S21: Ada terdengar dalam ikimfm tadi berkenaan riwayat Rasulullah diberikan limau masam dan Rasulullah makan seorang diri tanpa mempelawa sahabat kerana tidak mahu sahabat turut bersama makan limau yang masam itu. Sahihkah hadis ini?
Tiada baginya asal, Palsu, qarainnya (petunjuk kuat) ialah ia tidak dijumpai dalam mana-mana buku hadith baik yang menghimpunkan hadith-hadith Sahih atau Palsu, serta kisahnya tidak mengikut gaya bahasa hadith, sama ada terlalu puitis, terlalu detail, ia bukan budaya arab dan bukan cara para Sahabat menyebut kisah. Kesemuanya ini adalah qarain akan palsunya ia. Allah Maha Mengetahui.
S22: “Tepat Jam 12 Malam tadi telah datang’a 1 Safar. Rasullullah Bersabda “Barang Siapa Yang Memberitahukan Berita 1 Safar Kepada Yang Lain, Maka Haram Api Neraka Baginya”. Dan tolong baca sebentar aja Kita dzikir sebentar ingat Allah
Palsu. Tiada baginya asal. Allah Maha Mengetahui.
S23: Daripda Abu Umamah R.A.. Dari Nabi s.a.w.sabdanya brmaksud: Malaikat yang disebelah kanan(yang mejadi pnulis kebaikan) ialah ketua kepada yang sebelah kiri, maka apabila seseorang melakukan sesuatu kebaikan ditulis baginya kebaikan itu menjadi dengan sepuluh kebaikan yang tesebut,dan apabila dia melakukan sesuatukejahatan, lalu malaikat disebelah kanan berkata: Tunggu dahulu “lalu dia menunggu selama enam atau tujuh jam,maka jika org itu brristighfar daripda perbuatan jahat itu,tidaklah ditulis sesuatu pun, dan jika dia tidak meminta ampun kpda allah dituliskn bagi nya satu kejahatan sahaja.. (Hadis riwayat at-tabrani)
Tidak Sahih. Allah Maha Mengetahui.
S24: “zikirlah kpd Allah sampai org cakap kamu gila”
Tersangat Dha’if, Munkar. Di’ilalkan oleh jamaah huffaz antaranya al-Imam Ibn `Adiy katanya Munkar. Berkata al-Haithami: “dalamnya terdapat Darraj, dan telah mendha’ifkannya jamaah, dan telah mendha’ifkannya bukan seorang”. Allah Maha Mengetahui.
S25: Hadith yang menyebut setitis arak ibadah tidak diterima selama 44 hari adakah sahih?
Saya tidak menjumpai hadith yang menyebut sedemikian, yang ada ialah hadith yang menyebut sesiapa yang meminum arak maka tidak diterima solatnya selama 40 hari, dikeluarkan al-Tirmizi dan lainnya, yang rajih ianya hadith Dha’if, di’ilalkan oleh jamaah huffaz dan berkata al-Imam Abu Zur’ah ke atas hadith ini: “Munkar”. Sebahagian menSahihkan dan mengHasankan, dan ini tidak tepat. Allah Maha Mengetahui.
S26: Saya mendengar hadith bahawa berkata Nabi:
مَنْ صَلَّى الْغَدَاةَ فِي جَمَاعَةٍ ثُمَّ قَعَدَ يَذْكُرُ اللهَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ كَانَتْ لَهُ كَأَجْرِ حَجَّةٍ وَعُمْرَةٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَامَّةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ.
“Sesiapa yang solat Subuh berjemaah, dan kemudian duduk berzikir kepada Allah sehingga terbit matahari, kemudian mengerjakan solat 2 rak’at, maka baginya pahala seperti mengerjakan haji dan umrah”, kata Nabi lagi “ sempurna, sempurna, sempurna”, Sahihkah hadith ini?
Hadith Munkar, Dha’if dengan kesemua jalurnya dan tidak dapat dikuatkan, bahkan tiada satupun yang Sahih dalam bab ini, demikian jelas guru-guru saya semisal al-Syaikh al-Muhaddith Abu Muhammad Ahmad Shihatah al-Alfy al-Sakandary, al-Syaikh al-Muhaddith Thariq Iwadullah, serta al-Syaikh al-Muhaddith ‘Abdul ‘Aziz al-Tharifi.
Hadith ini datang dengan beberapa jalur Sahabat yang kesemuanya ma’lul. Jalur Anas, melalui Abu Zilal adalah Munkar, melalui Tahwwabah juga Munkar, melalui Thabit al-Bunani pula Dha’if Jiddan. Jalur Abi Umamah, melalui al-Qasim adalah Munkar, melalui al-Ahwas Dha’if Muttarib Munkar. Jalur ‘Abdullah bin ‘Umar, melalui Malik bin Mighwal dari Nafi’ adalah Munkar, melalui Mi’sar dari Khalid bin Ma’dan adalah Dha’if. Jalur ‘Aishah, melalui Hisyam bin ‘Urwah dari Ayahnya adalah Maudhu’, melalui ‘Amrah binti Arthah al-‘Adawiyyah juga Dha’if Munkar.
Untuk penjelasan lanjut dianjurkan menela’ah sebuah risalah khas setebal 12 halaman karya guru saya Syaikhul Hadith al-Islandariah al-Syaikh al-Muhaddith Abu Muhammad Ahmad Shihatah al-Alfy al-Sakandary yang menjelas secara rinci akan Dha’ifnya hadith ini bertajuk “al-Hujjah Bi Dha’fi Hadith Man Solla Rak’atain Ba’da al-Subhi Falahu Ajru ‘Umratin wa Hajjatin”.
Walaupun hadith ini Munkar dan tidak sahih walau sedikit, namun fiqhnya benar kerana telah thabit dalam hadith Sahih bahawa Nabi SAW biasa duduk diam berzikir dalam masjid selepas solat subuh sehingga terbit matahari, hanya saja ganjaran pahala haji dan ‘umrah yang disebutkan tidak sahih walau sedikit, demikian jelas guru saya al-Syaikh Thariq Iwadullah kepada saya. Maka hadith ini Munkar Dha’if, fiqhnya benar. Allah Maha Mengetahui.
S27:
من لا يحزن لموت العالم فهوا منافق فهوا منافق،،
“Sesiapa yang tidak berasa sedih dengan kematian seorang ‘alim, maka dia adalah munafiq, munafiq, munafiq” Diriwayatkan oleh imam as sayuti dalam tanqih al qaul. Soalnya sahihkah hadith ini?
Disebut oleh al-Suyuthi dalam Lubab al-Hadith tanpa sanad. Saya telah bertanya akan hadith ini kepada guru saya al-Syaikh al-Muhaddith Dr. Khaled al-Hayek dan jawab beliau: “Batil”. Allah Maha Mengetahui
S28: Hadis nabis saw: ” Aurat bagi seorang mukmin tersebut ialah apa yang diantara pusat dan lutut ” (Riwayat Samuyyah)
Hadith Dha’if. Namun fiqhnya benar, jumhur fuqaha berpegang sedemikian, dan dalam bab ini dalil-dalil yang lain.
S29: Nabi (saw) bersabda…..sesiapa baca yaasin malam jumaat nescaya allah ampun sehimgga ke pagi…..di keluarkan oleh imam ibnu hibban didalam sahihnya.
Dikeluarkan Ibn Hibban dalam al-Taqasim wa al-‘Anwa’, dan ia hadith Dha’if, bahkan kata al-Hafiz al-Muhaddith ‘Abdullah bin ‘Abdurrahman al-Sa’d: “tiada satupun hadith yang Sahih berkenaan kelebihan surah Yasin”. Allah Maha Mengetahui.
S30: Dalam sebuah hadis,Rasulullah bercerita bahwa Iblis meminta tempat tinggal kepada Allah seperti halnya Allah memberikan tempat tinggal kepada anak adam untuk berada di bumi. “Ya Allah,,adam dan keturunannya Engkau beri tempat tinggal di bumi,,maka berilah pula aku tempat tinggal..!!” Kata Iblis..Allah berfirman,,”Tempat tinggalmu adalah kamar mandi atau tandas”(HR. Bukhari)
Tiada baginya asal. Dusta kepada Nabi SAW serta dusta kepada al-Bukhari. Celaka kepada mereka yang mencipta hadith kemudian menyandarkannya kepada al-Bukhari secara dusta, demikian teknik keji para pendusta hadith moden.