Tafsir Surah Al-‘Asr
Pada perbincangan yang lepas, kita telah membincangkan ayat yang pertama :
1. Hikmah dari kedudukan Surah Al-‘Asr dan sumpahan Allah SWT dalam Al-Quran.
2. Beberapa pengertian “masa” yang boleh difahami dari Al-‘Asr.
3. Iktibar dari surah seumpama modal yang terus berjalan, mencetuskan rasa pentingnya untuk bersegera menambah amal kebaikan selagi sempat di atas dunia
Setelah Allah SWT membicarakan mengenai masa, maka ia seumpama modal. Oleh itu dalam pemberian “modal” tersebut, Allah SWT mengingatkan kepada kita mengenai suatu risiko yang dipanggil kerugian!
Tafsir Ayat Ke-2:
إِنَّ الإِنسانَ لَفي خُسرٍ
Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian,
إِنَّ
“Sesungguhnya” . Bermaksud : Tidak syak lagi.
Kalimah penekanan ini (taukid) digunakan untuk memberi lebih penekanan agar pendengar memberi perhatian. Ayat ini pada mulanya disampaikan kepada musyrikin Mekah, kerana mereka tidak yakin dengan apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW. Maka Allah SWT berikan penekanan dalam ayat-Nya ini.
Namun, ayat ini bukanlah ditujukan kepada musyrikin Mekah sahaja atau kepada orang kafir sahaja, namun ianya ditujukan kepada semua manusia. Ia adalah pengajaran kepada seluruh manusia kerana selagi manusia dapat hidup atas dunia, bermakna dia mempunyai “masa” yang diberikan oleh Allah SWT.
Oleh kerana itu juga dalam ayat seterusnya, Allah SWT meletakkan pengecualian. Jadi ayat ini merujuk kepada semua manusia. Pengecualian hanya kepada mereka yang melakukan empat perkara yang akan disebut dalam ayat seterusnya nanti.
Taukid : (kalimah arab) yang bermaksud penguat. Dalam Bahasa Arab, ada bentuk ayat yang menggunakan taukid. Ia untuk menguatkan lagi maksud ayat tersebut. Contoh dalam Bahasa Melayu:
- Saya hendak ke pasar
- Saya betul-betul hendak ke pasar
Tidak selalu umur dan kematangan jalan seiring, tetapi kita kena akui ia berkaitan rapat sebab itu ada juga dalam Al-Quran, kisah Rasul-rasul yang memperoleh “hikmah” (kematangan / kebijaksanaan) setelah umur tertentu contoh surah [ Yusuf (12): 22 ]:
Dan ketika Yusuf sampai ke peringkat umurnya yang sempurna kekuatannya, Kami beri kepadanya kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan; dan demikianlah kami membalas orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
Dalam ayat ini, kalimah yang digunakan untuk merujuk kepada manusia adalah :
الإِنسانَ
Ia adalah diambil dari kalimah Nisyaan – bermaksud pelupa.
Ini kerana sememangnya manusia itu bersifat pelupa. Oleh sebab itu manusia perlu selalu diingatkan agar mereka tidak menuju kepada kebinasaan, lalai, alpa dan lain-lain.
Oleh itu kalimah الإِنسانَ ini amat sesuai digunakan dalam ayat ini, walaupun terdapat juga kalimah lain yang boleh digunakan kalau hendak merujuk kepada manusia.
Seperti:
al Fard ~
الفرد
an Nafs ~
النفس
an Naas ~
الناس
Apabila dikatakan / digunakan kalimah :
الإِنسانَ
Kita telah membincangkan, kebiasaan bentuk lafaz “Al-Insaan” dan “An-Naas” seolah-olah sama, namun ia mempunyai pendekatan Allah SWT yang berbeza.
Al-Insan : semua manusia, TETAPI boleh jadi juga mereka yang terkecuali.
An-Naas : semua manusia, kebiasaannya tidak terkecuali.
(seperti dalam pelajaran Al-Aa’diyat dan Al-Qariah)
Contoh dalam surah Al-Insan ( dalam surah Al-Aa’diyat ):
Sesungguhnya manusia sangat tidak bersyukur akan nikmat Tuhannya. [ Al-‘Aadiyaat (100): 6 ]
Di sini boleh bermaksud, tidak semua juga yang melampaui batas dengan Allah.
An-Nass ( dalam surah Al-Qariah ):
(Hari itu ialah: hari kiamat), hari manusia menjadi seperti kelekatu yang terbang berkeliaran [ Al-Qaari’ah 101: 4 ].
Bermaksud, SEMUA manusia terlibat dalam proses kiamat ini.
Seterusnya kalimah :
لَفي خُسرٍ
Benar-benar dalam kerugian.
Huruf :
ل
Yang digunakan dalam kalimah juga adalah kalimah penekanan (taukid) juga. Ia digunakan untuk menguatkan sumpah.
Begitu juga kalimah :
في خُسرٍ
Ia juga adalah satu penekanan. Kerana dari segi bahasa Arab, boleh sahaja digunakan :
لخاسر
atau
لقد خسر
Tetapi digunakan lafaz surah Al-Asr bagi memberi isyarat bahawa mereka itu benar-benar “tenggelam” dalam kerugian itu.
Kalimah
خُسرٍ
Juga di dalam bentuk isim (kata nama) dan bukan dalam bentuk fi’il (kata kerja / perbuatan). Kalau digunakan bentuk isim, ia lebih kuat lagi dari fi’il.
Contoh untuk mudah faham:
Ayat 1 : Tuan Haji Adnan pandai membuat kopi (ayat yang menunjukkan perbuatan).
Ayat 2 : Tuan Haji Adnan memang “Barista”
( Barista = Suatu sektor pekerjaan khas membuat kopi yang berasas “espresso”. Kata barista dari bahasa Itali ).
Dari kedua-dua contoh ini, dapat kita rasai iaitu penjelasan kedua lebih terus untuk menunjukkan:
– Penekanan
– Sifat yang terus kepada subjek tertinggi
Semoga kita dapat rasai ayat ini, benar-benar Allah ingin menyedarkan manusia. Bahawa ingat lah, “kamu orang yang rugi”…kemudian nanti ada pengecualian.
Di dalam Al-Quran, terdapat 3 cara penggunaan “Khusr” (rugi):
- Khassaara
- Khusraan.
- Khusr
Pertama : Khassaar
خسار
Digunakan apabila seseorang itu telah dalam masalah, kemudian dia menambah lagi masalah tersebut.
Seperti yang Allah gunakan di dalam Surah Nuh (71) : 21 ~
قالَ نوحٌ رَبِّ إِنَّهُم عَصَوني وَاتَّبَعوا مَن لَم يَزِدهُ مالُهُ وَوَلَدُهُ إِلّا خَسارًا
Nuh berkata: “Ya Tuhan ku, sesungguhnya mereka telah menderhakai ku dan telah mengikuti orang-orang yang harta dan anak-anaknya tidak menambah kepadanya melainkan kerugian belaka,
Dalam ayat ini, Nabi Nuh as menjelaskan keingkaran mereka. Kemudian ditambah kesesatan atas kederhakaan tersebut.
Kedua : Khusraan
خسران
Kerugian yang paling teruk, sehingga ada penambahan ن di hujung kalimah.
Seperti yang Allah gunakan di dalam Surah Hajj (22) : 11 ~
وَمِنَ النّاسِ مَن يَعبُدُ اللَّهَ عَلىٰ حَرفٍ ۖ فَإِن أَصابَهُ خَيرٌ اطمَأَنَّ بِهِ ۖ وَإِن أَصابَتهُ فِتنَةٌ انقَلَبَ عَلىٰ وَجهِهِ خَسِرَ الدُّنيا وَالآخِرَةَ ۚ ذٰلِكَ هُوَ الخُسرانُ المُبينُ
Dan di antara manusia ada orang yang menyembah Allah dengan berada di tepi; maka jika ia memperoleh kebajikan, tetaplah ia dalam keadaan itu, dan jika ia ditimpa oleh suatu bencana, berbaliklah ia ke belakang. Rugilah ia di dunia dan di akhirat. Yang demikian itu adalah kerugian yang nyata.
Ketiga : Khusr
Ia dalam bentuk yang umum – menunjukkan bahawa secara umum, manusia itu semuanya dalam keadaan yang rugi. Kita boleh dapati contoh kalimah ini di dalam surah Al-‘Asr ini.
Oleh itu, berhati-hatilah kita semua dari terjebak dalam kerugian tatkala bertemu Allah. Hidup hanya sekali, maka jangan disia-siakan waktu umur yang berbaki ini untuk menyiapkan bekalan ke negeri kita yang sebenar.
Ikuti jalan yang telah ditunjukkan oleh Allah SWT yang terdapat dalam Al-Quran, buku “manual kehidupan yang tiada keraguan”.
- Rugi pertama : sudah ingkar tambah sesat pula.
- Rugi kedua : rugi dunia dan akhirat
- Rugi ketiga : umum
Ibrah dan Kesimpulan :
Pertama :
Sekali lagi penekanan mengenai modal masa yang Allah SWT berikan. Logiknya atas dunia juga, kelebihan mendapat pinjaman modal bagi suatu usaha / pekerjaan BUKAN perkara yang boleh dipandang mudah. Ia akan dipertanggung-jawabkan kepada penerima.
Begitu juga soal pemberian modal masa dari Allah, ia adalah perkara yang besar dan perlu “dibelanjakan” sehemat mungkin agar terhasil amal kebajikan di sisi Allah SWT.
Kedua :
Peringatan umum kepada semua manusia, bahawa kita sebenarnya sedang kerugian. Walaupun pada hakikatnya dilihat hebat pada mata kasar.
Ini kerana jika “kehebatan” atas dunia tidak bersandarkan 4 pengecualian dalam Surah Al-‘Asr, maka takut-takut kehebatan dunia yang diperolehi tidak dapat membantu untuk selamat di alam akhirat.
Ketiga :
Allah yang menjadikan manusia, Allah jua yang Maha Mengetahui hakikat hidup hamba-Nya atas dunia. Oleh itu kita perlu kembali kepada manual yang telah diberikan oleh pencipta kita (yakni Al-Quran).
Allahu a’lam.