Utama Bilik (22) Hadith Al-Sakandary Ulum Hadis – Kelas #19

Ulum Hadis – Kelas #19

291
0
Iklan

Bismillah, Alhamdulillah.

Segala puji kepada Allah Rabb sekalian alam, kepadaNya kita memohon perlindungan, petunjuk serta pengampunan, selawat serta salam kepada baginda Muhammad SAW penutup segala Nabi dan Rasul, serta kepada para Sahabat baginda serta keluarga baginda dan kepada mereka yang teguh atas manhaj baginda hingga kini. Wa ba’d.

Kita berdoa agar ditetapkan atas manhaj salaf, mengikuti tauladan para salaf. Manhaj salaf adalah bagi semua yang mengikut tauladan para Salaf. Moga kita dijauhkan dari sifat perasan diri mengikuti salaf serta memberi cop kepada orang lain sebagai tidak mengikut salaf hanya kerana orang itu tidak mengikut pendapat gurunya atau tidak mengekor pendapat syaikh yang diikutinya.

Alhamdulillah setelah sekian lama kelas kita terhenti, kita direzqikan untuk menyambung semula kelas kita pada pagi yang mulia ini, hari ‘Arafah tahun 1438H.

Maaf atas kesibukan yang amat, saya tidak dapat menjalankan kelas kita secara rutin mingguan seperti dahulu.

Baik, bersempena dengan hari ‘Arafah hari ini, dan juga hari ‘eid al-adha yang bakal tiba esok insyaAllah, saya bercadang ingin berdiskusi berkenaan hadith kelebihan puasa ‘Arafah, juga memandangkan ‘eid al-adha tahun ini jatuh pada hari jumaat maka saya bercadang berdiskusi berkenaan hadith-hadith berkaitan kelonggaran kewajipan bersolat jumaat bagi yang telah melaksanakan solat ‘eid.

 

Kelebihan Puasa ‘Arafah

Berapa ramai yang hadit kelas ini dalam keadaan berpuasa? Alhamdulillah saya yakin ramai yang sedang berpuasa.

Hari ‘Arafah adalah hari yang mulia, dianjurkan berpuasa pada harinya, serta banyak berdoa. Dalam bab berpuasa pada hari ‘Arafah, terdapat satu hadith yang sering disebarkan berkenaan kelebihan (fadhilat) puasa pada hari ‘arafah, datang dengan jalur dari sekelompok (jamaah) sahabat antaranya Abi Qatadah (dan ini tidak tepat), Qatadah bin al-Nu’man, ‘Umar al-Khattab, ‘Aishah, Sahl bin Sa’ad, Ibn ‘Abbas, Zaid bin al-Arqam, ‘Abdullah bin ‘Umar. Namun kesemua jalur ini tidak terlepas daripada cacat cela, Dha’if serta tidak dapat dinaikkan darjatnya.

Walaupun hadith tersebut dhaif, namun fiqh berpuasa pada hari ‘arafah telah ada, dan tetap disyariatkan. Hadith yang dimaksudkan ialah, dari Abu Qatadah berkata, Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam pernah ditanya tentang puasa hari `Arafah, kemudian Baginda menjawab:

يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَ الْبَاقِيَة

“Puasa itu (puasa hari `Arafah) dapat menebus dosa setahun yang telah berlalu dan setahun akan datang.”

Kritikan Sanad:

1- Jalur yang paling kuat ialah jalur yang dikeluarkan oleh Muslim dalam Jami’nya al-Sahih, iaitu daripada ‘Abdullah bin Ma’bad al-Zimmani daripada Abi Qatadah secara marfu’, hadith ini Dha’if, baginya banyak kecacatan antaranya:

