Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-31 dan Ke-32

Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-31 dan Ke-32

2217
0
Iklan

Tafsir Surah Fussilat

Tafsir Ayat Ke-31:

Dalam ayat sebelum ini telah disebut apabila orang yang istiqamah akan disambut oleh malaikat.

Ini adalah tentang orang yang baik dan rapat dengan tauhid dan Al-Quran. Jika kita begitu, Allah SWT akan takdirkan malaikat suka dengan kita dan duduk rapat dengan kita semasa di dunia lagi.

Yang jauh dari Allah SWT dan tidak taat, malaikat tidak suka duduk dekat dan syaitan yang akan rapat. Maka manusia kena ikhtiar buat perkara yang malaikat suka. Contohnya, kena selalu duduk di Masjid.

نَحنُ أَولِياؤُكُم فِي الحَياةِ الدُّنيا وَفِي الآخِرَةِ ۖ وَلَكُم فيها ما تَشتَهي أَنفُسُكُم وَلَكُم فيها ما تَدَّعونَ

“Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh – pada hari akhirat – apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh – pada hari itu – apa yang kamu cita-citakan mendapatnya.”

نَحْنُ أَوْلِيَاؤُكُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا

Kamilah yang menjaga kamu dulu semasa kamu hidup di dunia.

Ini adalah kata-kata para malaikat yang menyambut ahli syurga itu. Ini adalah sambungan dari ayat sebelum ini.

Lafaz أَوْلِيَاؤُكُمْ datang dari kata asal ‘wali’. Wali adalah mereka yang kita boleh harapkan, yang kita boleh percaya, yang mahu membantu kita, yang rapat dengan kita. Merekalah yang menjadi teman dan sahabat setia semasa di dunia dulu.

Ayat ini menguatkan lagi pendapat yang mengatakan bahawa malaikat-malaikat juga berdamping dengan manusia semasa hidup di dunia lagi, bukan hanya semasa hendak mati dan selepas mati.

Mereka itulah yang gerak kita bangun dari tidur sambil bisikkan kepada kita supaya bangun solat. Mereka jugalah yang beri kita mimpi-mimpi yang baik. Juga beri ilham yang baik-baik. Mereka itu juga memberikan sokongan kepada kita sampai kita rasa yakin dan teguh dalam menghadapi segala kemungkinan apa jua pun. Kalau qarin jin bisikkan perkara yang buruk, maka malaikat membisikkan benda yang baik-baik.

Dalam masa yang sama, syaitan pun boleh buat begitu juga. Maka, ada bisikan baik dan ada bisikan jahat. Hari-hari malaikat dan syaitan akan membisikkan kepada kita.

Bergantung kepada diri kita dan amalan kita. Kalau amalan kita baik, maka malaikatlah yang akan berdamping dengan kita. Begitu juga, kalau amalan kita adalah amalan bidaah dan syirik, yang akan berdamping dengan kita adalah syaitan.

Malaikat-malaikat itulah juga yang menghalau syaitan-syaitan itu dari kacau kita. Kalau malaikat yang berdamping dengan kita, tidaklah berani syaitan datang dekat.

Maka, kenalah buat amalan yang menyebabkan malaikat datang dekat. Itulah amalan-amalan tauhid dan sunnah. Jangan buat amalan bidaah, kerana syaitan suka amalan yang bidaah. Bila kita buat amalan bidaah, syaitan akan duduk dekat sekali dengan kita.

وَفِي الْآخِرَةِ

dan di akhirat

Di akhirat kelak pun malaikat akan jadi penjaga ahli tauhid dan ahli syurga itu. Kita memerlukan bantuan dan teman dari kalangan malaikat di dunia dan juga di akhirat. Itulah teman yang baik. Waktu itu, selain dari malaikat sudah tinggalkan kita bersendirian.

Malaikatlah pendamping manusia yang beriman itu yang menemani mereka semasa mereka bersendirian dalam kubur, ketika tiupan sangkakala, memberikan khabar keamanan pada hari kebangkitan dan perhimpunan serta akan membawa mereka melintasi Titian Sirat dan menyampaikan mereka ke dalam Syurga.

Semoga kita semua diberikan bantuan yang amat diperlukan ini nanti, insya Allah. Namun, untuk mendapatkannya, kenalah amalan ajaran tauhid yang benar. Kena ambil ajaran tauhid dari Al-Quran, kerana tauhid ini diajar dalam Al-Quran. Maka, suka atau tidak memang kena belajar tafsir Al-Quran.

وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَشْتَهِي أَنْفُسُكُمْ

Dan bagi kamu dalam syurga itu, apa sahaja keinginan syahwat diri mu.

Benda yang kita telah tahu ada dalam syurga dan kita nampak ada dalam syurga, memang akan diberikan kepada kita. Itulah nikmat-nikmat yang tersedia ada dalam syurga yang tidak terkira banyaknya. Semuanya telah tersedia ada dalam syurga.

Ini adalah nikmat-nikmat yang berhubungan dengan jasmani. Umpamanya mahligai-mahligai dan istana, piala emas dan perak, layanan dari bidadari, tempat berteduh yang subur, taman-taman yang indah dan sebagainya.

Ada yang telah diberitahu kepada kita melalui ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW edan ada banyak lagi yang tidak diberitahu kepada kita kerana akal fikiran kita tidak dapat memahaminya. Sampai di syurga baru tahu ada benda-benda itu. Itu pun kita akan dapat juga.

Perkataan تَشْتَهِي berasal dari perkataan ‘syahwat’, iaitu keinginan nafsu kita. Semasa kita di dunia, macam-macam keindahan dunia yang menarik kita, syahwat kita pun mahu, tetapi kita yang beriman tahu bahawa ia salah, maka kita tinggalkan, kita tidak layan keinginan nafsu kita itu.

Bukan kita tidak mahu, tetapi kita tahu ia salah. Seperti keinginan kita kepada lelaki atau perempuan, berehat, makan dengan banyak, wang dan kemewahan dan sebagainya. Itu adalah normal. Maknanya, keinginan kita ada sebenarnya.

Oleh kerana itu kita tahan nafsu kita semasa di dunia, kerana kita tidak mahu sampai melakukan perkara yang dilarang. Disebabkan kita tahan nafsu kita di dunia, Allah SWT akan puaskan nafsu kita di akhirat nanti. Apa sahaja yang kita hendak, Allah SWT akan berikan kepada kita. Kita tahan nafsu itu kerana kita taat kepada Allah SWT.

Di syurga nanti, cakap sahaja hendak apa. Dan kalau tidak cakap pun, kita akan dapat. Dalam hati teringin apa sahaja, akan diberikan. Sebagai contoh, kita nampak burung sedang terbang, terdetik di hati kita untuk makan burung panggang, burung itu akan dipanggang siap untuk kita.

وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَدَّعُونَ

Dan bagi kamu di dalamnya, apa sahaja yang kamu minta.

Iaitu benda-benda yang kita tidak tahu pun yang ia ada. Apabila dimasukkan ke dalam syurga, akan ditunjukkan kepada ahli syurga benda-benda yang dia tidak tahu kewujudan pun dulu. Ini pun ada dalam syurga, malah banyak lagi, kerana pengetahuan kita tentang alam ini amatlah sedikit – banyak lagi yang kita tidak tahu dari yang kita tahu. Selagi kita nampak dalam pandangan kita itu, semuanya adalah untuk kita. Semuanya berkhidmat untuk kita.

Semasa kita di dunia, berbagai-bagai perkara kita doa kepada Allah SWT. Tetapi ada yang Allah SWT tidak berikan semasa di dunia. Segala apa yang kita doakan semasa di dunia itu, akan diberikan di akhirat kalau Allah SWT tidak berikan semasa kita di dunia dahulu.

Sampaikan, ada riwayat yang mengatakan, apabila di akhirat nanti, ahli syurga akan lihat pemberian Allah SWT sebagai ganti atas doa mereka yang tidak dimakbulkan semasa mereka di dunia. Bukan Allah SWT tidak dengar, cuma Allah SWT tidak beri semasa di dunia. Ganti itu terlebih baik dari apa yang mereka minta, sampaikan mereka berkata: “alangkah baiknya kalau doa kita semasa di dunia dulu tidak ada satu pun dimakbulkan, supaya kita akan mendapat gantinya di akhirat ini.” Kerana ganti yang di akhirat lebih baik lagi dari apa yang mereka doakan.

Begitulah nikmat kehidupan dalam syurga. Kita tidak dapat bayangkan. Apa yang kita tahu adalah maklumat-maklumat yang diberikan kepada kita dalam nas-nas Al-Quran dan hadis yang sahih.

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa nikmat yang diberikan dalam potongan ayat ini adalah nikmat bersifat rohaniah. Dibandingkan dengan potongan ayat yang sebelumnya yang bersifat jasmaniah.

Oleh itu, nikmat yang akan diberikan kepada ahli syurga ada yang berbentuk jasmaniah dan ada yang berbentuk rohaniah. Kemuncak nikmat yang bersifat rohaniah itu, pertamanya: mendapat keredhaan Allah SWT. Itu adalah satu nikmat yang amat besar sekali.

Dan yang lebih tinggi lagi dari tu adalah: diberi kesempatan menghadap Allah SWT dan menghadap wajah-Nya dan ini adalah kemuncak kebahagiaan dalam syurga. Semoga kita menjadi ahli syurga. Amin.

Tafsir Ayat Ke-32:

نُزُلًا مِن غَفورٍ رَحيمٍ

“(Pemberian-pemberian yang serba mewah itu) sebagai sambutan penghormatan dari Allah SWT Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani!”

نُزُلًا

Sebagai satu hidangan tetamu;

Hidangan adalah satu cara menghormati tetamu yang datang. Dari dulu sampai sekarang, beginilah yang kita akan buat. Kalau orang datang rumah kita, makanan pun sudah bukan makanan biasa yang kita makan hari-hari, tetapi kita akan hidangkan makanan yang istimewa, bukan?

Begitulah Allah SWT beritahu yang layanan Allah SWT bukanlah layanan biasa, tetapi layanan untuk melayan tetamu. Semakin besar dan tinggi kedudukan tetamu itu, semakin hebat hidangan yang akan diberikan kepadanya.

Bergantung juga kepada mereka yang menyambut itu. Tidak sama kalau kita pergi ke rumah orang miskin dan orang kaya. Orang miskin akan layan juga kita, tetapi terhad lah apa yang mereka boleh beri kepada kita. Kalau tuan rumah itu adalah orang kaya, maka jamuannya mungkin lebih hebat lagi.

Bayangkan pula kalau kita tetamu Allah SWT? Dan kita pula adalah mereka yang beriman dan tetap istiqamah dalam memegang syariat yang telah ditetapkan-Nya? Bagaimana agaknya jamuan yang akan kita dapat itu? Tidak terbayang dalam akal fikiran kita yang cetek ini.

Apakah maksud نُزُلًا? Ia adalah ‘pembuka selera’. Kerana perkataan itu bermaksud dari segi bahasa adalah ‘tetamu yang baru sampai.’ Apabila telah sampai, duduk sekejap itu bermaksud dia sudah jadi ‘tetamu’, bukan lagi نُزُلًا.

Lalu apa yang kita berikan kepada tetamu kita yang baru sampai? Kita akan berikan minuman ringan dan makanan ringan dahulu. Bagi air sirap, bagi kacang – iaitu makanan yang ringan-ringan sahaja dulu, sebab dia baru sampai, belum masuk bilik tetamu lagi, belum mandi dan bersiap lagi. Lepas semua telah siap sedia, barulah akan dihidangkan dengan makanan, nasi ayam kah, briyani kambing kah dan sebagainya – maksudnya makanan utama.

Oleh itu, apa yang telah disebutkan sebelum ini hanya sebagai ‘pembuka selera’ sahaja. Sesuatu yang diberikan sebelum ‘main course’ diberikan. Sesuatu yang hebat tetapi masih sebagai pembuka selera sahaja. Apa yang Allah SWT akan berikan selepas itu adalah lebih baik lagi, sampai tidak boleh disebut kerana akal manusia yang lemah tidak akan dapat faham.

مِنْ غَفُورٍ

Daripada Dzat yang maha mengampun,

Allah SWT menyebut sifat-Nya dalam ayat ini. Allah SWT telah memberi ampun kepada ahli syurga supaya mereka dapat masuk syurga. Memang kita sebagai manusia, tentunya banyak kesilapan dan dosa yang kita telah lakukan.

Maka, kita tertanya-tanya adakah kita layak masuk syurga Allah SWT yang hebat itu? Maka dalam ayat ini Allah SWT memberitahu kepada kita bahawa Dia adalah Maha Pengampun. Segala dosa yang kita lakukan itu Allah SWT boleh ampunkan, kalau Allah SWT mahu. Maka, hendaklah kita selalu minta ampun dan bertaubat kepada Allah SWT.

رَحِيمٍ

Yang amat belas kasihan.

Allah SWT tidak sanggup melihat makhluk-Nya yang beriman itu kena azab di neraka. Ketahuilah bahawa Allah SWT amat sayangkan makhluk-Nya yang beriman dan mengamalkan tauhid. Seperti seorang emak sayangkan anak dia, malah lebih lagi 70 kali ganda. Bayangkan seorang emak itu tidak sanggup hendak tengok anak dia masuk penjara walaupun dia tahu anaknya itu seorang yang jahat.

Maka, tidak kan Allah SWT sanggup hendak masukkan makhluk-Nya yang Dia sayang itu ke dalam neraka? Disebabkan Dia sayang kepada makhluk-Nya lah Dia letak sifat-Nya yang Maha Pengampun supaya tidak masuk dalam neraka dan sebaliknya Dia akan masukkan ke dalam syurga dan diberikan segala nikmat dalam syurga itu. Namun, nikmat di syurga itu hanyalah kepada mereka yang beriman.

حَدَّثَنَا عَمْرٌو النَّاقِدُ حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ هَارُونَ أَخْبَرَنَا حَمَّادُ بْنُ سَلَمَةَ عَنْ ثَابِتٍ الْبُنَانِيِّ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُؤْتَى بِأَنْعَمِ أَهْلِ الدُّنْيَا مِنْ أَهْلِ النَّارِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَيُصْبَغُ فِي النَّارِ صَبْغَةً ثُمَّ يُقَالُ يَا ابْنَ آدَمَ هَلْ رَأَيْتَ خَيْرًا قَطُّ هَلْ مَرَّ بِكَ نَعِيمٌ قَطُّ فَيَقُولُ لَا وَاللَّهِ يَا رَبِّ وَيُؤْتَى بِأَشَدِّ النَّاسِ بُؤْسًا فِي الدُّنْيَا مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَيُصْبَغُ صَبْغَةً فِي الْجَنَّةِ فَيُقَالُ لَهُ يَا ابْنَ آدَمَ هَلْ رَأَيْتَ بُؤْسًا قَطُّ هَلْ مَرَّ بِكَ شِدَّةٌ قَطُّ فَيَقُولُ لَا وَاللَّهِ يَا رَبِّ مَا مَرَّ بِي بُؤْسٌ قَطُّ وَلَا رَأَيْتُ شِدَّةً قَطُّ

Perawi Anas bin Malik, dia berkata;

Rasulullah SAW bersabda,

“Pada hari kiamat nanti akan didatangkan penduduk neraka yang ketika di dunia adalah orang yang paling merasakan kesenangan di sana. Kemudian dia dicelupkan di dalam neraka sekali celupan, lantas ditanyakan kepadanya,

‘Wahai anak Adam, apakah kamu pernah melihat kebaikan sebelum ini? Apakah kamu pernah merasakan kenikmatan sebelum ini?’. Maka dia menjawab, ‘Demi Allah SWT, belum pernah wahai Rabbku!’. Dan didatangkan pula seorang penduduk syurga yang ketika di dunia merupakan orang yang paling merasakan kesusahan di sana kemudian dia dicelupkan ke dalam syurga satu kali celupan. Lalu ditanyakan kepadanya,

‘Wahai anak Adam, apakah kamu pernah melihat kesusahan sebelum ini? Apakah kamu pernah merasakan kesusahan sebelum ini?’.

Maka dia menjawab, ‘Demi Allah SWT, belum pernah wahai Rabbku, aku belum pernah merasakan kesusahan barang sedikit pun. Dan aku juga tidak pernah melihat kesulitan sama sekali.’.” [HR. Muslim, Kitab Shifat al-Qiyamah wa al-Jannah wa an-Naar].

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan