Panel: BroSyarief
#250107 Bilik (40) Asas Ilmu Hadits
02.13.03 Hadits al-Mardud (المردود) Kategori Kritikan pada Periwayat (الطعن في الراوي) – Percanggahan Riwayat Tsiqah dan Jenis-jenisnya (مخالفة الثقات وأنواعها).
#NotaBroSyarief #AsasIlmuHadits #UiTOBilik40
Susunan: BroSyarief
MUDRAJ (المدرج) Bhg. 03
Bentuk-bentuk Idraj pada Matan (sambungan):
1. Bentuk pertama: Tambahan (Idraj) di permulaan matan.
Contohnya seperti apa yang diriwayatkan oleh Abu Qathan dan Syabaabah, dari Syu’bah, dari Muhammad ibn Ziyad, dari Abu Hurayrah, dari Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam:
أَسْبِغُوا الْوُضُوءَ، وَيْلٌ لِلْأَعْقَابِ مِنَ النَّارِ
“Sempurnakanlah wudhu! Celaka bagi tumit-tumit (yang tidak dibasuh sempurna, lalu nanti dibakar oleh) api neraka.”
Perkataan أَسْبِغُوا الْوُضُوءَ merupakan kata-kata Abu Hurayrah, bukan kata-kata Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam.
Abu Qathan dan Syababah telah tersilap menjadikan kata-kata itu sebagai kata-kata Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam.
Sebagaimana dibuktikan melalui riwayat Adam, dari Syu’bah, dari Muhammad ibn Ziyad, dari Abu Hurayrah, katanya:
أَسْبِغُوا الْوُضُوءَ، فَإِنَّ أَبَا الْقَاسِمِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – قَالَ: وَيْلٌ لِلْأَعْقَابِ مِنَ النَّارِ
‘Sempurnakanlah wudhu!’ Ini kerana Abul-Qaasim – sallalLaahu ‘alaihi wa sallam – pernah berpesan: “Celaka bagi tumit-tumit (yang tidak dibasuh sempurna, lalu nanti dibakar oleh) api neraka.”
[Tadrib ar-Raawi]
2. Bentuk ke-2: Tambahan (Idraj) di tengah-tengah matan.
Contohnya seperti apa yang diriwayatkan oleh Fadholah radhiyalLaahu ‘anhu dari Nabi sallalLaalahu ‘alaihi wa sallam, katanya:
أَنَا زَعِيمٌ، وَالزَّعِيمُ الْحَمِيلُ لِمَنْ آمَنَ بِي وَأَسْلَمَ، وَهَاجَرَ بِبَيْتٍ فِي رَبَضِ الْجَنَّةِ
“Aku adalah penjamin, penjamin yang menunaikan janji, bagi sesiapa yang beriman kepadaku (sebagai utusan Allah) dan memeluk Islam, kemudian turut berhijrah.. (Aku menjamin baginya) dengan sebuah rumah di pinggir syurga”
Imam as-Suyuthi menyebutkan:
وَالزَّعِيمُ الْحَمِيلُ مدرج من تفسير ابن وهب
‘Kata-kata وَالزَّعِيمُ الْحَمِيلُ merupakan tambahan (idraj) sebagai penjelasan dari (salah seorang periwayat bernama) Ibn Wahb.’
[Tadrib ar-Raawi]
3. Bentuk terakhir: Tambahan (Idraj) di hujung matan.
Contohnya seperti apa yang diriwayatkan dari Abu Hurayrah radhiyalLaahu ‘anhu, dari Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam, katanya:
لِلْعَبْدِ الْمَمْلُوكِ أَجْرَانِ، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَوْلَا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالْحَجُّ وَبِرُّ أُمِّي لَأَحْبَبْتُ أَنْ أَمُوتَ، وَأَنَا مَمْلُوكٌ
“Bagi hamba abdi itu terdapat dua ganjaran (kerana memenuhi hak Allah dan tuannya), dan demi (Allah) yang jiwaku berada di tangannya, kalaulah bukan kerana (peluang hebat) pada jihad di jalan Allah, haji dan berkhidmat untuk ibuku, lebih aku sukai untuk aku mati sebagai hamba”
Pada riwayat di atas, bermula dari وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ merupakan tambahan (Idraj). Ia merupakan kata-kata Abu Hurayrah, bukan kata-kata Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam. Buktinya, ibu baginda telah lama meninggal sebelum baginda dilantik menjadi nabi.
[Tadrib ar-Raawi]
Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu’asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi.
__
#صحح_لي_إن_كنت_مخطئاً
#BroSyariefShares
Soalan:
Perkataan Marfu’ dan maudu’ dalam sesebuah hadis ada disebut tak?
BroSyarief:
Marfu’ biasanya disebut oleh periwayat di dalam sanad. Adapun Maudhu’ disebut oleh ulama-ulama hadits pada menilai sesuatu hadits tersebut.