  • Putus (inqitha’) antara ‘Abdullah bin Ma’bad al-Zimmani dan Abi Qatadah al-Ansari (Sahabi) sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Bukhari dalam al-Tarikh al-Kabir (5/198). Bahkan kata al-Tirmizi “Hasan” iaitu Dha’if (al-Jami’ al-Mukhtasar, 749) begitu juga Ibn ‘Adiy dengan mengutip kalam al-Bukhari (al-Kamil Fi Dhu’afa’ al-Rijal, 5/347).
  • Mutaba’ah daripada Harmalah bin Iyaas (atau Iyaas bin Harmalah) tidak dapat menampung kelemahan jalur ini, baginya ittirab (goncang) serta ikhtilaf (percanggahan) yang amat berat sehingga tidak dapat ditarjih dan ditinggalkan, berkata al-Bukhari selepas menyebut ikhtilaf bagi jalur ini “Tidaklah Sahih isnadnya” (al-Tarikh al-Kabir, 3/68), serta berkata al-Daraquthni selepas menjelaskan jalur-jalurnya “Ianya Muttarib, tidaklah dihukum baginya dengan apapun” (al-‘Ilal, 6/151).
  • Sekiranya seseorang berkata ‘Abdullah bin Ma’bad al-Zimmani mendengar daripada Abi Qatadah al-Ansari (Sahabi), maka jalur ini tetap Dha’if kerana putusnya juga! Disebabkan Abu Qatadah dalam jalur ini bukanlah Abu Qatadah al-Ansari yang merupakan seorang Sahabi, namun ia sebenarnya adalah Abu Qatadah al-‘Adawi yang merupakan daripada kalangan Tabi’in.
  • Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibn Ma’in katanya “semua riwayat daripada Ibn Sirin, dan juga riwayat para Basrah daripada Abi Qatadah, maka ianya adalah Abu Qatadah al-‘Adawi”, sungguh Ibn Ma’in merupakan sang pencerah!! Maka jalur ini Dha’if kerana kedua-dua ‘Abdullah bin Ma’bad al-Zimmani serta Harmalah yang meriwayatkan hadith ini adalah orang Basrah, maka Abi Qatadah adalah al-‘Adawi bukannya al-Ansari.

2- Jalur ‘Umar al-Khattab, dikeluarkan antaranya oleh Abu Ya’la dalam Musnadnya (144), iaitu daripada ‘Abdullah bin Ma’bad al-Zimmani daripada Abi Qatadah, jalur ini juga Dha’if baginya putus (inqitha’) kerana ‘Abdullah bin Ma’bad tidak pernah mendengar daripada ‘Umar sebagaimana yang dijazamkan Abu Zur’ah dalam al-Marasil (524).

3- Jalur Qatadah bin al-Nu’man juga Dha’if kerana dalamnya terdapat para rawi yang Matruk dan Dha’if.

4- Jalur ‘Aishah juga Dha’if kerana putus antara ‘Atha al-Khurasani dan ‘Aishah, ianya juga datang dengan riwayat yang bersambung (mausul) namun Dha’if tidak terlepas daripada para rawi Munkarul Hadith serta Majhul.

5- Jalur Sahl bin Sa’d juga Dha’if, baginya dua rawi yang Dha’if

6- Jalur Ibn ‘Abbas juga Dha’if dalamnya terdapat para rawi yang Matruk dan Dha’if.

7- Jalur Zaid bin al-Arqam juga Dha’if bahkan musalsal (bersamsung-sambung) dengan para rawi yang Dha’if dan Matruk.

8- Akhirnya jalur Ibn ‘Umar juga Dha’if, baginya perawi Munkarul Hadith.

Kritikan Teks (Matan):

Sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini, isnad setiap jalur hadith ini tidak terlepas daripada cacat cela, dan ianya Dha’if tidak dapat dikuatkan. Selain masalah sanad, hadith ini juga bermasalah pada teksnya iaitu lafaz “diampunkan dosa-dosa setahun sebelum serta setahun selepasnya”.

Lafaz ini secara zahir seolah menetapkan keampunan dosa-dosa yang bakal dilakukan pada tahun akan datang, ini ajaib!! Perkara sebegini hanya benar bagi Nabi yang ma’sum, manakala manusia lain yang berbuat dosa maka tidaklah ditetapkan keampunan, tidak diampun melainkan setelah bertaubat memohon keampunan.

Lihatlah kita kepada hadith kelebihan bulan paling mulia Ramadhan, yang baginya malam umpama 1000 bulan, disebut dalam hadith Sahih dengan kesepakatan huffaz “sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan serta mengharap keampunan (ikhlas) maka diampunkan dosa-dosanya yang lalu”, dalam lafaz lain menyebut “sesiapa yang mendirikan malam al-Qadr dengan penuh keimanan serta mengharap keampunan (ikhlas) maka diampunkan dosa-dosanya yang lalu”.

Bagaimana mungkin puasa 1 hari pada hari ‘arafah ini kelebihannya melebihi puasa Ramadhan yang difardhukan selama 30 atau 29 hari, serta disebutkan baginya bulan maghfirah (keampunan)??! Serta bagaimana mungkin puasa ‘arafah ini kelebihannya melebihi bersolat malam dalam malam al-Qadr, yang Nabi serta isteri-isterinya berjaga malam di masjid dalam tempoh-tempoh 10 hari akhir??!

Telah jelas kepada kita bahawa tiada hadith Sahih berkenaan kelebihan (fadhilat) berpuasa pada hari ‘arafah, hadithnya Dha’if serta Munkar matan (teks)nya. Namun tidaklah menjadi kesalahan serta tidaklah dihukumi bid’ah mereka yang berpuasa pada hari ‘arafah, kerana telah thabit Sahih dianjurkan memperbanyak amalan pada 10 hari awal Zulhijjah dan ia termasuklah berpuasa, disamping bertakbir, serta bertahmid, dan hari ‘arafah termasuk 1 hari dalam hari-hari 10 awal Zulhijjah.

Dengan itu dianjurkan membanyak amal termasuklah salah-satunya dengan berpuasa pada hari ‘arafah, hanya saja kelebihan yang disebutkan dalam hadith yang popular “diampunkan dosa-dosa satu tahun lalu serta mendatang” tidaklah Sahih. Suka saya mengulang ungkapan para guru-guru saya, “fiqh bagi sesuatu hadith itu lebih luas daripada tashih (penilaian Sahih) serta tad’if (penilaian Dha’if)”, dan kaedah umum ini adalah perkara yang perlu jelas difahami.

Hari ‘arafah adalah hari yang mulia, sabda Nabi dalam hadith yang dikeluarkan al-Bukhari,

Dari Ibnu `Abbas radhiAllahu `anhuma bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:

مَا مِنْ اَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا اَحَبُّ اِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ الْاَيَّامِ, يَعْنِي اَيَّامَ الْعَشْرِ, قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ, وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ؟ قَالَ: وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ, اِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ شَيْءٌ

“Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi ALLAH selain dari hari-hari yang sepuluh ini (pada bulan Zulhijjah).” Para sahabat bertanya: “Walaupun berjihad di jalan Allah?” Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda: “Walaupun berjihad di jalan Allah, kecuali lelaki yang keluar berjihad membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid).”

Juga sabda Nabi lagi, dari ‘A’isyah radhiAllahu `anha berkata bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:

مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللهُ فِيهِ عَبْدًا مِنْ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَة

“Tidak ada hari yang lebih ramai ALLAH Ta`ala membebaskan hambaNYA daripada api neraka lebih daripada hari `Arafah.” Hadith dikeluarkan Muslim.

 

Kewajipan Solat Jumaat

Baik, berkenaan kewajipan melaksanakan solat Jumaat bagi yang telah melaksanakan solet ‘eid pada paginya.

Sebagimana yang telah maklum dalam usul-usul Sahih, solat jumaat adalah termasuk kefardhuan dan wajib bagi setiap lelaki yang telah ‘aqil baligh.

