Utama Bilik (64) Syamail Muhammadiyyah Hadis 66 – Syarah Hadis Asy-Syama’il Al-Muhammadiyyah

Hadis 66 – Syarah Hadis Asy-Syama’il Al-Muhammadiyyah

403
0
Iklan

Syarah Hadis Asy-Syama’il Al-Muhammadiyyah – Hadis 66

Mohd ‘Adlan Bin Mohd Shariffuddin
January 28, 2017

66- حَدَّثَنَا عَبْدُ بْنُ حُمَيْدٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا عَفَّانُ بْنُ مُسْلِمٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ حَسَّانَ الْعَنْبَرِيُّ، عَنْ جَدَّتَيْهِ، دُحَيْبَةَ وَعُلَيْبَةَ، عَنْ قَيْلَةَ بِنْتِ مَخْرَمَةَ، قَالَتْ: رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعَلَيْهِ أَسْمَالُ مُلَيَّتَيْنِ كَانَتَا بِزَعْفَرَانٍ وَقَدْ نَفَضَتْهُ. وَفِي الْحَدِيثِ قِصَّةٌ طَوِيلَةٌ.

66- Telah bercerita kepada kami `Abd bin Humayd, dia berkata: Telah bercerita kepada kami `Affan bin Muslim, dia berkata: Telah bercerita kepada kami `Abdu Llah bin Hassan Al-`Anbariy, daripada dua neneknya, Duhaybah dan `Ulaybah, daripada Qaylah binti Makhramah, dia berkata: Saya telah melihat Nabi, dan dia memakai dua helai kain kecil yang lusuh, yang telah dicelup dengan za`faran, dan sesungguhnya ia telah luntur. Dan di dalam hadis ini terdapat kisah yang panjang.

Syarah Adou_Fr:

Hadis ini menceritakan tentang Qaylah binti Makhramah yang telah melihat Nabi, yang ketika itu Nabi memakai dua helai kain yang sudah lusuh. Kain itu dahulunya dicelup dengan za`faran, tetapi ketika itu ia sudah luntur warna kekuningannya.

Dapat diketahuï bahawa memakai satu-satu pakaian sehingga ia lusuh dan luntur warnanya itu adalah perbuatan Rasulu Llah, selagi pakaian itu boleh dipakai dan digunakan. Hal ini berbeza dengan amalan dan budaya hidup zaman ini yang mempunyaï bilangan baju dan pakaian yang banyak, malah berlebihan.

Memakai sesuatu pakaian sehingga ia lusuh dan luntur warnanya, itu ialah satu petanda menggunakan sesuatu secara optimum, dan inilah yang paling ideal secara ekonomi. Sistem ekonomi ini akan menjimatkan sumber, mengurangkan penggunaan sumber, sekali gus mengurangkan penghasilan hasil sampingan yang biasanya menjadi punca pencemaran.

Dalam sistem ekonomi zaman sekarang, banyak sumber digunakan secara keterlaluan sehingga menyebabkan kemusnahan kepada alam. Sumber dibazirkan apabila ia tidak digunakan secara optimum, kerana kos penghasilan sudah menjadi murah, justeru produk akhir juga menjadi murah. Manusia akhirnya, daripada menggunakan barangan yang usang dan buruk, mereka sentiasa mahukan barangan yang baru dan yang mengikut fesyen terkini, walaupun ia tidak diperlukan. Pelbagai rantaian pembaziran berlaku tanpa disedari, dan akhirnya, hasil daripada kerja tangan manusia ini, bumi dan alam menjadi mangsa pencemaran oleh kilang, serta timbunan sampah untuk dilupuskan.

Lihatlah jika kita hanya membeli pakaian apabila pakaian lama sudah tidak boleh digunakan – koyak yang tidak boleh ditampal, atau reput – dan tidak menjadikan membeli pakaian itu satu aktiviti mingguan atau bulanan, maka banyak wang dapat dijimatkan. Begitu juga, banyak bulu, kapas dan kain dapat dijimatkan. Pencemaran berleluasa oleh kilang membuat pakaian akan dapat dikurangkan, dan alam sekitar dapat menjadi lebih hijau.

Sebagai penuntut ilmu, jika kita dapat meniru sehingga ke tahap ini, maka sekurang-kurangnya kita harus berpada-pada apabila membeli pakaian, untuk kita, isteri kita atau anak-anak kita. Membeli adalah apabila barang itu diperlukan, bukan kerana kita banyak wang!

Peristiwa Nabi memakai pakaian lusuh dan luntur warnanya ini berlaku pada waktu salat Subuh, dan ketika itu Qaylah binti Makhramah datang untuk bertemu dengan Nabi setelah Nabi selesai mengimamkan salat. (مُلَيَّة) kain kecil di dalam hadis ini ialah bentuk pengecilan (تَصْغِير) tasghir bagi (مُلاَءَة) kain. Dan ia ialah sejenis pakaian yang tidak disambung antara satu dengan yang lain dengan jahitan, daripada satu jenis kain. Ia seolah-olah kain lepas yang tidak berjahit. Justeru, diketahuï bahawa Nabi memakai dua jenis kain yang tidak berjahit.

Di hujung hadis, Imam At-Tirmizi menyebut bahawa (وَفِي الْحَدِيثِ قِصَّةٌ طَوِيلَةٌ) dan di dalam hadis ini terdapat kisah yang panjang, yang menunjukkan isyarat bahawa penuntut ilmu seharusnya boleh merujuk kepada kisah tersebut. Kisah yang lengkap dan panjang lebar boleh dibaca di dalam kitab seperti [Al-Mu`jam Al-Kabir lit-Tabaraniy (25/8)], atau [Tarikh Ibnu Abi Khaysamah (2/835)], manakala pecahan-pecahan daripada kisah itu boleh dibaca seperti di dalam [Abi Dawud/ 3070, 4847], [Al-Ahad Wal-Masani libni Abi `Asim/ 3492], [Sunan Al-Kubra lil-Bayhaqiy/ (3/333), (6/247)], [At-Tirmizi/ 2814], [Syarh Ma`ani l-Asar/ 1058], [Musnad Abi Dawud At-Tayalisiy/ 1763], dan [Al-Adabu l-Mufrad/ 1034, 1178].

Merujuk kisah ini di dalam sumber lain, maka dapat dilihat perbezaan tentang siapakah dua nenek `Abdu Llah bin Hassan Al-`Anbariy? Ini kerana di dalam hadis ini, Imam At-Tirmizi menyebut mereka berdua sebagai Duhaybah dan `Ulaybah, manakala di dalam Sunan At-Tirmizi, Imam At-Tirmizi menyebutnya sebagai Safiyyah binti `Ulaybah dan Duhaybah binti `Ulaybah. Imam Abu Dawud, Abu Dawud At-Tayalisiy, Al-Bayhaqiy, At-Tahawiy, dan Ibnu Abi `Asim turut menyebut mereka berdua sebagai Safiyyah dan Duhaybah, dua anak perempuan `Ulaybah.

Dari segi periwayatan, dapat dilihat bahawa meriwayatkan sesuatu hadis yang panjang dengan versi yang pendek merupakan amalan Imam At-Tirmizi di dalam kitab Syama’il ini. Dan dengan jelas, dapat diketahuï bahawa versi pendek ini adalah bersesuaian dengan bab ini, iaitu berkaitan dengan pakaian Nabi, justeru, para pembaca dapat memberi fokus terhadap isi hadis yang ingin disampaikan.

Komen dan Soalan