Utama Bilik (01) Fiqh As Sunnah Jamaah – Isu dan Rumusannya

Jamaah – Isu dan Rumusannya

212
0
Iklan

Ibnu Mas’ud RA berkata: Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak halal darah seorang muslim yang bersaksi tidak ada Tuhan selain Allah dan aku adalah Rasul-Nya kecuali disebabkan oleh salah satu dari tiga hal: tsayyib (orang yang sudah menikah janda/duda) yang berzina, membunuh orang, meninggalkan agamanya serta memisahkan diri dari jamaah.” [HR Bukhari dan Muslim ].

🔴 Hadith di atas ada menyebut berkaitan memisahkan diri dari jamaah. Adakah situasi di bawah termasuk di dalam golongan yang memisahkan diri dari jamaah?

Tidak mengikuti lagi program atau halaqah dan juga kelas hafazan yang diadakan secara berjamaah sama ada secara realiti seperti di masjid dan surau atau di atas talian seperti Telegram atau Whatapps.

Isu Jamaah Islam (Bahagian 1)

Kekeliruan dengan kalimah “jama’ah” dan Ahlu Sunnah Wal Jama’ah (ASWJ), kemudian era Islam jamaah atau haraki (khususnya Jamaah Tabligh, Jamaah Ikhwan dan Jamaah Islami, Pakistan) dengan terkini, jamaah ASWAJA di bawah pimpinan Zamihan Mat Zain.

Pada 300 tahun pertama Islam, di zaman salaf, jamaah adalah jamaah sahabat, tabi’in dan tabi’ tabi’in. Selepas 300 tahun, ada banyak pecahan atau firqah aqidah atau usyul, ada ahli hadith, Asya’irah, Maturudi, Muktazilah, Syiah, Khawarij, Murji’ah, Mujassimah, Qadariah dan Sufiah.

Maka, bermulalah kekeliruan dengan istilah jamaah, sehinggalah pada tahun 430H, Imam Abd Qahir al-Baghdadi merumuskan jamaah ini kepada 8 golongan:

  1. Ahli kalam
  2. Mazhab fiqih
  3. Ahli hadith
  4. Ahli bahasa Arab
  5. Ahli qiraat
  6. Ahli sufi
  7. Mujahidin
  8. Orang awam yang berpegang dengan golongan di atas.

Isu Jamaah Islam (Bahagian 2)

Kemudian era pasca penjajahan. Apabila Islam dijajah selepas keruntuhan empayar Uthmaniah, maka muncul beberapa gerakan atau Jamaah Islamiah yang besar:

  1. Ikhwan di Mesir
  2. Jamaat e-Islami di Pakistan
  3. Jamaat tabligh di India
  4. Said Nursi di Turki
  5. Syiah Khomeini di Iran dan Perancis
  6. Hizb Tahrir di Palestin
  7. Gerakan al Mahdi di Sudan

Namun yang paling berpengaruh di dunia ialah Jamaah Ikhwan yang diasaskan pada tahun 1928 di Mesir.

Gerakan Ikhwan melalui kalam Syed Qutb, yang mati di tali gantung pada tahun 1965 melalui kitabnya Ma’alim merumuskan muslim selepas era penjajahan telah kembali menganut agama jahiliyah. Seluruh budaya, cara hidup dan perundangan adalah seperti jahiliyah.

Maka, sesiapa yang menyertai jamaah, khususnya Jamaah Ikhwan adalah berada di landasan yang benar. Dari sinilah bermulanya aqidah atau manhaj, iaitu Islam Jamaah atau Harakah Islamiah. Orang yang baik Islamnya hendaklah bergabung dengan jamaah yang terbaik iaitu Harakah Islamiah. Ini adalah kerana Jamaah Islam atau Harakah, adalah laksana kapal Nabi Nuh AS, ia menyelamatkan umat dari banjir jahiliyah yang melanda dunia Islam.

Isu Jamaah Islam (Bahagian 3)

Jamaah Islam di bawa ke Malaysia dengan penubuhan Parti Islam Se Malaysia (PAS) pada tahun 1951. Haji Hadi Awang telah membawa masuk fahaman Syed Qutb ke dalam parti PAS pada tahun 1983 dengan amanat Hadi Banggul Peradong bahawa PAS adalah partai Islam, Harakah Islamiah dan juga Jamaah Islamiah.

Orang kampung atau sesiapa yang tiada mempunyai asas agama melihat PAS adalah Islam. Jamaah PAS adalah Jamaah Islamiah dan mewakili Islam, semua tindak tanduk PAS adalah Islamik. Ikhwan juga mempengaruhi PAS dan dalam waktu yang sama mempengaruhi banyak jamaah lain seperti Angkatan Belia Islam Malaysia(ABIM), Islamic Representative Council atau Majlis Syura Muslimin (IRC), Jamaah Ikhwanul Muslim(JIM), Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Malaysia (HALUAN), Ikatan Muslimin Malaysia(ISMA) dan Pertubuhan Ikram Malaysia(IKRAM). Akhirnya orang yang berada di dalam jamaah melihat mereka yang berada di luar jamaah sebagai orang yang kurang pengetahuan agamanya, kemungkinan fasiq, jahiliyah, rosak agamanya, lemah agamanya, nasionalis bahkan sekular. Maka, setiap jamaah ada struktur organisasi, ada Taska, Sekolah Rendah dan Menengah, Maahad Tahfiz, dan Institusi Pengajian Tinggi yang dimiliki mereka sendiri dan ianya di urus seperti sebuah organisasi yang tersusun.

Maka, kalimah jamaah yang difahami di zaman salaf iaitu zaman 500 hijrah telah berubah kepada kelompok harakah atau pergerakan sosial politik Islam yang bergerak secara rahsia seperti pertubuhan Iluminati, Freemason dalam melaksanakan agenda Yahudi cuma bezanya, Jamaah atau Harakah bergerak untuk menjayakan agenda Islam ke arah khilafah dan syariah.

Maka, ini adalah salah faham yang nyata akan jamaah dan hendaklah dikembalikan kepada maksud asal yang dinyatakan oleh Abdul Qahir al-Baghdadi. Lagi pun kebanyakan gerakan atau Jamaah Islamiah itu sudah hampir dilumpuhkan atau telah diharamkan, misalnya Ikhwan telah diharamkan di seluruh negara Arab. Manakala, gerakan Islamiah yang lain sama ada telah dibubarkan atau menjadi Pertubuhan Bukan Kerajaan (Non Goverment Organisation) atau menubuhkan parti politik yang tulen. Sekarang, tiada lagi jamaah Islamiah kerana ia dikaitkan dengan ISIS.

Rumusan isu Jamaah Islam

Bagaimana dan apakah status kepada sesiapa yang pernah menyertai jamaah dan keluar dari jamaah sama ada di dalam PAS, ABIM, JIM, HALUAN, IKRAM, ISMA?

1. Perlu difahami, bahawa bergabung dengan jamaah Islam tidaklah bermaksud bergabung dengan Islam. Ia adalah sama dengan seseorang menyertai firma kerja.

Contoh:

Seseorang memohon kerja dengan Telekom Malaysia, Tenaga Nasional Berhad, Petronas, secara tidak langsung dia menjadi warga atau jamaah Telekom Malaysia, Petronas, Tenaga Nasional Berhad. Sekiranya dia direkrut menjadi anggota Haluan. Maka, dia perlu melalui proses keahlian HALUAN, PAS atau IKRAM. Kemungkinan akan ada bai’ah keahlian atau aku janji sebagai ahli.

2.  Adakah mesti bersama jamaah Islamiah sepanjang hayat dan sekiranya keluar jamaah, adakah akan menjadi seperti orang yang murtad?  Jawapannya TIDAK. Sama dengan anda ingin berhenti dari syarikat atau majikan anda.

Contoh:

Ramai yang keluar dari PAS, seperti Parti Amanah Negara(PAN) adalah orang-orang yang keluar dari PAS. Cuma risikonya anda tidak lagi menjadi sahabat jamaah tersebut dan jamaah tidak lagi menjadikan anda teman kepercayaan. Ini adalah lumrah dan normal.

3.  Maka, kepercayaan jamaah Islam mewakili Islam adalah tidak benar. Begitu juga orang yang keluar dari mana-mana jamaah dianggap sudah melakukan kefasiqan, adalah tidak benar sama sekali.

4.  Sebaiknya sebelum menyertai mana-mana jamaah, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), atau partai politik, anda perlu memahami peraturan jamaah tersebut, memahami budaya jamaah, budaya kerja, kepimpinan mereka, dan apakah kaedah bekerja dan matlamat jangka dekat dan panjang jamaah tersebut. Ini mengelakkan anda berhenti atau keluar separuh jalan dari jamaah.

5.  Tidak menyertai mana-mana jamaah, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) atau partai atas nama Islam, sebenarnya ada juga baiknya dan masih berada dalam jamaah Islamiah yang umum. Ini kerana jamaah, Harakah dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) adalah muhdath atau baru. Malahan, di Arab Saudi sekarang semua jenis jamaah, Pertubuhan Bukan Kerajaan(NGO) dan partai politik diharamkan oleh kerajaan Arab Saudi. Maka, orang Arab Saudi semuanya tidak berjamaah dan berpartai.

Kembali kepada maksud hakiki Islam Jamaah:

Ibnu Mas’ud RA berkata,

الجماعة ما وافق الحق وإن كنت وحدك

“Yang disebut jamaah adalah jika mengikuti kebenaran, walau ia seorang diri.”

(Dikeluarkan oleh Al Lalikai di dalam Syarh I’tiqod Ahlus Sunnah wal Jama’ah 160 dan Ibnu ‘Asakir di dalam Tarikh Dimasyq 2/ 322).

 

Allahu a’lam.

 

Komen dan Soalan