Terdapat disana benerapa riwayat yang lemah, wahi berkenaan jika berkumpulnya jumaat bersama ‘eid, maka dilonggarkan kewajipan melaksanakan solat jumaat bagi yang telah melaksanakan solat ‘eid

Pertama ialah hadith Abu Hurairah,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ: ((قَدْ اجْتَمَعَ فِي يَوْمِكُمْ هَذَا عِيدَانِ فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنْ الْجُمُعَةِ، وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ))

Dari Abu Hurairah dari Nabi saw bahawa baginda berkata: “Telah berkumpul pada hari kamu ini dua hari raya, sesiapa yang mahu memadailah baginya solat hari raya bagi solat Jumaat (tidak wajib Jumaat), adapun kami (Nabi SAW) akan menunaikan (juga) solat Jumaat

Takhrij:

Dikeluarkan antaranya oleh Abu Daud (1073), Ibn Majjah (1311), Ibn al-Jarud dalam al-Muntaqa (302) dan lainnya, kesemuanya dari jalur Baqiyyah bin al-Walid telah mengkhabarkan kami Syu’bah dari al-Mughirah al-Dhabbiyyi dari ‘Abdul ‘Aziz bin Rafi’ dari Abi Soleh dari Abi Hurairah.

Status:

Saya katakan hadith ini Munkar. Telah tafarrud (menyendirinya) Baqiyyah meriwayatkannya dari Syu’bah, sedangkan tiada satupun ashab Syu’bah lain membawa riwayat ini.

Sesungguhnya telah tersilap Baqiyyah dalam menyatakannya ia dari Syu’bah, dan sesungguhnya hadith ini bukanlah dari Syu’bah pun!

Hadith ini diingkari oleh jamaah huffaz hadith Salaf semisal al-Imam Ahmad bin Hanbal, al-Imam Abu Hatim, al-Imam al-Daraquthni.

Al-Khatib al-Baghdadi meriwayatkan dengan sanad yang Sahih dalam al-Tarikh bahawa berkata al-Imam Ahmad:

“Telah diberitakan kepadaku bahawa Baqiyyah meriwayatkan dari Syu’bah dari Mughirah dari ‘Abdul ‘Aziz bin Rafi’ dari Abi Soleh dari Abi Hurairah berkenaan dua ‘eid (solat ‘eid dan solat jumaat) yang berlaku dalam hari yang sama, dari mana Baqiyyah mengambil perkara ini!!!”. Al-Imam Ahmad mengingkari riwayat ini dengan seingkar-ingkarnya.

Berkata al-Imam al-Daraquthni “hadith ini Gharib dari hadith Mughirah, tiada yang meriwayatkannya selain Syu’bah bahkan ianya juga Gharib dari Syu’bah! Tiada yang meriwayatkannya dari Syu’bah selain Baqiyyah..”

Bahkan berkata al-Imam Ibn ‘Abdil Barr dalam al-Tamhid (272/10):

“Hadith ini tidak diriwayatkan dari Syu’bah walaupun dari seorang yang thiqah dari kalangan ashabnya (muridnya) yang huffaz, sebaliknya ia diriwayatkan oleh Baqiyyah bin al-Walid, dan ia bukanlah hadith Syu’bah pun asalnya! Baqiyyah meriwayatkan hadith ini dari ahli negerinya iaitu Syam dan baginya kelemahan, kebanyakan ahli ilmu (ahli hadith) menDhaifkan riwayat Baqiyyah yang beliau riwayat dari orang-orang Syam dan selainnya, dan baginya hadith-hadith Munkar! Dan beliau Dhaif tidak dibuat hujah”

Kedua: Hadith Abdullah bin Abbas

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ: ((اجْتَمَعَ عِيدَانِ فِي يَوْمِكُمْ هَذَا، فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنْ الْجُمُعَةِ، وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ، إِنْ شَاءَ اللَّهُ)).

Sabda Nabi Saw: “Telah berkumpul dua hari raya pada hari kamu ini, sesiapa yang mahu memadailah baginya solat hari raya bagi solat Jumaat (tidak wajib Jumaat), adapun kami (Nabi s.a.w) akan menunaikan (juga) solat Jumaat, Insya’Allah”.

Takhrij:

Dikeluarkan oleh Ibn Majjah (1311), telah menceritakan kami Muhammad bin al-Musoffa al-Himsi telah menceritakan kami Baqiyyah telah menceritakan kami Syu’bah telah menceritakanku Mughirah al-Dhabbiyyi dari ‘Abdul ‘Aziz bin Rafi’ dari Abi Soleh dari Ibn ‘Abbas secara marfu’.

Status:

Saya katakan hadith ini Munkar! Telah tersilap Ibn Majjah dalam meriwayatkan hadith ini sebagai hadith Ibn ‘Abbas, yang benar ia adalah hadith Abi Hurairah dan statusnya adalah Munkar sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini.

Berkata guru saya Syaikhul Hadith al-Iskandariah Abu Muhammad Ahmad Shihatah al-Alfy al-Sakandary:

“Demikian membawanya Ibn Majjah dengan sanad ini dari Ibn ‘Abbas, dan ia silap! Sanad yang betulnya ialah sebagaimana yang dikeluarkan Abu Daud dengan sanad dari Abi Hurairah, dan ia adalah sebagaimana yang telah dijelaskan secara rinci sebelum ini bahawa ia adalah muttarib munkar matan”

Ketiga: Hadith Zaid bin Arqam

مُعَاوِيَةَ بْنَ أَبِي سُفْيَانَ وَهُوَ يَسْأَلُ زَيْدَ بْنَ أَرْقَمَ قَالَ: أَشَهِدْتَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِيدَيْنِ اجْتَمَعَا فِي يَوْمٍ؟ قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: فَكَيْفَ صَنَعَ؟ قَالَ: صَلَّى الْعِيدَ ثُمَّ رَخَّصَ فِي الْجُمُعَةِ. فَقَالَ: (مَنْ شَاءَ أَنْ يُصَلِّيَ فَلْيُصَلِّ)

Mu’awiah bin Abi Sufyan bertanya kepada Zaid bin Arqam: Pernahkah kamu meyaksikan dua hari ‘eid yang bertepatan pada hari Jumaat pada zaman Rasulullah SAW? Jawabnya: Ya! Kata Muawiah: Bagaimana Rasulullah melakukannya? Kata Zaid: Nabi SAW melaksanakan solat Eid kemudian Baginda memberikan rukhshah (kelonggaran) bagi solat Jumaat dengan bersabda: “Barangsiapa yang mahu solat (Jumaat), maka solatlah.”

Takhrij:

Hadith ini dikeluarkan antaranya oleh Ahmad (372/4), al-Darimi (1612), al-Bukhari dalam al-Tarikh al-Kabir (438/1), Ibn Majjah (1310), al-Bazzar dalam Musnad al-Mua’ll (4337), Abu Daud (1070), al-Nasaie (194/3), Ibn Khuzaimah dalam Mukhtasar al-Mukhtasar (1474), kesemuanya dari jalur Israil telah menceritakan kami Uthman bin al-Mughirah dari Iyas bin Abi Ramlah al-Syaamii katanya “daku melihat Mu’awiyah bin Abi Sufyan bertanya kepada Zaid bin Arqam…- seperti di atas – ”

Status:

Saya katakan hadith ini Dha’if Munkar! Baginya beberapa kecacatan:

1- Iyas bin Abi Ramlah al-Syaamii adalah Majhul.

Berkata guru saya Syaikhul Hadith al-Iskandariah Abu Muhammad Ahmad Shihatah al-Alfy al-Sakandary: “walaupun Iyas merupakan kalangan majhul dari tabi’in yang memungkinkan riwayatnya diterima dengan qarain dan husn zhan, namun bagi hadith ini ia tidak menepati syarat untuk menerimanya kerana matannya munkar, menyalahi usul serta bertentangan dengan hadith yang thabit dari al-Nu’man bin Basyir yang menyatakan Nabi SAW tetap melaksanakan Jumaat walaupun ‘eid pada hari Jumaat”

2- Bersama-sama dengan Majhulnya Iyas, beliau juga tefarrud (menyendiri) membawa riwayat ini dari Mua’wiyah bin Abi Sufyan.

Hadith ini telah diDha’ifkan oleh para huffaz Salaf, antaranya oleh Ibn Khuzaimah sendiri dengan katanya “In Sahha l-Khabar / إن صح الخبر (jika benarlah khabar ini sahih / Jika benar khabarnya).

Perlu diketahui bahawa bentuk lafaz syak “In Sahha l-Khabar” ini adalah salah satu bentuk isyarat pendha‘ifan oleh Imam Ibn Khuzaimah. Ini adalah manhaj/ metod yang digunakan oleh Imam Ibn Khuzaimah dalam kitab Sahihnya, iaitu apabila beliau menyebut “In Sahha l-Khabar” dalam Kitab Sahihnya ia menunjukkan bahawa hadith itu Dha‘if di sisinya.

Juga diDhaifkan oleh al-Zahabi dalam Mizan al-I’tidal (1052) dengan membawa kata Ibn al-Munzir katanya: “ini tidaklah thabit, sesungguhnya Iyas adalah Majhul”.

Keempat: Hadith ‘Abdullah bin ‘Umar.

عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ: اجْتَمَعَ عِيدَانِ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى بِالنَّاسِ، ثُمَّ قَالَ: ((مَنْ شَاءَ أَنْ يَأْتِيَ الْجُمُعَةَ فَلْيَأْتِهَا)) وَمَنْ شَاءَ أَنْ يَتَخَلَّفَ فَلْيَتَخَلَّفْ))

Dari Ibn ‘Umar katanya: “Telah berkumpul pada suatu ketika dua hari raya pada zaman Rasulullah saw, maka Baginda telah menunaikan solat hari raya bersama sahabat, kemudian bersabda: “Sesiapa yang mahu datang solat Jumaat, boleh datang dan sesiapa tak mahu pun boleh”

Takhrij:

Dikeluarkan antaranya oleh Ibn Majjah (1302), Ibn ‘Adiy dalam al-Kamil (456/6), Ibn al-Jauzi dalam al-Tahqiq Fi Ahadith al-Khalaf (797), dari jalur Jubarah bin al-Mughallas telah menceritakan kami Mindal bin ‘Ali bin ‘Abdul ‘Aziz bin ‘Umar dari Nafi’ dari Ibn ‘Umar secara marfu’

Juga dikeluarkan oleh al-Tabarani dalam al-Kabir (435/12591/12) dari jalur Said bin Rasyid al-Simak telah menceritakan kami ‘Atha bin Abi Rabah dari Ibn ‘Umar secara marfu’ dengan sedikit beza lafaz.

Status:

Saya katakan hadith ini Dhaif, bahkan Maudhu’ Batil! Baginya beberapa penyakit:

1- Kedua-dua Jubarah dan Mindal adalah Dhaif. Jubarah lebih parah dhaifnya antara keduanya.

Bahkan Jubarah banyak mendustakan hadith sebagaimana yang dijelaskan al-Imam Yahya Ibn Ma’in, al-Imam Ahmad bin Hanbal serta al-Imam Abu Zur’ah.

2- Said bin Rasyid adalah muttaham, berkata al-Imam Ibn Ma’in tentangnya “tiada nilainya”, berkata pula al-Imam al-Bukhari serta al-Imam Abu Hatim “Munkarul hadith”, bahkan berkata al-Nasaie “Matruk al-Hadith”.

Hadith ini diDhaifkan oleh para huffaz semisal al-Imam Ajmad bin Hanbal, al-Imam Ibn ‘Adiy, Ibn Majjah dan lainnya. Bahkan berkata guru saya Syaikhul hadith al-Iskandariah Abu Muhammad Ahmad Shihatah al-Alfy al-Sakandary “batil”.

Demikianlah hadith-hadith yang berkaitan bab ini, telah jelas bagi kita akan lemahnya serta munkarnya kesemuanya.

Jadi bagaimana dengan hukum solat Jumaat pada hari `Eid? sesetengah fuqaha’ berpendapat bahawa bagi mereka yang telah pergi menunaikan solat `Eid tidak wajib lagi untuk pergi melaksanakan solat Jumaat.

Pendapat ini amat lemah, kerana tiada satupun dalil Sahih yang menyatakan bolehnya meninggalkan solat Jumaat sekiranya telah melakukan solat `Eid, semua hadith dalam hal ini kesemuanya cacat diingkari oleh para huffaz hadith Salaf. Bahkan berkata Imam Ibn ‘Abdil Barr:

“Tidaklah boleh bagi seorang muslim berpendapat gugurnya kefardhuan (kewajipan) solat Jumat – apabila jatuh ‘Eid pada hari Jumaat – , sedang Allah ‘Azza Wa Jalla telah wajibkan kepadanya dengan kataNya: {bermaksud- Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat)}, tidaklah Allah dan RasulNya bezakan hari ‘Eid atau selainnya dari segi hujah kewajipannya, maka bagaimana mungkin seseorang berpendapat gugurnya solat Jumaat…tiadalah baginya sebarang hadith – yang menggugurkan kewajipan solat Jumaat apabila jatuh pada hari ‘Eid – melainkan ia dikritik dengan kecacatan disisi para ahli ilmu dalam hadith (iaitu para ahli hadith)” [Rujuk: al-Tamhid, 10/277]

Dengan itu berkata Imam Ibn Hazm:

“Apabila berhimpunnya hari ‘Eid pada hari Jumaat, tidak dapat tidak mestilah solat untuk ‘Eid, kemudian solat untuk Jumaat pula, tidaklah sahih akan athar-athar yang menyalahi hal ini” [Rujuk: al-Muhalla, 3/303]

Dalam hal ini terdapat 4 hadith marfu’ dan beberapa athar yang mauquf, kesemuanya adalah Dha’if dan cacat, bahkan Munkar. Hal ini sebagaimana yang telah dijelaskan secara terperinci oleh guru kami Syaikhuna al-Muhaddith Abu Muhammad Ahmad Shihatah al-Alfy al-Sakandary dalam kitabnya “al-Lum’ah Bi Bayan Anna Solat al-`Eid La Tujzi `An Solah al-Jumu’ah”, dan juga oleh guru kami Syaikhuna al-Muhaddith ‘Amru ‘Abdul Mun’im Salim al-Misri dalam kitabnya “Tahsil Maa Faat al-Tahdis Bimaa Qila La Yasih Fihi Hadith”.

Saya akhiri perbahasan bab ini dengan petunjuk Nabi apabila berkumpulnya ‘eid dan jumaat, apa yang dilakukan Nabi? Dalam hal ini terdapat satu riwayat yang jelas serta kuat, dikeluarkan al-Imam Muslim dalam kitab Sahihnya, daripada al-Nu’man bi Basyir katanya, adalah Rasulullah membaca pada kedua solat ‘eid, serta solat jumaat ‘’sabbihis ma rabbi kal ’ala’’ serta ‘’hal ataaka hadithul qhasyiah’’, dan berkata perawi ‘’jika berkumpulnya jumaat serta ‘eid pada hari yang sama, Baginda SAW akan turut membaca kedua-duanya dalam kedua solat ‘eid’’

Dalil ini jelas menunjukkan bahawa Nabi tetap melaksanakan solat jumaat walaupun telah melaksanakan solet ‘eid pada paginya.

Komen dan Soalan