Tafsir Ayat ke-9
Dalil bahawa Nabi Muhammad ﷺ tidak tahu perkara ghaib. Namun, tidaklah ini merendahkan martabat baginda ﷺ sebagai Rasul.
قُل ما كُنتُ بِدعًا مِّنَ الرُّسُلِ وَما أَدري ما يُفعَلُ بي وَلا بِكُم ۖ إِن أَتَّبِعُ إِلّا ما يوحىٰ إِلَيَّ وَما أَناْ إِلّا نَذيرٌ مُّبينٌ
Katakanlah lagi: “Bukanlah aku seorang Rasul pembawa agama yang berlainan dari agama yang dibawa oleh Rasul-rasul (yang telah lalu), dan aku tidak mengetahui apa yang akan dilakukan kepadaku dan kepada kamu. Aku tidak melakukan sesuatu melainkan menurut apa yang diwahyukan kepadaku, dan aku tidak lain hanyalah seorang Rasul pemberi amaran yang jelas nyata”
قُل ما كُنتُ بِدعًا مِّنَ الرُّسُلِ
Katakanlah lagi: “Bukanlah aku seorang Rasul yang pertama dari Rasul-rasul,
Nabi Muhammad ﷺ disuruh untuk beritahu mereka bahawa baginda ﷺ bukanlah Rasul yang pertama; ada ramai lagi rasul yang sebelum baginda. Malah baginda ﷺ adalah Rasul dan Nabi yang terakhir.
Rasul-rasul yang dulu turut membawa perkara yang sama juga dalam hal akidah, bukan lain dari apa yang baginda ﷺ bawakan. Perkara itu boleh diperiksa dengan kitab-kitab wahyu yang lain.
Mereka juga pernah mendengar tentang kisah rasul-rasul yang dahulu dengan umat-umat mereka. Musyrikin Mekah memang kenal Nabi Ibrahim عليه السلام dan Nabi Ismail عليه السلام kerana ada dalam sejarah mereka. Malah mereka juga tahu Nabi-nabi lain secara umum. Maknanya mereka kenal agamalah juga dan tahu ada yang kena azab akibat menentang apa yang disampaikan oleh Rasul mereka.
Kita juga boleh guna hujah ini dengan memberitahu kepada puak bid’ah yang apa kita sedang bawa ini sebenarnya dari Al-Quran dan Sunnah. Mereka sendiri juga tahu yang kita sebagai orang Islam kena ikut A-Quran dan Sunnah. Jadi apa yang kita sedang bawa inilah Al-Quran dan Sunnah, bukan sumber lain pun. Mereka boleh periksa dalam Al-Quran dan hadis kalau tidak percaya.
وَما أَدري ما يُفعَلُ بي وَلا بِكُم
dan aku tidak mengetahui apa yang akan dilakukan kepadaku dan kepada kamu.
Kafir Mekah telah mencabar Nabi ﷺ. Mereka kata kalau baginda ﷺ benar seorang Nabi, tentu mempunyai kuasa luar biasa. Malah sekarang mereka sudah menentang baginda, maka apa yang akan jadi kepada mereka nanti?
Mereka ejek: kamu kata kalau kami lawan kamu, kami kena azab, mana azab itu?; mereka tanya lagi Nabi: tidak mungkin baginda ﷺ tidak tahu apa yang akan terjadi kepada mereka esok hari atau masa depan?
Allah ﷻ mengajar Nabi Muhammad ﷺ supaya jangan kata yang baginda ﷺ tahu perkara ghaib kerana itu adalah sifat Allah ﷻ sahaja. Sebaliknya baginda ﷺ diajar untuk menjawab seperti dalam ayat ini. Katakanlah sahaja yang baginda sendiri tidak tahu ilmu ghaib. Rasul dulu juga tidak tahu tentang masa depan mereka. Hal baginda sendiri juga baginda tidak tahu, apatah lagi hal mereka.
Semua itu terpulang kepada Allah ﷻ dan apa yang Allah ﷻ hendak buat dengan mereka. Kalau Nabi Muhammad ﷺ sebagai seorang Rasul juga tidak tahu perkara ghaib, maka apatah lagi manusia biasa? Oleh itu, kalau ada orang kata ada makhluk lain yang tahu perkara ghaib, itu adalah satu kesyirikan.
Sebagai contoh, puak Syiah kata imam-imam mereka tahu perkara ghaib secara mutlak. Maka mereka itu telah sesat dan syirik. Malanglah sekali apabila ramai orang kita yang tertipu dengan dakyah mereka.
إِن أَتَّبِعُ إِلّا ما يوحىٰ إِلَيَّ
Aku tidak ikut sesuatu melainkan menurut apa yang diwahyukan kepadaku,
Tugas baginda ﷺ diutus sebagai Rasul bukanlah untuk beritahu perkara ghaib tetapi untuk ikut apa yang telah diarahkan kepada baginda seperti dalam wahyu. Baginda ﷺ hanya menyampaikan apa yang perlu disampaikan dan hanya menjalankan tugas baginda sahaja.
Tidaklah baginda ﷺ mendapat ilmu ghaib melainkan apa yang diberitahu kepada baginda ﷺ sahaja.
وَما أَناْ إِلّا نَذيرٌ مُّبينٌ
dan aku tidak lain hanyalah seorang Rasul pemberi amaran yang jelas nyata
Dan baginda ﷺ disuruh beritahu yang tugas baginda ﷺ bukan memaksa sesiapa jadi beriman tetapi hanya boleh menyampaikan sahaja. Baginda kena sampaikan dengan sejelas-jelasnya. Bukan hendak mengajar sorok-sorok, atau cakap tetapi dalam bahasa yang susah difahami. Itulah yang baginda ﷺ telah lakukan.
Oleh kerana baginda ﷺ telah sampaikan dengan jelas, maka kalau tetap tolak, itu hanya kerana sifat degil mereka sahaja, kerana semua maklumat telah disampaikan dan mereka tidak boleh kata tidak faham apa yang disampaikan.
Tafsir Ayat ke-10
Zajrun dan juga Dalil Naqli Tafsili.
قُل أَرَءيتُم إِن كانَ مِن عِندِ اللهِ وَكَفَرتُم بِهِ وَشَهِدَ شاهِدٌ مِّن بَني إِسرٰءيلَ عَلىٰ مِثلِهِ فَئآمَنَ وَاستَكبَرتُم ۖ إِنَّ اللَهَ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ
Katakanlah lagi: “Bagaimana fikiran kamu jika Al-Quran ini (yang datangnya) dari Allah dan kamu mengingkarinya, pada hal ada seorang saksi dari Bani Israil memberi keterangan mengakui (sahnya Kitab) yang sama seperti Al-Quran ini, lalu dia percayakan (Al-Quran ini dari Allah), sedang kamu dengan sombong angkuh mengingkarinya? (Tidakkah dengan yang demikian kamu bersifat zalim)? Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim (yang degil dalam kekufurannya)”.
قُل أَرَءيتُم
Katakanlah lagi: Bagaimana fikiran kamu
Sekarang Allah ﷻ mengajar Nabi ﷺ untuk berhujah dengan mereka supaya mereka fikir-fikirkan – supaya gunalah akal itu sedikit.
إِن كانَ مِن عِندِ اللهِ وَكَفَرتُم بِهِ
jika Al-Qur’an ini dari Allah dan kamu mengingkarinya,
Cuba kamu fikir, kalau benar Al-Quran ini benar dari Allah ﷻ, dan kamu engkar kepadanya, apakah akan jadi dengan kamu nanti? Tidak takutkah kamu menolak ayat-ayat dari Allah ﷻ? Apa kamu sangka kamu akan selamatkah?
وَشَهِدَ شاهِدٌ مِّن بَني إِسرٰءيلَ عَلىٰ مِثلِهِ
padahal telah ada seorang saksi dari Bani Israil memberi keterangan mengakui (sahnya Kitab) yang sama seperti Al-Quran ini,
Ini adalah Dalil Naqli: Dan telah bersaksi satu ulama Bani Israil yang muktabar, yang Al-Quran ini benar dari Allah ﷻ dan ia seperti yang ada dalam Taurat. Musyrikin Mekah kata Al-Quran itu adalah sihir, tetapi kalau begitu, kenapa ada ulama Bani Israil yang mengakui kebenaran Al-Quran itu?
Maksud ayat ini lebih kurang sama seperti yang Allah ﷻ telah sebut dalam [ Syu’ara:197 ]. Ada pendapat yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan adalah Abdullah bin Salam. Namun, yang menolaknya mengatakan tidak mungkin kerana Abdullah bin Salam hanya masuk Islam di Madinah, bukan di Makkah dan ayat ini adalah ayat Makkiah.
Ataupun, mungkin yang dimaksudkan adalah apa yang akan terjadi di masa hadapan iaitu ada yang akan memberikan pengakuan tentang kebenaran Al-Quran. Ini akan berlaku di Madinah nanti. Allahu a’lam siapakah yang dimaksudkan.
Maka, kalau ada dalam kalangan bani Israil yang tidak mahu beriman dengan al-Quran maka itu adalah kerana degil sahaja. Ini kerana ulama mereka sendiri sudah mengakui kebenaran Al-Quran.
✍🏻Apa pun, ayat ini bertepatan dengan firman Allah ﷻ:
{إِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ مِنْ قَبْلِهِ إِذَا يُتْلَى عَلَيْهِمْ يَخِرُّونَ لِلأذْقَانِ سُجَّدًا وَيَقُولُونَ سُبْحَانَ رَبِّنَا إِنْ كَانَ وَعْدُ رَبِّنَا لَمَفْعُولا}
Sesungguhnya orang-orang yang diberi pengetahuan sebelumnya apabila dibacakan Al-Quran kepada mereka mereka menyungkur atas muka mereka sambil bersujud dan mereka berkata, “Mahasuci Tuhan kami; sesungguhnya janji Tuhan kami pasti dipenuhi.” [ Al-Isra: 107-108 ].
Atau yang dimaksudkan adalah Nabi Musa عليه السلام kerana Nabi Musa عليه السلام ada berkata bahawa akan lahir Nabi akhir zaman yang macam baginda. Ini ada terdapat dalam ‘Old Testament’. Memang Nabi Muhammad ﷺ banyak persamaan dengan Nabi Musa عليه السلام. Maksudnya Nabi Musa عليه السلام memberitahu tentang kedatangan Nabi Muhammad ﷺ.
فَئآمَنَ وَاستَكبَرتُم
lalu dia beriman, sedang kamu dengan sombong angkuh dari menerimanya?
Ini kerana ulama itu percaya dengan apa yang diturunkan dalam Qur’an itu, maka dia telah beriman. Namun, kamu sombong hendak menerima sedangkan kamu jahil. Orang alim pun kamu tidak mahu ikut? Sesat kamu itu kerana degil sahaja, bukan kerana lain. Semua bukti sudah ada tetapi kamu masih tidak mahu menerimanya.
إِنَّ اللَهَ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ
Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim
Kalau degil juga, tidak ada ubat. Allah ﷻ tidak akan memberi hidayah kepada mereka yang zalim degil tidak terima kebenaran.
Tafsir Ayat ke-11
Kebanyakan dari kalangan Musyrikin Mekah adalah orang kenamaan dan bangsawan. Sedangkan para sahabat hampir kesemuanya adalah orang bawahan sahaja.
Apabila golongan yang rendah kedudukan yang ikut ajaran Nabi Muhammad ﷺ, golongan bangsawan itu tidak pandang kepada ajaran Nabi ﷺ kerana mereka melihat kemuliaan dari segi kekayaan dunia sahaja.
Ini kerana pada mereka, kalau yang mengikuti baginda ﷺ adalah orang-orang yang miskin dan lemah, pada mereka itu bukanlah sesuatu yang bagus kerana mereka tidak menggunakan akal yang sihat. Begitulah juga kebanyakan orang lain. Maka Allah ﷻ tegur pemahaman yang sebegini.
وَقالَ الَّذينَ كَفَروا لِلَّذينَ ءآمَنوا لَو كانَ خَيرًا مّا سَبَقونا إِلَيهِ ۚ وَإِذ لَم يَهتَدوا بِهِ فَسَيَقولونَ هٰذا إِفكٌ قَديمٌ
Dan (kerana sombong angkuhnya orang-orang kafir itu) mereka berkata tentang kepercayaan orang-orang yang beriman: “Kalaulah (apa yang dibawa oleh Muhammad) itu perkara yang baik tentulah mereka tidak mendahului kami mempercayainya (kerana kamilah yang sepatutnya menerima segala kebaikan)!” Dan setelah mereka tidak dapat menerima petunjuk Al-Quran itu, (mereka memusuhinya) lalu mereka mencacinya dengan berkata: “Al-Quran ini ialah rekaan dusta yang sudah lama”.
وَقالَ الَّذينَ كَفَروا لِلَّذينَ ءآمَنوا
Dan orang-orang kafir itu berkata kepada orang-orang yang beriman:
Ini adalah hujah musyrikin Mekah yang kaya dan berpengaruh. Kali ini mereka berhujah dengan orang-orang yang beriman daripada kalangan para sahabat. Kalangan sahabat itu adalah mereka yang miskin, tidak berpengaruh malah ada daripada
kalangan mereka yang hamba abdi.
Begitulah kalau zaman sekarang, jalan sunnah itu selalunya dipegang oleh golongan yang lemah, yang tiada ada kuasa apa-apa dalam kerajaan selalunya, golongan miskin dan juga tidak berpengaruh dalam masyarakat. Ustaz-ustaz Sunnah kita pun tidaklah masuk dalam TV dan mendapat liputan yang meluas.
لَو كانَ خَيرًا مّا سَبَقونا إِلَيهِ
“Kalaulah (apa yang dibawa oleh Muhammad) itu perkara yang baik tentulah mereka tidak mendahului kami mempercayainya!”
Mereka kata sekiranya ajaran dari Al-Quran itu adalah benar dan baik, nescaya orang bawahan tidaklah yang dahulu terima sebelum mereka. Mereka kata, kalau ia ajaran yang benar, merekalah yang lebih awal terima, bukan golongan miskin itu.
Tafsir Ayat ke-12
Dalil Naqli dari Taurat. Allah berhujah dengan menggunakan Kitab Taurat.
وَمِن قَبلِهِ كِتٰبُ موسىٰ إِمامًا وَرَحمَةً ۚ وَهٰذا كِتٰبٌ مُّصَدِّقٌ لِّسانًا عَرَبِيًّا لِّيُنذِرَ الَّذينَ ظَلَموا وَبُشرىٰ لِلمُحسِنينَ
mereka tergamak mengatakan Al-Quran ini rekaan dusta yang telah lama?) Pada hal telah ada sebelumnya Kitab Nabi Musa yang menjadi ikutan dan rahmat (kepada umatnya); dan Al-Quran pula sebuah Kitab – yang mengesahkan kebenaran (kitab-kitab yang telah lalu), – diturunkan dalam bahasa Arab untuk memberi amaran kepada orang-orang yang zalim, dan berita gembira bagi orang-orang yang berbuat kebaikan.
وَمِن قَبلِهِ كِتٰبُ موسىٰ إِمامًا وَرَحمَةً
Pada hal telah ada sebelumnya Kitab Nabi Musa yang menjadi ikutan dan rahmat
Sebelum ini sudah ada kitab dari langit, iaitu Kitab Taurat. Kitab Taurat itu menjadi panduan hidup bagi Bani Israil dan kalau diamalkan, ia memberi rahmat kepada mereka yang mengamalkannya.
Digunakan kalimah إِمامًا untuk memberi analogi macam orang ikut imam dalam solat – bila imam rukuk, semua rukuk sekali iaitu makmum kena ikut. Maka, begitulah juga dengan kitab wahyu manusia kena ikut arahan yang ada dalam kitab wahyu itu.
وَهٰذا كِتٰبٌ مُّصَدِّقٌ
dan Kitab ini yang mengesahkan kebenaran
‘Kitab ini’ yang dimaksudkan adalah Al-Quran. Al-Quran ini juga adalah kitab dari langit, yang membenarkan isi Kitab Taurat yang sebelum itu. Kandungan tauhid di dalam kitab Taurat dan Al-Quran itu sama sahaja iaitu untuk mengesakan Allah ﷻ.
لِّسانًا عَرَبِيًّا
dalam bahasa Arab
Cuma Al-Quran ini diturunkan dalam Bahasa Arab yang fasih. Ia bahasa yang amat tinggi yang dapat menjelaskan sesuatu perkara itu dengan jelas. Perkara yang panjang dapat dijelaskan dengan Bahasa Arab yang hebat. Maka memang bertepatan apabila Allah ﷻ turunkan kitab wahyu-Nya yang terakhir dalam Bahasa Arab.
Maka, molek sangatlah kalau kita semua dapat belajar Bahasa Arab ini supaya kita dapat lebih memahami Al-Quran. Kalau kita ada kehendak untuk lebih memahami Al-Quran, maka kita akan cuba belajar bahasa Arab sedikit demi sedikit.
لِّيُنذِرَ الَّذينَ ظَلَموا
untuk memberi amaran kepada orang-orang yang zalim,
Kepada mereka yang kufur, Al-Quran itu memberi ancaman kepada mereka bahawa mereka akan mendapat mendapat azab yang buruk kerana kezaliman dan kekufuran mereka itu. Ancaman keras diberikan kepada mereka, maka hendaklah mereka ambil perhatian buat perubahan.
وَبُشرىٰ لِلمُحسِنينَ
dan berita gembira bagi orang-orang yang berbuat kebaikan.
Dan berita gembira pula diberikan kepada orang yang berhati baik iaitu mereka yang boleh ikut beriman dengan Al-Quran dan taat arahan Allah ﷻ dengan mudah. Ini adalah kerana hati mereka masih dalam fitrah.
Fitrah manusia adalah lahir untuk taat kepada arahan Allah ﷻ. Kita memang sudah kenal Allah ﷻ dari sebelum kita lahir lagi. Maka kalaulah manusia mendengar isi hati mereka, pasti akan nampak kebenaran Al-Quran itu. Ini kerana fitrah kejadian kita memang sudah kenal Allah ﷻ, sudah kenal kebenaran.
Begitu juga, kalau masyarakat kita dengar kepada isihati mereka, mereka akan nampak kebenaran tauhid yang dibawa oleh Al-Quran ini. Mereka tidak akan berbuat syirik dalam doa dan tidak akan mengamalkan tawassul yang dilarang.
Fitrah manusia adalah lahir untuk taat kepada arahan Allah ﷻ. Kita memang sudah kenal Allah ﷻ dari sebelum kita lahir lagi. Maka, kalaulah manusia mendengar isi hati mereka, pasti akan nampak kebenaran Al-Quran itu. Ini kerana fitrah kejadian kita memang sudah kenal Allah ﷻ, sudah kenal kebenaran.
✍🏻SESI MUZAKARAH
Tafsir surah Al-Ahqaf ( Ayat ke-9 hingga ke-12 )
📍Adakah ini bermaksud apa yang ada di dalam fikiran dan hatinya tidak sama? Bagi orang yang ingkar mereka itu mengikut akal dan bukan dari hatinya?
🔵 Ya benar. Oleh sebab itu penentang wahyu hati tidak berasa tenang kerana melawan kehendak hati dia.
📍 Pemahaman saya tawassul juga ada dalam upacara doa selamat. Bagaimana pula dengan adat masyarakat Melayu yang setiap kali hendak buat sesuatu mesti akan ada kepala yang mengetuai doa. Selain bid’ah adakah unsur tawassul terdapat juga dalam adat membaca doa ini?
🔵 Ya itu juga tawassul. Tawassul dengan tekong doa itu. Seolah-olah kalau dia yang jadi tekong, doa lebih makbul.
📍Mengenai doa kebiasaan dibaca dalam majlis rasmi. Adakah ini dikira sebagai tawassul dan kita langsung tidak boleh lakukan kerana ini akan melibatkan akidah?
🔵Kalau sekali sekala, tidak mengapa. Macam majlis penyampaian hadiah kat sekolah. Sama macam kita buat solat istisqa, kenalah ada seorang yang jadi ketua doa. Cuma, bukan dijadikan majlis ‘khas untuk doa’ macam doa selamatan yang tidak ada contohnya dalam agama. Bezanya sikit sahaja.
📍Ini pertanyaan orang kafir kepada org muslim tentang di mana keadilan Allah ﷻ. Musyrik walaupun baik sekalipun kekal di neraka dan Muslim sekalipun jahat tetap masuk syurga dengan rahmat dari Allah ﷻ.
Bapa saudara Rasulullah ﷺ juga sebaik-baik insan dan ada pencerahan dari Rasulullah ﷺ sendiri tentang Islam. Adakah yang tidak tahu mengenai Islam kerana tiada orang berdakwah tentang Islam padanya, Islam tidak sampai padanya atau dia salah faham pada Islam akan masuk neraka disebabkan akidah tauhid?
🔵Maksud ‘syirik’ secara ringkas adalah menduakan Allah ﷻ. Ini adalah dosa terbesar yang boleh dilakukan oleh makhluk Allah ﷻ. Kenapa ia terbesar? Saya beri analogi.
Katakan seorang suami ada isteri. Isterinya mungkin tidak berapa cantik, tidak pandai masak, tidak pandai mengemas. Semua itu boleh dimaafkan. Kecantikan itu subjektif, makanan boleh beli di kedai dan boleh pakai maid untuk kemas rumah. Namun, kalau isterinya itu menduakan suaminya atau bawa lelaki lain masuk bilik dan naik atas katil? Adakah ini boleh dimaafkan?
Analogi satu lagi: seorang ayah ada anak yang dijaganya dari kecil. Dilahirkan, diberi didikan, makan pakai dan semua keperluan. Adakah patut kalau anak itu panggil lelaki lain sebagai ayahnya?
Begitulah hubungan kita dengan Allah ﷻ. Allah ﷻ berikan segalanya kepada kita, tetapi kita menganggap selain-Nya sebagai Tuhan? Bagaimana kalau orang kafir yang baik? Apakah balasan bagi mereka ?
Allah ﷻ tidak zalim. Mereka tetap akan dapat balasan baik. Segala kebaikan mereka akan dibalas di dunia. Sebab itu orang-orang bukan Islam yang banyak derma dapat banyak keuntungan. Lagi banyak dia derma lagi banyak untung dia dapat tetapi mereka tidak akan ada bahagian di akhirat.
Bagaimana mereka yang tidak kenal Islam? Pada zaman sekarang, amat sukar untuk dikatakan seseorang itu tidak kenal Islam kerana maklumat tentang Islam merata-rata.
Peringkat pertama: Alam yang begini indah dan hebat, menjadi tanda kewujudan Tuhan. Takkan dunia ini terjadi sendiri?
Peringkat kedua: Selepas tahu adanya Tuhan, maka tindakan seterusnya adalah mencari apakah Tuhan itu? Adakah Allah ﷻ, Jesus, Buddha atau lain-lain?
Maka, ramailah manusia yang melakukan kajian dengan hati terbuka dengan keinginan untuk tahu manakah agama yang benar. Melalui kajian mereka, maka mereka sedar bahawa Islam itulah agama yang benar. Walaupun penganutnya bukanlah semestinya insan terbaik, tetapi Islam itu agama yang sebenarnya.
Kita kena lihat ‘agama’ itu, bukan ‘penganutnya’. Kena ada keinginan dalam hati insan itu: wahai Tuhan, siapa sahaja nama Engkau, berikan aku kebenaran. Kerana aku hendak amalkan agama yang benar. Semua perkara yang bagus untuk didapati, memerlukan usaha dari kita. Bukanlah ia datang bergolek.
🔴Maksudnya bapa saudara Rasullullah ﷺ sebaik-baik manusia juga ,kemudian telah diberi penerangan tentang islam oleh Rasullullah sendiri ,tetapi tidak memeluk agama Islam maka adakah ke neraka juga?
🔵Abu Talib tempatnya di neraka. Abu Talib sayang Nabi Muhammad ﷺ kerana baginda anak saudaranya, bukan kerana baginda seorang Rasul. Beliau bantu dan pertahankan Nabi Muhammad ﷺ kerana baginda anak saudaranya dan Abu Talib tidak pernah menyatakan keimanannya kepada agama bawaan Nabi Muhammad ﷺ.
Mungkin beliau boleh sahaja hendak beriman tetapi beliau malu dikatakan telah meninggalkan agama tok nenek. Dia tidak melakukan ‘leap of faith’ yang sepatutnya dilakukan. Dia lebih malu kepada manusia daripada malu kepada Allah ﷻ.
Ini mengajar kita, tidak boleh satu kaki dalam Islam dan satu kaki lagi masih dalam agama lama. Jika hendak selamat kena terus tinggalkan agama lama.
Allahu a’lam.