Utama Bilik (93) Cabang Cabang Iman Cabang-Cabang Iman – Cabang Iman Ke-61 hingga Ke-64

Cabang-Cabang Iman – Cabang Iman Ke-61 hingga Ke-64

456
0
Iklan

Cabang-Cabang Iman

Cabang Iman Ke-61:

Menjawab Salam adalah wajib kerana ia berkaitan hal keimanan

Memberikan ucapan salam dan menjawab salam dan kaitannya dengan iman, kerana kita meyakini bahawa setiap ucapan kita adalah doa, dan setiap doa Allah SWT akan makbulkan sama ada ianya serta merta atau ditangguhkan penerimaannya.

Berikut merupakan hadis-hadis berkaitan memberi salam:

“Telah menceritakan kepada kami Qutaibah berkata, telah menceritakan kepada kami Al Laits, dari Yazid bin Abu Habib, dari Abu Al-Khair, dari Abdullah bin ‘Amru, bahawa ada seseorang bertanya kepada Rasulullah SAW “”Islam manakah yang paling baik?”” Nabi SAW menjawab: “”Kamu memberi makan dan memberi salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal””

Hadis berkenaan dengan kelebihan memberikan salam adalah Imron bin Husein ra. mengisahkan, ada seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW dengan mengucap, “Assalamu’alaikum.” Setelah menjawabnya, beliau bersabda: “Sepuluh.” Kemudian datang lagi orang lainnya dengan mengucap salam, “Assalamu’alaikum wa rohmatullaahi.” Sesudah menjawabnya, Rasulullah SAW. berkata, “Dua puluh.” Selang beberapa waktu kemudian, datang orang yang lain lagi seraya mengucapkan salam, “Assalamu’alaikum wa rohmatullaahi wa barokatuh.” Setelah menjawabnya, Rosulullah SAW berkomentar, ’Tiga puluh.” (HR. Abu Dawud dan Tirmidzi).

Hadis menceritakan antara perbuatan pertama Nabi Adam a.s adalah memberikan salam:

Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi SAW sabdanya: “Ketika Allah SWT menciptakan Adam, lalu Dia berfirman: Pergilah hai Adam, lalu ucapkanlah salam kepada mereka iaitu kelompok para malaikat yang sedang duduk-duduk, kemudian dengarlah bagaimana cara mereka memberikan penghormatan itu kepada mu, karena sesungguhnya yang sedemikian itulah cara engkau harus memberikan penghormatan dan juga cara penghormatan untuk semua keturunan mu.” Adam lalu mengucapkan: Assalamu ‘alaikum. Kemudian para malaikat menjawab: Assalamu ‘alaika warahmatullah. Jadi mereka menambahkan untuknya kata-kata warahmatullah.

Maka amalan memberi salam adalah adab orang-orang soleh dan ianya seawal-awal perintah oleh Allah SWT kepada Adam a.s

Semoga Allah SWT memudahkan kita untuk menyebarkan salam dan menjadikan segala tindakan kita mendatangkan kesejahteraan kepada ummah.

 

Cabang Iman Ke-62:

Menziarahi muslim yang sakit kerana ia adalah sunnah Mu’akkad

Salah satu tanda keimanan atau cabang dari keimanan adalah menunaikan hak saudara se Islam kita dengan menziarahi ketika sakit.

Ziarah sakit ni tidak perlu tunggu sampai kawan kita itu masuk wad, bila kita dengar sahaja berita keadaan yang sedang sakit dan uzur, sayugia lah kita menziarahi nya.

Sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang menziarahi saudara se-Islamnya yang sakit, seolah-olah dia berada dalam ‘Kharfah’ sehinggalah dia pulang.” Baginda ditanya: “Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksudkan dengan ‘Kharfah’ itu?” Rasulullah SAW bersabda: “Iaitu kebun di syurga (yang penuh dengan buah-buahan yang boleh dipetik pada bila-bila masa)”. [HR Muslim]

Rasulullah SAW menziarahi hatta seorang Yahudi yang belum Islam sakit.

Anas bin Malik menerangkan bahawa anak kepada seorang Yahudi sedang sakit, maka Nabi datang menziarahinya dan duduk di sebelah kepalanya. Baginda berkata kepadanya: “Masuklah Islam!” Maka anak tersebut melihat kepada ayahnya sementara ayahnya juga berada di sebelah kepalanya. Lalu ayahnya berkata: “Taatilah Abu Al-Qasim (gelaran bagi Rasulullah).” Maka anak tersebut masuk Islam. Nabi lalu berdiri dan mengucapkan: “Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkannya dari neraka melalui aku.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 2691/3095]

Apakah hikmah daripada berziarah orang yang sakit selain daripada menunaikan hak seorang Muslim ke atas Muslim?

1. Dengan menziarahi orang sakit maka kita akan dapat rasa betapa kesihatan itu satu nikmat yang boleh dicabut dari kita pada bila-bila masa sahaja.

2. Dengan menziarahi orang sakit kita boleh belajar kesabaran dan ketabahan yang dihadapi oleh pesakit.

3. Dengan menziarahi orang sakit kita dapat belajar akan ubat dan rawatan yang diperlukan untuk sakit-sakit tertentu, ketika menziarahi pesakit.

Semoga Allah SWT menjadikan kita orang-orang yang sentiasa berusaha meningkatkan iman dan amal serta sentiasa menyemak akan cabang-cabang iman kita ini untuk kita bajai dan suburi dengan ilmu dan tarbiyah yang sahih.

Cabang Iman Ke-63:

Mensolatkan mayat Muslim kerana ia merupakan fardu Kifayah

Menjadi hak bagi seorang Muslim yang meninggal dunia disembahyangkan.

“Telah menceritakan kepada kami Ahmad bin Abdullah bin Ali Al Manjufi berkata, telah menceritakan kepada kami Rauh berkata, telah menceritakan kepada kami ‘Auf, dari Al-Hasan, dan Muhammad, dari Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “”Barangsiapa mengiringi jenazah Muslim, kerana iman dan mengharapkan balasan dan dia selalu bersama jenazah tersebut sampai disolatkan dan selesai dari penguburannya, maka dia pulang dengan membawa dua qiroth, setiap qiroth setara dengan gunung Uhud. Dan barang siapa mensolatkannya dan pulang sebelum dikuburkan maka dia pulang membawa satu qiroth””.

Cabang Iman Ke-64:

Mendoakan Muslim yang bersin, ia merupakan bahagian dari iman siapa yang mengamalkannya

Mendoakan sahabat Islam yang bersin. Doa itu adalah amalan yang boleh dibuat sepanjang masa.

Dalam Sunnah Nabi SAW baginda mengajarkan umatnya untuk mendoakan mereka yang bersin dengan menyebut “Yarhamukallah”. Apabila dijawab dengan “Alhamdulillah” doa lagi “Yahdina wa yahdikumullah”.

Jika perkara di amalkan insya Allah ia menjadi syiar umat Islam. Begitulah petunjuk dari Rasulullah SAW.

 

 

 

 

Komen dan Soalan