Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ad-Dukhan: Tafsir Ayat Ke-39 dan Ke-40

Tafsir Surah Ad-Dukhan: Tafsir Ayat Ke-39 dan Ke-40

392
0
Iklan

Tafsir Surah Ad-Dukhan

Tafsir Ayat ke-39

Kenapa Allah ﷻ cipta alam ini?

ما خَلَقنٰهُما إِلّا بِالحَقِّ وَلٰكِنَّ أَكثَرَهُم لا يَعلَمونَ

Tidaklah Kami menciptakan keduanya (serta segala yang ada di antaranya) melainkan kerana menzahirkan perkara-perkara yang benar; akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu).

مَا خَلَقْنٰهُمَا

Tidaklah Kami menciptakan keduanya

Allah ﷻ hendak beritahu kita kenapakah Dia telah menjadikan alam ini.

إِلَّا بِالْحَقِّ

melainkan kerana hendak menzahirkan kebenaran;

Kebenaran apa? Iaitu Allah ﷻ lah yang menciptakan segalanya. Hendak memberitahu kewujudan-Nya dan bahawa Allah Maha Berkuasa untuk melakukan segalanya. Alam ini juga sebagai dalil yang Allah ﷻ mampu untuk membangkitkan semula makhluk selepas kematian mereka.

Ini kerana kalau Allah ﷻ mampu menjadikan alam ini dari tiada kepada ada, maka apakah yang menghalang Allah ﷻ untuk menjadikan mereka hidup semula?

Alam ini menjadi dalil adanya hari akhirat. Ini kerana kalau tidak ada akhirat, maka sia-sialah Allah ﷻ menjadikan alam dunia ini kerana habis begitu sahaja tanpa ada pembalasan baik dan buruk. Takkan Allah ﷻ yang Maha Hebat dan Bijaksana buat sesuatu yang sia-sia? Tidak mungkin.

Maka apabila semuanya dicipta oleh-Nya, dan Dia maha berkuasa, maka kenalah kita sembah Allah ﷻ dan berdoa kepada Allah ﷻ sahaja. Kita jangan sembah, berdoa dan meminta kepada selain dari Allah ﷻ. Maknanya, Allah ﷻ hendak menzahirkan kebenaran tauhid dengan menjadikan alam ini.

Hendaklah juga kita berterima kasih dan bersyukur kepada Allah ﷻ kerana telah menjadikan alam ini dan memberi peluang kepada kita untuk menimba pahala dan dimasukkan ke dalam syurga yang kekal di dalamnya.

وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui

Benda ini mudah sahaja untuk difahami tetapi ramai yang tidak faham. Kebanyakan manusia tidak tahu yang tuntutan untuk sembah Allah ﷻ dan berdoa kepada-Nya sahaja adalah tuntutan terpenting dalam agama.

Ramai manusia yang tidak faham kenapa alam ini dijadikan. Ini adalah kerana mereka tidak memikirkan tentang alam. Tidak mungkin alam yang begini hebat dan teratur ini tidak ada Penciptanya? Kalau mereka memikirkan, tentu mereka akan terima bahawa ada Tuhan yang menjadikan mereka.

Selain itu tidak mungkin juga alam yang begini hebat ini tidak ada sebab ia dijadikan? Maka mereka yang tidak memikirkan perkara ini akan menjadi orang yang sesat dalam kehidupan di dunia ini dan mereka akan mendapat balasannya di akhirat kelak.

Tafsir Ayat ke- 40

Sekarang Allah ﷻ menceritakan tentang Hari Kiamat pula. Ini adalah salah satu perkara yang selalu diulang-ulang dalam Al-Quran untuk mengingatkan manusia tentang ancaman Allah ﷻ. Ini adalah ayat Takhwif Ukhrawi.

إِنَّ يَومَ الفَصلِ ميقٰتُهُم أَجمَعينَ

Sesungguhnya hari pemutusan hukum untuk memberi balasan, ialah masa untuk mereka semua berhimpun,

إِنَّ يَوْمَ الْفَصْلِ

Sesungguhnya hari pemutusan hisab amal,

Ini adalah jawapan kepada hujah musyrikin Mekah yang minta dibawakan tok nenek mereka yang telah mati. Allah ﷻ memberitahu yang hari akhirat dan penghisaban amal itu telah ditetapkan oleh Allah ﷻ, bukan hendak ikut kehendak mereka. Allah ﷻ yang tentukan bila akan berlaku.

Perkataan الْفَصْلِ literalnya bermaksud ‘yang memisahkan’. Ia dipanggil ‘hari pemutusan’ kerana pada hari itu, walaupun semua makhluk akan dikumpulkan, mereka akan dipisahkan antara satu sama lain. Apa sahaja pertalian antara mereka akan diputuskan walaupun antara kawan, keluarga, anak murid dan sebagainya. Mereka akan diadili seorang demi seorang.

Kebenaran dan kebatilan juga akan dipisahkan pada hari itu. Maka, akan nampak jelas kepada semua orang mana yang benar dan salah. Amalan yang baik akan dibalas dengan baik dan begitu juga jika melakukan amalan yang salah pasti akan dibalas. Keputusan akan diberikan kepada semua makhluk pada hari itu.

مِيقٰتُهُمْ أَجْمَعِينَ

ialah masa untuk mereka semua berhimpun,

Perkataan مِيقَاتُ diambil dari perkataan وقت yang bermaksud ‘sesuatu yang telah ditetapkan dari segi waktu’.

Semua makhluk akan dihimpunkan pada masa yang telah ditetapkan. Namun, hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu bilakah masanya. Tidak ada sesiapa yang tahu bilakah kejadian itu melainkan Allah ﷻ sahaja.

Mereka yang tidak beriman tidak percaya kepada hari ini. Mereka tidak sangka hari ini akan tiba tetapi ia pasti akan berlaku. Sama ada mereka percaya atau tidak, mereka semua tetap akan dihimpunkan, tidak ada sesiapa yang akan tertinggal.

✍🏻SESI MUZAKARAH

Tafsir surah Ad Dukhan (Ayat ke-39 dan ke-40)

📍Jika kita fikir tentang alam maka kita akan jumpa tanda-tanda kewujudan Allah ﷻ seperti ayat ini

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِأُولِي الْأَلْبَابِ

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;

[ Ali-Imran: 190 ].

🔵 Ya benar. Banyak ayat-ayat sebegini dan Allah ﷻ suruh kita tengok dengan mata hati.

📍Adakah terdapat orang beriman yang takut untuk hadir pada hari pembalasan walaupun tahu memang wajib hadir?

🔵 Semua akan berasa takut cuma kadar takut itu berbeza tetapi takut tetap takut. Oleh kerana takut itulah kita berhati-hati selama di dunia ini. Semua akan takut termasuk para Nabi dan malaikat kerana kita tidak tahu selamat atau tidak.

📍Apakah orang yang tidak sembah Allah ﷻ akan diberi buku catatan amal juga?

🔵Mereka itu sudah tentu terus dimasukkan ke neraka.

📍Ketika di akhirat nanti, ramai berkumpul dan akan diadili satu persatu. Apakah memerlukan masa yang lama untuk mengadili ?

🔵Setengah hari sahaja sudah selesai. Memang cepat. Lama tunggu tetapi bila mahkamah Allah ﷻ sudah ditegakkan, setengah hari sahaja. Allah ﷻ boleh buat. Macam mana, Allahu a’lam.

📍Ketika di Mahsyar nanti ada bermacam macam keadaan orang yang hadir. Apakah keadaan mereka yang hadir ketika di Mahsyar itu sudah menunjukkan syurga atau neraka yang mereka akan dapat. Sebab pernah dengar kalau orang banyak amalan kebaikannya, mereka tidak rasa panas di bawah sinar matahari yang jaraknya sangat dekat. Ini merupakan kelebihan orang yang beriman dan beramal.

🔵Semasa di Mahsyar sudah boleh agak keadaan mereka kerana tidak sama layanan kepada mereka. Bayangkan stadium bola sekarang. Semua duduk stadium yang sama tetapi tiket tidak sama. Ada layanan istimewa (special treatment) duduk dalam aircond. Itulah analogi keadaan di Mahsyar kelak. Semua di Mahsyar tetapi keadaan tidak sama.

📍Adakah orang kafir tidak melalui proses yang akan dilalui oleh orang Islam? Selepas berkumpul di Mahsyar terus dihumban ke dalam neraka. Begitu kah?

🔵Mereka akan awal masuk neraka.

📍Bagaimana pula dengan orang kafir, fasik, musyrik dan pendosa akan nampak hadir dalam keadaan telah terhukum. Maksudnya contoh: Ada hadis orang yang tidak berlaku adil kepada isterinya maka akan berjalan dengan keadaan bahu yang senget?

🔵Ya. Ketika di Mahsyar Allah ﷻ sudah malukan mereka.

📍Apakah Nabi Muhammad ﷺ yang awal diberi buku catatan amalan dan diikuti oleh sahabat?

🔵Tidak disebut setahu saya.

📍Apakah Pengadilan Allah ﷻ kena ikut masa siapa yang lahir awal ke dunia maka akan dihisab lebih awal dan akan melalui titian sirat dan masuk syurga atau neraka lebih awal?

🔵Tidak tahu. Kena tunggu dan lihat.

📍Para nabi turut akan beratur di Mahsyar?

🔵Semua makhluk akan beratur di hadapan Allah ﷻ.

📍Semasa beratur di Mahsyar, Nabi berada dalam kumpulan para nabi atau bercampur dengan orang awam?

🔵Semua pengikut Nabi akan beratur di belakang Nabi masing-masing. Umat Nabi Muhammad ﷺ mempunyai kelebihan menjadi umat yang pertama akan dihisab.

📍Apakah hukum turut ikuti sokong acara syirik? Apakah dosanya sama dengan pelakunya iaitu terkeluar dari Islam?

🔵Ya, dosa sama terkeluar dari Islam kerana dia iktiraf. Oleh sebab itulah Nabi Ibrahim tidak turut ikuti majlis syirik kaum baginda. Lainlah kalau dia dipaksa.

 Allahu a’lam.

Komen dan Soalan