Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az-Zukhruf – Tafsir Ayat Ke-19 hingga Ke-23

Tafsir Surah Az-Zukhruf – Tafsir Ayat Ke-19 hingga Ke-23

789
0
Iklan

Tafsir Surah Az-Zukhruf

Dalam ayat-ayat sebelum ini telah disebut akidah musyrikin Mekah yang menyembah dan berdoa kepada malaikat yang dikatakan sebagai anak Tuhan.

Tafsir Ayat ke-19

 Allah SWT beri dalil menolak kata-kata Musyrikin Mekah itu.

وَجَعَلُوا المَلٰئِكَةَ الَّذينَ هُم عِبٰدُ الرَّحمٰنِ إِنٰثًا ۚ أَشَهِدوا خَلقَهُم ۚ سَتُكتَبُ شَهٰدَتُهُم وَيُسئَلونَ

Dan mereka pula menyifatkan malaikat – yang juga menjadi hamba-hamba Allah Yang Maha Pemurah itu – jenis perempuan. Adakah mereka menyaksikan kejadian malaikat itu? Akan dituliskan kata-kata mereka (yang dusta itu), dan mereka akan ditanya kelak (serta akan menerima balasannya).

وَجَعَلُوا الْمَلٰئِكَةَ الَّذِينَ هُمْ عِبٰدُ الرَّحْمَٰنِ إِنٰثًا

Dan mereka pula menjadikan malaikat-malaikat itu – yang juga hamba-hamba Yang Maha Pemurah itu – jenis perempuan.

Itulah hakikat para malaikat – hamba Allah SWT. Mereka bukanlah anak-anak perempuan Allah SWT. Allah SWT tidak memerlukan anak. Kalau hendak kata mereka itu anak Allah SWT, kenalah bawa dalil. Tentu mereka tidak dapat bawa dalil kerana itu adalah tipu sahaja. Allah SWT tidak mempunyai anak perempuan dan tidak juga mempunyai anak lelaki.

Adakah patut mereka kata para malaikat itu perempuan? Kalau begitu, mereka kata malaikat-malaikat itu lemah lah sebab mereka sendiri juga ada berkata yang perempuan itu lemah – main dengan barang perhiasan sahaja dan tidak dapat mempertahankan diri mereka. Nampak sangat tidak kena.

أَشَهِدُوا خَلْقَهُمْ

Adakah mereka menyaksikan kejadian malaikat itu?

Mereka yang pandai-pandai berkata malaikat itu anak perempuan, adakah mereka lihat sendiri yang Allah SWT menjadikan mereka sebagai anak perempuan-Nya?

Adakah mereka sendiri nampak yang malaikat-malaikat itu berjantina perempuan atau mereka pandai-pandai sahaja mengatakan perkara yang tidak mereka tahu?

Macam orang kita yang mengatakan satu-satu perkara dalam agama, manakah dalil mereka? Jangan pandai-pandai cakap sahaja. Kebanyakannya pandai cakap sahaja.

سَتُكْتَبُ شَهٰدَتُهُمْ

Akan dituliskan penyaksian mereka

Segala kata-kata mereka akan ditulis. Begitu juga dengan kata-kata kita, akan ditulis. Jadi, jangan kita berkata sembarangan. Amat ramai yang mulut mereka hanya pandai berkata-kata tanpa dalil. Mereka macam tidak tahu yang setiap patah perkataan mereka akan ditulis.

Bayangkan pula: siapakah yang akan menulis kata-kata mereka itu? Bukankah yang menulis itu adalah Malaikat Kaatibin yang sentiasa bersama dengan kita? Bolehkan anda bayangkan ironisnya perkara ini? Mereka kata malaikat-malaikat itu perempuan, sedangkan malaikat itulah yang jadi tukang tulis kepada kata-kata mereka.

وَيُسئَلُونَ

dan mereka akan ditanya kelak

Mereka akan dipersoalkan dengan kata-kata mereka serta akan menerima balasannya kalau apa yang mereka katakan itu adalah penipuan sahaja.

