Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Asy-Shura – Tafsir Ayat Ke-46 hingga Ke-49

Tafsir Surah Asy-Shura – Tafsir Ayat Ke-46 hingga Ke-49

505
0
Iklan

Tafsir Surah Asy-Shura

Tafsir Ayat Ke-46:

وَما كانَ لَهُم مِّن أَولِياءَ يَنصُرونَهُم مِّن دونِ اللهِ ۗ وَمَن يُضلِلِ اللهُ فَما لَهُ مِن سَبيلٍ

Dan tiadalah bagi mereka sebarang penolong – yang lain dari Allah – yang dapat memberikan pertolongan kepada mereka; dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah (disebabkan pilihannya yang salah) maka tidak ada baginya sebarang jalan (untuk mendapat hidayah petunjuk).

وَمَا كَانَ لَهُم مِّنْ أَوْلِيَاءَ

Dan tiadalah bagi mereka sebarang penolong

Kalau dalam dunia, kita ada penolong kita – keluarga kita, orang bawahan kita, kawan-kawan kita dan sebagainya, tetapi di akhirat kelak, tidak ada penolong langsung.

Ayat ini untuk mematahkan harapan mereka yang merasakan ada pemberi syafaat yang akan membantu mereka. Allah hendak tegaskan yang tidak sesiapa pun yang akan membantu mereka.

يَنصُرُونَهُم مِّن دُونِ اللهِ

yang dapat memberikan pertolongan kepada mereka – yang lain dari Allah

Kalau orang-orang yang melakukan kezaliman di dunia, mereka ada penolong mereka, juak mereka, yang akan beri pertolongan dan bantuan kepada mereka. Kalau semasa di dunia, ada yang kenal dengan orang itu, orang ini, politik sana politik sini.

Tetapi di akhirat nanti, mereka tidak ada sesiapa yang akan sokong mereka, tolong mereka. Tinggallah mereka keseorangan. Yang kita boleh harapkan hanyalah Allah SWT sahaja.

Jika kita tidak taat kepada perintah Allah SWT, kita lawan ayat-ayat-Nya, bagaimana hendak mengharap pertolongan dari Allah SWT?

وَمَن يُضْلِلِ اللهُ

dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah

Iaitu mereka yang ditutup hati mereka untuk menerima kebenaran. Ini adalah kerana mereka menentang dan menolak hidayah apabila hidayah sampai kepada mereka.

Apabila mereka menolak berkali-kali, apabila sudah sampai kepada kesesatan peringkat keempat, Allah SWT akan bawa mereka kepada kesesatan.

Janganlah kita sangka yang Allah SWT terus takdirkan sesiapa jadi sesat dari mula lagi, tidak. Allah SWT akan beri peluang kepada manusia.

Namun, apabila mereka sentiasa menolak, barulah Allah SWT kunci mati hati mereka dari menerima kebenaran. Kunci mati hati itu dinamakan Khatmul Qalbi – itulah kesesatan peringkat keempat dan terakhir sekali.

فَمَا لَهُ مِن سَبِيلٍ

maka tidak ada baginya sebarang jalan

Mereka tidak akan mendapat jalan untuk menyelamatkan mereka di dunia dan juga di akhirat kerana perkataan سَبِيلٍ itu boleh merujuk kepada jalan di dunia dan juga jalan di akhirat.

Mereka tidak akan jumpa jalan kebenaran lagi. Walaupun mereka diberikan dengan berbagai dalil dan hujah, mereka tidak nampak. Ramai orang yang sebegini.

Kita telah beri ayat al-Quran yang berbagai-bagai, yang telah jelas; kita sudah beri mereka hadis-hadis yang sahih. Kemudian kita terangkan lagi dalam bahasa yang mudah difahami, tetapi mereka masih lagi tidak nampak kerana jalan kepada iman telah ditutup kepada mereka.

Mereka dulu asyik menolak. Mereka bukan sahaja tolak tetapi mereka menentang sekali – melawan mereka yang bawa dakwah tauhid itu.

Apabila sudah banyak kali menentang, mereka akan ditutup dari menerima kebenaran.

Tafsir Ayat Ke-47

Untuk menyelamatkan diri dari menghadapi nasib yang amat teruk di akhirat, maka ambillah peluang sementara masih hidup ini.

