Panel: BroSyarief
asSalaamu ‘alaikum. Nota seterusnya telah siap. Semoga bermanfaat.
—
#161017 Bilik (09) Ulum al-Quran – Bab Sebab-sebab Penurunan al-Quran (أَسْبَابُ النُّزُول)
06.08 Penurunan Ayat-ayat yang Pelbagai pada Satu Sebab Nuzul – تَعَدُّدُ النُّزُولِ مَعَ وَحْدَةِ السَّبَبِ
Terdapat keadaan di mana beberapa ayat yang berbeza turun pada satu sebab nuzul yang sama, dan perkara ini tidaklah ganjil, di mana turunnya pada satu peristiwa atau kejadian tertentu beberapa ayat yang berbeza di dalam surah-surah yang pelbagai.
Contohnya (1) apa yang diriwayatkan daripada Umm Salamah – radhiyalLaahu ‘anha – di mana dia pernah bertanya kepada Nabi – sallalLaahu ‘alaihi wa sallam -,
يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَلَا أَسْمَعُ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ ذَكَرَ النِّسَاءَ فِي الْهِجْرَةِ بِشَيْءٍ
‘Wahai RasululLah – sallalLaahu ‘alaihi wa sallam -, kenapa aku tidak mendengar Allah menyebutkan wanita tentang hijrah walau sedikitpun?’
Lalu, Allah – subhaanahu wa ta’ala – menurunkan ayat berikut,
فَاسْتَجَابَ لَهُمْ رَبُّهُمْ أَنِّي لَا أُضِيعُ عَمَلَ عَامِلٍ مِنْكُمْ مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى بَعْضُكُمْ مِنْ بَعْضٍ
“Maka Tuhan mereka memperkenankan bagi mereka (di atas dosa mereka, dengan jawapanNya): Sesungguhnya Aku tidak akan menyia-nyiakan amalan seseorang yang beramal dari kalangan kalian, sama ada lelaki atau wanita, sebahagian kalian adalah dari sebahagian yang lain (yang sama sahaja asalnya).”
[Aali-‘Imran(3):195]
[HR at-Tirmizi, al-Hakim di dalam al-Mustadrak]
Di dalam riwayat yang lain (2), juga daripada Umm Salamah, di mana dia pernah bertanya kepada Nabi – sallalLaahu ‘alaihi wa sallam -,
مَا لَنَا لَا نُذْكَرُ فِي الْقُرْآنِ كَمَا يُذْكَرُ الرِّجَالُ؟
‘Kenapa kami (para wanita) tidak disebut di dalam al-Quran sebagaimana disebut para lelaki (di dalam al-Quran)?’
Aku kemudiannya dikejutkan dengan panggilannya dari atas mimbar, lalu baginda membacakan,
إِنَّ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ, وَالْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ, وَالْقَانِتِينَ وَالْقَانِتَاتِ, وَالصَّادِقِينَ وَالصَّادِقَاتِ, وَالصَّابِرِينَ وَالصَّابِرَاتِ, وَالْخَاشِعِينَ وَالْخَاشِعَاتِ, وَالْمُتَصَدِّقِينَ وَالْمُتَصَدِّقَاتِ, وَالصَّائِمِينَ وَالصَّائِمَاتِ, وَالْحَافِظِينَ فُرُوجَهُمْ وَالْحَافِظَاتِ, وَالذَّاكِرِينَ اللهَ كَثِيرًا وَالذَّاكِرَاتِ ,أَعَدَّ اللهُ لَهُمْ مَغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا
“Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.”
[al-Ahzab(33):35]
Di dalam riwayat yang seterusnya (3) pula menyebutkan, di mana Ummu Salamah – radhiyalLaahu ‘anha – menyebutkan kepada RasululLah – sallalLaahu ‘alaihi wa sallam -,
يَا رَسُولَ اللهِ، يَغْزُو الرِّجَالُ وَلَا نَغْزُو، وَلَنَا نِصْفُ الْمِيرَاثِ.
‘Wahai RasululLah! Para lelaki pergi berperang, manakala kami tidak berperang. Kami juga mendapatkan hanya separuh perwarisan.’
فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ : وَلَا تَتَمَنَّوْا مَا فَضَّلَ اللَّهُ بِهِ بَعْضَكُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ ۚ لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبُوا ۖ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبْنَ ۚ
Lalu Allah ‘azza wa jalla menurunkan (ayat yang bermaksud:) “Janganlah sebahagian kalian mengharapkan apa-apa yang dilebihkan oleh Allah dengannya pada sebahagian yang lain. Bagi lelaki itu ada bahagiannya dari apa yang mereka usahakan, dan bagi wanita itu ada pula bahagiannya dari apa yang mereka usahakan..”
[an-Nisa(4):32]
Dan Allah juga menurunkan ayat 35, dari surah al-Ahzab.
[HR Ahmad]
walLaahu a’lam
Ruj: Mabahits fi ‘Ulum al-Quran, karangan Ust Manna’ Khalil al-Qattan, Cet. ke-7, m/s 87-88.
__
#صحح_لي_إن_كنت_مخطئاً
#BroSyariefShares