Siapakah pula yang akan bertanya kepada mereka? Bukankah yang bertanya itu juga nanti adalah malaikat juga kerana dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman yang Allah SWT tidak mahu berkata-kata dengan mereka.

Ayat ini mengingatkan kita supaya berhati-hati dengan apa yang kita katakan. Ingatlah bahawa apa sahaja yang kita katakan akan ditulis. Termasuk juga apa yang kita tulis – dalam Facebook, dalam Twitter dan dalam mana-mana media sekali pun.

Oleh itu, jikalau kita memperkatakan dan memberikan maklumat yang tidak benar, maka berhati-hatilah, ia akan menyusahkan kita nanti. Beginilah juga kita kena mengajar dan menegur anak-anak kita yang berkata macam-macam.

Kalau kita lihat mereka menipu, kita kena ingatkan kepada mereka: “Husna, ingatlah yang Allah SWT akan menulis apa yang Husna cakapkan ini. Nanti Allah akan tanya Husna kenapa cakap begini, begitu? Berani ke Husna hendak cakap depan Allah SWT nanti?”

Tafsir Ayat ke-20

Ini adalah ayat Syikayah (rungutan dari Allah SWT). Marilah kita dengar apakah hujah Musyrikin Mekah itu untuk membenarkan perbuatan syirik mereka itu.

Mereka kononnya berdalil, tetapi bukan dengan dalil yang sahih. Perkara yang akan disebutkan nanti adalah contoh dalil bukan jenis ilmu. Ia adalah contoh bukan dalil tetapi dikatakan sebagai ‘dalil’. Mereka keliru antara ‘kehendak’ dan ‘redha’ Allah SWT. ‘Kehendak’ dan ‘redha’ Allah SWT bukan perkara yang sama, tetapi mereka kata sama.

Kehendak Allah berbentuk umum – apa-apa sahaja terjadi dalam alam ini adalah atas kehendak Allah SWT tetapi redha Allah SWT adalah khusus. Jadi hujah yang mereka berikan adalah bathil. Kita kena faham, kalau Allah SWT benarkan, tidak semestinya Allah SWT redha.

وَقالوا لَو شاءَ الرَّحمٰنُ ما عَبَدنٰهُم ۗ مّا لَهُم بِذٰلِكَ مِن عِلمٍ ۖ إِن هُم إِلّا يَخرُصونَ

 Dan mereka berkata: “Kalaulah Allah Yang Maha Pemurah menghendaki, tentulah kami tidak menyembah malaikat itu”. (Sebenarnya) mereka tidak mempunyai sesuatu pengetahuan pun mengenai kata-kata mereka (yang demikian), mereka hanyalah orang-orang yang berdusta!

وَقَالُوا لَوْ شَاءَ الرَّحْمَٰنُ مَا عَبَدْنٰهُم

Dan mereka berkata: “Kalaulah Allah Yang Maha Pemurah menghendaki, tentulah kami tidak menyembah mereka itu”.

Musyrikin akan beri hujah mereka: Kalau bukan Allah SWT yang kehendaki, tidaklah kami puja malaikat, Nabi atau wali-wali selain Allah SWT itu. Ini adalah satu alasan yang selalu digunakan oleh manusia yang ingkar. Mereka kata apa yang mereka buat itu semuanya adalah atas kehendak Allah SWT.

Kalau Allah SWT tidak suka, tentunya perkara itu tidak terjadi. Maknanya, mereka menyalahkan Allah SWT pula. Mereka kata, mereka buat syirik itu kerana Allah SWT hendak mereka buat begitu. Maknanya, mereka kata Allah SWT suka mereka buat syirik!

Itulah salah faham manusia dan Allah telah menyebut kata-kata mereka dalam surah [ al-An’am: 107 ]:

وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ مَا أَشْرَكُوا

Dan kalau Allah menghendaki, nescaya mereka tidak mempersekutukanNya;

Ramai yang menggunakan hujah ini dalam menghalalkan perbuatan mereka. Ada yang kata: “Kalau Allah SWT takdirkan, tentu aku akan solat”, “Kalau Allah SWT hendak aku jadi baik, tentu Dia dah jadikan aku orang baik”, “Aku jadi begini sebab Allah SWT takdirkan aku jadi begini lah…”.

Macam-macam lagi hujah-hujah batil yang mereka berikan. Mereka tidak faham dengan maksud takdir Allah SWT. Mereka keliru dengan Qada’ dan Qadar. Mereka tidak faham apakah perbezaan antara apa yang Allah SWT suka, dan apa yang Allah SWT benarkan.

Kalau Allah SWT benarkan sesuatu perkara yang salah terjadi, bukanlah ia bermakna Allah SWT suka. Allah SWT boleh sahaja membenarkan sesuatu perkara itu terjadi tetapi dalam keadaan Allah SWT murka kerana kalau manusia hendak sangat buat perkara mungkar, Allah SWT akan benarkan. Namun akan dikenakan dengan balasan di akhirat kelak!

Hanya perkara yang Allah SWT suruh kita buat sahaja yang boleh dikira Allah SWT suka dengan perbuatan itu. Oleh kerana perasaan beginilah yang menyebabkan orang kafir terus berada dalam kekafiran. Lihatlah penganut Hindu pada Hari Thaipusam mereka.

Mereka akan menanggung Kavadi yang amat berat sambil dicucuk-cucuk tubuh mereka. Selepas dicabut Kavadi dari tubuh mereka, tubuh mereka tidak berdarah langsung dan tidak jadi apa-apa. Molek sahaja keadaan mereka – tidak ada luka, tidak ada sakit apa-apa.

Perjalanan majlis syirik mereka itu juga berjalan dengan lancar sahaja. Tidaklah ada guruh gempita, taufan juga tidak turun. Tidaklah terjadi macam dalam filem Hindustan, bila Dewa tidak suka, ribut sabung-menyabung.

Pada mereka, kalau Tuhan tidak menahan atau melarang perbuatan mereka yang sebegitu, tentulah pada mereka, itu menunjukkan yang Tuhan suka dengan perbuatan mereka itu. Sudahlah perbuatan mereka itu tidak dihalang oleh Tuhan, ia ‘menjadi’ pula iaitu tujuan mereka melakukan upacara Thaipusam dan Kavadi itu adalah untuk menambahkan rezeki mereka.

Pada tahun itu, memang rezeki mereka semakin banyak pula! Tentulah mereka lebih yakin lagi bahawa Tuhan suka dengan apa yang mereka lakukan. Mereka kata, kalau Tuhan tidak suka, tidaklah Dia akan berikan apa yang mereka mahu. Jadi, manusia ada menggunakan alasan yang apa yang mereka lakukan itu ‘menjadi’, maka ia tentulah benar.

Orang kita pun banyak menggunakan hujah yang sama. Sebagai contoh, ada yang mengamalkan ilmu keramat seperti Ilmu Kebal, Ilmu Menghilangkan Diri, Menunduk Orang dan sebagainya. Mereka mendapat kelebihan itu selepas mereka melakukan sesuatu amalan dan selalunya juga, selepas mereka berpantang dari makan sesuatu jenis makanan.

Apabila apa yang mereka kehendaki itu menjadi, maka bertambah yakinlah mereka yang amalan mereka itu benar. Pada mereka, kalau menjadi, bermakna betullah amalan itu.

Ingatlah bahawa sesuatu amalan itu ‘menjadi’, bukanlah dalil bahawa apa yang mereka lakukan itu benar. Ini telah dijelaskan dalam Surah Fussilat. Mereka yang buat amalan yang salah seperti berQasidah di stadium pula berkata: Kalau salah, takkan ramai yang datang. Stadium tidak runtuh pun! Allah SWT suka dengan apa yang kami lakukan, sebenarnya.

Itulah kejahilan mereka dan kejahilan mereka itu kerana tidak belajar. Begitulah manusia, apabila tidak belajar senang ditipu. Apabila ada yang kata mereka keturunan Nabi, semua pakat percaya dan ikut sahaja.

مَّا لَهُم بِذَٰلِكَ مِنْ عِلْمٍ

Mereka tidak mempunyai sesuatu pengetahuan pun tentangnya

Mereka berkata-kata dan berhujah tanpa ilmu pengetahuan. Mereka tidak tahu tentang syirik. Mereka tidak belajar, macam orang-orang kita juga. Mereka pandai berkata-kata sahaja, tetapi ia keluar dari akal yang jahil.

Keduanya, mereka yang berkata tentang anak perempuan Allah SWT itu tidak ada langsung ilmu tentangnya. Mereka hanya mengikut sahaja apa yang dikatakan oleh tok nenek dan guru-guru mereka. Mereka tidak ada ilmu. Mereka sendiri tidak mahu belajar.

إِنْ هُمْ إِلَّا يَخْرُصُونَ

mereka hanyalah orang-orang yang berdusta!

Apabila mereka tidak boleh bawa dalil tentang hal agama, maka mereka dikira sebagai berdusta. Apa yang mereka keluarkan sebagai hujah itu adalah tanggapan dan agakkan sahaja. Ia tidak lebih dari andaian sahaja. Mereka sahaja yang sangka hujah mereka betul.

Oleh itu, bagaimana pula dengan masyarakat kita yang mengatakan banyak perkara dalam hal agama, tetapi tidak boleh bawa dalil, melainkan mereka kata: “ada dalam kitab itu dan ini”, “ustaz itu kata itu dan ini”.

Ramai juga yang menggunakan akal mereka sahaja – mereka agak-agak sahaja yang sesuatu perkara itu benar. Itu semua adalah hujah yang bathil dan tidak ada nilai. Itu semua adalah dusta!

Tafsir Ayat ke-21

Allah SWT ajar lagi kita bagaimana berhujah dengan penentang kebenaran,iaitu minta dalil dari mereka.

أَم ءآتَينٰهُم كِتٰبًا مِّن قَبلِهِ فَهُم بِهِ مُستَمسِكونَ

Pernah kah Kami memberikan mereka sebelum al-Quran ini sebuah Kitab (yang membenarkan dakwaan mereka), lalu mereka berpegang teguh kepada kitab itu?

 أَمْ آتَيْنٰهُمْ كِتٰبًا مِّن قَبْلِهِ

Atau pernah kah Kami memberikan mereka sebuah Kitab sebelum al-Quran ini

Apakah dalil mereka yang membenarkan dakwaan mereka, apabila mereka kata Allah SWT suka dengan perbuatan syirik mereka itu atau tentang malaikat itu anak perempuan Allah SWT? Adakah mereka merujuk kepada kitab dari Allah SWT yang membenarkannya? Adakah?

Tentulah tidak ada. Bangsa Arab tidak pernah mendapat kitab. Kalau mereka ada kitab wahyu lain, bolehlah hendak buat kira dan bawa berbincang, tetapi tidak ada juga.

Mereka itu pakai hujah akal mereka sahaja, tetapi malangnya ramai dari kalangan masyarakat kita juga pakai hujah akal sahaja. Bila hendak berhujah dalam hal agama, mereka boleh pakai akal sahaja sedangkan agama ini kita kena bawa dalil.

فَهُم بِهِ مُسْتَمْسِكُونَ

lalu mereka berpegang teguh kepada kitab itu?

Mereka tidak ada Kalam Allah SWT langsung untuk membenarkan kata-kata mereka. Mereka cuma ikut kata guru mereka dan tok nenek mereka sahaja.

Tidak ada kitab langsung yang boleh menyokong dakwaan mereka itu. Padahal kalau kitab-kitab dahulu seperti Taurat dan Injil melarang kepada perbuatan syirik. Ini mengajar kita bahawa dalil yang sah adalah dari wahyu Allah SWT.

Tafsir Ayat ke-22

Kalau mereka tidak ada dalil kepada perbuatan syirik mereka, maka apakah hujah mereka? Ini adalah dalihan mereka lagi untuk membenarkan apa yang mereka lakukan. Lihatlah bagaimana hujah ini juga dikeluarkan oleh orang kita juga.

بَل قالوا إِنّا وَجَدنا ءآباءَنا عَلىٰ أُمَّةٍ وَإِنّا عَلىٰ ءآثٰرِهِم مُّهتَدونَ

(Tidak ada sebarang bukti bagi mereka) bahkan mereka (hanyalah) berkata: Sesungguhnya kami telah mendapati datuk nenek kami menurut satu jalan agama, dan sesungguhnya kami beroleh petunjuk menurut jejak mereka sahaja”.

بَلْ قَالُوا إِنَّا وَجَدْنَا ءآبَاءَنَا عَلَىٰ أُمَّةٍ

Bahkan mereka berkata: Sesungguhnya kami telah mendapati datuk nenek kami menurut satu jalan ugama,

Kalimah أُمَّةٍ boleh bermaksud banyak perkara dan dalam ayat ini bermaksud ‘agama’.

Kalau kita tanya kepada mereka kenapa mereka beramal dengan apa yang mereka amalkan, mereka akan kata kerana mereka ikut apa yang dilakukan oleh tok nenek mereka dan kalau ditanya kepada tok nenek mereka, tok nenek itu akan kata mereka juga ikut apa yang dilakukan oleh tok nenek mereka pula.

Mereka juga merujuk kepada guru-guru dan ustaz-ustaz mereka yang telah berlalu. Guru-guru itu telah mati tetapi ajaran salah mereka masih ada lagi. Hujah dari datuk nenek ada dua jenis: ada yang benar dan ada yang salah.

Kalau yang benar dan disandarkan kepada dalil maka kita bolehlah hendak ikut tetapi kita kena ingat, bukan semua boleh diikuti. Kena ikut yang benar dan macam mana kita hendak tahu mana betul atau salah? Kena bandingkan dengan al-Quran dan hadis tetapi ramai tidak buat bandingan, mereka pakai ikut sahaja.

Ini kerana mereka sendiri tidak belajar tafsir al-Quran, jadi macam mana mereka hendak tahu mana salah dan benar? Beginilah yang banyak terjadi kepada masyarakat kita. Mereka hanya mengikut sahaja. Mereka telah dilahirkan dalam suasana agama yang sebegitu, dan mereka tidak pernah mempersoalkan.

Mereka tidak menggunakan akal mereka yang waras dan kritis. Mereka ikut buta sahaja. Sebagai contoh, dari kecil lagi mereka telah melalui Majlis-majlis Tahlil, Doa Selamat dan Kenduri Arwah. Jadi, kerana mereka lahir-lahir dan membesar dalam suasana bidaah, mereka rasa bidaah itulah yang benar tetapi hendak bagi sedap sikit, mereka katalah itu ‘bidaah hasanah’.

وَإِنَّا عَلَىٰ ءآثٰرِهِم مُّهْتَدُونَ

dan sesungguhnya kami merasa mendapat petunjuk menurut jejak mereka sahaja”.

Mereka ikut apa yang diajar dan dibuat oleh orang-orang terdahulu dan mereka rasa apa yang mereka lakukan itu adalah betul. Mereka rasa jalan itu adalah jalan yang mendapat petunjuk. Mereka rasa kalau orang dahulu buat begitu, tentu tidak salah apa yang mereka lakukan.

Mereka amat menghormati apa yang dilakukan oleh orang-orang terdahulu. Kalau kita tegur mereka, mereka akan marah dan mereka berkata: “Takkan kamu hendak kata mereka dulu itu masuk neraka semuanya?” Mereka juga mungkin berkata: “benda ini ulama dulu sudah lama bahas, kenapa hendak ditimbulkan lagi?”.

Ingatlah bahawa dalil kita bukanlah amalan orang terdahulu tetapi dari al-Quran dan Sunnah. Kalau apa yang dilakukan oleh orang yang terdahulu itu tidak dapat disokong dengan dalil yang sahih, maka tinggalkanlah dahulu.

Tafsir Ayat Ke-23

Dalam ayat sebelum ini telah disebut bagaimana orang-orang Musyrikin Mekah itu hanya ikut amalan tok nenek mereka sahaja. Bukan mereka sahaja yang kata begitu, malah orang-orang kufur sebelum mereka turut berkata begitu juga, sama sahaja. Orang sekarang juga termasuk kebanyakan dari masyarakat Melayu kita turut berkata perkara yang sama juga kerana akidah mereka sama sahaja, akidah kufur.

وَكَذٰلِكَ ما أَرسَلنا مِن قَبلِكَ في قَريَةٍ مِّن نَّذيرٍ إِلّا قالَ مُترَفوها إِنّا وَجَدنا ءآباءَنا عَلىٰ أُمَّةٍ وَإِنّا عَلىٰ ءآثٰرِهِم مُّقتَدونَ

Dan demikianlah halnya (orang-orang yang taqlid buta); Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) kepada (penduduk) sesebuah negeri, seseorang Rasul pemberi amaran, melainkan orang-orang yang berada dalam kemewahan di negeri itu berkata: “Sesungguhnya kami dapati datuk nenek kami menurut satu jalan ugama, dan sesungguhnya kami hanya mengikut jejak mereka sahaja”.

وَكَذَٰلِكَ مَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ فِي قَرْيَةٍ مِّن نَّذِيرٍ

Dan demikianlah; Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) kepada (penduduk) sesebuah negeri, seseorang Rasul pemberi amaran,

Allah SWT telah menghantar Rasul kepada setiap negeri dan tempat, untuk menyampaikan ajaran tauhid dan cara menjalankan kehidupan. Kalau zaman sekarang, tidak ada Rasul lagi, maka yang menyampaikan ajaran tauhid kepada umat adalah penyebar-penyebar tauhid.

Itulah guru-guru yang mengajar Tafsir al-Quran dan juga Sunnah Nabi SAW. Mereka meluangkan masa dan tenaga untuk mengeluarkan manusia dari kesesatan syirik tetapi, setelah mereka datang dan menyampaikan, apa yang terjadi apabila penyebar tauhid itu sampai? Adakah manusia menerima mereka dengan tangan terbuka?

إِلَّا قَالَ مُتْرَفُوهَا إِنَّا وَجَدْنَا ءآبَاءَنَا عَلَىٰ أُمَّةٍ

melainkan orang-orang yang hidup mewah di negeri itu berkata: “Sesungguhnya kami dapati datuk nenek kami menurut satu jalan ugama,

Akan ada sahaja yang menentang. Mereka yang berkata begitu adalah orang yang ada kedudukan dalam masyarakat. Mereka hidup mewah dalam dunia. Mereka hidup kaya kerana cara hidup yang diamalkan dalam masyarakat itu. Kalau agama ditegakkan, maka mereka akan hilang punca pendapatan mereka.

Maka mereka tidak suka kalau agama yang benar ditegakkan. Sebagai contoh, kalau semua amalan bidaah tidak dilakukan lagi oleh masyarakat, maka hilanglah pendapatan ustaz-ustaz, guru-guru dan tok imam dalam menjadi kepala Majlis Tahlil, Doa Selamat, Baca Talqin, Solat Hajat dan macam-macam lagi.

Itulah sebabnya mereka marah benar kalau dikacau amalan-amalan itu. Mereka akan kata yang mereka memegang pegangan agama yang telah lama ada dan diamalkan oleh masyarakat mereka. Sebagai contoh, mereka sudah mengamalkan Majlis Tahlil dari dulu lagi. Kalau ditanya mereka belajar dengan siapa amalan itu, mereka akan kata dengan guru atau orang dulu-dulu.

Apabila ditanya orang dulu belajar dengan siapa, mereka sudah tidak tahu. Maknanya, hujungnya tidak tahu siapa yang mula-mula mengajar. Maknanya, tidak tahu siapa yang mula-mula ‘reka’ amalan itu dan amalan Majlis Tahlil ini hanya diamalkan di daerah Nusantara kita ini sahaja – Malaysia, Indonesia dan Pattani.

Kajian yang dilakukan setakat ini, hanya sampai kepada ajaran Wali Songo di Indonesia sahaja. Kemungkinan merekalah yang memulakannya.

Banyak amalan agama yang diamalkan oleh masyarakat kita sekarang, tidak tahu asal usulnya. Macam sekarang, semua orang memanggil nama Nabi SAW dengan panggilan Sayyidina tetapi tidak tahu siapakah yang mula-mula sekali menggunakan gelaran itu untuk Nabi SAW.

Namun yang pastinya, Nabi SAW tidak menggelar diri baginda begitu, dan para sahabat juga tidak menggelar baginda SAW begitu, termasuklah isteri-isteri baginda SAW. Padahal, mereka lagi sayang kepada baginda SAW, lagi hormat kepada baginda. Nabi SAW juga tidak pernah suruh dipanggil begitu, sebaliknya, kalau dilihat kepada hadis yang ada, terdapat larangan dari baginda SAW untuk menggelar baginda dengan gelaran ‘Sayyid’.

Abdullah bin al-Syikhir radhiallahu ‘anh berkata: Aku bersama rombongan Bani ‘Amir telah berkunjung menemui Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. (Ketika bertemu) kami berkata: “Anda sayyidina.” Namun Rasulullah SAW terus membalas: “al-Sayyid ialah Allah Tabaraka wa Ta’ala.” Lalu kami berkata: “Namun anda adalah yang paling utama dan paling mulia di antara kami!”

Rasulullah SAW menjawab: “Berkatalah dengan apa yang kalian katakan atau sebahagian dari apa yang kalian katakan, akan tetapi janganlah kalian terpengaruh dengan syaitan.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 4172/4806]

Dan di dalam hadis yang lain:

Anas bin Malik radhiallahu ‘anh berkata, bahawa seorang lelaki berkata: “Wahai Muhammad! Wahai Sayyidina dan wahai putera sayyidana! Orang yang terbaik di antara kami dan putera orang yang terbaik di antara kami!”

Maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Wahai manusia! Aku mengingatkan kalian untuk bertaqwa, janganlah sehingga kalian terikut-ikut dengan syaitan. Aku Muhammad bin Abdullah, hamba Allah dan Rasul-Nya. Demi Allah! Aku tidak menyukai kalian mengangkatku lebih tinggi daripada kedudukan yang telah Allah berikan kepadaku.” [Musnad Ahmad, no: 12551 dan sanadnya dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakannya]

Begitulah kalau kita tanya kepada mereka kenapa mereka melakukan amalan yang tidak ada dalil itu, iaitu amalan-amalan bidaah. Mereka akan beri jawapan yang sama sahaja. Iaitu amalan mereka itu bukanlah baru, tetapi telah lama diamalkan. Ia telah lama diamalkan oleh tok nenek mereka.

وَإِنَّا عَلَىٰ ءآثٰرِهِم مُّقْتَدُونَ

dan sesungguhnya kami atas jejak mereka, kami ikuti”.

Mereka akan ikut tanpa usul periksa lagi. Pada mereka, itulah cara mengamalkan agama yang betul. Walaupun mereka tidak boleh beri dalil untuk amalan mereka itu, mereka hendak ikut juga.

Mereka rasa kalau telah lama diamalkan oleh tok nenek, oleh guru-guru dahulu, tentulah ia benar tetapi lihatlah, dalam hal agama sahaja mereka ikut cara lama. Kalau hal kehidupan, tidak pula. Kalau hendak makan, mereka akan cari makanan jenis baru.

Mereka hendak kenderaan, mereka akan pakai kenderaan yang hebat-hebat kerana mereka kata, ada cara yang lebih baik dari orang-orang dahulu kerana mereka akan kata, dari kajian sains, ada cara yang lebih baik tetapi kenapakah dalam amalan agama, mereka hendak pakai amalan tok nenek juga?

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan