wudhu’ atau tidak, pendapat terkuat mengatakan tidak membatalkan wudhu’.

Oleh itu, ringkasan dari hujah yang ada berkenaan keputihan:

1.Tidak ada dalil satu pun baik sahih, hasan bahkan dhaif yang mengharuskan berwudhu’ jika keluar keputihan.

2. Keputihan adalah hal yang biasa terjadi pada wanita baik di zaman Rasulullah ﷺ, suatu hal yang bersifat lumrah, sudah tentu akan ditanyakan oleh para sahabat wanita atau akan dijelaskan oleh syari’at.

3. Pembebanan harus berwudhu’ setiap kali keluar keputihan akan memberatkan bagi para wanita.

4. Allah SWT menyebut haid adalah “kotoran” di dalam Al-Quran dan lainnya suci, maka hukum asalnya keputihan adalah suci.

6. Muntah manusia

Muntah manusia juga tidak najis kerana menggunakan konsep umum iaitu sesuatu perkara itu asalnya suci sehinggalah ada dalil yang mengatakan ianya najis. Tidak ada mana-mana dalil yang sahih mengatakan bahawa muntah itu najis.

Jadi kalau sedang dukung anak dan muntah anak kena kepada baju, boleh terus bawa baju pakai untuk solat.

7. Peluh orang dalam junub dan wanita yang haidh

✍🏻Imam Bukhari membincangkan perkara ini dalam Kitab Sahihnya:

274 – حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ حَدَّثَنَا يَحْيَى قَالَ حَدَّثَنَا حُمَيْدٌ قَالَ حَدَّثَنَا بَكْرٌ عَنْ أَبِي رَافِعٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَقِيَهُ فِي بَعْضِ طَرِيقِ الْمَدِينَةِ وَهُوَ جُنُبٌ فَانْخَنَسْتُ مِنْهُ فَذَهَبَ فَاغْتَسَلَ ثُمَّ جَاءَ فَقَالَ أَيْنَ كُنْتَ يَا أَبَا هُرَيْرَةَ قَالَ كُنْتُ جُنُبًا فَكَرِهْتُ أَنْ أُجَالِسَكَ وَأَنَا عَلَى غَيْرِ طَهَارَةٍ فَقَالَ سُبْحَانَ اللَّهِ إِنَّ الْمُسْلِمَ لَا يَنْجُسُ

274. Telah menceritakan kepada kami ‘Ali bin ‘Abdullah berkata, telah menceritakan kepada kami Yahya berkata, telah menceritakan kepada kami Humaid berkata, telah menceritakan kepada kami Bakar dari Abu Rafi’ dari Abu Hurairah, bahwa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam pernah berjumpa dengannya di salah satu jalan di Madinah, sementara ia dalam keadaan junub.” Abu Hurairah berkata, ‘Aku pun menyelinap keluar dan pergi mandi’. Setelah itu datang lagi, baginda lalu bertanya: “Ke mana saja kamu tadi wahai Abu Hurairah?” Abu Hurairah menjawab: “Aku tadi dalam keadaan berjunub. Dan aku tidak suka di dalam majlismu sedang aku dalam keadaan tidak suci.” Mendengar jawapan Abu Hurairah itu, Beliau pun bersabda: “Subhaanallah! Sesungguhnya orang Muslim itu tidak najis.”

Syarah: Sama sahaja kalau wanita dalam haidh, peluh mereka tidak najis.

8. Bangkai binatang yang darahnya tidak mengalir

Bangkai binatang seperti lalat, semut, labah-labah, nyamuk dan sejenisnya bukan najis.

✍🏻Dalilnya:

عن أبي هريرة –رضي الله عنه- قال قال رسول الله –صلي الله عليه و سلم- ((إذا وقع الذباب في شراب أحدكم فليغمسه, ثم لينزعه, فإن في أحد جناحيه داء, و في الآخر شفاء))
أخرجه البخاري, و أبو داود, و زاد: ((و إنه يتقي بجناحيه الذي فيه الداء))

Dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-, dia berkata, Rasulullah –shallallahu ‘alaihi wa sallam- bersabda, “Jika lalat hinggap ke minuman salah seorang di antara kalian, maka hendaklah dia menenggelamkannya, kemudian buanglah (lalat tersebut), kerana sesungguhnya di salah satu sayapnya ada penyakit, dan di sayap lainnya ada ubat”.
Dikeluarkan oleh Al Bukhari.

Syarah:
Kalau lalat itu najis, tentu Nabi SAW tidak beri minum air itu lagi.

Kesimpulan:
Kita telah sebut apakah yang najis dan kita pun telah sentuh perkara yang selalu dianggap sebagai najis, tetapi sebenarnya tidak.

Tidaklah kita hendak sebut semua benda dalam alam ini. Maka, selain dari yang kita sudah sebut ini, bukanlah najis. Bukankah senang begitu? Sudah tahu mana najis, jadi selain darinya tidak najis.

SESI SOAL JAWAB
========================

1) Bolehkah mengerjakan solat walaupun darah masih belum kering selepas digigit pacat?

🔵 Ya, boleh.

2) Bolehkah pesakit kanser payudara yang baru selesai menjalani pembedahan terus mengerjakan salat, walaupun darahnya belum kering dan masih ada bekas tadahan bagi darah yang mengalir?

🔵 Boleh sahaja diteruskan salat.

3) Adakah sah salat jika terdapat tompokan darah yang besar pada pakaian salat?

🔵 Sah salat kerana darah bukan najis, sama ada ianya sedikit ataupun banyak.

4) Adakah darah istihadhah yang berwarna coklat dikira najis?

🔵 Darah istihadhah bukan najis kerana ia bukan darah haidh. Sebagaimana sabda Rasulullah ﷺ tentang darah istihadhah, “Itu adalah darah yang berasal dari urat.” (Hadith sahih, diriwayatkan oleh al-Bukhari (327) dan Muslim (333))

5) Benarkah apa yang keluar dari tubuh kita itu boleh membatalkan salat?

🔵 Tidak benar. Kena tengok apa yang sudah disenaraikan sebagai najis, maka selain daripada itu bukan najis.

6) Bolehkah berwudhu’ dalam keadaan kita tahu terdapat keputihan tetapi tidak dibersihkan?

🔵 Ya, boleh kerana keputihan bukan najis.

7) Bagaimana pula kedudukan keputihan yg berwarna seperti berwarna hijau atau kuning?

🔵 Jika sudah ada warna maka tidaklah dinamakan keputihan, tetapi disebabkan ada penyakit dan ada bau. Ada pendapat yang mengatakan ia najis namun pendapat ini tiada dalil khusus. Maka ia dikira bukan najis kerana yang kotor dan sakit tidak menjadikan ia najis.

8) Adakah lendir yang berwarna tidak wajib dibasuh kerana ia bukanlah najis?

🔵 Ya, jika bukan najis maka tidak wajib dibasuh. Jika salat dengannya, salat adalah sah. Namun digalakkan untuk dibasuh.

9) Adakah sama air mani yang keluar semasa berjimak dengan air mani yang keluar semasa mimpi basah?

🔵 Ya, ia sama. Lihat dalil hadis ini. Nabi Muhammad ﷺ tidak ihtilam (mimpi basah). Maka air mani baginda hanya keluar kerana jimak. Maka bila dikatakan jimak, bukan air mani baginda sahaja tetapi bercampur lendir dari isteri baginda juga. Jadi, oleh kerana air mani tidak najis, maka lendir juga dikira tidak najis.

10) Mengapakah kebanyakan orang kita apabila ditahan di wad (warded) tidak melaksanakan salat?

🔵 Ini kerana orang kita masih jahil bab hukum. Mereka merasakan seolah-olah masuk wad automatik dapat tiket tidak perlu melaksanakan solat.

11) Apakah ada dalil menyuruh wanita istihadhah untuk berwudhu’ setiap kali ingin mengerjakan solat walaupun dia tidak berhadas? Jikalau ada, adakah ia wajib atau dianjurkan sahaja?

🔵 Terdapat pelbagai pendapat. Pendapat yang kuat hanya satu wudhu’ untuk satu solat fardhu. Boleh juga untuk solat sunat tetapi bila masuk solat fardhu lain, kena perbaharui wudhu’. Contohnya ambil wudhu’ dan pakai untuk salat zuhur dan salat sunat ba’diyah. Jika masuk waktu asar maka kena ambil wudhu’ lain.

12) Kenapa tidak boleh menggunakan satu wudhu’ untuk dua salat fardhu sedangkan istihadhah tidak najis?

🔵 Diriwayatkan dari Aisyah رضي الله عنها berkata: Fatimah binti Jahsy datang kepada Nabi ﷺ dan berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku wanita yang sering mengalami istihadhah sehingga tidak pernah suci, apakah aku harus meninggalkan solat?”

Baginda menjawab,

لَا. إِنَّمَا ذَلِكَ عِرْقٌ, وَلَيْسَ بِحَيْضٍ, فَإِذَا أَقْبَلَتْ حَيْضَتُكِ فَدَعِي اَلصَّلَاةَ, وَإِذَا أَدْبَرَتْ فَاغْسِلِي عَنْكِ اَلدَّمَ, ثُمَّ صَلِّي

“Tidak, sesungguhnya itu hanyalah penyakit dan bukan haid. Apabila datang haidmu maka tinggalkan salat. Jika telah selesai maka bersihkan darah haidmu itu (mandi) lalu salatlah.” (Muttafaq ‘Alaih) Dalam lafaz Bukhari, “Kemudian berwudhu’lah setiap kali salat.”

13) Adakah hukum ini hanya bagi orang yang ada darah istihadhah sahaja?

🔵 Ya. Perlu ambil wudhu’ baru jika masih ada darah. Kalau tiada darah keluar, maka boleh terus menggunakan wudhu’ yang sama.

Hadis Nabi menyuruh mengambil wudhu’ setiap kali salat itu adalah kerana orang yang bertanya sentiasa keluar darah istihadhah.

14) Adakah darah wanita mengandung yang mengalami “bleeding” dikira istihadhah?

🔵Ya, benar. Dia perlu mengambil wudhu’ baru setiap kali
salat fardhu.

15) Apakah hukumnya orang Islam menerima darah daripada orang bukan Islam? Saya pernah mendengar pendapat seorang ustaz yang mengatakan hukumnya haram kerana orang bukan Islam makan benda yang haram jadi darahnya juga haram. Beliau menyandarkan hujahnya dengan ayat Al-Quran yang menyatakan orang kafir itu najis. Mohon penjelasan ustaz.

🔵 Ini adalah salah faham yang amat besar. Lebih teruk dari kes yang mengatakan tidak boleh berkongsi mesin basuh dengan orang Islam. Ini adalah kerana ia melibatkan nyawa manusia. Tidak ada masalah orang Islam menerima darah orang bukan Islam. Darah orang bukan Islam bukanlah najis. Tidak ada ketulan khinzir atau “beer” dalam darah itu. Makanan yang dimakan sudah habis diproses dan sudah bertukar bentuk.

Ayat Al-Quran yang dimaksudkan adalah [ At-Taubah: 28 ] di mana Allah memberitahu orang musyrik itu najis. Namun najis di sini bukanlah najis hissi (najis yang jelas nampak). Bukan bermaksud kena basuh tangan jika bersalam dengan orang bukan islam. Sebenarnya yang dikatakan najis pada ayat ini adalah akidah dan fahaman mereka iaitu najis maknawi (najis dari segi makna) sahaja. Bukanlah najis yang sebenar.

16) Adakah ajaran ustaz tersebut telah menyalahi ajaran Nabi ﷺ kerana baginda memberitahu kita Islam adalah agama yang mudah?

🔵 Hadith berkata tidak akan menang terhadap mereka yang menyusahkan. Ini kerana jika menyusahkan syariat agama kita tidak akan mampu hendak mengamalkan benda-benda yang ditokok tambah.

Sebagaimana sabda Rasulullah ﷺ.

إِنَّ الدِّيْنَ يُسْرٌ وَلَنْ يُشَادَّ الدِّيْنَ إِلاَّ غَلَبَهُ، فَسَدِّدُوْا وَقَارِبُوْا، وَأَبْشِرُوْا، وَاسْتَعِيْنُوْا بِالْغَدْوَةِ وَالرَّوْحَةِ وَشَيْءٍ مِنَ الدُّلْجَةِ.

“Sesungguhnya agama (Islam) itu mudah. Tidaklah seseorang mempersulit (berlebih-lebihan) dalam agamanya kecuali akan dikalahkan (tidak dapat melaksanakannya dengan sempurna). Oleh karena itu, berlaku luruslah, sederhana (tidak melampaui batas), dan bergembiralah (kerana memperoleh pahala) serta memohon pertolongan (kepada Allah) dengan beribadah pada waktu pagi, petang dan pada sebahagian malam.”
[ HR. Al-Bukhari (no. 39), Kitabul Iman bab Addiinu Yusrun, dan an-Nasa-i (VIII/122 ].

17) Apakah hukum bagi orang yang menyusahkan syariat agama kemudian dia menyebarkan kepada orang ramai?

🔵 Berdosa sebagaimana disebut dalam hadith di atas.

18) Bolehkah dinyatakan nama beliau supaya masyarakat dapat berhati-hati pada masa hadapan?

🔵 Boleh. Pernah dikatakan kepada Ahmad bin Hanbal: “Manakah yang lebih engkau suka, seseorang yang berpuasa, solat, dan melakukan iktikaf atau orang yang berbicara tentang (kesalahan) ahli bid’ah?” Beliau menjawab: “Apabila dia berdiri dan solat serta beriktikaf, maka (kebaikannya) tidak lain adalah untuk dirinya sendiri. Namun apabila dia berbicara tentang (kesalahan) ahli bid’ah maka (kebaikannya) tidak lain adalah untuk kaum muslimin, inilah yang lebih utama.”

Kita juga perlu berusaha untuk membuat penilaian. Usaha ini bukanlah percuma tetapi Allah SWT akan membalasnya dengan pahala.

19) Adakah Sunni dan Salafi itu berbeza?

🔵 Istilah Sunnah, Sunni dan Salaf adalah lebih kurang sahaja.

Perkataan ” Sunni” digunakan apabila membandingkan dengan “Syiah”. Contoh: Shi’ie dan Sunni.

Sunnah pula bermaksud mengikut contoh amalan Nabi Muhammad SAW dan sahabat.

Jika hendak mengikut contoh Nabi dan sahabat, kena melihat kepada amalan dan fahaman golongan di tiga kurun yang pertama, iaitu golongan Salaf.

Maka, Sunnah, Salaf, Nabi dan sahabat adalah saling berkaitan.

Ramai yang mengaku Sunnah, tetapi mereka bukanlah Sunnah seperti golongan Salaf.

20) Adakah haiwan halal tetapi dilindungi di bawah akta perlindungan haiwan seperti landak boleh di makan?

🔵 Jika wujud akta itu, maka kena taat kepada arahan pemerintah.

21) Bolehkah membaca lafaz yang mengandungi nama Allah ketika di dalam bilik air yang bersekali dengan tandas?

🔵 Yang dilarang adalah ketika masih ada najis ketika itu. Jika sudah dibersih n najis tiada lagi maka boleh membaca lafaz “bismillah”

22) Adakah dalil yang menyokong perkara di atas?

🔵 Tiada, kerana ketika zaman dahulu tandas tidak seperti tandas hari ini.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan