Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-16 dan Ke-17

Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-16 dan Ke-17

350
0
Iklan

Tafsir Surah Fussilat

Tafsir Ayat Ke-16

Ayat Takhwif Duniawi. Mereka menentang pesanan dan dakwah yang disampaikan oleh Nabi mereka, Hud a.s. Maka, mereka telah diberikan azab seksa semasa di dunia lagi.

فَأَرسَلنا عَلَيهِم ريحًا صَرصَرًا في أَيّامٍ نَحِساتٍ لِنُذيقَهُم عَذابَ الخِزيِ فِي الحَياةِ الدُّنيا ۖ وَلَعَذابُ الآخِرَةِ أَخزىٰ ۖ وَهُم لا يُنصَرونَ

“Lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut yang kencang dalam beberapa hari yang nahas malang, kerana Kami hendak merasakan mereka azab seksa yang menghina dalam kehidupan dunia; dan sesungguhnya azab seksa hari akhirat lebih besar kehinaannya; sedang mereka tidak diberikan pertolongan.”

فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ رِيحًا صَرْصَرًا

Kami utuskan kepada mereka itu azab angin ribut yang kencang

Angin itu adalah jenis angin yang amat sejuk. Apabila mereka kena angin itu, mereka jadi beku kekerasan. Mereka mati dalam keadaan berdiri kerana kesejukan. Maknanya Allah SWT beri azab sejuk kepada mereka. Macam-macam cara Allah SWT boleh berikan azab.

فِي أَيَّامٍ نَحِسَاتٍ

dalam beberapa hari yang penuh sial

Hari-hari itu adalah hari yang sial kerana mereka tidak berpeluang untuk bertaubat.

Bilangan hari itu kurang dari sepuluh hari. Iaitu selama tujuh malam lapan hari seperti disebut dalam [ Haqqah:7 ]. Bayangkan kalau angin puting beliung yang selama 5 minit berpusing di sesuatu tempat pun akan menyebabkan hancur luluh satu-satu kawasan itu. Tetapi kepada kaum Aad, angin itu sudahlah sejuk, mengganas selama tujuh hari dan tujuh malam. Memang hancur terus semuanya.

Allah SWT kata hari itu adalah hari yang sial kepada mereka. Tetapi, kepada kita, tidak ada hari yang sial sebenarnya. Macam kita sekarang, ada yang kata tidak boleh kahwin pada bulan Muharram kerana kalau kahwin dalam bulan Muharram, ia adalah sial.

Dan ada juga dalam kalangan masyarakat kita yang pilih hari-hari tertentu sebagai sial juga. Itu semua adalah fahaman yang karut. Tetapi apa yang Allah SWT maksudkan adalah hari yang spesifik dikenakan kepada kaum itu adalah hari yang sial untuk mereka.

لِنُذِيقَهُمْ عَذَابَ الْخِزْيِ

Supaya Kami dapat rasakan kepada mereka itu azab yang menghinakan

Kerana sebelum ini mereka berlagak kerana mereka kata mereka kuat. Sekarang, mereka dihadapkan dengan satu lagi kuasa yang lebih kuat dari mereka.

Berapa kuat pun mereka, mereka tidak dapat menahan dari azab itu. Mereka jatuh bergelimpangan seorang demi seorang. Terus hancur apa yang mereka usahakan selama ini.

Azab itu dikatakan sebagai ‘menghinakan’ kerana mereka habis hayat di dunia ini disebabkan azab dari Allah SWT. Nanti semua orang akan tahu di akhirat kelak. Manusia lain akan tahu yang mereka teruk sangat sampaikan diberi azab semasa di dunia lagi.

فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا

dalam kehidupan dunia

Sebenarnya, jarang Allah SWT memberikan azab kepada manusia yang ingkar semasa mereka di dunia. Disebabkan teruk sangat kaum Aad itu, Allah SWT telah beri azab kepada mereka semasa mereka di dunia lagi.

Ia menjadi peringatan kepada kita bahawa Allah SWT boleh sahaja menurunkan azab kepada kita semasa di dunia.

وَلَعَذَابُ الْآخِرَةِ أَخْزَىٰ

dan bagi mereka azab di akhirat kelak lebih teruk lagi.

Walaupun mereka telah menerima azab semasa di dunia, tetapi azab itu walau bagaimana teruk pun, tidaklah sama dengan azab di akhirat kelak. Mereka ini sudahlah kena azab di dunia, azab di akhirat pun mereka akan kena lagi.

Azab di akhirat itu lebih menghinakan lagi. Lebih teruk lagi. Kenapa? Kerana kalau azab di dunia, apabila mati, azab itu tidak kena kepada kita lagi.

Seperti mereka yang kena seksa di dunia ini dengan orang lain, mereka akan minta supaya mereka dimatikan sahaja, kerana mereka tahu, jika sudah mati, mereka tidak akan rasa azab itu lagi. Di akhirat kelak, tidak ada kematian. Seperti hendak mati, tetapi tidak mati-mati. Hampir hendak mati, dihidupkan balik. Berterusan sampai bila-bila. Masya Allah!. Adakah sanggup kita terima azab sedemikian?

وَهُمْ لَا يُنْصَرُونَ

Dan mereka tidak akan diberi pertolongan

Tidak akan mendapat bantuan dari sesiapa pun dan dari arah mana pun. Tujuh malam lapan hari mereka dilanda dengan angin itu yang ada kesejukan di dalamnya. Kita selalunya takut dengan azab api. Tetapi Allah SWT sebut tentang azab sejuk dalam ayat ini. Sejuk pun adalah sesuatu yang menyeksakan.

Di neraka nanti, kita selalu dengar tentang api yang panas yang membakar kita. Namun, mungkin kita tidak pernah dengar bahawa di neraka juga ada tempat yang sangat sejuk. Ya, memang ada.

Sudahlah mereka kena azab yang teruk di dunia, mereka juga akan kena azab di akhirat kelak dan mereka tidak akan dapat ditolong oleh sesiapa pun. Tidak akan ada sesiapa pun yang akan menolong mereka.

Tafsir Ayat Ke-17

Sekarang kita masuk kepada kaum yang lain pula.

وَأَمّا ثَمودُ فَهَدَيناهُم فَاستَحَبُّوا العَمىٰ عَلَى الهُدىٰ فَأَخَذَتهُم صاعِقَةُ العَذابِ الهونِ بِما كانوا يَكسِبونَ

Adapun kaum Thamud, maka Kami beri petunjuk kepadanya, lalu mereka mengutamakan kesesatan dari hidayah petunjuk; mereka pun disambar oleh petir azab yang menghina dengan sebab apa yang mereka telah lakukan.

وَأَمَّا ثَمُودُ

Dan adapun kaum Tsamud,

Dari segi sejarah, Kaum Tsamud ini datangnya selepas Kaum Aad. Allah SWT banyak cerita tentang Aad dan Tsamud ini kerana Arab Mekah memang tahu kisah mereka, dan lalu di kawasan mereka dalam musafir perdagangan mereka.

فَهَدَيْنَاهُمْ

Kami tunjuk kepada mereka hidayah.

Dengan dibangkitkan kepada mereka seorang Rasul. Rasul yang diutuskan kepada mereka adalah Nabi Saleh as. Mesej yang disampaikan kepada mereka sama sahaja seperti yang disampaikan oleh rasul-rasul yang dahulu dan kemudian darinya, iaitu sembah Allah SWT sahaja.

Kalimah فَهَدَيْنَاهُمْ dari segi bahasa bermaksud “Kami beri hidayah kepada mereka”.

Namun, untuk orang kafir, apabila dikatakan diberikan ‘hidayah’ kepada mereka, ia bermaksud sebagai tunjuk jalan sahaja. Penunjuk jalan sudah sampai kepada mereka, tetapi mereka sahaja yang tidak mahu terima.

Kalau sudah peluk Islam, barulah boleh diterjemahkan sebagai ‘pimpin’. Iaitu mereka yang telah beriman, apabila hidayah diberikan kepada mereka, ia memimpin mereka ke jalan yang lurus.

فَاسْتَحَبُّوا الْعَمَىٰ عَلَى الْهُدَىٰ

Mereka lebih suka/sayang kepada buta (kegelapan hati) dari memilih hidayat Allah SWT.

Mereka telah tahu manakah kebenaran, tetapi mereka masih juga hendak terima kesesatan. Maka, banyaklah bantahan mereka kepada seruan Nabi Saleh as.

Atas keengganan mereka, mereka telah mengemukakan satu syarat untuk mereka beriman. Kalau syarat itu dipenuhi, mereka kata mereka bersedia untuk beriman dan menuruti ajaran Nabi Saleh as. Mereka telah minta kepada Nabi Saleh as sebagai bukti kenabian, untuk mengeluarkan unta dari batu.

Nabi Saleh as telah memohon kepada Allah SWT supaya diperkenankan apa yang mereka minta itu. Allah SWT memperkenankan tetapi dengan syarat juga iaitu air yang mereka minum perlu dibahagi hari. Satu hari untuk Kaum Tsamud dan satu hari lagi untuk unta itu.

Pada hari yang diperuntukkan unta itu minum, penduduk kaum Tsamud tidak boleh mengambil air itu. Dan pada hari untuk kaum Tsamud mengambil air, unta itu akan pergi jauh ke padang pasir dan tidak bertemu manusia. Kaum Tsamud bersetuju dengan syarat itu.

Setelah syarat itu dipersetujui, unta itu pun dijadikan dengan izin Allah SWT dan berlakulah pembahagian air untuk beberapa waktu lamanya. Ada sebahagian dari kaum itu beriman dan sebahagian lagi memilih kebutaan dari petunjuk seperti yang disebut dalam ayat ini.

Maknanya, mereka memilih kegelapan daripada mendapat hidayat Allah SWT. Mulanya kehidupan mereka aman dengan bimbingan Nabi Saleh as. Tetapi, dari godaan iblis, terdapat golongan pemuda yang tidak senang dengan ketenteraman itu.

Mereka itu adalah peminum tuak dan marah apabila air perlu dibahagi hari. Kerana air tuak mesti dicampurkan dengan air biasa untuk dibancuh. Dan pada suatu hari, pekedai tidak ada air biasa dan hari itu pula adalah hari unta minum. Pada malam itu, mereka melanggar janji dengan mengambil air dari telaga padahal hari itu adalah hari unta. Apabila ada yang marah mereka, timbul keinginan dalam hati mereka untuk membunuh terus unta itu.

Oleh itu, pada hari Nabi Saleh as berdakwah ke tempat lain, mereka telah pergi membunuh unta itu.

Bukan itu sahaja, mereka kemudiannya telah merancang hendak membunuh Nabi Saleh as sendiri. Namun, perancangan Allah SWT melebihi segalanya. Sebelum sempat mereka hendak membunuh Nabi Saleh as, mereka telah dikenakan dengan azab.

فَأَخَذَتْهُمْ صَاعِقَةُ

Maka Kami timpa ke atas mereka sambaran petir

Dalam ayat ini, disebut mereka disambar petir. Dalam ayat yang lain ada disebut mereka didengarkan dengan pekikan yang kuat. Dalam ayat lain, ada pula disebut mereka didatangi dengan gempa.

Dari sini, kita boleh dapat tahu bahawa semuanya itu dikenakan kepada kaum Tsamud ini. Satu persatu mereka dikenakan dengan azab sampaikan mereka mati kesemuanya.

الْعَذَابِ الْهُونِ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

azab yang menghinakan kerana apa yang mereka lakukan.

Iaitu kerana akibat akidah syirik kepada Allah SWT. Mereka tidak mahu terima hidayah yang Allah SWT telah tawarkan.

Mereka telah memungkiri janji yang mereka buat sendiri dengan Allah SWT supaya tidak melanggar hari yang dibahagikan penggunaan air itu. Mereka kemudiannya telah membunuh unta itu dan kemudian mereka telah merancang untuk membunuh Nabi Saleh as sendiri.

Jadi, apa yang dikenakan kepada mereka ini adalah atas apa yang mereka lakukan. Ia adalah salah mereka sendiri. Maknanya, Allah SWT tidak zalim. Azab yang Allah SWT kenakan kepada mereka itu memang patut dikenakan kepada mereka.

Soalan:

Benar kah tadabbur Al-Quran memerlukan 15 cabang ilmu? Apakah ilmu tersebut? Bukankah tadabbur ertinya, merefleksikan diri dengan Al-Quran, agar kita dapat ambil apa pengajaran yg terkandung di dalamnya?

Jawapan:

Ada yang menggunakan hujah ini untuk melarang belajar tafsir dan tadabbur tafsir. Ia dianggap menjadikan pemahaman kepada Al-Quran ini seolah-olah mustahil dan tidak akan dapat dicapai oleh manusia, kecuali manusia istimewa. Tetapi ini berlawanan dengan ayat Al-Quran [ Qamar: 17 ] dan banyak lagi ayat-ayat lain:

وَلَقَد يَسَّرنَا القُرآنَ لِلذِّكرِ فَهَل مِن مُدَّكِرٍ

Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al-Quran untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pelajaran?

Jadi kalau ada yang berhujah kena ada 15 cabang ilmu baru boleh belajar tafsir dan tadabbur ayat-ayat Al-Quran, maka ini adalah syubhat iblisiyah (yang dilontarkan Iblis) untuk memalingkan manusia dari mencari kebenaran.

Syaikh asy-Syinqîthi rahimahullah mengatakan, “Apabila maksud mereka bahawa mempelajari keduanya (al-Qur`ân dan Sunnah) merupakan perkara sulit, tidak mampu dilakukan siapa pun, ini pernyataan batil sebab mempelajari Al-Quran dan Sunnah jauh lebih mudah berbanding mempelajari ra`yu dan ijtihad yang banyak tersebar (di kitab-kitab Ulama). Allâh Azza wa Jalla telah mengulang-ulang beberapa kali firman-Nya: “Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al-Qurân untuk (menjadi) pelajaran, maka adakah orang yang (mau) mengambil pelajaran?”[Al-Qamar: 17]

Mempelajari al-Quran dan Sunnah di masa sekarang juga semakin mudah dibandingkan di masa lalu. Syaikh asy-Syinqîthi rahimahullah menegaskan, “Hendaknya engkau tahu bahawa mempelajari Kitâbullâh dan Sunnah Rasûlullâh SAW di masa sekarang jauh lebih mudah daripada di masa-masa permulaan Islam, kerana adanya kemudahan dalam mengetahui segala hal yang berkaitan dengannya, seperti masalah nâsikh dan mansûkh, âm dan khâsh, pemilihan hadis sahih dan lemah. Masalah-masalah tentang itu sudah teliti, dirapikan dan dibukukan. Jadi, semuanya dapat dijangkau dengan mudah hari ini.

Jadi, 15 cabang ilmu itu disusun oleh mufassir utk menjaga kesucian tafsir. Jangan memandai untuk tafsir sendiri ayat Al-Quran kerana boleh salah faham dan salah tafsir. Dan banyak juga yang terjadi apabila baca sahaja terjemahan dan buat fahaman sendiri.

Maka kita dalam kelas ini bukan hendak tafsir sendiri ayat Al-Quran tetapi menyampaikan apa yang telah ditafsirkan oleh para ulama. Dan kita gunakan bahasa moden supaya orang biasa senang hendak faham kerana kadangkala kalau baca sendiri kitab tafsir, tidak boleh faham kerana bahasa lama yang digunakan.

Jadi, jangan takut untuk belajar tafsir Al-Quran, malah ia adalah wajib.

Allahu ‘alam.

Komen dan Soalan