استَجيبوا لِرَبِّكُم مِّن قَبلِ أَن يَأتِيَ يَومٌ لّا مَرَدَّ لَهُ مِنَ اللهِ ۚ ما لَكُم مِّن مَّلجَإٍ يَومَئِذٍ وَما لَكُم مِّن نَّكيرٍ

Sahut dan sambutlah seruan Tuhan kamu (yang mengajak kamu beriman), sebelum datangnya dari Allah – hari yang tidak dapat ditolak; pada hari itu tidak ada bagi kamu tempat berlindung (dari azabNya), dan tidak ada pula bagi kamu sebarang alasan untuk menafikan (kesalahan yang kamu telah lakukan).

اسْتَجِيبُوا لِرَبِّكُم

sambutlah seruan Tuhan kamu,

Sambutlah dan ikutlah ajakan tauhid yang Allah telah sampaikan dalam ayat-ayat-Nya. Ajakan dan ajaran tauhid itu banyak terdapat dalam al-Quran.

Dan disebut dengan jelas sekali, sampaikan tidak perlu kepada kitab atau hadis pun untuk menerangkannya kerana ia amat jelas sekali.

Yang tidak jelas hanyalah kepada mereka yang tidak mahu belajar sahaja. Maka, hendaklah belajar tafsir al-Quran supaya kita boleh faham.

Sambut itu juga bermakna, apabila kita telah belajar dan tahu, maka hendaklah kita taat kepada-Nya. Segala arahan-Nya kita ikut, dan segala larangan-Nya kita tinggalkan. Jangan setakat faham sahaja, tetapi kena terima sekali.

مِّن قَبْلِ أَن يَأْتِيَ يَوْمٌ لَّا مَرَدَّ لَهُ مِنَ اللهِ

sebelum datangnya dari Allah – hari yang tidak dapat ditolak;

Apakah hari yang tidak dapat ditolak itu? Itulah hari kita mati. Ini maksud yang pertama.

Keduanya, dimaksudkan Hari Kiamat.

Kalimah مَرَدَّ bermaksud ‘memulangkan’. Seperti kalau ada orang memberi hadiah kepada kita, kita boleh tolak hadiah itu dengan ‘memulangkan’ hadiah itu.

Tetapi apabila Allah SWT telah memulakan kematian seseorang atau memulakan hari kiamat tidak ada sesiapa yang boleh memulangkan atau menolak proses itu. Tidak ada sesiapa yang boleh menghalang kematian atau hari kiamat itu dari terjadi.

مَا لَكُم مِّن مَّلْجَإٍ يَوْمَئِذٍ

pada hari itu tidak ada bagi kamu tempat berlindung,

Kalimah مَّلْجَإٍ dari kata dasar لجء yang bermaksud ‘berlindung di dalam kubu’. مَّلْجَإٍ bermaksud tempat berlindung terutama sekali berlindung dari musuh.

Ini adalah kerana di Mahsyar nanti, ianya adalah tanah datar sejauh mata memandang, tiada lubang untuk kita masuk menyorok ke dalamnya atau bukit/tempat tinggi yang kita boleh berselindung di sebaliknya.

وَمَا لَكُم مِّن نَّكِيرٍ

dan tidak ada pula bagi kamu sebarang alasan untuk menafikan

Kalimah نَّكِيرٍ dari kata dasar نكر yang boleh bermaksud ‘ganjil’ atau ‘tidak disukai’. نَّكِيرٍ dalam ayat ini bermaksud ‘menafikan’.

Tidak ada sesiapa pun yang boleh menafikan hari Kiamat dari berlaku, menafikan dosa mereka pada hari itu, menafikan hukuman yang dikenakan oleh Allah SWT.

Kalimah نَّكِيرٍ juga boleh bermaksud seseorang yang menolong kita.

Maknanya pada Hari Kiamat itu nanti, tidak akan ada sesiapa pun yang boleh menolong kita dan menyelamatkan kita daripada azab Allah SWT. Keluarga kita pun tidak boleh hendak tolong kita.

Mereka pun tidak kisah dengan kita kerana mereka pun sibuk dengan hal mereka.

Maknanya, kita tidak boleh mengharap orang lain di akhirat kelak. Kita cuma boleh berharap kepada iman dan amal kita sahaja.

Maka beramallah dengan sebaik-baiknya supaya kita tidak menyesal di sana nanti. Kerana kita pasti akan menghadapinya.

Tafsir Ayat Ke-48:

Ada Tasliah dan ada Zajrun dalam ayat ini.

فَإِن أَعرَضوا فَما أَرسَلناكَ عَلَيهِم حَفيظًا ۖ إِن عَلَيكَ إِلَّا البَلاغُ ۗ وَإِنّا إِذا أَذَقنَا الإِنسانَ مِنّا رَحمَةً فَرِحَ بِها ۖ وَإِن تُصِبهُم سَيِّئَةٌ بِما قَدَّمَت أَيديهِم فَإِنَّ الإِنسانَ كَفورٌ

Oleh itu, jika mereka berpaling ingkar, maka Kami tidak mengutus mu (wahai Muhammad) sebagai pengawas terhadap mereka; tugas mu tidak lain hanyalah menyampaikan (apa yang diperintahkan kepada mu). Dan (ingatlah) sesungguhnya apabila Kami memberi manusia merasai sesuatu rahmat dari Kami, ia bergembira dengannya; dan (sebaliknya) jika mereka ditimpa sesuatu kesusahan disebabkan dosa-dosa yang mereka lakukan, maka (mereka segera membantah serta melupakan rahmat yang mereka telah menikmatinya, kerana) sesungguhnya manusia itu sangat tidak mengenang nikmat-nikmat Tuhannya.

فَإِنْ أَعْرَضُوا

Oleh itu, jika mereka berpaling ingkar,

Iaitu mereka yang setelah diberikan dengan berbagai-bagai hujah, berbagai-bagai dalil, mereka masih juga tidak mahu terima, masih menolak.

Malah, ada yang menentang dan mengejek kita. Macam Abu Jahal yang menentang dan mengejek Rasulullah SAW.

Biasa sangat kita jumpa orang sebegini. Mereka masih juga hendak pakai pemahaman mereka yang mereka belajar dahulu.

Mereka masih juga hendak pakai kata guru mereka, ustaz mereka, kitab karangan manusia.

Mereka masih juga hendak pakai amalan tok nenek yang telah lama diamalkan dalam masyarakat. Antaranya, Solat Hajat dan Majlis Tahlilan.

Maka, apakah kata Allah tentang mereka ini?

فَمَا أَرْسَلْنَاكَ عَلَيْهِمْ حَفِيظًا

maka Kami tidak mengutus mu sebagai penjaga terhadap mereka;

Tidak diutuskan sebagai ‘penjaga’ bermaksud Nabi Muhammad SAW tidak boleh paksa mereka beriman; tidak boleh hendak jaga setiap amalan mereka; tidak boleh hendak hukum mereka kalau mereka buat amalan yang salah.

Maka, janganlah baginda bersedih kalau mereka tidak mahu ikut dakwah baginda.

Kita pun begitu juga. Jangan kata orang lain, anak kita sendiri pun kita tidak boleh jaga dan paksa untuk beramal dengan amalan sunnah.

Kita boleh suruh dan paksa mereka solat kalau mereka ada dengan kita, tetapi belakang kita? Waktu kita tidak ada bersama mereka? Kalau tinggal dengan kita, bolehlah kita rotan mereka, kalau mereka keluar dengan kawan-kawan, duduk di asrama, bagaimana?

Kalau dengan anak sendiri tidak boleh, apatah lagi dengan orang lain.

Maka, tidaklah kita dipersalahkan kalau mereka buat kesalahan. Sebab kita telah pesan kepada mereka dan dedahkan mereka kepada kebenaran dari al-Quran dan Sunnah, mereka sahaja tidak mahu terima. Apakah tugas kita sebenarnya?

إِنْ عَلَيْكَ إِلَّا الْبَلَاغُ

sesungguhnya ke atas mu tidak lain, hanyalah menyampaikan

Inilah tasliah dalam ayat ini. Tugas Nabi dan tugas kita adalah hanya menyampaikan sahaja. Dan kena sampaikan semua sekali ayat-ayat al-Qur’an.

Kita pun begitu juga. Kita hendaklah menjalankan kewajiban dakwah kepada manusia. Itu sahaja.

Sama ada hidayah itu sampai atau tidak, bukan urusan dan bukan dalam daya kita. Allah SWT sahaja yang boleh memberi mereka faham dan masukkan iman ke dalam diri mereka. Kita cuma kena sampaikan kepada semua orang.

Kita tidak tahu siapakah yang akan tolak dan siapakah yang akan terima. Memang kita akan bersedih apabila orang tidak terima malah menolak dakwah kita, tetapi Allah SWT pujuk dengan beritahu kita yang tugas kita hanya sampaikan sahaja.

Yang dapat memberi faham dan menyampaikan hidayah kepada makhluk hanyalah Allah SWT sahaja.

Sebab itulah kadang-kadang ada yang mudah terima dan ada yang tidak. Walaupun dalil yang sama diberikan kepada mereka kerana tidak sama penerimaan manusia dengan manusia yang lain.

Ramai yang tidak faham atau tidak ambil berat kewajiban berdakwah. Ramai yang belajar agama tapi mereka tidak ajak orang lain. Mereka macam hendak lepaskan diri sendiri sahaja.

Padahal ramai manusia yang tidak tahu ilmu agama. Ramai yang tidak faham sebenarnya. Mereka dulu belajar sekolah agama semasa di sekolah rendah dan menengah, dan itu sahaja yang mereka pegang sampailah mereka dewasa. Namun, apa yang mereka belajar di sekolah itu tidak cukup lagi.

Banyak lagi yang kita kena belajar sebenarnya. Pembelajaran agama ini berterusan sampai kita mati. Tetapi masalahnya, apabila yang sudah belajar pula yang tidak beritahu kepada yang tidak belajar.

Mereka ‘simpan’ ilmu. Mungkin mereka segan, mungkin mereka malas, mungkin mereka sangka mereka belum cukup ilmu untuk menyampaikan, atau apa-apa sahaja alasan.

Itu semua adalah alasan yang salah. Allah dan Nabi banyak mengingatkan kita untuk menyampaikan. Kalau sikit yang kita tahu, maka sikitlah yang kita sampaikan. Jangan biarkan masyarakat kita terus berada dalam kejahilan.

Sampaikan dakwah kepada mereka. Kalau anda tidak pandai berkata, sampaikan tulisan ini; ajak mereka ke kelas agama (yang berlandaskan al-Quran dan Sunnah).

Jangan pula ada guru yang menahan anak muridnya dari menyampaikan kepada orang lain. Jangan pula ada guru yang meletakkan syarat yang tidak patut-patut – umpamanya ada guru yang kata anak murid kena belajar sampai habis tafsir dan kitab hadis, baru boleh mengajar.

Siapa yang ajar begitu? Adakah kamu buat pemahaman kamu sendiri? Adakah kamu hendak halang manusia dari berdakwah?

Dalam kita belajar, pastikan kelas pembelajaran itu adalah dari pembelajaran yang benar. Janganlah pula kita terjerumus ke dalam kesilapan memilih pengajian.

Banyak orang yang mahukan ilmu agama. Keinginan sudah ada, tetapi kalau tersalah pilih, menjadi masalah pula.

Sebagai contoh, ada juga pergerakan yang membuat kelas tafsir Quran. Gerakan ini diberi berbagai nama. Ada yang panggil mereka Pemuda al-Kahfi, Kumpulan ad-Din, NII (Negara Islam Indonesia), N11 dan ada juga yang menamakan mereka Tafsir MLM.

Mereka dinamakan MLM kerana setiap ahli dari kumpulan ini mesti mencari lima orang ‘kaki’.

Mereka menamakan diri mereka Pemuda al-Kahfi (pemuda gua – mengambil nama dari Surah al-Kahfi) kerana mereka amat berahsia dalam pengajaran mereka kerana mereka kata kalau ramai orang yang tahu, pihak kerajaan akan menangkap mereka.

Memang mereka kena rahsiakan pergerakan mereka kerana pengajaran mereka adalah pengajaran yang sesat. Mereka juga dinamakan sebagai NII (Negara Islam Indonesia) kerana mereka hendak membina Negara Islam di Indonesia.

Dari apa yang kita tahu, mereka ini hanya mahukan wang orang ramai. Mereka akan mencari orang yang ada kekuatan kewangan sahaja kerana mereka mengenakan bayaran untuk belajar.

Sampaikan untuk bertaubat pun kena bayar! Ingatlah, apabila satu-satu pengajaran itu berahsia, kita perlu berwaspada dengan mereka kerana ajaran-ajaran sesat memang akan hanya mengajar dalam rahsia kerana mereka tahu yang ajaran mereka itu tidak masuk akal dan akan diserang oleh mereka yang tahu.

Apabila ia berahsia, maka senanglah mereka untuk memilih orang-orang yang senang ditipu. Mereka akan suruh pelajar mereka berahsia, kerana mereka tahu yang kalau ajaran mereka didedahkan, tembelang mereka akan pecah.

Mereka hanya menggunakan terjemah al-Quran yang tertentu dan mereka mentafsir al-Quran berdasarkan kepada pemahaman mereka yang tidak langsung menggunakan tafsiran dari ulama-ulama Salaf.

Mereka tafsir berdasarkan ‘terjemahan’ dalam bahasa Melayu, sedangkan al-Quran itu dalam bahasa Arab.

Antara yang mereka kata, kisah tentang Sapi Betina dalam surah Baqarah itu adalah suruhan Allah untuk mencari ‘orang yang kaya’ untuk belajar dengan mereka. Mereka memang mencari orang yang berkedudukan atau nampak berharta kerana mereka hendakkan duit orang.

Inilah yang kita takut. Kita takut orang yang ingin belajar agama tetapi mereka ditipu oleh mereka yang jahil atau yang mencari peluang untuk mendapatkan benda yang lain. Mereka ini dikatakan masih aktif lagi.

 

وَإِنَّا إِذَا أَذَقْنَا الْإِنسٰنَ مِنَّا رَحْمَةً فَرِحَ بِهَا

Dan sesungguhnya apabila Kami memberi manusia merasai sesuatu rahmat dari Kami, ia sangat bergembira dengannya;

Inilah bahagian zajrun dalam ayat ini. Banyak sangat rahmat yang Allah SWT telah berikan kepada kita. Allah SWT gunakan perkataan رَحْمَةً dalam ayat ini kerana ia adalah ‘pemberian’ dari Allah SWT. Ia bukanlah sesuatu yang semestinya kita dapat.

Disebabkan Allah SWT sayang kepada kita lah yang menyebabkan Dia berikan رَحْمَةً itu kepada kita. Maka, bersyukurlah kita apabila kita dapat rahmat itu. Jangan pula kita marah kalau tidak dapat. Jangan kita marah Allah SWT sebab tidak beri rahmat dan rezeki kepada kita.

‘Rahmat’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘kesan’ dari ‘rahmat’ itu kerana rahmat yang sebenarnya adalah dapat masuk ke dalam syurga dan nikmat itulah yang dikehendaki oleh kebanyakan manusia. Mereka mahu kaya, sihat dan sebagainya.

Tentulah manusia akan gembira dengan nikmat. Tetapi ada yang gembira sangat sampai jadi sombong. Sebab dia sangka dia dapat kebaikan itu kerana usahanya. Padahal, pemberian itu adalah kerana رَحْمَةً dari Allah SWT. Ia adalah ‘pemberian’ dari Allah SWT kerana sifat Pemurah-Nya. Bukan kerana usaha makhluk itu.

Ada kegembiraan yang dibenarkan dan ada kegembiraan yang tidak dibenarkan, iaitu kalau gembira dengan ada sombong. Dan satu lagi, gembira sahaja guna nikmat yang Allah SWT berikan, tidak ikut apa yang disuruh lakukan, tetapi lawan pula. Mereka itu gembira tanpa haq. Mereka guna nikmat Allah SWT tetapi derhaka kepada Allah SWT.

Manusia itu gembira sangat sampaikan tidak bersyukur dengan pemberian Allah SWT. Gembira sampai sudah tidak ingat Allah SWT. Ini adalah jenis gembira yang salah.

Kenapa dalam potongan ayat sebelum ini disebut tentang mereka yang menolak ajakan dakwah, dan dalam potongan ayat ini tentang mereka yang gembira dengan pemberian Allah SWT? Apakah kaitannya?

Ini adalah kerana kadang-kadang yang menolak dakwah itu adalah kerana mereka sedang sibuk bergembira dengan kemewahan yang diberikan kepada mereka.

Sedang sibuk main golf, sibuk bersiar-siar ke luar negara, sibuk main PS3, dan macam-macam lagi sibuk mereka. Sibuk menggunakan harta yang Allah SWT berikan, sampai tidak ada masa hendak datang belajar. Mereka hendak bergembira sahaja.

وَإِن تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ

dan (sebaliknya) jika mereka ditimpa sesuatu kesusahan disebabkan dosa-dosa yang mereka lakukan,

Lihatlah beza dalam dua jenis pemberian Allah SWT itu. Apabila Allah SWT sebut tentang pemberian nikmat, ianya adalah atas رَحْمَةً (RahmatNya). Tetapi apabila menyebut tentang pemberian kesusahan, ia adalah kerana ‘dosa-dosa yang dilakukan’.

Maknanya, Allah SWT beri kesusahan itu pun kerana kesalahan mereka juga iaitu dosa manusia itu telah diubah dengan musibah semasa di dunia lagi. Antaranya, mereka rasa sempit dalam kehidupan dunia. Asyik tidak puas sahaja dalam apa yang mereka lakukan.

Mereka akan rasa letih mencari-cari apa yang mereka mahukan, tetapi tidak jumpa. Sebaliknya, orang beriman pula akan puas dengan apa yang mereka dapat. Walaupun mereka dapat sikit sahaja tetapi mereka rasa puas.

فَإِنَّ الْإِنسٰنَ كَفُورٌ

maka sesungguhnya manusia itu menjadi kufur

Kalimah كَفُورٌ di dalam ayat ini bukanlah jadi kafir yang keluar dari Islam. Ia bermaksud mereka ‘menidakkan’ segala nikmat yang mereka dapat. Mereka tidak bersyukur dengan nikmat yang mereka selalu dapat.

Mereka tidak belajar pun wahyu Allah SWT untuk melihat apa yang patut mereka buat semasa mereka hidup di dunia.

Semasa mereka sedang ditimpa kesusahan, mereka sebenarnya masih lagi menerima nikmat-nikmat yang lain.

Tetapi mereka cakap macam mereka hanya dapat susah sahaja. Dan mereka menidakkan segala pemberian Allah SWT sebelum itu. Padahal, telah banyak nikmat yang mereka dapat.

Semua itu adalah dari pemberian Allah SWT juga, tetapi apabila ditahan satu nikmat sahaja, mereka sudah menidakkan segala nikmat yang diberikan kepada mereka selama ini.

Lihatlah hadis dari Sahih Bukhari, Kitab Iman yang memperkatakan perkara ini:

حَدَّثَنَا عَبْدُاللَّهِ بْنُ مَسْلَمَةَ عَنْ مَالِكٍ عَنْ زَيْدِ بْنِ أَسْلَمَ عَنْ عَطَاءِ بْنِ يَسَارٍ عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ {قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُرِيتُ النَّارَ فَإِذَا أَكْثَرُ أَهْلِهَا النِّسَاءُ يَكْفُرْنَ . قِيلَ أَيَكْفُرْنَ بِاللَّهِ ؟ قَالَ يَكْفُرْنَ الْعَشِيرَ وَيَكْفُرْنَ الإِحْسَانَ لَوْ أَحْسَنْتَ إِلَى إِحْدَاهُنَّ الدَّهْرَ ثُمَّ رَأَتْ مِنْكَ شَيْئًا قَالَتْ مَا رَأَيْتُ مِنْكَ خَيْرًا قَطُّ}

Telah menceritakan kepada kami Abdullah bin Maslamah dari Malik dari Zaid bin Aslam dari ‘Atho’ bin Yasar dari Ibnu ‘Abbas berkata, Nabi SAW bersabda: “Aku diperlihatkan neraka, ternyata kebanyakan penghuninya adalah wanita. Kerana mereka يَكْفُرْنَ (mengingkari)”. Ditanyakan kepada baginda: “Apakah mereka mengingkari Allah SWT?” Beliau bersabda:

“Mereka mengingkari pemberian suami, mengingkari kebaikan. Seandainya kamu berbuat baik terhadap seseorang dari mereka sepanjang masa, lalu dia melihat satu saja kejelekan darimu maka dia akan berkata: ‘aku belum pernah melihat kebaikan sedikit pun dari mu”.

Perkataan yang digunakan dalam hadis ini juga adalah ‘kufur’ – يَكْفُرْنَ. Ini adalah kerana mereka ‘kufur’ dengan kebaikan yang pernah dilakukan oleh suami mereka.

Bagaimana ini boleh terjadi, apakah contohnya? Mungkin ada kalangan kita yang kata begini apabila bertelagah dengan suami: “Sejak kahwin dengan awak, saya tak pernah merasa senang!”.

Itulah contoh perkataan kufur mereka. Mereka memang susah waktu itu, tetapi selama-lama mereka berkahwin, takkan tidak pernah suaminya itu bercakap baik dengannya, belikan makanan kepadanya, belikan barang-barang kepadanya?

Tetapi si isteri itu menidakkan semua itu dengan berkata: “tak pernah merasa senang!”. Begitulah contohnya.

Dan bukan kepada wanita sahaja. Yang lain pun ramai juga mungkin berkata: “Kenapalah nasib aku begini, tak pernah rasa senang. Dari kecil sampai besar ni, susah sahaja memanjang…”.

Selain dari itu, ramai dari kalangan manusia apabila mereka tidak mendapat sesuatu, mereka akan meraung dan berkata: kenapa mereka tidak mendapatnya.

Ini adalah kerana mereka merasakan mereka ada ‘hak’ untuk mendapatnya, dan apabila ianya diambil nikmat itu seketika, mereka rasa seperti hak mereka telah diambil.

Kata-kata begini sebenarnya menidakkan firman Allah SWT yang mengatakan bahawa Dia lah yang memiliki langit dan bumi dan segala yang di dalamnya.

Kalau kita menidakkan Allah SWT sebagai Tuhan, itu adalah kufur Aqidah. Tetapi apabila kita menidakkan Allah SWT memiliki segala-galanya, itu adalah kufur dalam fahaman. Atau kufur dalam bentuk psikologi.

Tafsir Ayat Ke-49

Dalil Aqli – kenapa kita hanya boleh seru Allah SWT sahaja.

لِلهِ مُلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۚ يَخلُقُ ما يَشاءُ ۚ يَهَبُ لِمَن يَشاءُ إِنٰثًا وَيَهَبُ لِمَن يَشاءُ الذُّكورَ

Bagi Allah SWT jualah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi; Ia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya; Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

لِلهِ مُلْكُ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

Bagi Allah SWT jualah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi;

Allah SWT memiliki semua sekali alam ini. Oleh itu, kalau hendak apa-apa sahaja, kena minta kepada Allah SWT lah sahaja.

Dalam ayat ini, disebut langit dan bumi kerana itulah sahaja alam yang kita tahu dan boleh nampak. Ia merangkumi segala alam ini. Apa sahaja yang kita tahu wujud, ia adalah hak kepunyaan Allah SWT. Bukan sahaja langit dan bumi tetapi ‘apa sahaja yang di dalamnya’.

Alam ini dan segala isinya tidak dimiliki oleh entiti lain mana pun. Tidak ada sesiapa pun yang boleh mengaku mereka memiliki secara mutlak apa-apa pun. Kita mungkin ada harta kepunyaan kita, tetapi pemilikan kita itu tidak mutlak.

Oleh kerana segala yang di langit dan di bumi adalah milik Allah SWT, maka kita hendaklah berdoa terus kepada Allah SWT sahaja, tidak perlu berdoa kepada selain Allah SWT. Dan tidak perlu menggunakan perantaraan dalam doa kita.

يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ

Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya;

Allah SWT lah yang mencipta segala apa yang ada dalam alam ini. Kalau manusia, lalat seekor pun kita tidak boleh hendak cipta.

Dan apabila Allah SWT memiliki semuanya, keputusan qada’ dan qadar adalah dalam Tangan-Nya. Keputusan penciptaan juga tertakluk kepada kehendak-Nya.

Dia sahaja yang menentukan. Tidak ada yang bersekutu dengan-Nya dalam membuat keputusan itu. Tidaklah Allah SWT perlu hendak bertanya kepada sesiapa pun dalam menciptakan atau menjadikan sesuatu.

Tidaklah Allah SWT kena tanya kepada malaikat, kepada Rasul mana-mana pun sebelum Allah SWT hendak buat langit, buat manusia, buat tanaman dan apa-apa sahaja. Allah SWT terus buat sahaja kerana Allah SWT memiliki langit dan bumi.

يَهَبُ لِمَن يَشَاءُ إِنٰثًا

Dia mengurniakan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, anak-anak perempuan

Dalam ayat ini, Allah SWT memberi contoh pemberian-Nya kepada manusia. Dan Allah SWT memilih contoh pemberian anak-anak kerana ini adalah pemberian yang amat besar. Dan Allah SWT mulakan pula dengan menyebut ‘anak perempuan’.

Ini memberi isyarat bahawa anak perempuanlah yang lebih besar pemberianNya kalau dibandingkan dengan anak lelaki. Ini adalah dari segi balaghah – apabila sesuatu itu didahulukan, ia menunjukkan kepentingannya.

Tetapi bagaimana pula dengan kita? Bukankah secara umumnya kita akan lebih mementingkan anak lelaki dari anak perempuan?

Tidakkah itu berlawanan dengan apa yang Allah SWT telah isyaratkan? Dalam surah selepas ini akan disebut lagi tentang lelaki dan perempuan.

Keputusan sama ada satu ibu bapa mendapat anak lelaki atau perempuan adalah keputusan-Nya semata-mata. Kalau Allah SWT hendak satu-satu pasangan itu anak perempuan sahaja, itu adalah dalam keputusan-Nya. Itu pun sudah satu rahmat yang amat besar.

Seperti Nabi Muhammad SAW, Allah SWT hanya kurniakan anak-anak perempuan sahaja. Baginda ada juga anak lelaki tetapi semuanya mati kecil.

Maka, baginda dikurniakan anak perempuan sahaja. Dan baginda ada EMPAT anak perempuan. Tetapi, yang selalu orang kita tahu hanyalah seorang sahaja – Fatimah.

Ini adalah kerana ada percaturan dari puak Syiah yang merancang untuk menutup kewujudan anak-anak yang lain.

Ini adalah kerana mereka hendak mengelabui manusia dengan konsep Ahlul Bayt rekaan mereka. Mereka katakan yang Ahlul Bayt itu hanyalah Ali, Fatimah, Hassan dan Hussein sahaja.

Mereka tutup keturunan dari Saidina Uthman yang telah berkahwin dengan DUA anak Nabi! Ke mana hilang kisah keturunan Saidina Uthman itu?

Itulah kemusykilan yang kita sedang hadapi sekarang. Ia bagaikan mereka itu hilang dari sejarah. Padahal mereka juga keturunan dari Nabi Muhammad SAW.

Ia adalah satu perkara yang perlu kita fikir-fikirkan. Bukan ruang untuk kita bincangkan di sini, tetapi sejarah Islam memerlukan pemurnian semula.

وَيَهَبُ لِمَن يَشَاءُ الذُّكُورَ

dan Dia mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Allah SWT boleh sahaja menentukan satu-satu pasangan itu mendapat anak lelaki sahaja. Contoh Nabi yang mendapat anak lelaki sahaja adalah Nabi Ibrahim a.s. Tentunya yang hanya mendapat anak lelaki, mengharapkan anak perempuan juga.

Sebab tidak sama anak perempuan dengan anak lelaki. Yang hanya ada anak perempuan sahaja, mengharapkan dapat juga anak lelaki. Tetapi tidak boleh buat apa, kerana itu adalah ketetapan Allah SWT.

Daripada Aisyah r.a. dari Rasulullah SAW baginda telah bersabda yang maksudnya :

“Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu ia menjaga dan memeliharanya dengan baik, nescaya mereka menjadi pelindung baginya daripada api neraka.”

(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)

 

Allahu a’lam.

 

 

Komen dan Soalan