Tafsir Surah Al-Ahqaf
Tafsir Ayat ke-28
Ini adalah Dakwa/Maksud surah ini. Jadi kena beri perhatian yang lebih kepada ayat ini. Allah ﷻ memberitahu yang pujaan mereka selain dari Allah ﷻ itu tidak akan membantu mereka.
فَلَولا نَصَرَهُمُ الَّذينَ اتَّخَذوا مِن دونِ اللهِ قُربانًا ءآلِهَةً ۖ بَل ضَلّوا عَنهُم ۚ وَذٰلِكَ إِفكُهُم وَما كانوا يَفتَرونَ
Maka sepatutnya mereka dibela oleh segala yang mereka sembah yang lain dari Allah sebagai penyembahan untuk mendekatkan diri (kepada Allah)? (Tetapi tidak), bahkan segala yang mereka sembah itu telah hilang lenyap dari mereka. Dan demikianlah akibat penyelewengan mereka dan kepercayaan yang mereka telah ada-adakan.
فَلَولا نَصَرَهُمُ الَّذينَ اتَّخَذوا مِن دونِ اللهِ قُربانًا ءآلِهَةً
Maka mengapa mereka tidak dibantu oleh segala yang mereka sembah yang lain dari Allah sebagai penyembahan untuk mendekatkan diri (kepada Allah)?
Kenapa semasa Allah ﷻ membinasakan dan memberi azab dunia kepada mereka, ilah-ilah yang mereka sembah itu tidak tolong mereka pun? Lihatlah apa yang terjadi kepada kaum Aad dan Tsamud itu – Allah ﷻ memusnahkan mereka dan tidak ada sesiapa yang datang tolong mereka. Di manakah ilah-ilah mereka yang mereka puja dan seru itu?
Sia-sialah sahaja mereka menghabiskan masa dan tenaga dengan beribadat kepada ilah-ilah itu apabila mereka tidak datang tolong. Semasa di dunia, ramai manusia yang menyembah selain daripada Allah ﷻ, bertawassul kepada selain dari Allah ﷻ, seru dan doa kepada selain daripada Allah ﷻ.
Mereka telah melakukan ibadat kepada ilah-ilah itu itu – lawat kubur, tawaf kubur, baca zikir dan ayat Al-Quran di kubur, minta tolong kepada ahli kubur, sedekah Fatihah, korbankan binatang, dan macam-macam lagi cara penyembahan yang tidak ada dalam agama.
Mereka melakukan semua itu kerana mengharapkan bantuan dari Nabi dan wali yang dalam kubur itu. Mereka sangka, kalau selalu berbuat baik kepada wali, Nabi dan juga malaikat itu, tentulah mereka akan beri pertolongan kepada mereka nanti di akhirat.
Namun Allah ﷻ memberitahu dalam ayat ini bahawa mereka yang disembah itu tidak tolong mereka yang menyembah. Ilah yang mereka harapkan beri pertolongan itu tidak tolong mereka langsung, walau sedikit pun.
Lafaz قُربانًا dalam ayat ini hendak menceritakan bagaimana tujuan mereka buat ibadat dan sembahan seperti seruan kepada ilah-ilah itu adalah untuk ‘mendekatkan’ diri kepada Nabi, wali dan malaikat itu dan supaya mereka dapat dekat kepada Allah ﷻ. Ia dari kalimah ق ر ب yang bermaksud ‘dekat’ seperti kita gunakan untuk kawan kita yang rapat sebagai ‘rakan karib’.
Jadi banyaklah amalan syirik yang dilakukan oleh golongan musyrik untuk mendekatkan diri mereka dengan ilah-ilah selain Allah ﷻ itu. Inilah salah faham orang kita pun. Mereka salah sangka yang roh Nabi, wali malaikat akan selamatkan mereka di akhirat kelak.
Maka ramai yang selalu lawat ke kubur ‘tok wali’ untuk berziarah dan buat ibadat.
بَل ضَلّوا عَنهُم
bahkan segala yang mereka sembah itu telah hilang lenyap dari mereka.
Namun, tidak ada ilah (sama ada dalam bentuk Nabi, wali atau malaikat) yang datang kepada mereka di dunia atau di akhirat nanti untuk memberi pertolongan. Waktu itu mereka sangat memerlukan pertolongan tetapi tidak ada yang datang tolong. Jangan kata hendak tolong, hendak tunjuk muka pun tidak.
وَذٰلِكَ إِفكُهُم وَما كانوا يَفتَرونَ
Dan demikianlah akibat penyelewengan mereka dan kepercayaan yang mereka telah ada-adakan.
Kepercayaan mereka yang kata ada ilah selain Allah ﷻ yang akan tolong itu adalah kepercayaan khayalan mereka sahaja. Tidak pernah ada dalam syarak tentang perkara ini. Mereka sahaja yang ada-adakan setelah dibisikkan oleh syaitan.
Maka masyarakat kita kena diajar kesalahan syirik yang dilakukan oleh mereka. Ramai yang tidak tahu bahaya syirik kerana jahil dengan wahyu. Ramai yang tidak tahu yang amalan mereka itu adalah amalan yang syirik. Mereka sangka telah membuat amalan yang baik, tetapi sebenarnya tidak.
Inilah bahayanya apabila ajaran tarekat dibiarkan berleluasa tanpa teguran daripada kita. Begitu juga dengan ajaran dari golongan Habib yang datang ke negara ini. Mereka bawa ajaran yang salah tetapi bertopengkan ajaran Islam. Merekalah yang mengajak masyarakat kita beramal di kuburan dan menyeru-nyeru roh-roh manusia yang telah mati.
Tafsir Ayat ke-29
Ini adalah Dalil Naqli Jinni. Maksudnya Dalil Naqli dari Jin.
Allah ﷻ hendak memberitahu yang jin juga ada yang beriman. Mereka turut mendapat ilmu tauhid dan sampaikan ajaran tauhid itu kepada kaum mereka. Nabi ﷺ tidak berdakwah kepada mereka, tetapi mereka terus beriman dengan Rasulullah ﷺ apabila mereka mendengar bacaan Al-Quran dari baginda ﷺ .
Allah ﷻ beritahu maklumat ini kepada Nabi ﷺ kerana baginda tidak tahu ada jin yang telah mendengar bacaan Al-Quran dari baginda ﷺ dan telah beriman. Ayat ini adalah tentang jin yang sudah ada fahaman Yahudi. Maknanya mereka telah ada ilmu agama. Mereka memang mencari-cari Al-Quran itu.
Ini kerana jin dulunya selalu dapat naik ke langit untuk mendengar perbualan malaikat. Tiba-tiba mereka sudah tidak boleh naik ke langit lagi untuk mencuri dengar.
Mereka pusing keliling dunia untuk mencari sebab apa mereka sudah tidak boleh lagi mendengar pembualan malaikat di langit.
Dalam pencarian mereka itu, mereka jumpa Nabi Muhammad ﷺ yang sedang solat bersama sahabat. Sebelum itu, Nabi ﷺ telah pergi ke Taif dan baginda telah dilayani dengan buruk sekali. Semua tahu kisah itu. Waktu itu baginda ﷺ bersama Zaid sahaja dalam perjalanan balik ke Nakhla.
Allah ﷻ hendak memberitahu yang kaum jin juga boleh faham dan terima ajaran tauhid. Kalau kita sama jenis manusia dengan Nabi tidak terima, maka teruk sangatlah kita ini. Allah ﷻ memberitahu dalam ayat ini yang jin itu pun ada dakwah kepada kaum mereka selepas mereka mendapat kebenaran itu.
Mereka terus dakwah dan tidak perlu jumpa Nabi ﷺ meminta pendapat atau minta izin baginda. Tidaklah mereka pergi jumpa Nabi ﷺ dan minta ijazah sebelum dakwah kepada kaum jin juga. Padahal mereka baru sahaja dengar sikit ayat Al-Quran.
Jadi kalau ada guru yang melarang anak murid dia dari mengajar agama kepada orang lain kerana alasan anak murid itu ‘belum habis belajar hadis’, belum belajar itu dan ini, letak syarat yang tidak tahu datang dari mana, itu jenis guru apa pun kita tidak tahu – dia telah menyekat agama dari disampaikan kepada manusia yang lain.
Agaknya apa dia hendak menjawab di hadapan Allah ﷻ nanti? Sama ada guru itu tidak belajar ayat ini atau dia sendiri pun tidak faham. Semoga Allah ﷻ memberi hidayah kepada guru yang sebegitu. Maka biarlah anak murid hendak sebarkan agama terutama ajaran Al-Quran ini kepada manusia.
Juga ayat ini mengajar kita bahawa tidak ada interaksi antara manusia dan jin. Manusia dan jin menjalani kehidupan mereka bersendirian, tidak ada interaksi tolong menolong, bersembang dan diskusi sesama mereka – termasuk antara orang Islam dan jin Islam.
Sesiapa yang mengatakan ada perkara yang sedemikian, adalah salah sama sekali, kerana kalau ada, tentulah pada zaman Nabi sudah ada interaksi antara dua jenis makhluk ini.
Tentu ada sahabat yang berkawan dengan jin atau ‘bela’ jin. Walaupun Nabi ﷺ ada interaksi dengan jin kerana baginda kena mengajar mereka, tetapi Nabi sendiri turut melarang dan menghalang para sahabat dari berinteraksi dengan jin.
Lalu bagaimana ada manusia yang ‘terlebih pandai’ yang boleh pula ada hubungan dengan jin. Mereka lagi hebat dari Nabi dan sahabat kah? Ada pula ustaz di negara ini yang kata, dibenarkan bela jin. Maka, untuk tahu serba sedikit kisah jin, ikutilah kisah kejadian ini dengan ringkas.
وَإِذ صَرَفنا إِلَيكَ نَفَرًا مِّنَ الجِنِّ يَستَمِعونَ القُرءآنَ فَلَمّا حَضَروهُ قالوا أَنصِتوا ۖ فَلَمّا قُضِيَ وَلَّوا إِلىٰ قَومِهِم مُّنذِرينَ
Dan (ingatkanlah peristiwa) semasa Kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar Al-Quran; setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain): “Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!” Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyiarkan ajaran Al-Quran itu dengan) memberi peringatan dan amaran.
وَإِذ صَرَفنا إِلَيكَ نَفَرًا مِّنَ الجِنِّ يَستَمِعونَ القُرءآنَ
Dan (ingatkanlah peristiwa) semasa Kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar Al-Quran;
Sewaktu Nabi ﷺ kesedihan selepas ditolak oleh penduduk Taif, iaitu selepas baginda ﷺ dihalau dengan hinanya malah dilempar dengan batu sepanjang perjalanan baginda ﷺ keluar dari Kota Taif, Allah ﷻ telah menghantar satu kumpulan jin untuk mendengar bacaan Al-Quran daripada baginda ﷺ .
Mereka betul-betul mendengar dengan tawajuh kerana ada huruf ت pada kalimah يَستَمِعونَ itu. Apabila ditambah huruf, bermaksud ada penekanan di situ.
Mereka kemudiannya telah beriman setelah mendengar bacaan Al-Quran daripada Rasulullah ﷺ . Lihatlah bagaimana apabila manusia tidak mahu beriman, ada kalangan jin yang beriman. Allah ﷻ boleh hantar sesiapa sahaja untuk beriman.
✍🏻Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Sufyan, telah menceritakan kepada kami Amr, bahawa dia pernah mendengar Iknmah menceritakan hadis berikut dari Az-Zubair sehubungan dengan firman Allahﷻ.: Dan (ingatlah) ketika Kami hadapkan serombongan jin kepadamu yang mendengarkan Al-Quran. [ Al-Ahqaf: 29 ] Az-Zubair mengatakan bahawa kejadian ini di Nakhlah ketika Rasulullah ﷺ sedang membaca Al-Quran dalam salat Isya’nya. Hampir saja jin-jin itu desak-mendesak mengerumuninya. [ Al-Jin: 19 ]. Sufyan mengatakan bahawa sebahagian dari jin-jin itu berdesakan dengan sebahagian yang lainnya.
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad secara munfarid.
Nabi ﷺ tidak tahu kedatangan jin itu kalau tidak diberitahu oleh Allah ﷻ. Jadi, kalau Nabi ﷺ sendiri tidak tahu kehadiran jin yang mendengar bacaan Al-Quran daripada baginda, bagaimana mungkin ada manusia yang boleh tahu kehadiran jin di sesuatu tempat?
Mereka pula dikatakan boleh ‘scan jin’, tahu ada berapa ekor jin dan sebagainya? Adakah mereka lebih hebat daripada seorang Rasulullah ﷺ? Tidak lain dan tidak bukan, itu adalah satu perkara yang tidak benar. Ada sesuatu yang tidak kena dalam keadaan ini.
Seperti yang kita tahu, jin dan manusia tidak ada hubungan. Jadi kalau sudah boleh ‘scan’ jin, boleh berinteraksi dengan jin, maknanya seseorang itu memang telah berkawan dengan jin sama ada dia sedar atau tidak.
Dia telah didampingi oleh jin kerana telah mengamalkan ajaran yang salah yang menyebabkan jin boleh duduk dan berinteraksi dengan dia.
Ini adalah satu kesalahan, bukannya satu kelebihan. Dia kena periksa balik apakah amalan yang dilakukannya selama itu. Kalau diperiksa, tentu ada amalan syirik atau bid’ah yang diamalkan olehnya. Namun, kerana dia jahil, dia tidak tahu bahawa itu adalah amalan yang salah.
Memang agak susah untuk berdakwah kepada golongan sebegini kerana mereka rasa mereka sudah ada kelebihan. Mereka sangka mereka sudah hebat dan pandai. Jadi kalau ada yang menegur perbuatan mereka itu adalah salah, tentu mereka akan marah.
Maka, sebaiknya kita belajar perkara ini supaya kita tidak terjerumus ke dalam perkara ini dari mula lagi. Ini kerana kalau sudah terjerumus, memang susah untuk keluar.
✍🏻SESI MUZAKARAH
Tafsir surah Al-Ahqaf (Ayat ke-28 dan ke-29)
📍Kebiasaannya orang Melayu sedekah Al-Fatihah baca Al-Quran, zikir di kubur kepada ahli keluarga atau sahabat yang sudah mati dan sambut maulid, semua perbuatan ini termasuk dalam ayat ini? Adakah termasuk dalam berbuat syirik?
🔵 Bid’ah adalah benda baru dalam agama. Ia boleh jadi syirik dan tidak. Kalau reka amalan baru seperti tawassul melalui wali, maka itu sudah syirik. Kalau sedekah pahala, itu tidak jadi syirik lagi. Ia salah dan berdosa, tetapi tidaklah syirik.
📍Golongan ini tumbuh macam cendawan sekarang. Mereka berniaga menipu orang awam di merata tempat seperti membuat gel mandian bidara dan lain-lain produk untuk halau jin saka. Begitu juga yang membuat produk ini juga sama?
🔵 Mereka ambil kesempatan atas kejahilan manusia.
📍Bagaimana pula tawassul melalui Rasulullah ﷺ?
🔵 Amalan tawassul melalui mana-mana Nabi adalah syirik.
📍Mengapa jin itu tiba-tiba tidak boleh lagi naik ke langit dan mendengar perbualan malaikat?
🔵 Ini kerana waktu itu wahyu tengah turun. Jadi, Allah tidak benarkan jin memintas/menghalang (intercept) wahyu kepada Nabi Muhammad ﷺ.
Allahu a’lam.