Utama Bilik (64) Syamail Muhammadiyyah Hadis 59: Kain Qitriy Rasulullah SAW

Hadis 59: Kain Qitriy Rasulullah SAW

614
0
Iklan

Panel: ADÖULINÉ Lacharouphe

59- حَدَّثَنَا عَبْدُ بْنُ حُمَيْدٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْفَضْلِ، قَالَ: حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ سَلَمَةَ، عَنْ حَبِيبِ بْنِ الشَّهِيدِ، عَنِ الْحَسَنِ، عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ وَهُوَ يَتَّكِئُ عَلَى أُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ، عَلَيْهِ ثَوْبٌ قِطْرِيٌّ قَدْ تَوَشَّحَ بِهِ، فَصَلَّى بِهِمْ.

وَقَالَ عَبْدُ بْنُ حُمَيْدٍ: قَالَ مُحَمَّدُ بْنُ الْفَضْلِ: سَأَلَنِي يَحْيَى بْنُ مَعِينٍ عَنْ هَذَا الْحَدِيثِ أَوَّلَ مَا جَلَسَ إِلَيَّ، فَقُلْتُ: حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ سَلَمَةَ، فَقَالَ: لَوْ كَانَ مِنْ كِتَابِكَ، فَقُمْتُ لِأُخْرِجَ كِتَابِي فَقَبَضَ عَلَى ثَوْبِي، ثُمَّ قَالَ: أَمْلِهِ عَلَيَّ، فَإِنِّي أَخَافُ أَنْ لَا أَلْقَاكَ، قَالَ: فَأَمْلَيْتُهُ عَلَيْهِ، ثُمَّ أَخْرَجْتُ كِتَابِي فَقَرَأْتُ عَلَيْهِ.

59- Telah bercerita kepada kami `Abd bin Humayd, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Muhammad bin Al-Fadhl, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Hammad bin Salamah, daripada Habib bin Asy-Syahid, daripada Al-Hasan, daripada Anas bin Malik, bahawa Nabi telah keluar dalam keadaan dia berpaut pada Usamah bin Zayd. Dia memakai sehelai kain Qitriy yang dia telah melilit dengannya, maka dia bersalat dengan mereka.

Dan berkata `Abd bin Humayd: Berkata Muhammad bin Al-Fadhl: Telah bertanya kepada saya Yahya bin Ma`in tentang hadis ini, pada permulaan dia duduk kepada saya, maka saya telah berkata: Telah bercerita kepada kami Hammad bin Salamah, maka dia berkata: Jikalaulah dari kitab kamu. Maka saya bangun untuk mengeluarkan kitab saya, maka dia memegang ke atas baju saya, kemudian dia berkata: Sebutkannya kepada saya, maka sesungguhnya saya takut saya tidak akan bertemu kamu. Dia berkata: Maka saya telah sebutkannya kepadanya, kemudian saya telah mengeluarkan kitab saya dan saya telah membaca ke atasnya.

Syarah Adou_Fr:

Hadis ini berkisar kepada kisah ketika Nabi sakit sekitar tahun kematiannya. Ketika sakit itu, Nabi keluar dari rumahnya dengan berpaut pada Usamah bin Zayd untuk menunaikan salat. Ketika itu, Nabi hanya memakai sehelai kain lepas iaitu kain Qitriy dan dia melilitkannya di bahunya. Dalam keadaan Nabi memakai sehelai kain itu, dia bersalat bersama dengan para sahabat di masjid.

Disebut di dalam hadis bahawa “dalam keadaan dia berpaut pada Usamah bin Zayd”, bermakna seseorang hendaklah berusaha sedaya upaya untuk bersalat jama`ah walaupun terpaksa meminta bantuan orang lain untuk membantunya pergi ke masjid. Tidak ada sebab mengapa seseorang itu tidak dapat pergi ke masjid – walaupun dia sakit – kerana dia boleh berpaut pada orang, atau dia boleh dipapah untuk ke masjid. Justeru, masjid hendaklah bersedia untuk menerima orang yang kurang upaya seperti ini untuk bersalat bersama. Masjid boleh menyediakan ruangan khas untuk orang yang memerlukan, contohnya yang menggunakan kerusi roda, atau yang memerlukan kerusi. Sebagai muslim, seharusnya setiap daripada kita berusaha untuk hadir ke masjid dalam apa juga keadaan kita.

Di dalam hadis ini, Anas menyebut bahawa Nabi memakai sehelai kain Qitriy, iaitu sehelai kain sahaja dan tidak memakai selainnya. Disebut di dalam Musnad Al-Haris:

لَيْسَ عَلَيْهِ غَيْرُهُ

Dia tidak memakai selainnya.

Justeru, boleh bersalat dengan memakai hanya sehelai kain lepas yang dililitkan pada tubuh untuk menutup `awrat. Ini bermakna, ketika itu, Nabi tidak memakai baju, atau jubah, atau seluar, atau pakaian lain, melainkan sehelai kain Qitriy sahaja. Maka tersilaplah orang yang menganggap bahawa Nabi sentiasa memakai satu jenis pakaian sahaja, bahkan Nabi juga memakai hanya sehelai kain lepas sahaja.

Kain Qitriy ini ialah sehelai kain tidak berjahit, yang mempunyaï benang atau corak berwarna merah, dan ia ialah sejenis kain yang kasar. Ia berasal dari Qatar iaitu sebuah negara di Teluk Parsi berdekatan dengan Bahrain.

Bersalat dengan sehelai kain adalah dibenarkan, iaitu bersalat tanpa memakai baju atau tanpa pakaian lain, atau tanpa aksesori lain seperti kopiah, atau kain serban. Ini kerana pada zaman Nabi, tidak semua orang memakai baju, dan tidak semua orang mempunyai dua helai kain untuk dipakai.

Di dalam hadis ini disebut bahawa “dia telah melilit dengannya” iaitu di atas bahu. Nabi tidak membelitkan kain yang sehelai itu di pinggang seperti masyarakat Melayu memakai samping atau kain pelikat. Disebut di dalam Musnad Abi Dawud At-Tayalisiy:

ثَوْبٍ قِطْرِيٍّ، قَدْ خَالَفَ بَيْنَ طَرَفَيْهِ

Kain Qitriy, dia telah menyilangkan antara dua hujungnya.

Ini bermakna dua hujung kain itu diletakkan di atas bahunya, bukan di pinggang. Namun, ikatan seperti ini agak asing bagi kita, kerana kita tidak melihat kain dipakai dan diikat seperti ini. Agar kita mudah mendapat gambaran, bayangkan sehelai kain ihram, atau sehelai kain batik lepas, atau sehelai selimut, kemudian dengan menggunakan kain itu sahaja, ia dibelitkan di tubuh sehingga kedua-dua hujungnya diletakkan di atas bahu.

Disebut juga di hujung hadis ini bahawa Nabi bersalat bersama dengan para sahabat, walaupun ketika itu Nabi perlu dipapah untuk keluar dari rumahnya ke masjid. Inilah contoh mendahulukan bersalat berjama`ah dan berlumba-lumba untuk bersalat jama`ah.

Jika boleh bersalat seorang diri, maka sudah tentu lebih awla untuk Nabi yang sakit bersalat seorang diri di rumahnya. Namun, Nabi tetap keluar berjama`ah.

Setelah hadis ini tamat, Imam At-Tirmizi menyebutkan daripada gurunya `Abd bin Humayd, daripada gurunya Muhammad bin Al-Fadhl. Beliau ialah Al-Imam Abu n-Nu`man As-Sadusiy Al-Basriy yang lebih dikenali sebagai (عَارِم) `Arim, dan merupakan guru kepada Imam Al-Bukhariy, Imam Ahmad bin Hanbal dan banyak lagi.

Ketika itu, Muhammad bin Al-Fadhl menceritakan tentang muridnya bernama Yahya bin Ma`in telah bertanya kepadanya tentang hadis ini. Dan pertanyaan ini berlaku ketika mula-mula Yahya bin Ma`in datang dan duduk untuk belajar bersama dengan Muhammad bin Al-Fadhl.

Ketika itu, apabila Muhammad bin Al-Fadhl ingin meriwayatkan hadis secara ingatan, maka Yahya bin Ma`in sangat berharap agar gurunya itu meriwayatkan daripada kitab, iaitu agar tidak berlaku kesilapan. Ini menunjukkan bahawa Yahya bin Ma`in sangat berhati-hati apabila dia belajar, dan dia cuba untuk memastikan gurunya tidak melakukan kesilapan.

Mendengar permintaan Yahya bin Ma`in itu, Muhammad bin Al-Fadhl terus bangun untuk mengambil kitabnya. Ini ialah adab yang perlu diketahuï dan diamalkan oleh para guru, iaitu apabila para murid mempersoalkan atau mempertikaikan apa yang diajar, guru itu hendaklah sanggup dan dapat menunjukkan bukti. Berbeza dengan guru sekarang, ramai antara mereka akan menganggap bahawa murid itu kurang ajar dan sengaja ingin merendah-rendahkan guru. Justeru, guru hendaklah bersedia apabila mengajar, agar dia boleh menjawab apa yang ditanya oleh murid, bahkan boleh menunjukkan bukti daripada rujukan atau buku.

Namun, apabila Muhammad bin Al-Fadhl bangun untuk mengambil bukunya, dan ketika itu Yahya bin Ma`in belum lagi mendengar apa-apa daripada gurunya, Yahya bin Ma`in menahan gurunya dengan memegang baju gurunya. Dia terus meminta gurunya menyebutkan hadis itu kepadanya, kerana dia khuatir jika gurunya pergi, dia tidak akan sempat berjumpa dengan gurunya itu lagi. Setelah gurunya meriwayatkan kepada Yahya bin Ma`in, barulah Muhammad bin Al-Fadhl pergi mengambil kitabnya dan membacakannya kepada Yahya bin Ma`in.

Hal ini menunjukkan kesungguhan Yahya bin Ma`in untuk mendapatkan ketinggian sanad daripada gurunya, kerana dia khuatir, walaupun dia sudah berjumpa dengan gurunya, tetapi ketika itu dia belum meriwayatkan apa-apa, maka dia akan rugi jika gurunya itu mati atau berlaku sesuatu yang menyebabkan dia tidak dapat menyampaikan ilmunya lagi.

Lihatlah betapa Yahya bin Ma`in mengejar tingginya riwayat dan sanad, sehingga dia tidak sanggup melepaskan gurunya walaupun sekejap untuk mengambil kitab. Berbeza dengan kita hari ini, walaupun `ulama’ besar datang ke tempat kita, kita masih memberikan alasan sibuk dan mengabaikan menuntut ilmu.

Ramai antara kita hari ini hanya berbangga berjumpa dengan seseorang ilmuwan, sedangkan Yahya bin Ma`in tidak berpada dengan berjumpa, malah dia mahu mendapatkan ilmu dan sanad riwayah daripada gurunya. Kita juga harus menukar sikap kita, kepada bukan setakat berjumpa, bersalam atau mengambil gambar sahaja, tetapi hendaklah diutamakan untuk kita mengambil ilmu daripada ilmuwan tersebut.

Menjadi guru memerlukan kesabaran dengan ragam dan telatah murid. Muhammad bin Al-Fadhl tidak melatah atau memarahi Yahya bin Ma`in yang sekejap meminta kitab, dan sekejap mahu terus mendengar. Itulah telatah murid yang pelbagai keinginannya. Namun, yang penting, kehendak dan kesungguhan murid itu untuk belajarlah yang perlu diambil kira oleh seseorang guru.

*******
*******
*******

.

Komen dan Soalan