Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Jathiyah – Tafsir Ayat Ke-26 hingga Ke-28

Tafsir Surah Al-Jathiyah – Tafsir Ayat Ke-26 hingga Ke-28

448
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Jathiyah
Tafsir Ayat Ke-26

Jawapan kepada ayat Syikayah sebelum ini: bukan peredaran yang mematikan makhluk, tetapi Allah ﷻ.

قُلِ اللَّهُ يُحييكُم ثُمَّ يُميتُكُم ثُمَّ يَجمَعُكُم إِلىٰ يَومِ القِيٰمَةِ لا رَيبَ فيهِ وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَعلَمونَ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Allah yang menghidupkan kamu, kemudian Ia akan mematikan kamu, setelah itu Ia akan menghimpunkan kamu (dalam keadaan hidup semula) pada hari kiamat – (hari) yang tidak ada sebarang syak tentang kedatangannya; akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (ketetapan itu)”.

قُلِ اللَّهُ يُحْيِيكُمْ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Allah yang menghidupkan kamu,

Allah ﷻ memberitahu dalam ayat ini memperbetulkan kefahaman salah manusia yang tidak percaya kepada kebangkitan semula. Ingatlah bahawa Allah ﷻ lah yang berkuasa penuh. Allah ﷻ lah yang menghidupkan kita pada kali pertama dan yang menguruskan semua sekali, bukannya masa, bukannya peredaran masa.

ثُمَّ يُمِيتُكُمْ
kemudian Dia akan mematikan kamu,

Allah ﷻ lah yang akan mematikan kita, apabila sampai waktunya, pasti kamu akan mati. Bukannya peredaran waktu.

ثُمَّ يَجْمَعُكُمْ إِلَىٰ يَوْمِ الْقِيٰمَةِ
setelah itu Dia akan menghimpunkan kamu pada hari kiamat

Inilah kehidupan selepas mati yang tidak dipercayai oleh mereka-mereka yang tidak ada agama. Padahal, Allah ﷻ telah menjadikan kita dari tiada kepada ada, maka tentulah lagi mudah kalau Dia hendak menjadikan kita kembali, bukan?

Apabila mereka dihidupkan semula nanti, mereka akan terkejut dan ketakutan yang amat sangat kerana perkara yang mereka nafikan itu benar-benar terjadi. Dan mereka tidak bersedia langsung untuknya.

لَا رَيْبَ فِيهِ
(hari) yang tidak ada sebarang syak tentang kedatangannya;

Maksudnya Allah ﷻ pasti akan buat hari kebangkitan itu. Sama ada kita bersedia atau tidak, suka atau tidak, ia pasti akan terjadi dan yang kamu tolak itu hanya kerana degil sahaja. Tidak perlu tahu bilakah terjadinya Hari Kiamat itu kerana kalau tahu pun, bukan boleh buat apa pun, kena terima juga, bukan?

وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (ketetapan itu)”.

Kebanyakan manusia tidak yakin dengan Hari Kiamat itu. Termasuklah kebanyakan orang Islam sekalipun. Ini kerana kalau mereka percaya penuh, tentunya mereka akan mengubah cara hidup.

Namun kalau kita lihat orang Islam sekalipun, mereka menjalankan kehidupan mereka seperti tidak ada Hari Kiamat. Mereka cakap sahaja yang mereka percaya Hari Kiamat, tetapi tidak sebenarnya iaitu mereka tidak ‘yakin’.

Tafsir Ayat Ke-27

Dalil Aqli

وَلِلَّهِ مُلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۚ وَيَومَ تَقومُ السّاعَةُ يَومَئِذٍ يَخسَرُ المُبطِلونَ
Dan bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi; dan ketika berlakunya hari kiamat, pada saat itulah ruginya orang-orang yang berpegang kepada perkara yang salah.

وَلِلَّهِ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ
Dan milik Allah jualah kerajaan langit dan bumi;

Allah ﷻ sahaja yang menguasai langit dan bumi. Ayat ini mengajar tentang tauhid fi tasarruf (tauhid dalam pengurusan). Ini kerana segala alam ini milik Allah ﷻ belaka maka Dia lah juga yang uruskan.

Tidak ada yang mempunyai kuasa yang sama dengan Allah ﷻ dan Allah ﷻ tidak berikan sedikit pun kuasa kepada sesiapa – termasuklah wali, Nabi atau malaikat untuk mengurus alam ini.

Allah ﷻ tidak berkongsi kerajaan-Nya dan pengurusan alam ini dengan sesiapa pun. Tidaklah Allah ﷻ minta tolong Nabi atau wali apabila hendak uruskan bahagian mana pun alam ini.

Kita juga termasuk dalam alam ini. Maka kita dan segala makhluk pun tertakluk kepada kekuasaan Allah ﷻ. Kita semua milik Allah ﷻ. Maka Allah ﷻ boleh buat apa sahaja dengan kita. Maka sayugialah kita sembah Allah ﷻ dan berdoa kepada Allah ﷻ sahaja. Jangan doa kepada selain Allah ﷻ dan juga doa menggunakan perantaraan makhluk.

وَيَوْمَ تَقُومُ السَّاعَةُ
dan apabila berlakunya hari kiamat,

Iaitu apabila berlakunya hari yang pasti itu.

يَوْمَئِذٍ يَخْسَرُ الْمُبْطِلُونَ
pada hari itu, rugilah orang-orang yang berpegang kepada kebathilan.

Ini adalah takhwif ukhrawi. Mereka itu adalah orang yang tidak percaya kepada kebenaran. Yang benar mereka katakan bathil manakala yang bathil dikatakan ia benar. Kepercayaan dan kefahaman mereka sudah terbalik.

Bukanlah mereka rugi waktu itu sahaja tetapi telah lama rugi di dunia kerana tidak percaya kepada wahyu. Namun, kerugian di dunia itu tidak nampak, maka tidak berubah perangai dan fahaman mereka. Pada Hari Kiamat itu, baru zahir kerugian mereka. Sedangkan di dunia lagi mereka sudah lama rugi.

Dalam kehidupan dunia, mereka buat perkara yang bathil antaranya, syirik dan bid’ah. Mereka itu adalah orang yang amat-amat rugi nanti apabila Hari Kiamat menjelma.

Tafsir Ayat Ke-28

Takhwif Ukhrawi. Dari perkataan جاثِيَةً inilah diambil nama surah ini.

وَتَرىٰ كُلَّ أُمَّةٍ جاثِيَةً ۚ كُلُّ أُمَّةٍ تُدعىٰ إِلىٰ كِتٰبِهَا اليَومَ تُجزَونَ ما كُنتُم تَعمَلونَ
Dan (pada hari kiamat) engkau akan melihat tiap-tiap umat berlutut (dalam keadaan cemas dan menunggu panggilan); tiap-tiap umat diseru untuk menerima kitab suratan amalnya (serta dikatakan kepada mereka): “Pada hari ini kamu akan dibalas menurut apa yang kamu telah kerjakan!

وَتَرَىٰ كُلَّ أُمَّةٍ جَاثِيَةً
Dan (pada hari kiamat) engkau akan melihat tiap-tiap umat berlutut;

Kalimah كُلَّ أُمَّةٍ bermaksud setiap manusia, dari setiap umat. Setiap umat yang bathil akan melutut dalam keadaan takut dan malu. Atau, ketakutan hari akhirat ini menyebabkan semua manusia akan takut termasuklah yang beriman dan tidak beriman sekali. Maknanya, semua akan takut.

Kalimah جَاثِيَةً bermaksud jatuh atas lutut kita. Duduk melutut dengan punggung kita di atas tumit. Inilah nama yang dipilih untuk surah ini.

Kedudukan ini menunjukkan kerendahan dan rasa malu kita di hadapan Allah ﷻ. Kita semua akan duduk berlutut dalam keadaan tangan di atas paha dan menunggu di dalam ketakutan dan kecemasan. Semuanya pula di dalam keadaan berbogel. Iaitu kita semua dikembalikan kepada keadaan asal kita.

Bukankah kita dulu dilahirkan dalam keadaan bogel? Maka kita akan dihadapkan dalam keadaan bogel juga nanti. Kalau sudah takut macam tu, adakah berani hendak berhujah dengan Allah ﷻ lagi?

Jangan kata hendak bercakap, hendak angkat muka pun tidak berani. Kalau di dunia, bila kita tanya manusia kenapa buat amalan bid’ah dan syirik, mereka pandai sahaja jawab begini dan begitu. Kalau Allah ﷻ sendiri tanya, macam mana?

كُلُّ أُمَّةٍ تُدْعَىٰ إِلَىٰ كِتٰبِهَا
tiap-tiap umat diseru kepada kitabnya

Ada yang mengatakan كِتَابِهَا bermaksud Kitab Wahyu yang diberikan kepada Rasul umat iaitu akan diseru: “Mana dia pengikut Kitab Taurat?”, “Mana dia pengikut Kitab Injil?” dan sebagainya iaitu umat manusia akan dipecahkan mengikut kitab pegangan mereka.

Pendapat lain mengatakan كِتَابِهَا bermaksud ‘Kitab Amal‘mereka. Ini lebih kuat pendapatnya kerana sambungan ayat selepas ini adalah tentang amalan manusia yang dilakukan semasa di dunia. Mereka akan diberikan dengan kitab amalan semasa di dunia.

Mereka yang berdosa akan takut untuk melihat kitab amalan mereka. Ini kerana mereka sudah dapat agak apa yang ada dalam kitab itu bukanlah sesuatu yang baik untuk mereka. Maka, mereka akan melarikan diri daripada kitab amalan mereka sambil dikejar oleh kitab amalan itu. Semasa dia berlari-lari itu, kitab itu dapat mengejarnya dan terus melekat kepada tangan kiri mereka.

Maka, kitab itu telah diterimanya dengan tangan kiri. Sesiapa yang menerima Kitab Amalan mereka dengan tangan kiri bermakna mereka akan masuk ke dalam neraka. Ini telah disebut dalam Surah Al-Waqiah. Maknanya, mereka yang menerima Kitab Amalan dengan tangan kiri tidak diberi kitab macam yang disangka.

Kalau yang terima dengan tangan kanan, mereka akan dapat dari depan. Namun yang terima dengan tangan kiri akan dikejar oleh kitab amalannya sendiri dan mereka sebenarnya menerima kitab itu dari belakang.

Maka, kita akan membaca sendiri kitab kita itu seperti yang disebut dalam [ Isra’ :14 ]. Tidak boleh hendak menipu waktu membaca itu. Pandai buat dosa, maka pandailah baca sendiri apa yang telah dilakukan. Tidakkah kita akan malu nanti?

Semua makhluk boleh dengar apa yang telah kita lakukan. Maka kita kenalah beringat dari sekarang supaya kita tidak jadi seperti itu nanti. Allah ﷻ boleh buat supaya kejadian itu disaksikan oleh semua makhluk.

Sedangkan kalau ahli syurga, mereka akan berbangga dengan Kitab Amalan mereka dan mereka pula yang akan suruh orang lain baca kitabnya kerana dia berbangga dengan apa yang tertulis di dalamnya. Namun, harapnya kita tidak perlu dibicarakan di Mahsyar nanti. Semoga terus masuk sahaja ke syurga, in sha Allah, aameen.

Waktu itu, akan dikatakan kepada mereka:

الْيَوْمَ تُجْزَوْنَ مَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
“Pada hari ini kamu akan dibalas menurut apa yang kamu telah kerjakan!”

Manusia akan dibalas mengikut apa yang mereka lakukan sahaja. Sama ada dosa ataupun pahala. Ini memberitahu kepada kita bahawa kita tidak akan tanggung dosa orang lain.

Ia juga bermaksud tidak ada amalan sedekah pahala untuk diberikan kepada sesiapa sahaja. Tidak akan terjumpa di dalam kitab amalan mereka itu pahala-pahala yang dikirimkan kepada mereka oleh mereka yang hidup.

Cuma yang ada hanyalah pahala-pahala dari amalan mereka sendiri. Maka di manakah dalil amalan sedekah pahala yang sedang diamalkan oleh masyarakat Islam kita? Tidak ada. Mereka cakap sahaja yang mereka percaya Hari Kiamat, tetapi tidak sebenarnya iaitu mereka tidak ‘yakin’.

✍🏻SESI MUZAKARAH
Tafsir surah Al-Jathiyah (Ayat 26 – ayat 28)

📍Tidak yakin bagaimana yang dimaksudkan?
🔵 Setakat jawab soalan exam bolehlah: saya percaya kepada hari akhirat tetapi cara hidup dia seakan tidak percaya sahaja kerana tipu orang, zalim, tidak solat, tidak berpuasa, etc. Ini semua tidak yakin lah kerana kalau yakin tidak berani membuat dosa.

📍Adakah di sebabkan syirik Allah ﷻ turunkan bala?
🔵 Ya, disebabkan oleh perbuatan tangan manusia.

📍Orang yang terima kitab di tangan kiri itu orang yang membuat syirik dan tidak sempat bertaubat?
🔵 Kufur dan syirik sudah dimasukkan dalam neraka sejak awal lagi.

📍Kalau kita sedekah dengan niat ia daripada ibu bapa kita, adakah ibu bapa kita akan mendapat pahala juga?

🔵 Anak apabila membuat amalan tidak perlu niat. Automatik sudah dapat.

📍Apakah maksud ‘di kejar’ itu? Bukankah di padang Mahsyar nanti tempat itu sempit? Manusia duduk himpit sesama sendiri?
🔵 Dia lari kerana tidak mahu baca kitab dia tetapi kitab itu mengejarnya.

📍Apakah amalan yang kita perlu buat agar kita tidak dihisab?
🔵 Kelebihan umat dulu sahaja iaitu 70 ribu orang sahaja masuk syurga tanpa hisab.

📍Kalau umat zaman sekarang tidak termasuk ? Golongan yang masuk syurga tanpa hisab adakah golongan yang selalu bertawakal kepada Allah ﷻ?
🔵 Lafaz hadis menyebut 70 ribu orang. Jadi beberapa pendapat:
a. 70 ribu yang dulu sahaja. Maknanya tiket sudah habis.
b. 70 ribu setiap zaman. Macam tiket musim (season) baru, setiap musim ada 70 ribu tiket. kalau begini, adalah harapan, maknanya, orang yang tidak pernah buat syirik.

📍Sekiranya seseorang pernah buat dosa dimasa silamnya, selepas itu dia bertaubat. Apakah di hari kiamat dia tetap akan membaca kitab amalannya di hadapan Allah ﷻ? Seingat saya, saya ada dengar seorang ustaz cakap dosa orang yang bertaubat akan digantikan dengan pahala (tukar ganti). Allah ﷻ akan menutupi aib kita di hari kiamat apabila kita menutupi aib orang lain di dunia? Benarkah begitu ?
🔵 1. Kitab akan tetap baca juga iaitu baca amal kebaikan.
2. Itu kalau taubat diterima. Belum tentu lagi. Taubat ini macam doa. Sebagaimana ada doa Allah ﷻ tidak terima, begitu juga dengan taubat. Tidak wajib Allah ﷻ terima taubat kita. Sedangkan wajib kita bertaubat.

📍Adakah keadaan ini sama apabila orang tua sudah meninggal dunia di mana anak tidak perlu lagi sedekah Al-fatihah?
🔵 Tidak ada amalan sedekah dan ‘transfer’ bacaan ayat-ayat Al-Quran. Itu semua adalah amalan rekaan sahaja. Walau pun pendapat sedekah pahala itu sampai (malah ia pendapat jumhur) tetapi pendapat itu ada masalah dari segi dalil. Ulama yang mengatakan boleh, tidaklah mereka suruh buat seperti mana yang orang kita buat sekarang. Itu semua bid’ah.

Hadis sahih yang menyebut: doa anak yang soleh. Maka doalah yang baik-baik bagi ibubapa kita. Termasuk buat amal yang baik sebab kalau kita buat amal yang baik, itu akan memberi kesan kepada ibu bapa kita. Ini kerana kita adalah hasil usaha mereka: mereka didik kita, mereka besarkan kita: maka layaklah mereka mendapat balasan dari kebaikan yang kita lakukan.

📍Mungkin doa anak yang soleh itu yang menjadi salah faham. Mereka beranggapan doa anak soleh itu bersedekah al-Fatihah dan tahlilan utk si mayyit sebab itu ramai yang buat begitu.
🔵 Sedekah Al-Fatihah dan tahlilan bukan doa. Ramai tidak tahu hendak bezakan doa agaknya. Doa: Ya Allah, ampunkanlah dosa ibubapa aku. Masukkan mereka ke dalam syurga. Paling lucu mereka kata: “Al-Fatihah tu kan doa?” Kita jawab: baca balik Fatihah itu.

Al-Fatihah itu doa dari orang yang hidup. Minta ditunjukkan jalan yang lurus adalah dari orang yang masih hidup. Apabila sudah mati baru hendak minta, sudah terlambat. Kalau masih hidup, memang doa Al-Fatihah itu amat baik. Bagi yang sudah mati tidak boleh baca Al-Fatihah lagi. Jadi tidak ada kena mengena dengan mereka. Bila sudah mati, tidak ada amal ibadat lagi. Semua hanya bergantung dengan amal kebaikan yang mereka lakukan semasa di dunia.

Orang baca Al-Fatihah itu kerana hendak sedekah pahala sahaja. Al-Fatihah pula pendek, maka senanglah hendak buat. Orang pun tidak merasa beban sebab itu tidak ada yang sebut: “mari kita sedekahkan Surah Baqarah kepada si mati… “
Tidak pernah diajar oleh Nabi dan diamalkan oleh sahabat amalan ini. Kita kata yang diajar hanya doa sahaja. Namun bila kita persoalkan, mulalah mereka cari alasan-alasan. Itu sebab datang alasan: “kan Fatihah itu doa?”

📍Jika anak berbuat baik dan orang tua mendapat pahala, adakah pahala yang mereka dapat itu boleh menghapuskan dosa-dosa mereka di akhirat kelak?
🔵 Pahala itu gunanya untuk meninggikan darjat dalam syurga. Penghapusan dosa yang lebih mereka perlukan. Oleh sebab itu kena doa supaya dosa mereka diampunkan. Namun, orang kita terbelit bab hendak naikkan darjat dalam syurga sahaja, sampai lupa untuk doa hilangkan dosa. Sedangkan kalau hilang dosa, tempat sudah tentu di syurga, cuma tinggi rendah sahaja. Jika hendak tinggi, pahala kena banyak.

📍Jika dengan doa yang banyak kita dapat bantu mereka , bagaimana pula seandainya mereka berlaku syirik serta tidak sempat berdoa? Ini disebabkan syirik dan munafik golongan yang akan kekal di neraka jika belum bertaubat.
🔵 Kalau mereka buat syirik, doa dari sesiapa pun, malah dari anak pun tidak dapat membantu mereka. Cuma, kita tidak tahu emak ayah kita mati dalam syirik atau tidak, maka kita teruskan doa. Melainkan kalau emak ayah kita memang mati dalam kafir. Itu memang tidak boleh doakan langsung.

🔴 Saya ada kongsikan video di group pasal sedekah yasinan,tahlilan dan fatihah itu perbuatan bid’ah. Mereka cakap tidak semua yang Nabi tidak buat kita tidak boleh buat sebab niat mereka baik. Namun, masalahnya ia jelas rekaan dalam agama dan jika berkaitan ibadah walaupun nampak baik tetap tidak akan diterima amalan tersebut.
🔵 Ya, bid’ah tetap ditolak iaitu bid’ah dalam agama. Nabi sudah habis ajar bab agama, maka kalau buat lagi amalan bid’ah, itu sudah menghina Nabi – seolah-olah Nabi tidak ajar habis, kita yang baru jumpa ada lagi amalan yang lebih baik dari apa yang Nabi buat.

Sedangkan orang mati bukan zaman sekarang sahaja. Zaman Nabi pun sudah ramai orang mati. Apa mereka tidak tahukah bagaimana cara menolong si mati dari kalangan mereka? Maka kita pula yang hebat, lagi pandai hendak tolong orang mati dari Nabi dan sahabat? Tidakkah ini menghina Nabi dan para sahabat?

Hujah ‘NIAT Baik’ itu memang tidak akan habislah. Ini adalah salah satu dari alasan pengamal bid’ah. Mereka akan gunakan hujah KUMAN:

K – Ada dalam Kitab itu dan ini
U – Ustaz itu ada ajar, takkan salah?
M – Majoriti masyarakat kita buat, takkan salah?
A – Ini sudah lama diamalkan oleh masyarakat kita? Takkan salah? Sudah jadi Adat.
N – Niat baik apa salahnya? Kalau niat baik, tentu Allah akan terima.

📍 Jika ada persoalan begitu patutkah kita mempertahankan dahulu jawapan dan kebenarannya atau tinggalkan sahaja mereka dengan kefahaman mereka?
🔵 Kita kena jelaskan balik sebab mereka ada salah faham. Selalunya mereka keliru sahaja kerana diajar sebegitu oleh ustaz Nusantara. Maka kita kena betulkan fahaman salah mereka. Ada yang baru tahu: “eh betullah kau cakap… aku ingat amalan itu betullah.. tak sangka pulak salah, sebab ustaz juga yang ajar…”

Kadangkala hujah yang diberikan nampak macam boleh diterima (contoh: kalau niat baik, Allah ﷻ pasti terima) tetapi kita kena jelaskan balik: Niat tidak menghalalkan cara. Takkan baik kalau curi duit orang kerana hendak tolong orang lain, kan? Namun, kalau dia melawan tidak tentu fasal macam kena masuk jin, tinggalkanlah.

📍Sebabnya kalau seseorang itu dari kelompok ahlul bid’ah memang dia akan menegakkan ke jalannya. Namun, jika dia memang ahlul sunnah, jika diberikan dalil dia akan mudah hadam, benarkah begini?
🔵 Kena betulkan sedikit:
Ahlul Bidaah: yang reka bid’ah baru. Mereka ini mula buat amalan-amalan baru. Macam golongan Habib tu.

Ashabul Bid’ah: ini jenis yang mengikut sahaja. Mereka tidak reka pun amalan itu, tetapi sebab ramai orang buat, nampak macam baik, yang ajar pulak macam hebat juga macam golongan Habib itu, maka mereka pun ikut sahaja. Kebanyakan orang awam adalah ashabul bid’ah sahaja.

Mereka ini ada harapan lagi, cuma perlu dijelaskan sahaja dan disampaikan ilmu kepada mereka sebab ramai orang ikut-ikutan sahaja. Ini kerana sifat manusia, mereka ikut orang (Concept of Conformity with the masses). Susah hendak melawan arus dalam masyarakat yang sudah amalkan bid’ah ini. Jadi memerlukan orang yang hati dan jiwanya kuat.

📍Maksudnya kita jawab apa yang kita tahu dan sampaikan sebaik mungkin. Kemudian jika dia tidak terima itu terpulang atau lebih indahnya jika bermudzakarah daripada mencari siapa yang benar sedangkan kita sama-sama tholabul ilm. Bolehkah begitu?
🔵 Ya,muzakarah seperti orang yang ada ilmu. Mungkin dua-dua belajar tetapi aliran yang berbeza. Maka boleh muzakarah: apa hujah kau dan apa hujah aku. Sebab kita hendak mencari kebenaran. Kita bentangkan hujah dan dia pun bentangkan hujah. Entah hujah dia lebih kuat dari kita. Kita bukan hendak mencari menang, tetapi kita hendak tahu manakah jalan yang benar.

Allahu ‘alam.

Komen dan Soalan