Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-37 hingga Ke-39

Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-37 hingga Ke-39

1275
0
Iklan

Tafsir Surah Ghafir

Tafsir Ayat Ke-37

Dalam ayat sebelum ini, Firaun suruh Haman buat menara tinggi.

أَسبابَ السَّماواتِ فَأَطَّلِعَ إِلىٰ إِلٰهِ موسىٰ وَإِنّي لَأَظُنُّهُ كاذِبًا ۚ وَكَذٰلِكَ زُيِّنَ لِفِرعَونَ سوءُ عَمَلِهِ وَصُدَّ عَنِ السَّبيلِ ۚ وَما كَيدُ فِرعَونَ إِلّا في تَبابٍ

“(Iaitu) ke pintu-pintu langit, supaya aku dapat melihat Tuhan Musa a.s; dan sesungguhnya aku percaya Musa a.s itu seorang pendusta!” Demikianlah diperhiaskan (oleh Syaitan) kepada Firaun akan perbuatannya yang buruk itu untuk dipandang baik, serta ia dihalangi dari jalan yang benar; dan tipu daya Firaun itu tidak membawanya melainkan ke dalam kerugian dan kebinasaan”.

أَسْبَابَ السَّمَاوَاتِ

“Jalan naik ke langit”,

Untuk pergi dari satu langit ke langit yang lain. Kononnya Firaun hendak naik ke langit dengan menaranya itu.

فَأَطَّلِعَ إِلَىٰ إِلَٰهِ مُوسَى

“Supaya aku boleh tengok sendiri Tuhan Musa a.s”.

Kenapa Firaun hendak ke langit untuk melihat Tuhan? Kerana Nabi Musa a.s beritahu beliau yang Allah SWT berada di langit. Sebab itulah dia memerintahkan supaya dibina menara yang tinggi untuk dia mendaki ke langit tersebut.

Maknanya, Firaun pun tahu yang Nabi Musa a.s kata Allah SWT di langit. Jadi, kalau orang kita kata ‘Allah SWT ada di mana-mana’, ‘Allah SWT wujud tanpa bertempat’, itu maknanya fahaman mereka itu berlainanlah dengan fahaman Nabi Musa a.s.

وَإِنِّي لَأَظُنُّهُ كَاذِبًا

“Dan sesungguhnya aku yakin yang dia pendusta besar”.

Dia kata Nabi Musa a.s itu pembohong besar kerana Nabi Musa a.s kata ada Tuhan di langit yang bernama Allah SWT. Dia hendak kata yang dia sahaja tuhan, dan tidak ada tuhan yang lain. Dia kata Nabi Musa a.s menipu sahaja. Sebab itu dia buat helah, kononnya hendak naik ke langit dan tengok sendiri yang memang tiada sesiapa pun di langit itu.

وَكَذَٰلِكَ زُيِّنَ لِفِرْعَوْنَ سُوءُ عَمَلِهِ

“Begitulah, dihiasi elok kepada Firaun segala keburukan yang diamalkannya”

Dinampakkan cantik sahaja hujah-hujah Firaun itu kepada dirinya. Dia rasa dia pandai dan bijak kerana boleh memberikan hujah-hujah yang sebegitu. Padahal, mana boleh lihat Dzat Allah SWT. Dia rasa bangga kerana dia telah memalukan Nabi Musa a.s.

Begitulah juga, ramai penentang sunnah bagi hujah yang entah apa-apa, tetapi mereka sangka hujah mereka telah ‘power’. Sebagai contoh mereka kata: “Ha! kalau tidak boleh buat bidaah, maka jangan naik keretalah… naik unta macam Nabi Muhammad SAW tu naik unta… hahaha…” Mereka tidak sedar yang hujah mereka amat bodoh, tetapi mereka sangka mereka telah pandai sangat sebab bagi hujah macam itu.

وَصُدَّ عَنِ السَّبِيلِ

“Dan dia telah dihalang dari jalan benar”

Dia telah dijauhkan dari jalan yang benar kerana dia telah menolak kebenaran dari awal lagi. Dia tidak buka hatinya untuk dengar dahulu apa yang hendak disampaikan oleh Nabi Musa a.s. Bila tolak dari mula lagi, memang akan jadi begitulah.

Maka kalau anda susah hendak terima lagi hujah jalan sunnah ini, janganlah tolak terus, dengarlah dulu. Cuba buka minda anda. Jangan terus tolak, jangan terus kutuk, jangan terus hendak cemuh, takut nanti membinasakan diri.

وَمَا كَيْدُ فِرْعَوْنَ إِلَّا فِي تَبَابٍ

“Dan tidaklah tipu daya Firaun melainkan dalam kebinasaan”.

Ini adalah Idkhal Ilahi (pencelahan Tuhan). Kerana mungkin timbul persoalan di fikiran pembaca Al-Quran, adakah berjaya apa yang hendak dilakukan oleh Firaun itu? Allah SWT mencelah di hujung ayat ini untuk memberitahu yang tipu daya Firaun itu tidak berjaya. Tidak ada menara yang dibina.

Tafsir Ayat Ke-38:

Ini adalah hujah balas dari Lelaki Mukmin itu apabila Firaun kata hendak bina menara yang tinggi:

وَقالَ الَّذي آمَنَ يا قَومِ اتَّبِعونِ أَهدِكُم سَبيلَ الرَّشادِ

“Dan berkatalah pula orang beriman itu: “Wahai kaumku! Turutlah (nasihatku), aku akan menunjukkan kepada kamu jalan yang benar”.

وَقَالَ الَّذِي آمَنَ

“dan berkata orang yang beriman itu”,

Lelaki Mukmin itu tidak mahu layan pun kata-kata Firaun itu. Buat apa layan lawak dan kata-kata bodoh orang yang tidak beriman? Dia meneruskan dakwahnya kepada kaumnya itu.

يَا قَوْمِ اتَّبِعُونِ

“Wahai kaumku, ikutilah sahaja aku”

Kenapa Lelaki Mukmin itu cakap ikut dirinya, sedangkan Nabi Musa a.s masih ada lagi? Maksudnya, ikut beliau yang telah beriman dengan Allah SWT dan Nabi Musa a.s. Ikutlah hujah-hujahnya itu.

أَهْدِكُمْ سَبِيلَ الرَّشَادِ

“Aku akan pimpin kamu kepada jalan yang benar”.

Bila Firaun cakap macam ayat sebelum ini di dalam majlis bersama rakyatnya itu, Lelaki Mukmin itu nampak orang seperti percaya dengan Firaun dan semakin mahu ikut jejak langkah Firaun. Maka dia kata cepat-cepat ajak mereka ikut dia. Seperti kita nampak anak kita sedang lepak dengan orang hisap dadah. Hendak syarah di situ sudah tidak sempat. Kita ajak dia balik terus supaya nanti kita nasihatkan dia di rumah.

Lelaki Mukmin itu mengajak kaumnya kepada jalan yang benar, bukannya jalan yang diajak oleh Firaun itu seperti yang disebut oleh Firaun dalam ayat ke-29. Lelaki Mukmin itu hendak memberitahu jalan yang Firaun ajak itu adalah jalan yang sesat dan jalan yang dia ajak itulah jalan yang benar. Jalan yang benar adalah dengan beriman kerana itulah jalan yang selamat untuk dunia dan akhirat.

Tafsir Ayat Ke-39

Ini adalah ayat tazhid (tolak) dari dunia dan targhib (ajak) kepada Akhirat. Sesungguhnya kesesatan manusia banyak disebabkan oleh cintakan dan tertarik dengan keindahan dunia sahaja. Allah SWT mengingatkan kepada kita yang membaca Al-Quran ini supaya jangan tertipu dengan kehidupan dunia.

يا قَومِ إِنَّما هٰذِهِ الحَياةُ الدُّنيا مَتاعٌ وَإِنَّ الآخِرَةَ هِيَ دارُ القَرارِ

“Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja), dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal”.

يَا قَوْمِ إِنَّمَا هَٰذِهِ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا مَتَاعٌ

“Wahai kaumku, sesungguhnya kehidupan dunia ini adalah kesenangan sementara sahaja”.

Kehidupan dunia sekejap sahaja dan tidak lama lagi ia akan hancur – kita semua akan mati dalam masa yang singkat. Keindahan dunia yang kita bangga-banggakan dan kejar siang dan malam ini tidak kekal lama, tidak boleh dibawa mati pun. Jadi jangan tertumpu kepada dunia semata hingga lupakan tentang akhirat.

Allah SWT mengingatkan kepada kita bahawa dunia itu hanya kesenangan yang sedikit lagi hina. Bukan tidak ada kesenangan langsung, tetapi amatlah sedikit dan hina jika hendak dibandingkan dengan akhirat. Perkataan مَتَاعٌ dalam bahasa Arab adalah kain buruk yang digunakan oleh wanita untuk halang darah haid dari keluar. Begitulah Allah SWT gunakan perumpamaan مَتَاعٌ untuk nisbah kepada dunia.

Allah SWT tahu sifat hamba-Nya, maka Dia beri peringatan dalam ayat ini. Allah SWT ajar manusia untuk korbankan dunia bagi dapatkan akhirat.

Lelaki Mukmin itu berkata begitu kerana dia nampak rakyatnya mementingkan dunia. Mereka mendambakan pemberian keduniaan dari Firaun. Sebab mereka lihat susah hidup mereka kalau mereka tidak ikut kata Firaun itu. Kehidupan mereka bergantung sepenuhnya pada Firaun bukan kepada Allah SWT. Itu sebabnya mereka susah hendak terima kebenaran.

Lelaki Mukmin itu hendak memberitahu mereka bahawa yang mereka harapkan dari Firaun itu adalah angan-angan kosong sahaja kerana yang menjadi kaya-raya adalah Firaun sahaja dan konco-konconya. Rakyat yang lain hanya dapat saki baki sahaja. Maka, janganlah tertipu.

Lelaki Mukmin ini tinggal dalam istana Firaun. Tentulah kedudukan beliau amat tinggi dalam masyarakat. Tetapi, dengan berkata seperti apa yang telah dikatakannya itu, dia boleh kehilangan segala-galanya dalam dunia. Namun dia tidak peduli kerana dia lebih mementingkan akhirat dari kedudukan keduniaannya.

وَإِنَّ الْآخِرَةَ هِيَ دَارُ الْقَرَارِ

“Dan sesungguhnya akhirat itu adalah tempat kekal”.

Di akhiratlah kita semua akan kekal dan tidak akan ke mana-mana. Sama ada kekal dalam syurga atau kekal dalam neraka jika mengamalkan syirik. Jika dunia ini hanya tempat persinggahan sahaja, jadi kenapa hendak pentingkan dunia sedangkan ia cuma sebentar sahaja.

Ingatlah yang semasa di akhirat kelak, tidak guna harta dan duit dunia, tetapi menggunakan amal kebaikan kita di dunia. Nilai di akhirat kelak adalah pahala, bukannya harta.

Maka, jika kita susah dan derita sedikit semasa di dunia ini, apalah salahnya kerana kita akan mendapat balasan yang lebih banyak lagi kekal di akhirat kelak.

 

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan