Utama Bilik (78) Bulughul Maram & Fathul Bari Syarah Sahih Al-Bukhari – Iman, Islam dan Ihsan

Syarah Sahih Al-Bukhari – Iman, Islam dan Ihsan

3065
0
Iklan

بَابُ سُؤَالِ جِبْرِيلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ
 وَسَلَّمَ عَنِ الإِيمَانِ، وَالإِسْلاَمِ، وَالإِحْسَانِ، وَعِلْمِ السَّاعَةِ

Bab: Pertanyaan Malaikat Jibril kepada Nabi صلى الله عليه وسلم akan hal Iman, Islam dan Tanda Kiamat.

وَبَيَانِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَهُ، ثُمَّ قَالَ: «جَاءَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ يُعَلِّمُكُمْ دِينَكُمْ» فَجَعَلَ ذَلِكَ كُلَّهُ دِينًا، وَمَا بَيَّنَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِوَفْدِ عَبْدِ القَيْسِ مِنَ الإِيمَانِ، وَقَوْلِهِ تَعَالَى: {وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الإِسْلاَمِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ} [آل عمران: ٨٥]

Dan penjelasan Nabi صلى الله عليه وسلم kepadanya. Kemudian Beliau berkata: “Jibril عليه السلام datang mengajar kamu akan dien-mu (agamamu).

Lalu dia menyatakan perkara itu semua adalah dien.

Dan perkara dari iman yang dijelaskan oleh Nabi  صلى الله عليه وسلم terhadap perutusan Abdul Qais.

Dan firman Allah SWT yang bermaksud: “dan barangsiapa mencari dien selain Islam maka pasti tidak diterima darinya”.

حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ قَالَ حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ أَخْبَرَنَا أَبُو حَيَّانَ التَّيْمِيُّ عَنْ أَبِي زُرْعَةَ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَارِزًا يَوْمًا لِلنَّاسِ فَأَتَاهُ جِبْرِيلُ فَقَالَ مَا الْإِيمَانُ قَالَ الْإِيمَانُ أَنْ تُؤْمِنَ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَبِلِقَائِهِ وَرُسُلِهِ وَتُؤْمِنَ بِالْبَعْثِ قَالَ مَا الْإِسْلَامُ قَالَ الْإِسْلَامُ أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ وَلَا تُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَتُقِيمَ الصَّلَاةَ وَتُؤَدِّيَ الزَّكَاةَ الْمَفْرُوضَةَ وَتَصُومَ رَمَضَانَ قَالَ مَا الْإِحْسَانُ قَالَ أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ قَالَ مَتَى السَّاعَةُ قَالَ مَا الْمَسْئُولُ عَنْهَا بِأَعْلَمَ مِنْ السَّائِلِ وَسَأُخْبِرُكَ عَنْ أَشْرَاطِهَا إِذَا وَلَدَتْ الْأَمَةُ رَبَّهَا وَإِذَا تَطَاوَلَ رُعَاةُ الْإِبِلِ الْبُهْمُ فِي الْبُنْيَانِ فِي خَمْسٍ لَا يَعْلَمُهُنَّ إِلَّا اللَّهُ ثُمَّ تَلَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
{ إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ }
الْآيَةَ ثُمَّ أَدْبَرَ فَقَالَ رُدُّوهُ فَلَمْ يَرَوْا شَيْئًا فَقَالَ هَذَا جِبْرِيلُ جَاءَ يُعَلِّمُ النَّاسَ دِينَهُمْ
قَالَ أَبُو عَبْد اللَّهِ جَعَلَ ذَلِك كُلَّهُ مِنْ الْإِيمَانِ

Dengan sanad yang bersambung denganku, berkata Al-Bukhari:
Telah menceritakan kepada kami Musaddad berkata, Telah menceritakan kepada kami Isma’il bin Ibrahim telah mengkhabarkan kepada kami Abu Hayyan At Taimi dari Abu Zur’ah dari Abu Hurairah berkata; pernah Nabi صلى الله عليه وسلم pada suatu hari muncul dekati para sahabat, lalu datang seorang lelaki bertemunya kemudian bertanya: “Apakah iman itu?” Nabi صلى الله عليه وسلم menjawab: “Iman itu ialah kamu beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, pertemuan dengan-Nya, Rasul-Rasul-Nya, dan kamu beriman kepada hari kebangkitan”. Kemudian dia berkata: “Apakah Islam itu?” Jawab Nabi صلى الله عليه وسلم: “Islam itu ialah kamu mengabdikan diri terhadap Allah dan tidak menyekutukannya dengan suatu apapun, kamu dirikan solat, kamu tunaikan zakat yang diwajibkan, dan berpuasa di bulan Ramadan”. Kemudian dia bertanya lagi: “Apakah ihsan itu?” Nabi صلى الله عليه وسلم menjawab: “Kamu menyembah Allah seolah-olah melihat-Nya namun sekiranya kamu tidak dapat melihat-Nya maka sesungguhnya Dia sentiasa melihatmu”. Kemudian dia  bertanya lagi: “Bilakah terjadinya hari kiamat?” Nabi صلى الله عليه وسلم menjawab: “Yang ditanya tentang itu tidak lebih tahu dari yang bertanya. Namun aku akan terangkan kepadamu tanda-tandanya; (yaitu); jika seorang hamba telah melahirkan tuannya, dan jika para penggembala unta yang berkulit hitam berlomba-lomba membangun bangunan. Ada lima perkara tidak akan diketahuinya melainkan Allah”. Kemudian Nabi صلى الله عليه وسلم membaca: “Sesungguhnya hanya Allah mengetahui tentang hari kiamat” [Luqman: 34].

Setelah itu Jibril عليه السلام pergi, kemudian Nabi صلى الله عليه وسلم berkata; “panggil dia kembali ke sini.” Tetapi para sahabat tidak melihat sesuatupun, maka Nabi bersabda; “Dia adalah Malaikat Jibril datang kepada manusia untuk mengajarkan agama mereka.”

Abu Abdullah berkata: “Lalu dia صلى الله عليه وسلم menyatakan perkara itu semua adalah dari dien (agama).

Penerangan bab

1- Penjelasan Nabi صلى الله عليه وسلم di sini membawa maksud perkara pertanyaan Jibril adalah berupa agama kesemuanya. Ini yang diisyaratkan oleh Al-Bukhari melalui hadis selepasnya dari Abu Hurairah.

2- Perutusan Abdul Qais di sini adalah jemaah kabilah Abdul Qais.

3- Penerangan dari penjelasan terhadap jemaah Abdul Qais adalah dari hal iman. Di sini juga disebut dari ayat membawa maksud dien iaitu iman juga adalah dien dan dien juga adalah Islam.

4- Jadi maksud bab ini adalah setiap perkara berkaitan agama samada iman, ihsan, Islam adalah termasuk dien. Ini juga bererti iman mesti disertakan dengan amal dan Allah jua lebih mengetahui.

Penerangan Hadis

1- Iman adalah تصديق   membenarkan lagi mempercayai iaitu membenarkan dan mempercayai setiap pegangan serta kepercayaan yang datang dari Nabi صلى الله عليه وسلم sama ada berupa kewujudan Allah, sifat-sifat-Nya, ketuhanan-Nya, keesaan-Nya dan juga membenarkan serta mempercayai para Malaikat makhluk Allah, hari kebangkitan, Rasul-Rasul, kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah, takdir dan semua perkara-perkara ghaib seperti berita syurga, neraka, neraca dan sebagainya.

2- Islam iaitu menyerahkan diri serta tunduk patuh dengan ada persaksian mengucap kalimah syahadah. Kalimah syahadah ini mempunyai perbuatan lidah percakapan atau berupa pengesahan secara jelas maksud akan perkataan persaksian dan juga kalimah ini merangkumi makna bagi hati.

Manakala solat berkaitan ibadah melalui tubuh badan, perkataan dan hati dan zakat pula berkaitan harta.

3- Ihsan ialah kedudukan tertinggi dalam agama bagi merapatkan diri kepada Allah. Ihsan adalah jalan orang-orang yang Allah beri nikmat ke atas mereka.

4- Islam dan iman adalah dua perkara asalnya membawa maksud berbeza namun ia adalah satu makna. Islam seolah memberi maksud amal perbuatan manakala iman bermaksud pegangan hati. Dibezakan keduanya sekira keduanya berada dalam satu jumlah. Namun sekiranya hanya disebut iman atau hanya disebut Islam, maka iman adalah Islam manakala Islam adalah iman. Hal maksud sebegini ada huraian panjang oleh Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fathul Bari. Sila rujuk kitabnya untukk penerangan lanjut.

5- Hadis ini mengajar kita supaya menjawab soalan yang diketahui sahaja. Sekiranya tidak tahu nyatakan diri tidak mengetahui. ini lah sifat sebenar yang perlu ada pada setiap orang alim.

6- Urusan perkara ghaib diserahkan kepada Allah dan hadis ini juga dalil tiada yangg mengetahui hal ghaib melainkan Allah SWT. Dalam perkara ghaib ini pun Nabi صلى الله عليه وسلم sendiri tidak mengetahui. Maka tentu saja selain Nabi tidak akan ada yang mengetahui hal ghaib.

7- Hadis ini sebagai dorongan agar setiap manusia suka bertanya perkara yang berkaitan dengan hal agama serta memberi faedah pada akhiratnya, bukan sibukkan diri dalam hal dunia.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan