Utama Bilik (35) Berinteraksi dengan Hadith Versi Bacaan sebelum Tidur

Versi Bacaan sebelum Tidur

225
0
Iklan

Imam Al-Bukhari رحمه الله‎ telah meriwayatkan doa sebelum tidur dengan pelbagai versi dalam ‘Sahih Al-Bukhari’.

Lafaznya adalah seperti di bawah.

١. بِاسْمِكَ أَمُوتُ وَأَحْيَا
٢. اللَّهُمَّ بِاسْمِكَ أَمُوتُ وَأَحْيَا
٣. بِاسْمِكَ اللَّهُمَّ أَمُوتُ وَأَحْيَا
٤. اللَّهُمَّ بِاسْمِكَ أَحْيَا وَأَمُوت
٥. بِاسْمِكَ نَمُوتُ وَنَحْيَا

🔴 Mengapakah ia boleh menjadi pelbagai versi bacaan sedangkan Imam Al-Bukhari رحمه الله‎ meriwayatkan daripada dua jalur sahabat sahaja iaitu Huzaifah dan Abu Dzar رضي الله عنهما.

Contoh:
Dalam riwayat melalui Huzaifah رضي الله عنه sendiri telah berbeza cara bacaannya.

🔴 Adakah semua riwayat tersebut dibaca oleh Nabi ﷺ dengan cara yang berbeza-beza atau ada kesilapan perawi selepas daripada sahabat yang membaca doa tersebut?

🔴 Apakah lafaz yang sahih daripada semua lafaz tersebut?

Contoh:
Dalam ‘Sahih Muslim’ yang diriwayatkan dari Al-Baraa’ رضي الله عنه juga lafaz yang berbeza.

اللَّهُمَّ بِاسْمِكَ أَحْيَا وَبِاسْمِكَ أَمُوتُ

🔵 Pertamanya, secara keseluruhan kita lihat dahulu apakah sebab-sebab berlaku kepelbagaian riwayat terhadap hadith.

1. Kebolehan dan kemampuan menghafal yang berbeza dalam kalangan perawi. Jadi, dalam bab ini perlu dilakukan kaedah mengumpulkan hadith ke dalam satu tajuk dan buat rujuk silang. Barulah dapat diketahui siapa perawi yang tersalah akibat kesalahan hafazan yang menyebabkan lafaz hadith berubah-ubah.

2. Suatu peristiwa yang berulang-ulang dan berlaku perbuatan Nabi ﷺ yang berbeza-beza mengikut situasi berbeza. Maka, terdapat perawi A meriwayatkan hadis A dan perawi B meriwayatkan hadis B pada waktu yang berlainan. Ia banyak berlaku dalam bab ibadat.

3. Perawi menceritakan suatu perbuatan Nabi ﷺ dalam keadaan yang pelbagai bentuk.

Contoh:
‘Aisyah رضي الله عنها‎ ada meriwayatkan bab salat malam Nabi ﷺ.

◾️ Kadang kala ‘Aisyah رضي الله عنها‎ menceritakan bilangan rakaat.

◾️ Ada kiraan sekali bilangan termasuk (campurkan ) dengan salat sunat Isya’.

◾️ Ada yang termasuk (campurkan) dengan salat witir dan sebagainya.

4. Perbezaan matan hadith berbeza mengikut orang yang dimaksudkan di dalam hadith.

5. Orang yang dimaksudkan dalam hadith berbeza mengikut keadaan dan setiap hadith merujuk kepada setiap keadaan tersebut yang berbeza-beza.

Contoh:
Mimpi orang beriman.

◾️ Ada lafaz separuh daripada 46 kenabian.

◾️ Ada lafaz daripada 45 kenabian.

◾️ Ada pendapat mimpi orang beriman.

◾️ Ada pendapat mimpi orang salih dan sebagainya.

Jadi, ia berbeza mengikut keadaan orang yang bermimpi di dalam hadith.

6. Matan hadith yang berbeza kerana ia tidak memaksudkan makna tertentu akan tetapi hanya isyarat kepada suatu makna yang musytarak (sama makna) di antara semua hadith.

Maka, jam’u kesemua riwayat di atas asas ini.

Contoh:
Nabi ﷺ bercerita mengenai kadar haudh (perigi). Berlaku banyak riwayat tentang nama-nama bandar dan kadar jarak antara keduanya. Jadi, ulama’ mengatakan bukan nama bandar yang menjadi isu, tetapi ia hanya menceritakan tentang betapa jauhnya bandar dan betapa dalamnya perigi tersebut.

7. Sebahagian perawi meriwayatkan berdasarkan kefahaman beliau dan menafsirkan dalam riwayat tersebut berdasarkan kekuatan hafazan yang dimilikinya. Inilah yang dinamakan riwayat dengan makna.

Maka, boleh berlaku terkadang perawi tertukar pelbagai lafaz dan termasuk lafaz yang bukan lafaz asal hadith (idraj) dan sebagainya. Apabila dibuat kaedah mengumpulkan riwayat baharulah diketahui bahawa hadith ini berlaku masalah matan.

8. Tarjih antara riwayat yang mana ia berlaku ta’khir dan taqdim, iaitu berlaku satu hadith terlewat daripada satu hadith lain. Jadi, ia membuatkan ulama’ untuk mentarjih antara riwayat tersebut dengan melihat masa di antara dua kejadian. Ia akan mengambil hadith yang terbaru dan mansukh hadith yang terkemudian.

Contoh:
Hadith Nabi ﷺ salat bersama Abu Bakar رضي الله عنه di akhir-akhir kewafatan baginda. Khilaf ulama’ tentang:

◾️ Siapakah imam?

◾️ Siapakah makmum?

Ini kerana berlaku pelbagai riwayat yang saling bercanggah antara satu sama lain. Ini adalahkerana berlaku taarudh dan perbezaan lafaz di antara hadith.

Untuk merungkaikan taarudh jenis ini teramatlah panjang perbahasannya yang perlu disebut kerana ulama’ ada kaedah khusus dalam merungkaikan taarudh sebegini.

Berbalik kepada soalan tadi, memang betul kesemua riwayat tadi ada dalam ‘Sahih Al-Bukhari’ dan perbezaan lafaz antara semua matan berlaku ziyadah (pertambahan) dan juga taqdim dan ta’khir (lafaz depan ke belakang dan lafaz belakang ke depan).

Punca berlaku kepada perubahan jenis ini adalah kerana dua ihtimal (kemungkinan):

1. Ikhtilaf munasabat seperti di ulasan nombor 2 dan 3.

2. Disebabkan riwayat dengan makna seperti di ulasan nombor 7.

Perbezaan lafaz sebegini tidak mencacatkan kesahihan hadith ini namun, secara para usul iaitu jam’u kesemua riwayat dan boleh baca secara ikhtiyari (pilihan). Lagipun perbezaan lafaz-lafaz tersebut bukanlah jenis yang boleh menerbitkan istinbath baru yang lain. Jika jenis ini maka, perlu dikumpul riwayat terlebih dahulu.

Wallahu a’lam.

@ustazdaud
#berinteraksidenganhadis

Komen dan Soalan