Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Asy-Shura – Tafsir Ayat Ke-38 hingga Ke-40

Tafsir Surah Asy-Shura – Tafsir Ayat Ke-38 hingga Ke-40

3098
0
Iklan

Tafsir Surah Asy-Shura

Tafsir Ayat Ke-38:

Ini ada lagi syarat sambungan dari ayat-ayat sebelum ini.

وَالَّذينَ استَجابوا لِرَبِّهِم وَأَقامُوا الصَّلَوٰةَ وَأَمرُهُم شورىٰ بَينَهُم وَمِمّا رَزَقنٰهُم يُنفِقونَ

Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya;

وَالَّذِينَ اسْتَجَابُوا لِرَبِّهِمْ

Dan juga orang-orang yang menyambut perintah Tuhannya

Apabila Allah SWT menyuruh makhluk melakukan sesuatu, makhluk hendaklah menyambut dengan segera. Tanpa lengah dan tanpa soal lagi. Terus buat sahaja tanpa banyak soal. Kalau tanya pun, tanya: “nak buat macam mana?” Bukannya ditanya: “kenapa kena buat?” Ada beza antara dua pertanyaan itu, bukan?

Orang yang taat akan terus sahut dan buat. Itulah makna taat kepada Allah SWT. Orang yang sebegini akan dimasukkan ke dalam syurga.

Oleh itu, makna menyahut seruan Tuhan adalah melaksanakan hukum sama ada akidah dan fardu ain. Mereka boleh terima syariat yang diberikan oleh Allah SWT dengan hati yang lapang.

Pada mereka, kalau Allah SWT telah suruh, maka buatlah sahaja. Ini penting kerana ada juga manusia yang berat sahaja hati mereka untuk terima keputusan Allah SWT. Mereka ada juga yang mempersoalkan. Konon, ada yang hendak tahu dulu ‘hikmah’ hukum itu, baru hendak buat. Sepatutnya kenalah buat dulu, barulah tahu hikmahnya kemudian.

وَأَقَامُوا الصَّلَوٰةَ

serta mendirikan sembahyang;

Ada banyak sekali syariat dan yang paling penting dan utama sekali adalah solat.

‘Mendirikan solat’ bermaksud mengerjakan solat dengan sempurna. Antaranya, menyempurnakan syarat-syarat sebelum solat. Contohnya, kena ada wuduk, telah masuk waktu solat, menutup aurat dan sebagainya.

Dan melakukan solat itu dengan sempurna, dengan memenuhi segala rukunnya dan perkara-perkara yang wajib. Antaranya, kepada lelaki, wajib untuk mendirikan solat berjemaah di masjid, kecuali kalau ada perkara yang menghalang.

Ia juga bermaksud tetap melakukan solat itu setiap waktu. Bukannya buat sekali sekala sahaja, buat waktu senang sahaja kerana Allah SWT tidaklah beri kita senang sahaja, ada masa kita akan berada dalam kesusahan dan kepayahan. Keimanan seseorang boleh dilihat jikalau dia melakukan solat di waktu senang atau di waktu susah juga.

Solat itu juga perlu dilakukan dalam keadaan khusyuk. Juga mengikut cara yang diajar oleh Nabi. Bukannya ikut selera sendiri.

Juga bukan ikut ajaran manusia yang tidak menepati cara Nabi. Ini memerlukan pengajian yang lebih mendalam lagi. Kena belajar cara solat seperti cara Nabi. Ini ramai yang tidak tahu.

Oleh kerana itu, majoriti masyarakat Islam kita solat dengan cara yang salah kerana mereka tidak belajar. Mereka sangka apa yang mereka pelajari di sekolah rendah dulu itu sudah cukup, padahal tidak.

Maka, banyaklah yang solat tidak sempurna. Sudahlah tidak sempurna, ada pula perkara yang mereka tambah dalam solat itu, sebagai contoh, mereka raup muka mereka selepas solat.

Lihatlah bagaimana solat terus disebut selepas Allah SWT menyebut ‘menyahut arahan-Nya’. Kerana ini adalah amalan yang paling penting sekali. Dan solat dilakukan selepas mendengar azan menandakan waktu solat telah masuk.

Apabila azan dikumandangkan, itulah tanda Allah SWT mengarahkan kita untuk mendirikan solat. Maka kita menyahut arahan Allah SWT itu dengan terus mendirikan solat.

Tambahan lagi, dalam solat, kita perlu mengambil wuduk. Dan bukankah wuduk itu dengan air? Dan air itu dapat memadamkan api.

Bukankah kita telah sebutkan tadi bahawa marah itu adalah dari api syaitan? Api kemarahan dapat dipadamkan dengan air wuduk. Oleh itu, kita boleh lihat kaitan satu ayat dengan ayat yang lain.

Bagaimanakah yang dikatakan solat yang khusyuk itu? Iaitu orang yang sedar dia sedang solat dan sedang menghadap Allah SWT. Dia faham apa yang dia sedang sebutkan. Oleh sebab itu penting belajar tafsir supaya faham apa yang dibaca.

Dua syarat utama agar semua amalan diterima oleh Allah SWT dan selanjutnya pelaku mendapat ganjaran adalah iman dan amal soleh. Iman itu adalah ikhlas dan amal soleh adalah dengan mengikut cara Nabi SAW.

وَأَمْرُهُمْ شُورَىٰ بَيْنَهُمْ

dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka;

Mereka membuat keputusan sesama mereka dengan mesyuarat sesama mereka.

Mereka yang terlibat, dipanggil untuk mesyuarat bersama. Tidaklah kena panggil mereka yang tidak kena mengena. Yang tidak kena mengena tidak dapat memberi keputusan yang tepat kerana mereka tidak terlibat.

Kalimah شُورَىٰ bermaksud mesyuarah (jamak: mesyuarat) itu dilakukan beramai-ramai.

Bertukar-tukar pendapat dan fakta dan supaya akhirnya dapat sampai kepada keputusan yang sebaik mungkin supaya keputusan itu dipersetujui oleh semua orang. Ianya dibuat setelah mengambil kira semua perkara.

Apabila syura telah dijalankan dan dipersetujui, maka hendaklah semua memegang keputusan itu.

Tidak bolehlah kata mereka tidak bertanggungjawab, tidak mahu lakukan tugas mereka, merajuk dan sebagainya. Ini adalah kerana mereka telah dipanggil untuk berbincang dan memberikan pendapat mereka.

Selepas sahaja disebut tentang solat, terus disebut tentang syura. Ini adalah kerana cara-cara syura telah disebatikan dalam ibadah Solat.

Dalam solat berjemaah, kita ada imam sebagai ketua. Imam itu akan menjadi ikutan semua orang, tetapi jikalau ada kesalahan yang dilakukan oleh imam itu, menjadi kewajiban jemaah yang di belakang untuk menegur.

Namun, dalam masa yang sama, tidaklah makmum itu meninggalkan jemaah itu walaupun imam itu telah melakukan kesalahan kerana hadis Nabi ada mengatakan yang imam itu dijadikan untuk diikuti dan kita mesti terus duduk dalam barisan saf solat.

Begitu juga dalam mesyuarat. Ada pengerusi mesyuarat dan ada ahli-ahli dalam mesyuarat. Pengerusi akan kawal mesyuarat dan ahli mesyuarat akan beri pandangan.

Jika ada kesalahan di mana-mana semua boleh tegur dengan cara yang baik. Bukan kena jerit-jerit. Kalau makmum hendak tegur imam pun, ada cara, bukan? Tidaklah terus keluar dari mesyuarat itu.

Untuk melaksanakan syura juga memerlukan kesabaran yang tinggi kerana kena panggil orang yang terlibat untuk datang. Yang dipanggil perlu datang dan ini perlu meluangkan masa dan tenaga untuk datang. Ia perlu dilakukan kerana ini akan menolong sesama sendiri kerana kebaikan syura akan kena kepada semua.

Keputusan yang didapati adalah lebih tepat lagi kerana mendapat maklumat dari semua yang terlibat. Kalau tidak dilakukan, akan menyebabkan masalah nanti.

Mungkin ada yang tidak puas hati kerana tidak dapat memberi pandangan atau mereka tidak tahu apakah keputusan yang telah dibuat, sedangkan dia pun terlibat juga dalam perkara itu.

Oleh itu, jalankan syura dalam semua hal. Sama ada kecil atau besar. Dalam perkara kecil seperti hal-hal keluarga dan dalam hal besar seperti pentadbiran negara kerana apabila kita bergabung akal, kita akan dapat keputusan yang lebih baik.

Kalau kita tidak berbincang dengan mereka yang terlibat dalam sesuatu perkara itu, tentunya mereka akan marah kalau tidak diberitahu lebih awal atau kalau mereka tidak ditanya dan diajak berbincang.

Katakanlah kita ada hal esok harinya, tetapi tidak memberitahu kepada isteri kita. Padahal isteri kita sudah memasak, atau sudah membuat perancangan keluarga. Tentulah dia akan marah kalau tiba-tiba sahaja kita sudah buat perancangan tanpa memberitahunya.

Begitu juga kalau kita ada rakan kongsi dalam syarikat. Takkan dia tidak marah kalau kita buat rancangan dan keputusan tanpa diberitahu atau diajak berbincang dengannya, bukan?

Maka hendaklah kita dari mula-mula lagi dah syura dengan mereka. Jangan bila dah kena marah, baru minta maaf pula.

Kalau kita tidak ajak berbincang, walaupun nampak macam mereka setuju, mereka akan rasa tidak selesa dan ada yang tidak beres dalam perasaan mereka. Jika kita ajak mereka berbincang, mereka akan lebih terbuka dan lebih memberi sokongan.

Sebagai contoh, selalunya dengan anak-anak, ibu bapa akan suruh sahaja mereka buat sesuatu. Memang mereka akan buat kerana mereka kena taat, tetapi mungkin ada rasa tidak puas hati mereka.

Bayangkan pula kalau kita ajak mereka berbincang, tanya pendapat mereka, tentunya mereka akan lebih suka.

Mereka akan rasa pendapat mereka diambil kira, suara mereka didengar. Dan kalau memerlukan kerjasama dari mereka, mereka akan lebih suka untuk membantu dan ringan tulang mereka. Maka, janganlah kita jadi diktator di mana-mana pun.

Kalau kita buat keputusan bersama, maka semua yang terlibat akan memberi kerjasama dalam usaha yang perlu dilakukan.

Namun, janganlah kita menghina sesiapa pun dengan memberi mereka peluang untuk bercakap, tetapi suara dan pendapat mereka tidak didengar.

Sebagai contoh, suara anak-anak walaupun kecil, tetapi perlu diambil kira. Jangan kita suruh mereka cakap, apabila mereka beri pandangan mereka, kita buat macam tidak dengar sahaja. Atau kalau komiti masjid contohnya, ada jawatankuasa yang tua dan ada yang muda. Janganlah kita beri peluang yang muda beri pandangan namun kemudiannya digelakkan sahaja pandangan mereka.

Ramai ibu bapa mengeluh kerana anak-anak tidak berkomunikasi dengan mereka. Salah siapa? Kalau ibu bapa yang tidak memulakan dari anak-anak itu kecil lagi untuk berkomunikasi, tentulah anak itu malas untuk mula bercakap dengan mereka.

Tapi, kalau ibu bapa itu selalu mengadakan syura dalam keluarga, selalu berbincang dalam setiap perkara yang melibatkan mereka, tentu keluarga itu akan ada banyak peluang untuk berkomunikasi sesama mereka.

Bukanlah bila anak telah besar, baru hendak mengeluh yang anak tidak bercakap dengan mereka lagi.

Antara suami isteri pun selalulah syura sesama sendiri supaya ada pertolongan sesama sendiri, kasih sayang, tidak ada kekeliruan, tidak ada perpecahan.

Tidaklah ada rasa yang salah seorang mengambil kesempatan ke atas pihak yang satu lagi. Walaupun suami adalah ketua keluarga, tidaklah suruh sahaja isteri buat semua perkara tanpa berbincang. Kenalah ada syura dengan isteri juga.

Dalam negara ini dan dalam dunia ini, tentulah ada banyak perkumpulan agama Islam yang berjuang untuk menegakkan agama Allah SWT ini.

Kadang-kadang walaupun semuanya mempunyai tujuan yang sama, namun ada juga perbezaan pendapat yang kadang-kadang boleh menyebabkan perbalahan dan tuduh menuduh.

Antara semua kumpulan ini juga perlulah ada syura, supaya matlamat yang sama boleh dicapai.

Syura penting supaya kita dapat duduk baik dalam masyarakat. Apabila masyarakat baik, hidup harmoni, bolehlah kita menjalankan dakwah kepada orang lain, kepada masyarakat luar, kepada orang kafir.

Kalau kita sendiri tidak harmoni, bagaimana hendak dakwah kepada orang lain? Sekarang non-muslim tengok kita bertelagah, mereka pun tidak ingin hendak masuk Islam. Mungkin ada yang fikir: kalau Islam ini bagus, tentu orang Islam ini bersatu, tetapi tengoklah keadaan mereka sekarang…..

Kalau ada manusia yang tidak perlu bermesyuarat, tentulah ia adalah Nabi Muhammad SAW kerana baginda dipimpin oleh Allah SWT.

Baginda boleh sahaja terus membuat keputusan baginda dan para sahabat akan turut dengan keputusan baginda, tetapi baginda sendiri disuruh untuk bermesyuarah dengan para sahabat.

Banyak contoh dalam hadis bagaimana baginda telah berbincang dengan sahabat dalam banyak perkara antaranya, tentang peperangan yang akan dihadapi. Kalau Nabi pun disuruh bermesyuarat dengan para sahabat, maka siapakah kita kalau kita tidak menjalankan sunnah ini?

Namun, ada perkara yang tidak boleh dibincangkan. Jangan pula kita buat mesyuarat dalam perkara agama yang telah jelas ada dalil atau jelas tidak ada dalam agama. Sebagai contoh, tidak ada amalan bersalam ramai-ramai selepas solat berjemaah. Itu adalah amalan bidaah yang dimulakan oleh Arqam. Ada masjid di negara ini yang kata pihak jawatankuasa masjid telah bermesyuarat dan mereka telah setuju bahawa yang ia adalah baik.

Takkan manusia boleh berbincang dan buat keputusan agama untuk membenarkan perkara bidaah dalam agama pula? Siapakah kita sampai boleh buat begitu?

وَمِمَّا رَزَقْنٰهُمْ يُنفِقُونَ

dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya;

Mereka tidak kedekut. Mereka derma, sedekah, keluarkan zakat.

Mereka juga menggunakan rezeki dengan cara yang baik, walaupun untuk diri mereka sendiri. Mereka akan menggunakan wang mereka apabila perlu. Tidak membazir dalam membeli belah. Tidak membazir adalah penting, kerana orang selalu tidak dapat derma atau infak kerana wang mereka sudah habis dan habis itu kerana mereka banyak bazirkan kepada benda yang tidak perlu.

Allah SWT mengajar kita bagaimana membelanjakan harta dalam surah [ Furqan: 67].

وَالَّذِينَ إِذَا أَنفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْنَ ذَٰلِكَ قَوَامًا

Dan juga mereka (yang diredhai Allah SWT itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.

Dalam berbelanja, mereka tidak boros dan dalam memberi pun tidak berlebihan sampaikan tidak tinggal kepada anak beranak. Memanglah kita selalu dengar kisah Saidina Abu Bakr memberikan segala hartanya, tetapi itu adalah semasa Perang Tabuk dan situasi waktu itu memang memerlukan pengorbanan yang sebegitu.

Ayat tentang berinfak itu disebut selepas menjalankan syura sesama sendiri. Ini adalah kerana selepas sesuatu keputusan itu dicapai, selalunya memerlukan perbelanjaan yang akan digunakan untuk menjalankan matlamat sesuatu organisasi itu.

Maka, hendaklah mereka yang terlibat ringan-ringankan tangan untuk menghulur keperluan dalam bentuk yang diperlukan. Ada kalanya, sumbangan yang diperlukan bukan sahaja dalam bentuk kewangan, tetapi ada juga dalam bentuk tenaga, masa dan idea.

Sebagai contoh, jikalau kita telah membuka madrasah untuk mengembangkan ajaran agama, tentulah memerlukan sumber kewangan dan tenaga yang besar.

Semua yang terlibat perlulah menggembleng tenaga dan mengumpul dana untuk menjayakan matlamat yang hendak dicapai. Allah SWT melihat apa sahaja sumbangan kita untuk kebaikan itu dan akan dibalas.

Seperti yang telah disebut, ada 10 syarat yang disebut dalam gugusan ayat-ayat ini untuk masuk syurga. Dalam ayat ini ada 4 syarat yang ditambah. Secara ringkasnya:

6.  Menyahut seruan Tuhan dalam melaksanakan hukum sama ada akidah dan fardu ain.

7.  Terutamanya solat fardu

8.  Buat urusan penting sesama manusia dengan Syura. Iaitu urusan yang tidak ada dalil wahyu tentangnya.

9.  Infak.

Infak itu tidak semestinya berkenaan rezeki fizikal sahaja, tetapi termasuk juga dengan rezeki rohani, iaitu ilmu. Mana-mana ilmu yang Allah SWT berikan, kita sampaikan juga kepada orang lain.

Tafsir Ayat Ke-39

Ini adalah sambungan sifat-sifat ahli syurga.

وَالَّذينَ إِذا أَصابَهُمُ البَغيُ هُم يَنتَصِرونَ

Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang apabila ditimpa sesuatu perbuatan secara zalim, mereka hanya bertindak membela diri (sepadan dan tidak melampaui batas).

وَالَّذِينَ إِذَا أَصَابَهُمُ الْبَغْيُ

Dan juga orang-orang yang apabila ditimpa sesuatu perbuatan secara zalim,

Kalimah الْبَغْيُ dari segi bahasa bermaksud ‘keinginan’. Di dalam ayat ini, ia membawa maksud ‘dizalimi’ kerana kadang-kadang apabila kita hendak memenuhi ‘keinginan’ kita, kita menzalimi orang lain. Kita hendak ambil lebih dari yang sepatutnya. Kita ambil bahagian orang lain sebab kita hendak lebih lagi.

Kadang-kadang manusia melakukannya dengan cara yang keras dan kasar. Itu adalah zalim. Adakala kita menzalimi dan adakala juga kita yang di zalimi.

Bagaimanakah tindakan mereka yang mukmin apabila mereka di zalimi?

