Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-‘Alaq – Tafsir Ayat Ke-11 dan Ke-12

Tafsir Surah Al-‘Alaq – Tafsir Ayat Ke-11 dan Ke-12

873
0
Iklan

Tafsir Surah Al-‘Alaq

Pada perbincangan yang lepas, kita telah membincangkan:

  1. Nama pembesar Quraisy yang menentang dakwah Nabi SAW
  2. Kisah Abu Jahal yang menghalang Nabi SAW melakukan ibadah
  3. Pedoman kepada kita dalam membuat sangkaan dan andaian dalam kehidupan.

Saya suka kalau kita dapat melihat juga surah ini secara keseluruhan, kerana kita sedang/dalam perbincangan berkaitan ayat “Aro-aita”.

Dalam surah ini, Allah mengulang sebanyak 3 kali dengan soalan yang sama ( aro-aita ). Maka kerana itu saya suka kalau kita dapat “rasa sesuatu” dari iktibar sebalik kisah dari ayat “aro-aita” ini.

Tafsir Ayat Ke-11:

أَرَأَيتَ إِن كانَ عَلَى الهُدىٰ

“bagaimana pendapat mu jika orang yang melarang itu berada di atas kebenaran”

أَرَأَيتَ

Dari perkataan ر أ ي yang bermaksud ‘melihat’ dari segi bahasa.

Jika dicantumkan menjadi “ARO-AITA” ~ ia bermaksud : Apakah engkau melihat atau berpendapat?

Namun di sini bukan bermaksud Allah SWT ingin mendapatkan jawapan, akan tetapi ia adalah “isyarat” dari Allah SWT agar manusia:

  1. melihat utk mengetahui; dan
  2. memahami keadaan.

Contohnya apabila lazim kita dengar seseorang menegur kanak-kanak yang jatuh dengan ayat berupa,

“kenapa panjat tinggi-tinggi…??”

Dalam situasi kanak-kanak yang telah jatuh tersebut, “ayat soalan” yang kita utarakan bukan untuk dijawab tetapi sebagai peringatan untuk dia fahami (agar lain kali jangan panjat tinggi sebab bahaya).

Dhomir ت dalam أَرَأَيتَ tidak dijelaskan.

Oleh itu, ia boleh merujuk kepada dua orang.

Ia boleh merujuk kepada Nabi Muhammad SAW. Boleh jadi juga kepada Abu Jahal kerana ayat-ayat sebelum ini adalah tentang Abu Jahal.

Oleh itu, kita boleh melihat sesetengah kitab tafsir menterjemahkan;

1. yang dilarang ( Nabi SAW )

ATAU

2. yang melarang ( Abu Jahal )

Situasi satu: Jika merujuk kepada Nabi SAW.

1. Tidakkah kamu lihat, “ bagaimana pendapat mu jika orang ( yang dilarang ) itu berada di atas kebenaran (hidayah )”?

**Rujuk semula kepada ayat untuk lebih memahami terjemahan

Oleh itu maksud yang hendak disampaikan oleh Allah SWT:

Kalau benar-benar baginda berada di atas hidayah, bagaimana nasib mereka yang menentang baginda seperti Abu Jahal dan yang lain-lain? Tentunya amat bahaya dan azab yang besar menanti mereka.

Situasi dua: Jika merujuk kepada Abu Jahal

1. Tidakkah kamu lihat, “ bagaimana pendapat mu jika orang ( yang melarang ) itu berada di atas kebenaran (hidayah ) ” ?

**Sekali lagi; Rujuk semula kepada ayat untuk lebih memahami konteks perbincangan.

Seperti yang kita telah bincangkan sebelum ini, Abu Jahal itu ada potensi yang tinggi, tetapi dia tidak mahu beriman.

Oleh itu maksud yang hendak disampaikan oleh Allah SWT:

(bagi situasi ini) Allah SWT membayangkan jika Abu Jahal itu beriman, tentulah itu baik bagi dia. Kalaulah dia dapat menerima petunjuk, tentu dia sudah menjadi seorang yang baik.

عَلَى الهُدىٰ

“di atas kebenaran”

Ia memberi maksud seseorang itu kena berubah sendiri. Kerana itu Allah SWT menggunakan kalimah A’la @ di atas. Tiada lah seseorang itu “berada di atas” sesuatu melainkan dia bergerak naik ke atas benda tersebut.

Begitu juga hidayah. Kena ada keinginan dalam dirinya untuk mencari hidayah. Kemudian usaha agar melayakkan dirinya berada di atas jalan petunjuk Allah SWT.

Usaha kita tanpa sedar, 17 kali sehari kita minta kepada Allah agar ditunjukkan jalan yang lurus.

Rujuk surah [Ar-Ra’d: 11]

….” إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ ….

“… Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri..”

Jika ingin melihat perubahan luaran sekali pun, Allah SWT menyarankan manusia itu melakukan usaha. Apatah lagi dalam mencari petunjuk hidayah Allah SWT.

Manusia telah dijadikan sempurna oleh Allah SWT. Tiada alasan untuk dia tidak bergerak, menggunakan panca indera untuk belajar dan mencari petunjuk Allah SWT. Setidaknya dengan memerhati (belajar) Al-Quran serta berdoa kepada Allah.

Allah SWT memberi perumpamaan orang yang TIDAK menggunakan panca indera untuk memerhati, TIDAK mempelajari kalam Allah (Al-Quran) adalah sama seperti binatang ternak.

Binatang ternak:

“Hanya tahu menelan, menerima apa sahaja yang diberikan kepadanya. Jika penternak memberikan air longkang sekali pun, ia akan menerima sebegitu sahaja”

Rujuk surah [Al A’raaf: 179]

وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِّنَ الْجِنِّ وَالْإِنسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لَّا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَّا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَّا يَسْمَعُونَ بِهَا أُولَٰئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُولَٰئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai”.

Hubungan antara Ilmu dan Hidayah

Daripada Abu Musa r.a., sabda Nabi SAW, “Perumpamaan hidayah dan ilmu yang Allah SWT mengutus ku untuk membawanya adalah seperti ibarat hujan lebat yang turun di atas tanah. Di antara tanah itu ada yang dapat menyerap air sehingga menumbuhkan tumbuhan dan rumputan yang banyak: ada tanah yang keras lalu menahan air (tergenang) sehingga dapat di minum oleh manusia, haiwan ternak dan menyiram tanaman, dan ada tanah yang tidak dapat menahan air dan juga tidak dapat menumbuhkan tanaman. Perumpamaan itu adalah seperti orang yang faham agama Allah SWT dan memanfaatkan apa yang aku diutus dengannya, dia mempelajari dan mengajarkannya, dan juga perumpamaan orang yang tidak dapat mengangkat darjat dan tidak menerima hidayah Allah dengan apa yang aku diutus dengannya” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Semoga ilmu yang ada pada kita dapat menyuburkan iman dan membuahkan taqwa.

Hadis ini juga menunjukkan ilmu (umpama air) yang kita peroleh juga perlu melalui proses untuk menumbuhkan tumbuhan seterusnya dapat menadah semula.

Jadi poin yang turut penting dalam mengambil manfaat ilmu ialah kena bersabar.

Tafsir Ayat Ke-12:

أَو أَمَرَ بِالتَّقوىٰ

“atau dia menyuruh bertakwa (kepada Allah)?”

Seperti juga dalam ayat sebelum ini, individu yang dimaksudkan dalam ayat ini sama ada Nabi Muhammad SAW atau Abu Jahal.

Situasi satu: Jika merujuk kepada Nabi SAW.

1. Apa pandangan kamu kalau Nabi Muhammad SAW itu benar-benar mengajak kepada ketaqwaan? atau; Tidakkah engkau lihat bagaimana memang Nabi Muhammad SAW itu mengajak kepada taqwa?

Persoalan ini adalah agar manusia membuka sedikit ruang agar berfikir, “boleh jadi seruan Muhammad SAW itu benar”

Situasi dua: Jika merujuk kepada Abu Jahal

1. “Bagaimana jikalau Abu Jahal menerima dakwah, kemudiannya dia sendiri mengajak kepada taqwa?

Tentulah Abu Jahal akan menjadi seorang yang hebat. Kerana mempunyai potensi yang tinggi tetapi malangnya dia telah menolak untuk menerima kebenaran dan telah merendahkan dirinya serendah-rendahnya. Bermaksud betapa ruginya manusia yang tidak mahu bertaqwa kepada Allah SWT.

Seperti Abu Jahal, yang punyai potensi. Namun mati sia-sia dalam kekufuran. Betapa rugi jika ada potensi ( badan sihat, akal bagus, ada kemampuan, harta dan lain-lain. ). Tetapi tidak mahu bertaqwa. Akhirnya sia-sia di penghujung hidup.

Apabila dilihat dari ayat sebelum ini iaitu:

أَرَأَيتَ إِن كانَ عَلَى الهُدىٰ

“bagaimana pendapat mu jika orang itu berada di atas kebenaran”

Kita boleh dapati bahawa tidak cukup dengan seseorang itu mendapat hidayah sahaja, akan tetapi dia perlu bertaqwa kepada Allah SWT.

Ibrah dan Kesimpulan:

1. Antara hikmah gaya bahasa Al-Quran, Allah SWT memberikan kita pengajaran agar selalu memerhatikan keadaan sekeliling untuk difahami, untuk menjadi iktibar buat dirinya.

2. Untuk mendapat petunjuk, seseorang itu mestilah manfaatkan panca indera yang ada untuk belajar / memahami petunjuk Allah SWT ( yakni Al-Quran ).

Kegagalan meletakkan diri di atas jalan petunjuk bukanlah salah sesiapa, tetapi kerana kelalaian diri sendiri daripada memerhatikan ayat-ayat Allah SWT.

3. Orang yang diberikan petunjuk, lazimnya menjadi orang yang bertaqwa. Begitu juga orang yang bertaqwa, mereka itu orang yang telah beroleh petunjuk.

Dan berjayalah bagi orang yang bertaqwa dan beroleh petunjuk.

وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

“Barang siapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi”. [Ali ‘Imran: 85]

Allahu a’lam.

 

 

 

 

Komen dan Soalan