Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-42 dan Ke-43

Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-42 dan Ke-43

709
0
Iklan

Tafsir Surah Fussilat

Tafsir Ayat Ke-42

Pihak kafir sentiasa sahaja mencari kesalahan dalam Al-Quran. Begitu juga dengan musyrikin Mekah. Apabila pihak musyrik kata: tentulah dalam Al-Quran itu ada benda-benda yang tersilap, maka Tuhan jawab tuduhan mereka itu:

لّا يَأتيهِ البٰطِلُ مِن بَينِ يَدَيهِ وَلا مِن خَلفِهِ ۖ تَنزيلٌ مِّن حَكيمٍ حَميدٍ

Yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan seginya; ia diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Terpuji.

 لَّا يَأْتِيهِ الْبٰطِلُ

Tidak datang kepada Al-Quran itu sebarang kata-kata tidak benar

Ini kerana Al-Quran itu diturunkan dari Allah SWT, Tuhan semesta alam. Semua ayat-ayat dalam Al-Quran itu adalah yang haq belaka, yang benar-benar belaka. Tidak ada ayat-ayat dalam Al-Quran itu yang salah, yang tidak sesuai dengan jiwa yang murni.

Al-Quran itu juga terpelihara dari dimasukkan anasir-anasir atau ayat-ayat yang bukan wahyu.

Orang-orang kafir yang mendengar Al-Quran telah cuba mencari apakah kesilapan yang ada dalam Al-Quran. Mereka tidak jumpa walau satu pun. Sehingga zaman sekarang pun ada orang kafir yang kaji Al-Quran dan mereka pun tidak akan jumpa. Sehinggakan orang kafir yang mulanya mencari kesilapan dalam Al-Quran, ada yang akhirnya masuk Islam setelah menyedari kehebatan Al-Quran.

Antara bukti yang Al-Quran itu adalah dari Allah SWT: Al-Quran memperkatakan tentang maklumat-maklumat sains yang tidak akan dapat difahami oleh manusia dahulukala. Semakin manusia maju dalam dunia sains, semakin jelas bahawa apa-apa perkara yang diperkatakan dalam Al-Quran yang melibatkan elemen sains, semuanya betul belaka. Kalau ia dari manusia, ia tidak akan jadi begitu.

مِنْ بَيْنِ يَدَيْهِ وَلَا مِنْ خَلْفِهِ

dari hadapan dan tidak dari belakang pun.

Al-Quran itu akan terjaga dari dulu sampai sekarang dari semasa Al-Quran itu diturunkan dan sampai bila-bila. Tidak akan ada perubahan dari mana-mana arah pun. Al-Quran tidak boleh dikalahkan, walaupun ada orang yang cuba hendak merosakkannya datang dari berbagai arah – dari hadapan atau dari belakang. Orang Islam tidak perlu mempertahankan Al-Quran kerana Al-Quran itulah yang mempertahankan kita.

Pemahaman pertama yang kita boleh ambil adalah: syaitan tidak dapat mengganggu Al-Quran dengan mengubah ayat-ayatnya – sama ada dari hadapan atau dari belakang walau dari arah mana pun mereka datang. Apakah maksudnya? Semasa ayat Al-Quran ini diturunkan, jin syaitan tidak dapat mengganggu (intercept) penurunan Al-Quran itu kerana ia dibawa Jibrail, sehebat-hebat malaikat. Maka, jin syaitan tidak dapat dekati pun rombongan menurunkan Al-Quran itu. Jadi, mereka tentu tidak dapat merosakkan atau memasukkan apa-apa dalam Al-Quran itu. Jadi, Al-Quran itu tulen, segalanya dari Allah SWT.

Ini menolak pemahaman orang kafir yang mengatakan ada ayat-ayat Al-Quran itu dimasukkan oleh syaitan ke dalam diri Nabi Muhammad SAW seperti buku ‘Satanic Verses’ yang ditulis oleh Salman Rushdie.

Pemahaman kedua: ‘di hadapan’ bermaksud sesuatu yang kita nampak kerana mata kita berada di hadapan. Bermaksud, manusia tidak boleh menukar Al-Quran itu secara terang-terangan.

Di ‘belakang’ bermaksud, mengubah Al-Quran secara senyap-senyap. Oleh itu, Al-Quran tidak dapat diubah dengan cara senyap dan juga dengan cara terang-terangan pun tidak boleh. Cara nyata tidak boleh dan cara sembunyi pun tidak boleh.

تَنْزِيلٌ مِنْ حَكِيمٍ

Diturunkan Al-Quran itu daripada yang Maha Bijaksana

Oleh kerana Allah SWT Maha Bijaksana, Dia pastikan semua ayat Al-Quran itu tidak tersilap.

Segala maklumat yang disampaikan di dalamnya adalah tepat sekali, tidak ada kesalahan dan kesilapan langsung.

Disampaikan dengan cara yang terbaik, kerana Allah SWT Maha Bijaksana. Tentulah Allah SWT tahu bagaimana menyusun Al-Quran dan memberi pengajaran kepada hamba-Nya.

حَمِيدٍ

Maha Terpuji.

Dan Allah SWT sentiasa terpuji kerana Dia memiliki sifat-sifat yang amat mulia. Sama ada makhluk puji Allah SWT atau tidak, Allah SWT tetap terpuji.

Jadi, secara ringkasnya, ada empat sifat Al-Quran yang telah disebutkan dalam dua ayat ini (Ayat ke-41 & ayat ke-42):

عَزِيزٌ – tiada tandingan

لَا يَأْتِيهِ الْبَاطِلُ – tiada perkara bathil di dalamnya

مِنْ بَيْنِ يَدَيْهِ وَلَا مِنْ خَلْفِهِ – terpelihara dulu, kini dan selamanya

تَنْزِيلٌ مِنْ حَكِيمٍ – ia dari Allah SWT yang Maha Bijaksana

Allah SWT tekankan dalam ayat ini, bahawa Al-Quran itu datang bukan dari orang lain, tetapi dari Allah SWT sendiri. Kalau ia dari Allah SWT, bagaimana kita boleh mengubahnya? Tambahan pula Allah SWT telah berfirman bahawa Allah SWT akan menjaganya. Kalau Allah SWT telah kata begitu, memang tidak ada harapan untuk menukarnya lagi.

Tidak dinafikan ada kesilapan ulama-ulama di dalam kitab-kitab tafsir-tafsir yang sebelum ini. Mereka bukan sengaja tetapi tersilap pentafsiran. Ini tidak mustahil kerana mereka itu manusia dan manusia memang akan buat kesilapan. Dan mereka telah berusaha bersungguh-sungguh dalam mentafsirkan ayat-ayat itu mengikut kefahaman dan ilmu yang mereka ada pada waktu itu.

Maka Tuhan akan hantar orang lain pula untuk memperbetulkan ulama yang tersilap itu. Maka, janganlah hairan kalau ada pentafsiran ulama-ulama dahulu yang tidak dipakai. Bukannya kita tolak semua, tetapi tidaklah juga kita menerima semua sekali. Ini adalah kerana ada ulama-ulama yang buat kerja untuk meneliti kitab-kitab yang ada.

Antara tafsir yang masyhur adalah Tafsir Jalalain. Ia adalah antara kitab tafsir termasyhur dalam dunia sekarang. Ada beberapa kesilapan di dalamnya dan orang-orang kemudian darinya telah memperbetulkan kesilapan itu.

Maknanya, manusia tidak akan terlepas dari tersilap. Yang tidak silapnya adalah Al-Quran sahaja. Kalau ada tersilap baris sahaja, akan ada orang yang akan perasan dan menegurnya.

Ada juga lagi tafsir-tafsir yang ada kesalahan dalam tafsiran mereka. Begitu juga dengan Tafsir Hamka pun ada silapnya. Ini biasa, dan kerana itu kita kena meneruskan pengajian kita. Begitu jugalah dengan usaha tafsir yang kita sedang lakukan ini. Kita mencuba sedaya upaya untuk memasukkan perkara yang benar, tetapi kalau ada tersalah, semoga Allah SWT tunjukkan supaya kita boleh betulkan. Maka jangan berhenti belajar dan menambah ilmu.

Banyak kesilapan dalam pentafsiran itu adalah berkenaan dengan cerita Israiliyat iaitu kisah-kisah yang diambil dari Bani Israil. Ia banyak termasuk dalam teks tulisan pengajaran agama Islam kerana selepas ramai orang Yahudi masuk Islam, mereka telah menceritakan pemahaman mereka tentang sesuatu kejadian pada zaman yang lampau selalunya berkenaan dengan kisah-kisah para Nabi.

Contoh, sebenarnya Nabi Yusuf tidak pernah berkahwin dengan Zulaikha (tidak ada daill tentang perkara ini). Kenalah kita ingat bahawa Zulaikhalah yang telah mengkhianati Nabi Yusuf a.s. Tentulah tidak patut kalau baginda berkahwin dengan Zulaikha yang telah mengkhianatinya. Tidak ada dalil yang menyatakan bahawa Nabi Yusuf telah kahwin dengan Zulaikha. Kalau ada, maka seseorang itu kena bawa dalil. Kalau tidak ada yang sahih, maka senyapkan sahaja.

Begitu juga dengan cerita yang salah tentang Nabi Nuh a.s. Sewaktu terjadi banjir besar itu bumi telah ditenggelami oleh laut. Gunung paling tinggi masa itu pun ditenggelami oleh air. Gelombang air waktu itu seperti gunung besarnya. Ada cerita tentang jenis kapal Nabi Nuh a.s – dari apa ianya dibuat, bentuknya dan sebagainya. Itu adalah karut. Ada pula cerita pasal seorang perempuan yang tidak kena banjir. Apabila Nabi Nuh a.s tanya dia selepas itu kenapa dia tidak kena banjir, perempuan itu kata, dia pun tidak tahu ada banjir. Padahal, banjir itu terjadi seluruh dunia. Itulah yang karutnya.

Begitu juga kisah karut tentang Nabi Sulaiman a.s . Ada pula kisah karut tentang bagaimana baginda hilang kerajaan kerana hilang cincin baginda. Dikatakan bagaimana Ifrit telah mengambil cincin itu dan Nabi Sulaiman a.s pula jatuh dari kerajaan dan jadi nelayan. Kemudian baginda kena kahwin dengan seorang perempuan hodoh iaitu anak ketua kapal. Semasa memukat, dikatakan baginda terjumpa cincin kerajaan baginda yang telah dicuri itu dalam perut ikan. Apabila pakai cincin itu kembali, Nabi Sulaiman a.s telah mendapat balik kuasanya dan telah memerintah balik.

Itulah cerita-cerita karut. Malangnya, ini semua diajar di surat khabar dan tv dan sebagainya. Ada ustaz-ustaz yang ajar perkara ini di masjid dan surau. Memang ia ada dalam kitab-kitab tafsir lama, tetapi tidaklah bermakna ia terus betul.

Saya sampaikan di atas kerana hendak memberitahu, tidak ada dalam Al-Quran benda-benda bathil. Yang bathil itu adalah cerita dari manusia. Kena bezakan antara Al-Quran dan juga kata-kata manusia. Banyak lagi kisah-kisah lain yang tidak benar. Dan bila kita sampai pada ayat-ayatnya nanti, insya Allah SWT kita akan sebutkan.

Tafsir Ayat Ke-43

Ayat ini mengandungi Syikayah (rungutan) tentang umat dan juga Tasliah (pujukan) kepada Nabi Muhammad.

Ayat-ayat sebelum ini adalah muqaddimah kepada ayat Syikayah ini. Walaupun Al-Quran itu hebat dan mulia, tetapi ada juga yang menentang dan tidak menerimanya. Macam-macam mereka kata dan tuduhan yang tidak elok tentang Al-Quran yang mereka sebarkan. Begitulah yang terjadi kalau sudah tidak suka. Sudahlah tidak belajar, hendak mengutuk pula mereka yang mengajar.

مّا يُقالُ لَكَ إِلّا ما قَد قيلَ لِلرُّسُلِ مِن قَبلِكَ ۚ إِنَّ رَبَّكَ لَذو مَغفِرَةٍ وَذو عِقابٍ أَليمٍ

Apa yang dikatakan kepada mu tidak lain seperti yang pernah dikatakan kepada Rasul-rasul yang terdahulu daripada mu.

Sesungguhnya Tuhan mu berkuasa penuh melimpahkan keampunan-Nya dan berkuasa penuh menimpakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

مَّا يُقَالُ لَكَ

Tidak dikatakan kepada engkau

Iaitu kata-kata yang menyakitkan hati Nabi Muhammad SAW daripada para penentang baginda. Nabi Muhammad SAW terkesan dengan kata-kata orang kafir musyrikin itu kepadanya. Sudahlah mereka tidak terima, kemudian mereka tolak, kemudian mereka reka macam-macam tohmahan kepada baginda dan tentang ayat-ayat Al-Quran pula.

Macam kita juga ada yang mengalami perkara ini iaitu apabila kita mengajak orang lain kepada Islam, kepada tauhid dan kepada kebaikan, mereka tidak mahu terima. Tidak terima itu satu hal. Tetapi ada yang bukan sahaja tidak mahu terima, mereka kata macam-macam kepada kita. Mereka kata: “Macamlah kamu pandai sangat”, “baru belajar sikit dah ingat pandai”, “baru belajar satu guru dah kata macam-macam, belajar lagi lah baru kau tahu!”, dan macam-macam lagi.

Mereka juga ada yang beri nama yang macam-macam kepada kita, antaranya panggil kita Wahhabi, anak Pak Wahab, Kaum Muda dan berbagai lagi. Ada yang kata kita pula sesat. Sepertimana Nabi juga pernah dikatakan sesat juga oleh musyrikin Mekah.

Tentang Al-Quran, mereka kata tafsir yang kita beritahu kepada mereka itu tidak benar, kita reka sendiri, guru kita sesat dan macam-macam lagi. Sedangkan mereka sendiri tidak belajar, tetapi mereka kata kita yang belajar pula yang salah. Ini memang pelik sekali, namun itulah yang terjadi. Pelik sebab yang tidak belajar pula kata kita salah. Kita tanya balik mana yang benar, dia tidak boleh beritahu pula.

Sebagaimana kata-kata itu menyakitkan hati kita, ia juga menyakitkan hati baginda. Kita manusia, Nabi SAW pun manusia juga, ada perasaan. Kita mengharap orang terima dakwah kita, dan kita pun mengajak mereka dengan ikhlas kerana kita mahukan kebaikan untuk mereka. Kita ajak kepada agama kerana kita kasihan kepada mereka, kita tidak mahu mereka buat salah dan masuk neraka. Tetapi mereka menolak kita, mengejek kita, mengata yang buruk-buruk kepada kita, perli kita, bagi nama buruk kepada kita, pulau kita dan sebagainya, tentulah kita terasa hati bukan?

Allah SWT hendak beritahu bahawa Allah SWT tahu apa yang dikatakan itu.

إِلَّا مَا قَدْ قِيلَ لِلرُّسُلِ مِنْ قَبْلِكَ

melainkan telah dikatakan seperti ini kepada rasul-rasul sebelum kamu.

Bukanlah apa yang Nabi hadapi dalam melakukan dakwah ini benda yang baru. Allah SWT kata, nabi-nabi dulu pun kena seperti itu juga.

Oleh itu, ada tasliah (pujukan) dalam ayat ini. Jangan sedih, jangan risau sangat kerana ini adalah sunnatullah – sudah ditetapkan oleh Allah SWT dari dulu lagi. Manusia sama sahaja, dari dulu, sekarang dan sampai bila-bila, akan ada sahaja yang tidak mahu terima ajaran dari wahyu itu macam mana baik pun cara kita sampaikan kepada mereka dan akan ada yang menentang.

Bayangkan, Nabi Muhammad SAW yang paling baik itu pun, mereka tidak terima, apatah lagi kita? Jadi, kalau kita pun ditolak, dituduh dan dikasari, jadi jangan terkesan sangat – ingatlah yang Nabi Muhammad SAW pun pernah kena tolak.

Maknanya, siapa yang mengajar tauhid ini, untuk memperbetulkan akidah manusia, orang akan kata yang tidak baik kepadanya dan itulah yang telah terjadi kepada nabi-nabi terdahulu. Akan dikatakan perkara yang sama kepada kita juga. Ada yang kata kita mengajar sihir, sesat dan sebagainya.

Maka, bersabarlah dengan kata-kata mereka. Banyak ayat-ayat dalam Al-Quran yang memperkatakan perkara ini. Diulang-ulang kata-kata yang lebih kurang sama dalam berbagai-bagai surah kerana ia sentiasa terjadi.

Allah SWT mahu pujuk hati pendakwah tauhid. Kalau kita tahu yang orang lain pun kena perkara yang sama, maka adalah terubat sedikit rasa sakit di hati. Kalau kita demam dan kita pun dengar ada orang lain pun demam juga, sedikit sebanyak ada kurang sikit kan demam kita?

إِنَّ رَبَّكَ لَذُو مَغْفِرَةٍ

Sesungguhnya Tuhan kamu yang mencipta dan memelihara kamu itu, mempunyai keampunan yang besar

Inilah natijah kalau sabar dengan apa yang dikatakan kepada kita iaitu Allah SWT akan tutup segala dosa kita. Inilah yang kita amat harapkan.

Allah SWT gunakan kata ‘rabb’, tidak digunakan perkataan ‘Allah SWT’ dalam ayat ini kerana Allah SWT hendak menekankan bahawa Dia lah yang telah menjadikan, menjaga dan memelihara semua makhluk dan Allah SWT lah juga yang akan menjaga dan memelihara baginda dan mereka yang menyebarkan tauhid.

Ini kerana maksud ‘rabb’ bukan sahaja bermaksud ‘Tuhan’ seperti yang selalu diterjemahkan itu, tetapi ia lebih lagi. Ia bermaksud ‘Tuhan yang mencipta, menjadikan, memelihara dan menjaga’, malah lebih lagi. Allah SWT hendak ingatkan kepada kita tentang sifat-Nya yang telah banyak membantu kita selama ini. Allah SWT akan terus membantu kita dalam perjalanan hidup kita. Tidak pernah Allah SWT tinggalkan kita.

Perkataan مَغْفِرَةٍ bermaksud ‘keampunan yang besar’ – di mana Allah SWT akan mengampunkan semua sekali dosa-dosa kita dan pengampunan ini akan diberikan kepada mereka-mereka yang bersabar; kepada Nabi SAW yang sabar dalam melakukan tugas baginda; kepada para sahabat yang terus tetap dalam Islam bersama baginda walaupun mereka menerima tentangan dan seksaan dari orang kafir; dan kepada kita yang sabar berdakwah mengajak manusia kepada tauhid.

Kita perlu bersabar dengan apa yang dikatakan kepada kita yang telah berdakwah kepada manusia. Kerana dalam dakwah ini, banyak orang yang tidak suka. Mereka kata kita macam-macam – wahabi lah, puak sesat lah dan sebagainya.

Apa yang kita boleh buat? Kita hanya boleh bersabar. Jangan kita lawan kata-kata mereka dengan kata-kata yang buruk pula. Sebaliknya telah disebut sebelum ini yang kita kena balas dengan balasan yang baik supaya mereka dapat menerima dakwah kita.

وَذُو عِقَابٍ أَلِيمٍ

dan mempunyai balasan yang amat pedih

Kepada mereka yang kufur pula, akan diberikan balasan yang pedih.

Tuhan yang sama, tetapi bertindak berbeza kepada orang yang berbeza. Orang yang baik dan menerima ajaran dari Al-Quran, Allah SWT akan balas dengan kebaikan. Orang yang jahat, tolak tauhid, tolak sunnah, tolak pendakwah, Allah SWT akan balas dengan balasan yang buruk.

Allah SWT akan balas dengan yang setimpal dengan perbuatan mereka dan tidak lebih dari itu. Allah SWT tidak zalim. Allah SWT akan beri apa yang layak kepada seseorang itu.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan