Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az-Zumar: Pengenalan, Ayat Pertama dan Ke-2

Tafsir Surah Az-Zumar: Pengenalan, Ayat Pertama dan Ke-2

2773
0
Iklan

Tafsir Surah Az-Zumar

PENGENALAN

Surah Zumar ini adalah tentang bagaimanakah cara untuk mempraktikkan tauhid. Apabila kita sudah faham tauhid, maka kita perlu menjalankan ibadah kepada Allah ﷻ dengan pemahaman tauhid. Janganlah kata faham tauhid, tetapi bila membuat amalan, hanya pakai ambil dari mana-mana sahaja. Amalan itu kenalah mengikut sunnah dan ada dalil yang sahih.

Surah ini adalah penjelasan kepada ayat إِيّاكَ نَعبُدُ dalam surah Al-Fatihah. Dalam Al-Fatihah, kita telah berjanji dengan Allah ﷻ yang kita hanya sembah Dia sahaja. Namun, adakah kita amalkan dengan cara begitu dalam kehidupan kita? Mari kita lihat dalam perbincangan surah ini.

Jadi, surah ini adalah amat penting sekali untuk kita memahaminya, kerana ia menjelaskan maksud ayat إِيّاكَ نَعبُدُ yang kita baca setiap hari dalam solat kita. Kalau setiap hari kita baca ayat itu, tetapi kita tidak faham apakah yang dimaksudkan, maka itu adalah salah sama sekali.

Surah ini diturunkan di Mekah dan seperti kebanyakan surah-surah Makkiah yang lain, ia banyak memperkatakan tentang tauhid. Kadang-kadang kita ada melakukan amalan-amalan ibadat, tetapi sebenarnya kita tidak mengamalkan ajaran tauhid dalam segenap kehidupan kita. Ayat ini mengajar kita bagaimana kita sepatutnya hidup dalam tauhid.

Dalam surah ini, ada tiga bandingan yang diberikan untuk membezakan antara ahli tauhid atau tidak. Kita kena tengok sama ada kita termasuk dalam golongan tauhid atau tidak.

Dakwa surah ini terdapat pada ayat ke-2: Ayat itu memberitahu kita – hendaklah ibadat dan seru akan Allah ﷻ sahaja dalam tauhid. Tidak boleh campur aduk dengan sembah dan seru selain Allah ﷻ kerana itu adalah syirik dan amalan tawasul yang dilarang.

Tafsir Ayat Pertama

Pembukaan surah dan galakan kepada membaca Al-Quran.

تَنزيلُ الكِتٰبِ مِنَ اللهِ العَزيزِ الحَكيمِ

Turunnya Kitab Al-Quran ini dari Allah, Yang Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana.

تَنْزِيلُ الْكِتٰبِ

Turunnnya kitab Al-Qur’an ini,

Permulaan surah Zumar ini terus mengambil jalan cerita daripada surah sebelumnya, surah Shaad. Di akhir surah itu memperingatkan kepada manusia bahawa Al-Quran itu adalah peringatan bagi seluruh alam.

Sekarang dalam ayat ini, diteruskan dengan memperingatkan kita bahawa Al-Quran itu diturunkan oleh Allah ﷻ. Umumnya adalah bermaksud seluruh Al-Quran ini diturunkan dan khususnya, ia merujuk kepada surah ini – surah az-Zumar;

Dari segi bahasa, perkataan تَنْزِيلُ ini menunjukkan bahawa penurunan Al-Quran itu mengambil masa yang lama, bukan sekaligus. Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ mengambil masa hampir 23 tahun lamanya.

Al-Quran ini tidak ada campur aduk dengan kalam yang lain. Dari manakah ia datang?

مِنَ اللهِ

adalah daripada Allah,

Bukan daripada Nabi, malaikat atau wali-wali, atau dari entiti lain. Hanya daripada Allah ﷻ semata-mata. Rasul itu pesuruh Allah ﷻ dan tugasnya menyampaikan Al-Quran ini kepada kita, oleh itu Al-Quran itu bukanlah dari kata-katanya. Rasul itu bersifat sebagai hamba Allah ﷻ semata-mata – menurut arahan Allah ﷻ. Manusia pun bersifat hamba. Begitu juga Malaikat.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ hendak memberi amaran dan peringatan kepada kita: dengar baik-baik, Al-Quran ini daripada Allah ﷻ, bukan daripada orang lain. Oleh itu, jangan kamu mempermainkannya dan jangan kamu buat tidak endah kepadanya. Kenalah kamu belajar Al-Quran itu dan tafsirnya. Bukan setakat membaca sahaja, tetapi tidak faham apa yang hendak disampaikan dalam Al-Quran itu.

Sangat sedih, masyarakat kita kalau surat daripada orang lain, kawan-kawan, kerajaan, majikan, malah surat dalam bentuk iklan pun mereka akan baca. Ini kerana nilai surat ini mengikut kedudukan pengirimnya. Kalau pengirimnya orang besar, orang penting, lagi kita pentingkan, bukan?

Namun, dengan Al-Quran, mereka buat tidak endah sahaja. Padahal ‘surat’ Al-Quran itu bukan dari sesiapa melainkan Allah ﷻ. Tidakkah kita malu dengan Allah ﷻ? Sedangkan kalau surat dari kekasih kita, berkali-kali kita tenung dan baca, tetapi apabila ‘surat’ dari Allah ﷻ, kita buat biasa sahaja.

Ingatlah! Al-Quran itu daripada Allah ﷻ. Kemudian Allah ﷻ terangkan sifat-Nya. Ini kerana untuk mengenal Allah ﷻ , Allah ﷻ telah terangkan dalam Al-Quran ini satu persatu tentang siapakah Diri-Nya.

Siapakah yang layak untuk memperkenalkan diri sendiri? Tentulah orang itu sendiri yang selayaknya memperkenalkan dirinya sendiri. Kalau orang tidak kenal saya, tentulah saya orang yang paling layak untuk kenalkan diri saya, bukan? Bagaimana pula dengan Allah ﷻ? Tentulah Allah ﷻ paling layak mengenalkan diri-Nya, sifat-Nya, kemahuan-Nya dan kebencian-Nya.

Dan Allah ﷻ memang telah terangkan siapa Diri-Nya dalam Al-Quran ini dan ditambah lagi dengan pemberitahuan dari Nabi-Nya Muhammad ﷺ yang paling kenal Allah ﷻ. Jadi, untuk kenal Allah ﷻ, kenalah kita dapatkan maklumat dari sumber yang sahih, bukannya kita agak-agak sendiri.

Maka, hendak kenal Allah ﷻ kenalah belajar Al-Quran. Bukannya belajar tarekat untuk mengenal Allah ﷻ dengan cara yang tidak sahih. Mereka itu mereka-reka sahaja cara untuk mengenal Allah ﷻ – kononnya mereka panggil ilmu Makrifat. Mereka banyak beramal dengan cara yang bid’ah malah dengan cara yang syirik pun ada.

Cara amalan mereka itu tidak pernah diajar oleh Nabi kerana yang mencipta cara yang mereka buat itu adalah mereka sendiri. Maka, berhati-hatilah dengan gerakan tarekat dan tasauf yang banyak dalam negara ini dan serata dunia. Belajarlah Al-Quran dan hadith dahulu, supaya kita faham dua sumber agama yang utama, sebelum kita hendak mengambil daripada sumber-sumber yang lain.

Kemudian, Allah ﷻ terangkan Sifat-sifat-Nya:

الْعَزِيزِ

Aziz: Maha Perkasa.

Kalau kamu hendak melawan Allah ﷻ, Dia boleh kalahkan kamu. Tidak lemah Dia disebabkan penentangan kamu terhadap-Nya. Dia Maha Perkasa dari segala-galanya. Kebal daripada segala ancaman musuh dan tidak terkesan oleh semua kata-kata dan perbuatan kita. Allah ﷻ tidak akan terkesan daripada apa perkara sekalipun.

Kerajaan-Nya tetap seperti biasa. Tidak siapa boleh menentang-Nya. Sama ada kita hendak terima atau tidak, Dia tetap Maha Perkasa. Bukan dengan keingkaran kita boleh menyebabkan Allah ﷻ jadi kurang martabat-Nya.

Tidaklah Allah ﷻ seperti manusia di dunia. Kita ambil contoh seorang raja. Raja akan menjadi lemah jika rakyat menentangnya. Tanpa rakyat, seseorang raja itu tidak berkuasa. Termasuk juga mana-mana ketua atau pemimpin. Kalau ditentang, lemahlah dia. Jika tiada sokongan, rebahlah seseorang ketua atau pemimpin itu.

Akan tetapi, Allah ﷻ tidak begitu sifat-Nya. Walaupun seluruh makhluk menentang-Nya, kuasa Allah ﷻ tidak akan sedikit pun berkurangan. Jika kita semua mengamalkan Islam mengikut apa yang Dia syariatkan pun, tidak akan menyebabkan Dia bertambah perkasa. Dia perkasa dengan sendiri, bukan disebabkan sokongan dan kepatuhan kita. Bukan dipengaruhi oleh apa-apa faktor.

Allah Maha Sempurna, tidak terkesan dengan sebarang perbuatan kita. Maka wajiblah kita menerima Al-Quran kerana Allah ﷻ menegaskan bahawa turunnya Al-Quran adalah daripada Allah ﷻ yang bersifat Al-Aziz.

Kalau kita mendapat arahan dari pihak berkuasa, kita akan patuh kerana mereka itu yang berkuasa. Sekarang, yang Maha Kuasa adalah Allah ﷻ, tidakkah layak untuk kita patuh kepada-Nya? Ada lagikah yang perkasa selain daripada Allah ﷻ?

Disebabkan sifat-Nya yang tiada tandingan, Allah ﷻ boleh membuat apa-apa sahaja, kepada sesiapa sahaja, mengikut kehendak-Nya. Untuk lebih faham apakah maksud Maha Perkasa, mari kita buat satu contoh. Katakanlah di satu negeri, ada samseng yang menakutkan semua orang. Polis, askar mahupun ulama, semuanya takut kepada dia.

Maka, disebabkan semua orang takut kepadanya, si samseng ini bebas melakukan apa sahaja tindakan yang diingininya, pada bila-bila masa yang dia mahu. Perkara sebegini sebenarnya, tidak berlaku kepada manusia.

Sekuat manapun seseorang samseng itu, mustahil baginya untuk mengalahkan semua orang. Tidak akan ada yang bersifat sebegitu dalam alam ini. Sifat Maha Berkuasa hanya ada pada Allah ﷻ .

Kuasa Allah ﷻ itu tanpa ada had batasan. Selalunya, kalau seseorang manusia ada kuasa, mereka akan menyalahgunakan kuasa mereka itu. Mereka akan tindas orang, buat sesuka hati mereka. Allah ﷻ memang Maha Perkasa, tetapi Allah ﷻ sertakan sifat kedua, iaitu:-

الْحَكِيمِ

Hakim: Allah Maha Bijaksana,

Allah Maha Berkuasa dan tidak boleh dikalahkan tetapi sifat itu diimbangi dengan sifat-Nya yang Maha Bijaksana. Allah ﷻ tidak menyalahgunakan kekuasaan yang dimiliki-Nya itu.

Allah Maha Bijaksana dalam menetapkan hukum. Apa sahaja hukum yang Allah ﷻ tetapkan, pada kemudian hari nanti akan nampak hikmahnya. Apa sahaja yang Allah ﷻ tetapkan kepada manusia tidak akan bercelaru. Allah ﷻ yang tetapkan manusia ada yang kaya dan ada yang miskin.

Namun, ia bukanlah sebagai penyebab orang itu menjadi tidak dapat menerima agama Allah ﷻ. Ada yang ibu bapanya musyrik, tetapi masuk Islam juga akhirnya.

Semua hukum Allah ﷻ sama ada sunat, wajib dan sebagainya yang telah ditetapkan-Nya tidak akan bercelaru dengan kaedah dunia. Bila dikaji, ia sebenarnya amat bersesuaian dengan dunia. Kalau tidak selari, bermakna kaedah yang kita gunakan yang sebenarnya tidak betul.

Allah ﷻ mencipta manusia sebaik-baiknya untuk layak terima Al-Quran. Jangan kata seseorang itu bebal tidak boleh belajar Al-Quran. Ini kerana Allah ﷻ telah jadikan manusia sebaik-baik kejadian, dan dia pasti boleh terima pengajaran Al-Quran – kalau dia membuka pintu hatinya.

Ayat ini juga berbentuk ancaman, di mana keputusan di akhirat kelak, adalah mengikut keadilan-Nya. Mengikut hukum yang Dia telah tetapkan. Siapa kufur, masuk neraka. Siapa beramal soleh, masuk syurga. Semua hukum, Allah ﷻ telah tentukan.

Hanya Allah ﷻ sahaja yang boleh buat hukum. Manusia mengikut hukum, bukan membuat hukum. Hendak membuat hukum, mestilah satu entiti yang bersifat Al- Hakim. Ini kerana Allah Maha Bijaksana. Sebab itu dalam mahkamah kita panggil yang memberi kehakiman itu hakim – yang bijaksana.

Allah ﷻ sememangnya Maha Bijaksana, sebagai contoh, Allah ﷻ akan menangguh-nangguhkan azab kepada manusia untuk memberi peluang agar manusia bertaubat. Walaupun Allah ﷻ bersifat al-Aziz – Maha Gagah Perkasa, sebenarnya Allah ﷻ boleh buat apa sahaja. Namun, Allah ﷻ tidak terus beri hukuman azab kepada manusia. Tidaklah apabila kita tinggalkan solat, kita terus jatuh sakit, terus mati dan sebagainya.

Tidaklah orang yang sembah patung Hindu itu jadi apa-apa, sakit perut, kena sambar petir atau sebagainya. Allah ﷻ membiarkan sahaja. Supaya mereka ada peluang untuk bertaubat. Lihatlah bagaimana Musyrikin Mekah yang menentang Nabi itu, mereka ramai yang selamat sahaja, tidak terus Allah ﷻ berikan azab kepada mereka walaupun mereka kata macam-macam perkara buruk tentang Nabi. Cuma apabila mereka mati dan tidak bertaubat, maka siaplah tempat mereka di neraka.

Oleh itu, secara ringkasnya, maksud al-Hakim ada dua: [Yang Maha Bijaksana] dan [yang menetapkan hukum].

1. Al-Quran itu diturunkan dari Allah ﷻ yang Maha Bijaksana. Maka, kandungan Al-Quran itu mengandungi tatacara bagaimana untuk menjalani kehidupan dengan bijaksana. Oleh itu, hendaklah kita mengikutinya. Kalau kita mengikuti ajaran dalam Al-Quran itu, kita adalah orang yang bijak.

2. Dalam Al-Quran itu juga, mengandungi hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah ﷻ. Maka hendaklah kita mengikutinya dengan sebaik mungkin.

Tafsir Ayat ke-2

Ayat ini adalah Dalil Wahyi. Titah khusus kepada penerima, yang pertama sekali adalah Nabi. Tujuannya adalah mentauhidkan Allah ﷻ dalam ibadat.

إِنّا أَنزَلنا إِلَيكَ الكِتٰبَ بِالحَقِّ فَاعبُدِ اللهَ مُخلِصًا لَّهُ الدّينَ

Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Quran ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran; oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat

إِنَّا أَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتٰبَ بِالْحَقِّ

Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (Muhammad) Al-Quran yang mengandungi kebenaran.

Al-Quran mengandungi kebenaran. Oleh itu, jika kita hendak mencari kebenaran, ia ada di dalam Al-Quran. Al-Quran itu diturunkan dengan tujuan yang besar – membawa kebenaran. Kebenaran tentang Allah ﷻ , tentang tauhid dan cara kita mengamalkan kehidupan kita.

Bukan perkara main-main yang disebut dalam Al-Quran ini. Ia juga bermaksud semua yang ada dalam Al-Quran ini adalah benar. Tidak ada kesalahan dari awal hingga akhir.

Ayat ini juga menolak kata-kata orang kafir yang mengatakan bahawa Al-Quran itu adalah hasil karangan daripada Nabi Muhammad ﷺ. Sejak dahulu hingga sekarang ada sahaja yang mengatakan sedemikian. Kehebatan yang tertera dalam Al-Quran itu sendiri telah menolak kemungkinan yang ianya adalah tulisan tangan manusia.

Tidak akan mampu manusia untuk menulis satu kitab yang seperti Al-Quran ini – tidak masuk akal. Mereka yang berkata itu adalah kerana degil sahaja untuk menerima yang Al-Quran ini daripada Allah ﷻ.

فَاعْبُدِ اللهَ مُخْلِصًا لَّهُ الدِّينَ

Maka oleh itu, hendaklah kamu puja, sembah Allah dengan tulus ikhlasnya kepada Diasahaja.

Maka, setelah kita pasti bahawa Al-Quran itu adalah kalam Allah ﷻ, ia pula benar, maka hendaklah kita menyembah-Nya seperti yang telah disuruh oleh-Nya dalam Al-Quran itu. Hendaklah kita hanya beribadat kepada Allah ﷻ sahaja.

Ibadat itu ada banyak jenis:

– Dengan perasaan
– Dengan anggota zahir
– Dengan lafaz perkataan
– Ada yang dilakukan dengan tetap duduk di satu-satu tempat (iktikaf)
– Ada yang dilakukan dengan menahan diri (puasa)
– Ada yang dilakukan dengan meninggalkan sesuatu perkara (seperti Haji)

Apabila perkara-perkara di atas dilakukan untuk selain daripada Allah ﷻ, itu adalah syirik dalam ibadah.

Perkara paling penting yang disebut dalam keseluruhan Al-Quran adalah tentang mentauhidkan Allah ﷻ dalam ibadah dan doa. Kena ingat, lafaz ‘deen’ dalam Al-Quran sekurang-kurangnya ada dua makna dan untuk mentafsirkan ‘deen’, kena sebut dua makna tersebut. Ia boleh membawa maksud [ibadah] dan juga [doa].

Maknanya adalah: mentauhidkan Allah ﷻ dalam segala perbuatan ibadah dan doa kita.

Oleh itu, bukan sahaja dalam ibadat, tetapi dalam berdoa pun, kita hendaklah mentauhidkan Allah ﷻ. Dalilnya seperti di dalam surah Al-Fatihah, iaitu pada ayat ‘iyyaka na’budu waiyaaka nastain’ iaitu; Hanya kepada-Mu kami beribadah dan hanya kepada-Mu kami mohon pertolongan.

Di sini ibadah mempunyai dua tafsiran. Iaitu ibadah dan juga doa. Hendaklah kamu mentauhidkan ibadah kamu kepada Allah ﷻ semata-mata. Ibadah kita wajib bebas daripada syirik. Hendaklah kita sucikan ibadah dan doa kita daripada syirik. Dalam hadith, Nabi ﷺ pernah berkata bahawa ‘Doa adalah tunjang ibadah’.

Oleh itu, apa sahaja perkataan ‘ibadah’ dalam Al-Quran kena tafsirkan dua-dua maksud ibadah ini – doa dan ibadah. Ini adalah dakwa atau maksud surah ini. Maksud surah ini adalah hendaklah mentuluskan ibadah hanya kepada Allah ﷻ sahaja. Semua ayat dalam surah ini adalah untuk mentauhidkan Allah ﷻ, SEMATA-MATA HANYA KEPADA ALLAH ﷻ. Tentang ibadah doa akan diceritakan di dalam surah yang lain iaitu dalam surah Ghafir.

Jadi, apabila kita kata solat kena tulus ikhlas, makna sebenar tulus ikhlas itu adalah tidak melakukan syirik kepada Allah ﷻ. Selain dari tidak melakukan syirik, kita juga dilarang dari buat amalan bid’ah dalam solat itu. Oleh itu, dalam amalan ibadat seharian kita, kena ikut apa yang diajar agama melalui Al-Quran dan Sunnah.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan