Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ad-Dukhan: Tafsir Ayat Ke-41 dan Ke-42

Tafsir Surah Ad-Dukhan: Tafsir Ayat Ke-41 dan Ke-42

629
0
Iklan

Tafsir Surah Ad-Dukhan

Tafsir Ayat ke-41

Apakah yang terjadi pada hari Kiamat itu?

يَومَ لا يُغني مَولًى عَن مَولًى شَيئًا وَلا هُم يُنصَرونَ

Iaitu hari seseorang kerabat atau sahabat karib tidak dapat memberikan sebarang perlindungan kepada seseorang kerabat atau sahabat karibnya, dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan,

يَوْمَ لَا يُغْنِي

Iaitu hari tidak dapat membantu,

Ramai yang sangka dan berharap yang mereka akan dibantu oleh seseorang. Ada yang mengharapkan tuhan sembahan mereka selain Allah ﷻ iaitu dewa, ahli keluarga, wali yang mereka puja dan beri salam, malaikat, guru yang mengajar ajaran salah dan macam-macam lagi.

Apabila mereka sangka akan ditolong, maka mereka rasa selamat tetapi ini adalah satu pemahaman yang salah. Tidak ada sesiapa yang dapat membantu kita nanti di akhirat melainkan amal kita sendiri.

مَوْلًى عَن مَّوْلًى شَيْئًا

seseorang kerabat atau sahabat karib kepada seseorang kerabat atau sahabat karibnya, walau sedikit pun.

Apakah maksud مَوْلًى? Ia dari perkataan و ل يً – wali. Orang kita banyak sebut perkataan ini, terutama yang belajar agama. Lebih-lebih lagi yang berkecimpung dalam ajaran tarekat. Sikit-sikit mereka akan sebut wali itu dan wali ini kerana itu perkara yang paling disukai.

Mereka bercerita tentang kehebatan wali kerana seronok dan khayal dengan kisah dongeng para wali itu. Tanpa disedari ia hanya membuatkan mereka begitu mudah dan senang ditipu. Wali dan مَوْلًى adalah ‘kawan rapat’ dan juga ‘penjaga’.

📍Apakah bezanya antara wali dan mawla?

▪️Wali – seseorang yang menawarkan pertolongan mereka. Belum tentu dia boleh bantu lagi.

▪️Mawla – seseorang yang pasti membantu. Dia memenuhi janjinya untuk membantu.

Perkataan مَوْلًى digunakan dalam ayat ini kerana memang mereka semasa di dunia membantu kita. Namun, di akhirat mereka tidak dapat membantu walaupun mereka kalau boleh hendak membantu. Contoh seperti ibu bapa kita, memang boleh mengharapkan mereka untuk membantu kita dalam setiap keadaan kerana mereka memang sayang kepada kita.

Begitu juga, ada jenis-jenis kawan yang kita memang boleh harap. Kalau ada masalah, kita minta tolong, mereka akan tolong selagi boleh. Walaupun begitu ada juga jenis kawan yang hanya berkawan dengan kita semasa senang sahaja. Namun, مَوْلًى adalah kawan yang memang boleh diharap.

Mereka hanya boleh jadi مَوْلًى semasa di dunia sahaja dan tidak boleh hendak tolong langsung sesiapa apabila di akhirat nanti. Tidak ada sesiapa yang boleh membantu sedikit pun. Seorang ayah tidak dapat membantu anaknya. Tidaklah juga seorang guru boleh tolong anak muridnya dan seorang wali boleh menolong sesiapa pun.

Namun berapa banyak masyarakat kita yang memuja wali, sebab mengharap wali-wali itu boleh menolong mereka. Mereka seru wali-wali mereka itu siang dan malam, dengan harapan dapat mendekatkan diri mereka dengan wali yang diseru itu.

Namun seperti Dakwa Surah ini beritahu kita, hanya Allah ﷻ sahaja yang Maha Mendengar seruan kita, dan para wali itu tidak ada sifat mendengar sebegitu. Jadi, serulah banyak mana pun, mereka tidak dapat mendengar. Jadi mereka yang menyeru-nyeru itu sebenarnya bertepuk sebelah tangan sahaja.

