Utama Bilik (06) Ulat Buku Tip-Tip Cemerlang daripada Al-Quran: Tip Ke-12 Cemerlang dengan Zikir

Tip-Tip Cemerlang daripada Al-Quran: Tip Ke-12 Cemerlang dengan Zikir

170
0
Iklan

Tip-Tip Cemerlang daripada Al-Quran

Tip 12

Cemerlang dengan Zikrullah

“Golongan lelaki dan wanita yang banyak berzikir kepada Allah, Allah janjikan bagi mereka keampunan serta ganjaran yang besar.” [ Al-Ahzab: 35 ].

Ibadah dalam bentuk zikir seperti tasbih, tahmid, takbir, selawat, menyebut nama Allah, membaca Al-Quran dan seumpamanya menguatkan dan mendamaikan hati sekali gus membantu individu itu mencapai kejayaan.

Orang yang banyak berzikir kepada Allah adalah “Mereka yang sentiasa mengingati Allah ketika sedang berdiri, duduk dan berbaring.” [ Imam Mujahid ].

Kadar zikir yang paling minimum yang perlu dilakukan adalah melaksanakan solat dengan penuh khusyuk dan rendah hati. “Sesiapa yang melaksanakan solat yang lima dengan melaksanakan segala hak-haknya, dia tergolong dalam golongan lelaki dan perempuan yang banyak berzikir kepada Allah.” [ Imam Atha ].

Al-Mufarridun adalah golongan lelaki dan perempuan yang banyak berzikir kepada Allah. [ Imam Muslim ].

Zikrullah terbaik adalah yang dilakukan dengan hati dan lidah. Namun, jika zikir dengan hati adalah pilihan yang lebih baik.

Berzikir untuk semua

“Telah ijmak ulama tentang keharusan berzikir dengan hati dan lidah bagi semua orang termasuk mereka yang berhadas, yang berjunub, yang haid dan yang nifas, tidak kira sama ada zikir berbentuk tahlil, tahmid, takbir, selawat, doa dan seumpamanya kecuali membaca Al-Quran. Namun, mereka masih boleh membaca Al-Quran di hati dan mereka juga boleh melihat mashaf ketika melakukannya.” [ Imam Nawawi ].

Zikir mendamaikan jiwa

“Ketahuilah dengan berzikir kepada Allah, hati akan tenang.” [ ar-Ra’d: 28 ].

Zikir yang dilakukan secara khusyuk boleh diibaratkan seperti meditasi yang melebihi meditasi biasa. Namun, ia berbeza dengan meditasi biasa kerana zikir yang dilakukan oleh umat Islam adalah ibadah. Kalimat-kalimat zikir yang disebutkan adalah berdasarkan Al-Quran dan sunah. Selain itu mereka yang berzikir dengan ikhlas akan mendapat rahmat daripada Allah.

Berzikir di dalam Perut Ikan

“Dan sesungguhnya Yunus benar-benar seorang Rasul. Ingatlah ketika dia lari ke kapal yang sarat dengan muatan. Kemudian dia ikut berundi lalu dia termasuk dalam kalangan orang yang kalah dalam undian. Maka, dia ditelan oleh ikan besar dalam keadaan tercela. Maka, kalaulah dia tidak termasuk dalam golongan mereka yang banyak bertasbih nescaya dia akan tetap tinggal di dalam perut ikan itu sampai ke hari manusia dibangkitkan.” [ as-Saffat: 139 ].

Zikir Utama

Zikir utama adalah mengingati Allah dengan melakukan perintah-perintahnya terutamanya yang wajib dan meninggalkan segala larangannya. “Zikir ialah mentaati perintah-perintah Allah. Sesiapa yang tidak mentaati perintah-perintah Allah itu dia tidak berzikir kepada Allah walaupun dia banyak bertasbih, bertahlil dan membaca Al-Quran.” [ Imam Said bin Jubair, al-Asas fit Tafsir ].

“Zikirlah (untuk mengingati) Aku nescaya Aku ingat kepadamu,” bermaksud ‘Ingatlah Aku (Allah) dengan melaksanakan apa yang telah Aku wajibkan nescaya Aku ingat kepadamu dengan apa yang telah Aku janjikan kepadamu.’ [ Imam Hasan Basri, Imam Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim ].

Ledakan Kecemerlangan

Zaikir boleh dikiaskan seperti alap penggilap hati yang berkesan. Apabila kita berzikir, kita seolah-olahnya sedang menggilap hati dan diri kita sendiri menuju kecemerlangan. Bandingkan ini dengan kereta kita yang digilap selalu. Kereta itu sudah pasti sentiasa bersinar. Justeru, denyutkan lah hati dengan zikrullah selalu, walaupun sekadar mengulang-ulang kalimat Subhanallah. Serentak dengan itu, janganlah kita abaikan ibadah-ibadah wajib. Jangan dilupakan pernyataan Allah dalam [ ar-Ra’d: 28 ] yang bermaksud “Ketahuilah, dengan berzikir kepada Allah hati akan tenang.”

Komen dan Soalan