هُمْ يَنتَصِرُونَ

mereka bertindak membela diri

Kita sangka yang kita hanya disuruh bersabar sahaja kalau dizalimi. Tetapi dalam ayat ini, Allah memberi satu jalan: kita boleh ‘membantu’ diri kita. Kerana perkataan يَنتَصِرُونَ dari kata dasar َنَصَر yang bermaksud ‘bantu’. Iaitu membantu diri kita dengan mengambil tindakan balas.

Tidaklah menahan dan terima sahaja apa yang dikenakan kepada kita. Islam bukanlah agama yang sebegitu. Islam adalah agama praktikal untuk hidup dalam alam ini. Tidaklah tahan dan terima sahaja kezaliman orang lain ke atas kita. Kalau kita buat begitu, itu bukanlah kebaikan.

Islam adalah agama yang adil. Oleh kerana itu, Islam membenarkan kita bertindak balas kepada mereka yang menzalimi kita. Tetapi dengan syarat-syarat yang dibenarkan. Tidaklah boleh kita ambil tindakan sesuka hati.

Pilihan tindakan itu banyak tetapi manakah yang sesuai dalam Islam? Ini adalah beberapa tindakan yang selalunya diambil oleh manusia:

1.  Apabila ada orang yang menzalimi kita, kita biarkan sahaja.

Contohnya seperti ajaran dalam Kristian. Kitab Injil mengajar, “Kalau ada yang menampar pipi kita, berikan pipi kita yang satu lagi”. Macam ini kah yang dianjurkan oleh agama kita? Adakah ini praktikal dalam kehidupan di dunia ini?

2.  Kita balas sama dengan apa yang dikenakan kepada kita.

Kalau orang tampar kita, kita tampar dia semula. Dia patahkan tangan kita, kita patahkan tangan dia semula tetapi haruslah dengan proses yang dibenarkan.

3.  Kita memaafkan orang itu.

4.  Kita balas dengan lebih berat lagi dari apa yang dikenakan kepada kita.

Yang dibenarkan kepada kita dalam Syari’at adalah pilihan kedua dan ketiga sahaja. Dalam Surah

[ Hajj: 39 ] Allah telah berfirman:

أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَاتَلُونَ بِأَنَّهُمْ ظُلِمُوا وَإِنَّ اللهَ عَلَىٰ نَصْرِهِمْ لَقَدِيرٌ

Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).

Ayat dari Surah Hajj ini memberi kebenaran kepada kita untuk membalas kepada orang yang memerangi kita. Kita tidak kacau mereka, tidak serang mereka, tetapi apabila mereka yang mula menyerang kita, maka kita boleh menyerang mereka semula.

Kita juga boleh mengambil pilihan untuk memaafkan orang yang menganiaya kita, tetapi tidaklah sampai kita membiarkan sahaja dianiaya berkali-kali tanpa melakukan apa-apa kerana kalau kita biarkan sahaja, orang zalim itu akan menjadi lebih zalim lagi. Bukan kita sahaja yang dizaliminya, orang lain pula yang dizaliminya. Sebab dia rasa perbuatannya itu tidak ada tindakan pembalasan pun, dengan senang hati sahaja dia akan terus melakukannya.

Oleh itu, kita kena ambil tindakan untuk menghentikannya. Kalau kita tidak mahu lakukan sendiri, kita boleh mengadu kepada orang lain atau pihak yang berkuasa. Sekurang-kurangnya yang boleh kita lakukan kalau kita tidak mampu untuk membalas, hendaklah kita berdoa kepada Allah SWT untuk membantu kita.

Dalam ayat ini, Allah SWT memberi kebenaran kepada kita untuk membela diri.

Tetapi surah ash-Shura ini adalah surah Makkiah. Waktu zaman sahabat di Mekah, mereka banyak ditindas, diseksa dan disakiti. Nabi tidak membenarkan mereka membalas balik kerana kedudukan mereka amat lemah waktu itu. Allah SWT juga tidak lagi memberikan wahyu untuk membenarkan mereka menyerang balas.

Memang sahabat ramai yang hendak membalas balik, tambahan pula mereka ada Saidina Umar yang tentunya tidak mahu duduk senyap sahaja.

Namun, Nabi SAW tidak benarkan kerana Allah tidak beri kebenaran lagi kerana kalau mereka balas, akan menyebabkan tindakan buruk yang lebih besar lagi daripada kaum kafir Mekah.

Kerana setakat itu, yang dilakukan adalah secara perseorangan sahaja. Kalau sudah mereka balas balik, maka seluruh kaum kafir Musyrikin Mekah akan bergabung dan memusnahkan terus Muslim yang sedikit sangat pada waktu itu.

Maka, kalau bukan membalas begitu yang dimaksudkan, apakah maksudnya?

Surah ini adalah tentang Syura. Ianya tentang melakukan sesuatu dalam peringkat kerajaan. Iaitu, apabila kerajaan sudah ada, tindakan boleh dijalankan ke atas mereka yang menzalimi.

Ini memberi isyarat kepada sahabat waktu itu di Mekah, bahawa mereka akan diberikan dengan kedudukan yang membolehkan mereka mengambil tindakan semula.

Memang waktu itu mereka tidak boleh ambil tindakan balas, tetapi mereka akan diberikan dengan kedudukan itu tidak lama lagi.

Memang tidak lama selepas itu, sahabat telah diarahkan untuk berhijrah dan mereka telah membina kerajaan Islam di Madinah. Waktu itu, barulah boleh tindakan balas diambil kerana undang-undang Islam telah ditegakkan.

Walaupun kita dibenarkan mengambil tindakan balas, tetapi tidaklah dengan cara individu.

Katakanlah seorang manusia tumbuk kita dan lari. Kita tidak boleh naik kereta dan cari dia lalu tumbuk dia semula. Kita akan dikira sebagai penjenayah dan boleh disabitkan dengan kesalahan dan hukuman oleh pihak berkuasa pula.

Yang sebenarnya kita kena lakukan adalah melaporkan kepada pihak berkuasa dan mereka yang berkenaan akan mengambil tindakan.

Antara hukuman yang boleh dikenakan adalah Qisas, iaitu kita boleh tumbuk dia semula. Tetapi, itu adalah dalam suasana mahkamah. Mahkamah akan membuat penyiasatan dan perbicaraan untuk memastikan sama ada benar kejadian itu berlaku.

Tidak boleh ambil tindakan sendiri kerana bayangkan, kalau semua orang boleh ambil tindakan dengan tangan sendiri, maka itu akan memporak perandakan negara ini. Sudah tidak boleh dikawal. Jadi seperti zaman koboi pula nanti.

Tetapi, kalau dia sedang tumbuk kita, kita boleh tumbuk dia balik waktu itu kerana itu dikira ‘mempertahankan’ yang termasuk dalam lingkungan ayat ini. Tetapi, jangan pula kita tumbuk sampai lembik hingga dia pengsan pula.

Sekarang sudah lengkap 10 sifat-sifat yang perlu ada bagi mereka yang mengharap untuk masuk syurga. Secara ringkas, disenaraikan kembali kesemuanya:

1. Iman sempurna. Yakin dengan janji Allah.

2. Tawakal selepas melakukan taat.

3.  Sentiasa berusaha menjauhi dosa besar.

4.  Terutama dosa-dosa besar yang melibatkan hawa nafsu.

5.  Bila terbit kemarahan ke atas orang lain, mereka mudah maafkan.

6.  Menyahut seruan Tuhan dalam melaksanakan hukum sama ada akidah dan fardu ain.

7.  Terutama solat fardu.

8.  Buat urusan penting sesama manusia dengan Syura. Mereka duduk baik dalam masyarakat.

9.  Infaq.

10. Bila mereka dizalimi, mereka hanya bela diri sahaja. Tidak buat zalim balik. Tidak balas lebih dari yang patut.

Mereka yang ada kesemua sifat-sifat ini, barulah boleh ‘mengharap’ untuk masuk syurga. Belum tentu masuk lagi, tetapi boleh mula mengharap.

Tafsir Ayat Ke-40:

Ini adalah sambungan dari ayat sebelum ini: Selain dari balas balik, apa yang kita boleh lakukan? Ini adalah huraian tentang ayat membalas kezaliman.

وَجَزٰؤُا سَيِّئَةٍ سَيِّئَةٌ مِّثلُها ۖ فَمَن عَفا وَأَصلَحَ فَأَجرُهُ عَلَى اللهِ ۚ إِنَّهُ لا يُحِبُّ الظّٰلِمينَ

Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya; dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim.

وَجَزٰؤُا سَيِّئَةٍ سَيِّئَةٌ مِّثْلُهَا

Dan balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang sama dengannya;

Ayat ini adalah dalil bahawa kita boleh membalas balik kepada orang yang melakukan kesalahan kepada kita sama dengan kesalahan yang telah dikenakan kepada kita. Apabila kita balas balik, jangan lebih daripada apa yang dibuat kepada kita.

Tetapi hendaklah kita ingat bahawa ini adalah dalam konteks hukum Qisas. Islam telah memberikan jalan untuk memuaskan hati kita, maka kita kena lakukan dalam lingkungan yang dibenarkan sahaja. Dalam surah [ Baqarah: 194 ]:

الشَّهْرُ الْحَرَامُ بِالشَّهْرِ الْحَرَامِ وَالْحُرُمَاتُ قِصَاصٌ فَمَنِ اعْتَدَىٰ عَلَيْكُمْ فَاعْتَدُوا عَلَيْهِ بِمِثْلِ مَا اعْتَدَىٰ عَلَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ

(Mencabuli) bulan yang dihormati itu ialah dengan (sebab membalas pencabulan dalam) bulan yang dihormati; dan tiap-tiap perkara yang dihormati itu (jika dicabuli), ada balasannya yang seimbang. Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu; dan bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah: Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertaqwa.

Dalam hukum Qisas, kalau kita dipukul di kepala kita boleh memukulnya balik di kepala. Kalau ada orang yang membunuh ahli keluarga kita, kita boleh balas dengan membunuhnya kembali. Adakah kebaikan kalau kita membalas kesalahan yang dilakukan kepada kita? Memang ada. Sepertimana yang disebut di dalam surah [ Baqarah: 179 ]:

وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa.

Qisas atau ‘balas balik’ seperti yang dianjurkan oleh Islam ini adalah baik. Bila kita membalas balik, ini akan memberitahu kepada manusia yang zalim bahawa mereka tidak boleh suka-suka hati untuk melakukan apa-apa sahaja kepada kita kerana kita boleh membalas balik.

Dengan itu ia akan menahan orang yang zalim daripada mengambil tindakan mereka. Supaya mereka tahu bahawa ada balasan kepada apa yang mereka lakukan itu. Ia akan menyelamatkan orang lain dari kena kezaliman yang sama.

Kita kena melaporkan kesalahan yang dilakukan. Supaya mereka yang menyakiti orang lain itu akan diambil tindakan dan tidak mengacau atau menyakiti orang lain pula. Maknanya, dengan melaporkan pun bermakna kita berbuat kebaikan juga.

Qisas ini ada disebut dalam surah [ al-Maidah: 45 ]:

وَكَتَبْنَا عَلَيْهِمْ فِيهَا أَنَّ النَّفْسَ بِالنَّفْسِ وَالْعَيْنَ بِالْعَيْنِ وَالْأَنفَ بِالْأَنفِ وَالْأُذُنَ بِالْأُذُنِ وَالسِّنَّ بِالسِّنِّ وَالْجُرُوحَ قِصَاصٌ فَمَن تَصَدَّقَ بِهِ فَهُوَ كَفَّارَةٌ لَّهُ وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Dan kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Maknanya, Bani Israil juga telah diberikan dengan hukum yang sama. Ia juga menjadi salah satu hukum dari agama Islam.

Jangan salah faham dengan kebenaran yang Allah SWT telah berikan dalam ayat-ayat ini. Ada juga perkara yang kita tidak boleh balas sama dengan yang dilakukan kepada kita.

Sebagai contoh, kalau kita ditipu, kita tidak boleh menipu balik. Kerana penipuan yang dilakukan oleh mereka itu hanya boleh dibalas boleh Allah SWT. Tidaklah kita boleh tipu balik orang lain, kalau kita kena tipu; atau kalau orang kata buruk tentang kita, kita kata buruk tentang dia balik – itu adalah pemahaman yang salah.

Kita tidaklah boleh berserah dan hanya mendiamkan diri membiarkan orang melakukan kezaliman ke atas kita kerana ini akan membuatkan si penzalim bebas berbuat apa sahaja. Perbuatannya perlu dinilai dan diambil tindakan sewajarnya.

فَمَنْ عَفَا وَأَصْلَحَ

dalam pada itu sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik

Kemaafan ada dua jenis: baik dan tidak. Kemaafan yang baik adalah kalau kesalahan itu dikenakan kepada diri kita. Kadang-kadang kalau kita tidak memaafkan, kita lawan balik, ia hanya akan menjadikan perbalahan itu berpanjangan.

Kadang-kadang kita tidak mahu ia berpanjangan sahaja, kita hendak ia berhenti. Kemaafan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah kemaafan yang baik.

Kemaafan yang tidak baik adalah apabila orang itu sepatutnya dihukum, tetapi kita tidak jalankan kerana mungkin kita di pihak yang buat keputusan, dan kita maafkan pula orang yang membuat kesalahan itu sedangkan bukan hak kita untuk memaafkan.

Sebagai contoh, pernah seorang perempuan dibawa kepada Nabi kerana dia telah mencuri. Oleh kerana wanita itu dari keluarga yang terkenal dan orang besar, ada yang mencadangkan supaya beliau dilepaskan. Nabi telah marah dan berkata kalaulah Fatimah anaknya sendiri yang mencuri pun dia akan potong tangan Fatimah.

Ataupun memaafkan orang yang memang bersalah. Sebagai contoh, membebaskan penjenayah yang ditangkap sedangkan mereka telah melakukan kesalahan dan patut dihukum.

Kalau mereka dibebaskan, ada kemungkinan mereka akan melakukan jenayah lagi. Itu bukanlah keadilan namanya. Nama ‘maaf’, tetapi bukan maaf yang baik.

Hukuman kadangkala perlu dijalankan. Sebagai contoh, kalau anak kita melakukan kesalahan, kita kena hukum mereka supaya mereka tahu apakah kesalahan yang mereka telah lakukan supaya mereka tidak membuatnya lagi. Jangan lepaskan begitu sahaja, kerana nanti mereka tidak takut untuk melakukan kesalahan lagi.

Secara ringkasnya, dari dua jenis kemaafan itu, kita kena bahagikan kepada dua bahagian: peringkat individu dan peringkat kerajaan.

Dalam peringkat individu, kita digalakkan untuk memaafkan. Namun, dalam peringkat kerajaan, tidak boleh memaafkan kalau telah sabit kesalahan yang dilakukan oleh seseorang.

Kalimah أَصْلَحَ bermaksud ‘mahukan kebaikan’. Kita mencari apakah perkara yang baik yang dapat dicapai. Kita maafkan supaya perkara itu tidak dipanjangkan.

Kita mahu memperbaiki perhubungan yang terputus kerana kejadian buruk itu. Kadang-kala tidak ada gunanya kalau kita meneruskan kemarahan itu atau membalas dendam.

Lihatlah bagaimana para sahabat tidak dibenarkan mengambil tindakan membalas balik kejahatan yang telah dilakukan kepada mereka semasa di Mekah memandangkan pada waktu itu mereka amat sedikit dan kalau mereka balas dengan menentang mereka secara fizikal, mereka akan dikalahkan terus kerana bilangan mereka kecil. Itu maknanya membalas kejahatan yang dilakukan tidaklah baik waktu itu. Tidak أَصْلَحَ.

فَأَجْرُهُ عَلَى اللهِ

maka pahalanya ke atas Allah

Mereka akan dapat balasan yang amat baik kalau mereka maafkan. Dalam ayat ini, Allah SWT tidak sebutkan apakah balasan yang akan diberikan. Allah SWT cuma sebut عَلَى اللهِ (ke atas Allah). Selalunya Allah SWT sebut apakah yang akan dapat kalau kita melakukan sesuatu perbuatan yang baik – dapat syurga, dapat rumah di syurga dan sebagainya.

Tetapi apabila Allah SWT sebut Dia yang akan balas, itu bermakna Allah SWT akan beri lebih lagi dari yang amat-amat istimewa. Sampaikan tidak boleh disebut – ia terpulang kepada Allah SWT. Begitu hebatnya Allah SWT menganjurkan kepada kita memaafkan orang yang berbuat zalim kepada kita.

Memang untuk membuat amalan yang baik memang susah tetapi tidaklah sesusah menahan diri dari mengambil tindakan kepada orang yang zalim kepada kita. Sudahlah tidak ambil tindakan, kita maafkan dia pula. Sudahlah maafkan, kita perbaiki perhubungan kita dengan dia balik. Masha Allah, memang susah!

Memang ada ruang hukum dalam Islam untuk membalas perbuatan zalim yang dikenakan kepada kita. Tetapi Allah SWT juga memberitahu yang kalau kita memaafkan, itu lebih baik. Allah SWT berfirman dalam surah [ Baqarah: 178 ].

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِصَاصُ فِي الْقَتْلَى الْحُرُّ بِالْحُرِّ وَالْعَبْدُ بِالْعَبْدِ وَالْأُنثَىٰ بِالْأُنثَىٰ فَمَنْ عُفِيَ لَهُ مِنْ أَخِيهِ شَيْءٌ فَاتِّبَاعٌ بِالْمَعْرُوفِ وَأَدَاءٌ إِلَيْهِ بِإِحْسَانٍ ذَٰلِكَ تَخْفِيفٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَرَحْمَةٌ فَمَنِ اعْتَدَىٰ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَلَهُ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman “Qisas” (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الظّٰلِمِينَ

Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim.

Iaitu mereka yang melakukan kezaliman dan melakukan kesalahan kepada orang lain. Allah SWT akan menghukum mereka nanti. Dan dalam urusan perundangan, mereka akan dikenakan dengan hukuman Hudud, Qisas atau Ta’zir.

Ia juga bermaksud mereka yang membalas lebih dari yang sepatutnya kerana balasan yang boleh dilakukan hanyalah balasan yang setimpal dengan perlakuan asal sahaja. Kalau kita buat lebih lagi, itu sudah zalim namanya.

Contoh: orang bunuh ahli keluarga kita, kita boleh hukum bunuh balik penjenayah tersebut melalui hukuman qisas namun, di negara kita tidak boleh dilaksanakan kerana negara kita tidak mengamalkan undang-undang Islam. Begitu juga dengan membunuh tanpa sengaja boleh dilaksanakan hukuman qisas iaitu dengan membayar diyat (denda).

Allahu a’lam.

 

Komen dan Soalan