وَلَا هُمْ يُنصَرُونَ

dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan

Tidak ada sesiapa yang boleh ditolong. Hendak tolong tidak boleh, hendak ditolong juga tidak boleh. Mereka nampak kenalan mereka, bukan tidak nampak, tetapi tidak boleh hendak tolong atau minta tolong. Ini adalah bantuan lain selain keluarga atau kawan. Mungkin ada yang berharap entah belas kasihan dari Allah ﷻ. Ini turut tidak diberikan kepada mereka yang lalai dalam agama.

Apa sahaja yang tergambar dalam harapan mereka sesuatu atau sesiapa yang boleh membantu, tidak akan dapat membantu. Allah ﷻ tutup semua harapan. Jadi kita tidak boleh hendak mengharap kepada sesiapa jua di akhirat nanti. Maka janganlah kita bangga dan rasa selamat kalau ada keluarga kita yang alim, atau kita ada kawan dengan orang yang baik-baik.

Kita kena berharap pada diri kita sahaja. Maka janganlah buang masa lagi menyeru-nyeru para Nabi dan wali dengan harapan mereka tolong kita nanti.

Tafsir Ayat ke-42

Kalau tidak ada sesiapa pun yang boleh tolong, maka hendak berharap kepada siapa waktu itu?

إِلّا مَن رَّحِمَ اللهُ ۚ إِنَّهُ هُوَ العَزيزُ الرَّحيمُ

Kecuali orang yang telah diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah jualah yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.

إِلَّا مَن رَّحِمَ اللهُ

Kecuali orang yang telah diberi rahmat oleh Allah;

Hanya dengan Allah ﷻ sahaja kita boleh berharap. Kita hendaklah mengharapkan rahmat dan belas kasihan dari Allah ﷻ. Kita tidak boleh mengharapkan kepada yang lain. Kalau kita menaruhkan harapan kepada yang lain, kita akan kecewa.

Namun, tidaklah dengan harapan kosong sahaja. Kenalah kita ada usaha untuk buat baik, baru ada harapan. Maka, kita kena buat baik semasa di dunia, barulah Allah ﷻ akan beri rahmat kepada kita. Kita hendaklah mengikut arahan-Nya, meninggalkan larangan-Nya, menjadi hamba-Nya sebaik mungkin.

Serulah Allah ﷻ banyak-banyak semasa di dunia. Teruskan berdoa dan berharap hanya kepada Allah ﷻ sahaja. Bukannya doa dalam bentuk tawassul dengan wali, Nabi dan malaikat.

إِنَّهُ هُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ

sesungguhnya Allah jualah yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.

Kenapa kita hanya boleh mengharap kepada Allah ﷻ? Ini kerana Allah Maha Kuasa – maka tidak ada sesiapa yang boleh mendesak Allah ﷻ untuk tolong sesiapapun.

Tidaklah boleh seluruh makhluk dalam dunia ini, kalau tidak berpuas hati dengan Allah ﷻ, berkumpul ramai-ramai dan buat demonstrasi tunjuk perasaan untuk Allah ﷻ buat sesuatu, atau untuk masukkan sesiapa dalam syurga dan sebagainya.

Tidak boleh langsung kita hendak mendesak Allah ﷻ. Ini kerana Allah ﷻ buat apa yang hendak dibuat. Maka, janganlah kita mengharap kepada ibu bapa kita, guru-guru kita, syeikh-syeikh kita, wali-wali dan sebagainya. Mereka tidak ada kuasa apa-apa pun.

Dalam masa yang sama Allah ﷻ akan bersifat Raheem kepada mereka yang beriman dan beramal soleh. Allah ﷻ boleh tolong sesiapa yang Dia hendak tolong. Allah ﷻ amat belas dan kasihan kepada hamba-Nya yang mukmin. Sifat Raheem Allah ﷻ ini hanya diberikan kepada orang mukmin sahaja. Tidak diberikan kepada semua manusia.

✍🏻SESI MUZAKARAH

Tafsir surah Ad Dukhan (Ayat 41-42)

📍Hanya Allah ﷻ yang boleh memberi Rahmat, ertinya syafaat Nabi juga akan diperolehi dengan izin atas Allah ﷻ?

🔵Ya, lihat ayat Kursi pun sudah jelas. Cuba baca dan fahami terjemahan ayat itu.

📍Semasa zaman belajar, saya suka tulis surat kepada Allah ﷻ meminta bantu saya dan saya janji untuk sentiasa jadi hamba yang bàik. Adakah itu bererti saya sudah mendesak Allah ﷻ?

🔵Tidak pernah lagi dengar tulis surat dekat Allah ﷻ cuma kepada Santa Clause adalah dengar. Saya kira itu hanya luahan hati sahaja. Mengadu dengan Allah ﷻ dan komunikasi dengan Allah ﷻ ini tidak dikira desak Allah ﷻ sebab janji begitu memang boleh.

📍Kenapa manusia tidak boleh ada sifat Rahman? Setakat mana yang dibenarkan ada untuk manusia? Boleh ustaz berikan contoh?

🔵Tambahan ‘an’ dalam Rahman itu adalah sighah mubalaghah (extreme), hanya Allah ﷻ sahaja. Sifat Raheem boleh untuk manusia kerana ia sifat Rahmah juga. Kita tidak mampu hendak menjadi Rahman.

📍Bukankah kawan yang soleh boleh beri syafaat di Syurga nanti?

🔵 Semua syafaat adalah dengan ‘izin’ Allah ﷻ. Keputusan syafaat bukan pada makhluk, tetapi pada Allah ﷻ. Yang memberi syafaat boleh diibaratkan sebagai tukang beri sahaja, tetapi mereka tidak boleh hendak buat keputusan. Begitu jugalah dengan Nabi Muhammad ﷺ. Kalaulah baginda ﷺ boleh buat keputusan sendiri, tentulah akan pilih untuk beri pertolongan syafaat kepada bapa saudara baginda, Abu Talib.

📍Bermakna Allah ﷻ melihat amal soleh kita dahulu dan dengan sifat Rahman dan Rahim Allah ﷻ baru kita di beri nikmat syafaat ?

🔵 Sifat Rahman di dunia dan sifat Raheem di akhirat. Jadi, sifat Raheem yang dimaksudkan. Allah ﷻ tahu siapa yang patut menerima syafaat. Jadi penentuan siapakah yang layak dapat syafaat adalah milik Allah ﷻ. Makhluk tidak ada hak ini.

📍Ada hadist yg mengatakan seseorang boleh menolong sesiapa yang dikehendakinya, iaitu orang yang masih ada dalam hatinya iman.

🔵 Ya, Nabi Muhammad ﷺ disuruh Allah ﷻ untuk keluarkan mereka yang ada iman dari neraka. Maksudnya sudah masuk neraka tetapi iman ada.

📍Adakah kalau kita sudah berjanji dengan Allah ﷻ tetapi belum ditunaikan dikira sudah berdusta?

🔵Manusia lemah. Walaupun sudah janji tetapi sekali sekala tergelincir. Minta ampun dengan ikhlas.

 📍Bolehkah jika semasa di dunia kita mohon syafaat dari Allah ﷻ?

🔵 Syafaat tidak perlu minta, automatik dapat. Kalau ada tauhid, maka layak dapat syafaat. Ini ada ‘Paradigm shift’ sikit. Anjakan paradigma: Syafaat ini diperlukan apabila dosa lebih banyak dari pahala. Setelah ditimbang timbang, dosa lebih banyak. Maka perlu dibersihkan dosa dalam neraka. Maknanya kena masuk neraka dulu ni. Syafaat tidak tahu bila dapat. Entah sejam, sehari, setahun atau seribu tahun. Maka, jangan kita jadi begitu. Kita tidak mahu lalui keadaan ini sebenarnya. Maka jalani kehidupan supaya kita tidak perlukan syafaat pun. Kita harap masuk syurga terus bukan hendak harapkan syafaat untuk selamatkan kita dari neraka.

📍Nabi Muhamad ﷺ sahaja yang boleh keluarkan dari neraka. Saya terfikir mungkin sesiapa pun boleh asalkan seseorang yang beriman atas perintah Allah ﷻ

🔵 Yang lain, boleh tanya. Sebagai contoh, awak semua tercari-cari saya sebab hendak jumpa di syurga. Cari punya cari, tidak jumpa. Tanya pada Allah rupanya saya dalam neraka. Maka boleh doa: Ya Allah, dia ini selalu nasihatkan saya kepada kebaikan. Maka ampunkan dia Ya Allah. Namun, kalau tidak layak pun tidak dapat juga.

Dalam Al-Quran disebut ahli syurga yang cari kawan dia. Rupanya dalam neraka. Siap dapat tengok lagi tetapi sahabat itu tidak berdoa pun minta tolong untuk kawan dia sebab tidak layak.

🖍 Syafaat ini lebih kepada bermaksud: ‘recommendation’ macam kita sudah kerja satu kilang. Kemudian hendak ‘recommend’ kawan kita kerja. Maka kita cadangkan kepada bos besar untuk ambil dia kerja. Kita tidak terus masukkan dia, bukan? Tentu tidak sebab kita tidak ada kuasa kerana kita hanya boleh memberi cadangan sahaja. Itulah syafaat.

📍Apakah dengan bertaubat, kita tidak langsung di celup dulu ke neraka? Kalau ikut pemikiran saya selama ini masih tetap kena celup ke neraka.

🔵Kalau taubat diterima, maka dosa tiada. Terus masuk ke dalam syurga.

📍Benarkah orang perempuan tiada kewajipan dakwah sedangkan hadis sahih Ballighu anni walau ayat arahan sampaikan ayat ini menyeluruh kepada semua lelaki dan perempuan?

🔵Wanita terhad pergaulan mereka kerana tidak boleh ikhtilat, berjalan ke luar atau memberi ceramah. Lalu bagaimana mereka hendak berdakwah?

📍Bagaimana pula dalam medsos? Patutkah kaum wanita meninggalkan semua kerja-kerja di belakang tabir urusan dakwah di medsos untuk memberi tumpuan masa kepada rumahtangga?

🔵 Boleh bantu, tetapi di belakang tabir sahaja dan tidak boleh meninggalkan tugas hakiki iaitu menjaga keluarga.

 📍 Apakah hukumnya jika kita rasa hukum sivil ini baik dan sesuai dengan zaman jadi tidak perlu dilaksanakan hukum yang ada dalam Al-Quran?

🔵 1. Kalau undang-undang tiada dalam agama, boleh sahaja.

  1. Kalau hukum ada dalam hudud, maka tidak boleh ditolak. Kalau rasa sivil lebih baik, hudud sudah lapuk tidak sesuai dengan zaman sekarang, maka dia telah kufur.
  2. Kalau dia sedar hukum Allah kena dijalankan tetapi belum mampu lagi, maka tidak kufur. Zalim sahaja.

 Allah ﷻ jadikan manusia dan Allah ﷻ jadikan zaman. Maka Allah ﷻ tahu mana yang sesuai dengan manusia dan zaman. Manusia akal fikiran tidak sampai hendak faham. Jangan rasa lagi pandai dari Allah ﷻ

📍Sudah menjadi masalah umat akhir zaman, pemikiran yang tidak lagi yakin dengan peraturan Allah ﷻ. Dulu atheist saja yang tidak mahu menerima Allah ﷻ. Sekarang yang mengaku Islam turut menolak hukum Allah ﷻ.

🔵Ini kerana tidak belajar apakah hukum, kelebihan undang-undang Islam. Jadi tidak nampak kelebihannya. Mereka nampak ‘barbaric’ sahaja tetapi mereka tidak tahu bagaimana ia diamalkan.

📍Kita berselawat ke atas Nabi ﷺ untuk mendapat syafaat di akhirat. Adakah salah konsep ini? Adakah kita berdoa untuk mendapat syafaat dari Allah ﷻ sahaja sepatutnya?

🔵 Untuk mendapat syafaat adalah dengan taat kepada Allah ﷻ, antaranya dengan buat ibadat. Selawat adalah ibadat. Selawat itu mendoakan Nabi ﷺ dan bukannya minta syafaat dengan Nabi. Maka boleh dilakukan untuk mengharap syafaat.

📍Ada anak kawan memuji saya baik dan tentu masuk syurga. Saya berasa sedih memikirkan Allah ﷻ tutup aib saya walaupun saya ada lakukan dosa. Begitu sayang dan baiknya Allah ﷻ . Adakah kalau kita sudah bertaubat nanti di akhirat masih lagi ditayang video keburukan kita?

🔵Kalau sudah bertaubat, maka tidak akan ditayangkan. Allah ﷻ akan sorok di akhirat juga. Wanita terhad pergaulan mereka kerana tidak boleh ikhtilat, berjalan ke luar dan ceramah. Keutamaan dan kesempurnaan seorang wanita terletak pada ketaatan mereka kepada Allah SWT, kesabaran mereka di dalam menjaga dan memelihara kehormatan dan keimanan, ketaatan, nasihat dan dorongan mereka kepada suaminya, menjadi isteri terbaik untuk suaminya, teman dan sahabat, penasihat dan pendorong baginya untuk taat kepada Allah SWT dan berdakwah lilallah.

 Juga menjaga kehormatan diri dan hartanya, mendidik dan berdakwah kepada anak-anaknya hingga menjadi anak-anak yang salih dan salihah hingga mereka dewasa, dan sekali gus menjadi ibu yang terbaik untuk anak-anaknya, menjadi teladan dan ustazah bagi mereka dan juga teladan dan pendidik bagi para wanita selainnya, serta berusaha untuk menjadi hamba terbaik untuk Rabbnya.

✍🏻Imam al-Albani رحمه الله menjawab:

Saya katakan kepada para wanita: وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ “Tetaplah kalian di rumah-rumah kalian!”. Kalian tidak punya urusan dalam berdakwah. Saya mengingkari (tidak menyetujui) penggunaan kata dakwah di kalangan kawula muda, bahawa mereka termasuk yang berhak berdakwah. Seolah-olah kata “dakwah” sebuah metode/trend masa kini di mana setiap orang yang baru saja mengetahui sedikit ilmu agama, dengan serta merta menjadi seorang da’i.

Urusan ini tidak sampai di situ saja, bahkan istilah dakwah ini menyentuh pula para muda mudi dan para ibu rumah tangga. Akibatnya, dalam banyak kesempatan mereka pun meninggalkan kewajiban dan tanggung jawab rumah tangga, suami, dan anak-anak mereka, kerana melaksanakan sesuatu yang bukan tugas mereka, iaitu berdakwah. Pada dasarnya seorang wanita harus berdiam di rumah. Tidak disyariatkan keluar dari rumahnya kecuali untuk suatu kepentingan yang sangat mendesak.

✍🏻Hal ini berdasarkan sabda Nabi صلي الله عليه وسلم:

وَبُيُوتُهُنَّ خَيْرٌ لَـهُنَّ مِنَ الصَّلاَةِ فِي الْمَسَاجِدِ

“…..Dan di rumah-rumah mereka lebih baik bagi mereka daripada salat di masjid-masjid.”

Adapun seorang wanita yang menyibukkan dirinya dengan berdakwah (maka kami katakan), hendaklah ia tinggal dirumahnya dan membaca kitab-kitab yang telah disiapkan oleh suami, saudara, atau sanak keluarganya. Kemudian tidak mengapa jika suatu hari ia mengajak dan mengundang para wanita untuk hadir di rumahnya atau ia yang keluar, ke rumah salah seorang di antara mereka. Yang demikian itu lebih baik daripada keluarnya sekelompok wanita kepadanya.

Adapun keluarnya seorang wanita atau melakukan perjalanan jauh yang terkadang tanpa ditemani oleh mahramnya dengan berdalihkan “dakwah”, ini adalah salah satu dari bid’ah-bid’ah zaman ini. Masalah ini tidak hanya khusus bagi wanita saja, bahkan juga bagi para pemuda yang menjadikan hobi mereka berbicara dalam masalah dakwah, sementara ilmu mereka masih sangat dangkal. (Al-Ashaalah 18, hal : 74-75).

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan