Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Humazah – Tafsir Ayat Ke-2 dan Ke-3

Tafsir Surah Al-Humazah – Tafsir Ayat Ke-2 dan Ke-3

1261
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Humazah

Pada perbincangan yang lepas, kita telah membincangkan mengenai ayat pertama yang terkandung hal berikut :

1. Bahagian neraka yang disebut Wail, sebagai balasan kepada mereka yang melakukan dosa yang Allah nyatakan.

2. Dosa berkata sesuatu yang tidak sepatutnya, termasuk keadaan yang tidak berkaitan dengan diri si pengumpat.

3. Dosa mengeji yang turut tergolong sebagai perkara yang besar di sisi Allah SWT.

Maka tidak habis di situ, masih terdapat sambungan mengenai dosa-dosa yang menjadi tajuk peringatan Allah di dalam surah Al-Humazah ini.

Tafsir Ayat Ke-2:

الَّذي جَمَعَ مالًا وَعَدَّدَهُ

Yang mengumpulkan harta dan menghitung-hitung,

Ini adalah sifat seterusnya, iaitu orang yang bahaya serta berpotensi mendapat : وَيلٌ

Kaitan ayat ini dengan ayat pertama, apabila kalimah yang melibatkan همز disebut dalam Al-Quran, akan ada kaitan juga dengan harta.

Seperti kisah di dalam Surah [ Al-Qalam (68) : 11 – 14 ].

هَمّازٍ مَشّاءٍ بِنَميمٍ

Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai)

مَّنَّاعٍ لِّلْخَيْرِ مُعْتَدٍ أَثِيمٍ

Yang sering menghalangi amalan-amalan kebajikan, yang melanggar hukum-hukum agama, lagi yang amat berdosa,

عُتُلٍّ بَعْدَ ذَٰلِكَ زَنِيمٍ

Yang jahat kejam, yang selain itu tidak tentu pula bapanya.

أَن كانَ ذا مالٍ وَبَنينَ

Adakah kerana ia seorang hartawan dan ramai anak-pinaknya (maka ia mendustakan agama Kami)?

Kalimah :

جَمَعَ

Kalimah ini datang dalam bentuk “past tense”. Bermakna, ia menceritakan mengenai kehidupan yang telah lepas.

Memberi isyarat bahawa orang yang dimaksudkan dalam ayat ini telah menghabiskan seluruh usaha hidupnya untuk mencari dan mengumpul harta dan kekayaan.

Kalimah :

عَدَّدَهُ

1) Mereka gemar untuk mengira harta mereka.

2) Di sini boleh difahami sama ada :

Golongan ini sibuk dan leka memerhatikan “bilangan sifar” yang ada dalam akaun mereka.

Ini juga boleh difahami, Allah SWT mencela golongan yang terlalu risau akan “masa depan” sehingga mengabaikan hubungan dengan Allah pada “masa sekarang”.

Seolah-olah golongan seperti ini berfikir kononnya berpandangan jauh, namun tertipu kerana jauhnya pandangan mukmin sebenar ialah persiapan sehingga ke hari akhirat.

Oleh sebab, persediaan kita telah diperjelas dalam surah Al-‘Asr iaitu antaranya dengan iman dan amal soleh yang terutama.

Sebagai seorang Muslim, kita tidak menolak untuk berusaha mencari nikmat dunia. Cuma jangan kita lupa akan kaedah yang Allah SWT telah perjelaskan dalam Surah [ Al-Qasas (28): 77]

وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا

“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagian mu (keperluan dan bekalan mu) dari dunia …. “.

Ini formula untuk hidup yang telah Allah jelaskan dalam Al-Quran. Untuk bagi mudah faham, tuan / puan bayangkan seolah-olah kita:

1. Tinggal di Selangor, kemudian diminta “outstation” ke Ipoh selama 63 hari untuk bekerja.

2. Dalam proses “outstation” tersebut, maka ada permintaan kiriman limau Bali (yang terkenal di Ipoh).

3. Maka fokus utama kita tetap pergi ke Ipoh untuk bekerja, tetapi tidak salah jika berkesempatan untuk mencari limau Bali.

4. Yang salahnya, bila ke Ipoh, kerja tidak siap, tetapi limau Bali yang disibukkan pula.

Kalimah seterusnya,

مالًا

Bermaksud : kekayaan. Ianya disebut Allah SWT dalam bentuk mufrad (single) sahaja. Seolah-olah bagi Allah, nilai harta sebegini tidak sebesar mana pun.

Tidak berguna langsung harta yang banyak itu kalau ada masalah di akhirat kelak. Seperti yang difirmankan dalam Surah [ Ali-Imran (3): 91:

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا وَماتوا وَهُم كُفّارٌ فَلَن يُقبَلَ مِن أَحَدِهِم مِلءُ الأَرضِ ذَهَبًا وَلَوِ افتَدىٰ بِهِ

Sesungguhnya orang-orang yang kafir dan mati sedang mereka tetap dalam kekafirannya, maka tidaklah akan diterima dari seseorang di antara mereka emas sepenuh bumi, walaupun dia menebus diri dengan emas (yang sebanyak) itu.

Berbanding kebiasaan bagi perjuangan iman dan agama, Allah SWT sering menyebut dengan lafaz jamak (plural), iaitu :

اموال

Oleh itu, ayat pertama adalah mengenai sifat manusia dengan orang lain manakala ayat ke-2 ini pula adalah mengenai sifat dalaman diri mereka pula.

Namun tidak cukup dengan itu, terdapat lagi sifat atau mentaliti buruk yang seterusnya:

Tafsir Ayat Ke-3:

يَحسَبُ أَنَّ مالَهُ أَخلَدَهُ

Dia mengira bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya,

Mereka mengumpul harta seolah-olah mereka yakin bahawa harta itu akan mengekalkan kehidupan mereka. Begitu juga mereka merasakan, akan mati dan serabut jika tiada harta.

Disebabkan itu ramai yang lewatkan solat, kononnya “meeting” projek tidak habis!

Dalam ayat ke-2, Allah SWT menggunakan kalimah :

مالًا

(Tidak disebut harta milik siapa kerana hakikatnya semua yang ada adalah milik Allah).

Tetapi pada ayat ini, Allah SWT menggunakan kalimah :

مالَهُ

(Hartanya)

Ia bagi memperli, kerana “memperolehi harta” sebenarnya hanya sangkaan mereka sahaja. Sedangkan semua harta adalah milik Allah. Selain usaha manusia yang kecil, sebenarnya Allah SWT boleh memberikan lebih banyak kepada orang lain. Memandangkan harta ini adalah milik Allah, maka Dia berkuasa untuk memberikan dan menariknya pada bila-bila masa. Orang yang beriman akan tetap bertaqwa sama ada mendapat nikmat harta atau pun tidak.

Maka, buatlah kerja dengan yang terbaik.

– bos puji = Alhamdulillah..

– bos tidak nampak = pun Alhamdulillah..

Tidak ada ‘trick’. Jika tiba-tiba ujian rasuah datang konon untuk dapatkan projek, kena tolak dan ‘enjoy’ sahaja dengan iman sebab yakin, Allah akan beri orang bertaqwa jalan keluar dan rezeki yang terbaik.

Dari ketiga ayat awal dalam surah Al-Humazah ini, disebut 5 kesalahan yang dilakukan oleh manusia dari ayat pertama hingga ke-3:

Pertama :

هُمَزَةٍ

Kedua :

لُمَزَةٍ

Ketiga :

جَمَعَ مالًا

Keempat :

عَدَّدَهُ

Kelima :

يَحسَبُ أَنَّ مالَهُ أَخلَدَهُ

Manakala dalam ayat ke-4 hingga ke-9 nanti, akan diberi pula 5 penerangan tentang azab yang akan dikenakan kepada golongan tersebut.

Ibrah dan Kesimpulan :

Pertama :

Sebagai hamba Allah SWT, kita hendaklah tahu untuk memberikan fokus yang utama, agar tidak tersalah arah sehingga meninggalkan tugas utama kita sementara di atas dunia.

Kedua :

Sesungguhnya setiap harta atau nikmat yang kita peroleh adalah dari Allah SWT. Maka hendaklah kita kembali jadi hamba yang bersyukur. Dengan syukur, moga bertambah kebaikan yang ada.

Ketiga :

Setiap yang ada pada diri kita akan binasa. Yang tinggal hanyalah manfaat darinya yang diubah kepada nilai iman dan amal soleh.

Moga Allah kurniakan kita sifat sebenar orang beriman, rujuk [ Al Anfal (8): 2 ].

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan